5 pengunjung ke kawasan peranginan Lata Bayu sesat

BALING: Lima pengunjung ke kawasan peranginan Lata Bayu dekat sini, hilang dipercayai sesat dalam kawasan hutan itu, sejak petang semalam.


Gerakan mencari dan menyelamat dimulakan sejak 10 malam tadi membabitkan lebih 50 penduduk Kampung Banggol dan Asam Jawa serta kawasan sekitar, sebaik mendapat maklumat lima pengunjung ke Lata Bayu tersesat di kawasan itu. Usaha awal penduduk kampung malam tadi terpaksa dihentikan kerana keadaan hutan tebal serta tiada sebarang maklum balas daripada mangsa.

Pagi ini, gerakan mencari dan menyelamat diteruskan membabitkan lebih 100 orang terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk tempatan.

Hingga petang ini, usaha mencari masih diteruskan dan tertumpu pada kawasan awal yang dimaklumkan di mana mangsa tersesat.

Pengerusi Biro Kelab Radio Amatur dan Rekreasi Baling (KARIB), Zahir Saad, 32, yang ditemui Bernama berkata mangsa menghantar isyarat kepada anggota radio amatur itu kira-kira 3 petang semalam memaklumkan lima orang tersesat di kawasan Lata Bayu dan meminta bantuan.

Zahir berkata, pengirim maklumat melalui radio amatur itu mendakwa salah seorang rakan mereka dipatuk ular dan seorang rakan wanita meninggal dunia.

Beliau berkata, selepas menerima maklumat itu, pihaknya mengarahkan semua anggota kelab itu menjalankan usaha mencari dan menyelamat sebelum anggota pasukan penyelamat tiba.

"Hingga petang ini kami kehilangan petunjuk dan maklumat untuk mengesan mangsa kerana mangsa dipercayai gagal menghantar maklumat akibat kehabisan bateri pada radio mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Mohd Daud Mohd Hasan, berkata sehingga kini identiti kelima-lima mangsa yang didakwa sesat di kawasan itu masih belum diketahui dan usaha mencari serta menyelamat masih diteruskan.

- BERNAMA

Laporan Bernama pada hari Jumaat lalu 14 September 2012 menyatakan ada orang hilang di Lata Bayu, Baling. Apa yang menariknya kejadian ini adalah laporan awal mengatakan maklumat tentang kehilangan adalah diperolehi dari perhubungan radio amatur. Rakan ham yang menghubungi meminta bantuan itu telah berjaya menyampaikan trafik kecemasan kira-kira 3 petang Khamis tentang lima orang tersesat dan meminta bantuan.

Sehubungan mendapat trafik itu, Kelab Radio Amatur dan Rekreasi Baling (KARIB) telah menjalankan usaha mencari dan menyelamat sebelum anggota pasukan menyelamat tiba. Tetapi malangnya mangsa yang dicari tidak dijumpai kerana gagal mendapat maklumat tepat kerana mangsa yang melaporkan itu telah kehabisan bateri.

Usaha yang dilakukan oleh KARIB amat dihargai kerana bertindak pantas untuk memberi bantuan. Laporan-laporan media mengatakan usaha ini diberhentikan kerana tiada petunjuk yang mengesahkan kejadian ini benar-benar berlaku.

Menurut 9W2BCN abg Raja yang berada ditempat kejadian. Berita dan maklumat ini 50-50 kebenarannya. Mungkin palsu atau sebaliknya. Berdasarkan teori yang digunakan ditempat kejadian adalah sukar untuk memancar ke pengulang Jerai jika berada di celah-celah bukit ataupun gaung seperti yang dilaporkan oleh pelapor. Jika berada dipuncak atau tanah tinggi sememangnya pasti boleh terus memancar.

Tetapi kebanyakan rakan yang monitor pada hari itu mengesahkan bahawa si pelapor memberi trafik yang tepat tentang tempat kejadian di Lata Bayu. Jika si pelapor memberi maklumat palsu amat malang sekali kerana menyalahgunakan kemudahan yang ada.

Sebagai seorang pemegang lesen Radio Amatur tindakan yang dilakukan oleh si pelapor itu sememangnya tidak beretika dan telah menyusahkan semua pihak yang terlibat. Tindakan perlu diambil jika benar-benar si pelapor ini terbukti bersalah agar menjadi pengajaran kepada dirinya dan orang lain.

Apa yang membanggakan adalah komuniti ham ini bertindak pantas dalam memberi bantuan kecemasan. Maklumlah kematian adalah suatu perkara yang serius sepertimana yang dilaporkan seorang dipatuk ular dan seorang rakan wanita meninggal dunia. Berita ini bukannya boleh dibuat main-main.

Jadi, sememangnya kemudahan radio amatur ini dapat berfungsi memberi bantuan kcemasan jika diperlukan. Setiap rakan ham perlu dilatih dalam memberi bantuan komunikasi kecemasan dengan cara yang betul dan bukan untuk disalahgunakan. Tepuk dada tanya selera.

73, Jojet, 9W2DYA

http://9w2dya.blogspot.com




No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...