Misi Radiosonde D20073217 Berjaya di Kg Tumbuk Darat


 Pada hari khamis 6 Oktober 2022, belon KLIA radiosonde D20073217 telah mendarat di Kg Tumbuk Darat, Tanjong Sepat. Oleh kerana jatuh berhampiran jalan, bolehlah kiranya mencuba mencarinya. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. 


Sampai di lokasi jatuh kedengaran isyarat masih lagi aktif. Meletakkan jelopi di simpang empat kawasan ladang sawit. Orang kampung bekerja pagi itu bersimpang-siur dengan tugas masing-masing. Tegur pakcik-pakcik yang menunggang motorsikal sambil memaklumkan kedatanganku di situ.


Oleh kerana isyarat masih lagi aktif. Senjata pemburuan isyarat dikeluarkan. rdzTTGOsonde diaktifkan bagi mengesan koordinat terkini. Setelah diimbas isyaratnya, akhirnya koordinat dapat dikesan dan dikunci. Hasilnya koordinat baru dapat direkodkan serta bolehlah memulakan pencarian.


Titik akhir merujuk SondeHub Tracker adalah 2.68176 darjah Utara dan 101.58325 darjah Timur. Ia menjadi panduanku untuk tiba ke sini menggunakan google map. Laluan yang dipilh dari Bangi ke sini melalui Hulu Sungai Chuchoh dan Bukit Bangkong.


Aku memilih berjalan kaki sahaja untuk ke lokasi peranti mendarat. Walaupun jalannya baik sekali, berjalan kaki lebih mendatangkan kepuasan. Kita dapat melihat dengan lebih tepat dan baik sekali berbanding kenderaan bergerak. Jaraknya dari kereta ke peranti lebih kurang 300m sahaja.


Sambil berjalan memegang radio dan telefon setiap satu. Semasa berjalan mata melilau. Orang kampung selisih lalu-lalang di pagi yang sangat sibuk. Ada selisih dengan Pakcik tadi sambil aku menunjukkan peranti tergantung elok di atas pokok kelapa sawit di tepi jalan itu. Pakcik itupun menoleh kebelakang mengikut arah yang aku tunjuk "Itu belon tu Pakcik!" kataku sambil menuding jari ke arah peranti yang tergantung elok. Pakcik itupun menoleh sambil tersenyum setelah benda yang dicari  telah dijumpai.


Isyarat yang diterima sangat kuat, lebih lagi tergantung di tempat yang  tinggi. Mudah untuk diimbas koordinatnya menggunakan rdzTTGOsonde.


Lihatlah ia tergantung elok di atas jalan. Pelepah telah menyelamatkannya dari terjatuh di atas jalan. Seterusnya pasti digelek kenderaan yang kerap lalu-lalang.


Pemandangan kawasan kebun yang lapang adalah belakang pokok sawit yang tergantung itu. Situlah belon jatuh terlebih dulu di atas tanah.


Terpaksalah melangkah parit terlebih dahulu sebelum mengambil secebis belon berserta belon hijau serta kayu pine. Altiud ketinggian terakhir adalah 270m dan ketinggian maksimum adalah 29,077m. Belon pecah pada semua bahagian dalam altitud ketinggian tersebut.


Koordinat belon diambil menggunakan jam Garmin. Gambar jam di atas pula koordinat peranti di bawah pokok.


Peranti telah melurut ke bawah setelah dikait dengan pelepah sawit di tepi jalan. Setelah agak rendah, terpaksa melompat-lompat untuk mendapatkannya. Pekerja sawit di hujung jalan tergelak-gelak melihatku terlompat-lompat bagaikan memetik buah yang ranum.


Merujuk kepada SondeHub Tracker, titik akhir berada agak dalam kawasan ladang sawit. Ketinggian terakhir 270m telah membawa keluar hingga ke jalan. Alhamdulillah rezeki terpijak dapat depan mata sahaja. Tanpa berfikir panjang untuk masuk dalam ladang kelapa sawit. Semuanya terhidang dihadapan mata sahaja. Tuah ayam nampak dikaki....


Selepas memutuskan benang pada batang sawit. Perasaan gembira membawa pulang peranti terus ke saltmine. Jam menunjukkan 11.30 pagi. Pastikan pemanduan sampai ke Cheras sebelum jam 1 petang.


Memandu jelopi dilaluan yang sama melalui Bukit Bakong hingga keluar ke Jalan Pekeliling. Terus keluar berdekatan KLIA 2 hingga ke bulatan Masjid. Terus melalui Kota Warisan dan Cyberjaya/Putrajaya terus masuk SKVE hala ke Kajang. Belok kanan terus melalui UPM hingga Serdang masuk melalui The Mines hinggalah ke saltmine di Cheras.


Rezeki pencarian kali ini isyarat masih lagi aktif. Ini membolehkan rdzTTGOsonde dapat bekerja dengan baik sekali.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Dua Belon KLIA pagi ini

  Pada pagi ini Met Malaysia Sepang telah melepaskan dua buah belon kajicuaca. Jangkaan mendarat di Pulau Carey. Pertama belon WxR-301D 2302...