Berjaya dapat empat Radiosonde dalam satu Misi

Credit 9W2OCX

 Pagi tadi team SAR Central berjaya mendapat 4 unit radiosonde dalam satu misi. Semua belon yang diperolehi sekitar Kg Kanchong Tengah, Banting.

Belon Pertama Radiosonde D20073381


Kami berkumpul di Petronas Kanchong Darat. Kebetulan berjumpa juga Arul 9W2OCX di Dengkil. Sebetulnya berjanji berjumpa di Kanchong Darat. Namun berdasarkan aprs Arul 9W2OCX perasan yang aku berada dihadapannya sedikit. Terperangkap di lampu isyarat terus mengetuk cermin tingkap menunjukkan berjaya menjejakku. Lalu letak motorsikal di Masjid Pekan Dengkil. Kamipun berdua terus ke Banting. 


Itulah baiknya kita mengaktifkan aprs semasa misi agar rakan lain tahu kedudukan terkini. Aprs menunjukkan kedudukan seseorang secara langsung semasa itu juga. Jadi kita dapat tahu ke mana sahaja rakan yang mengaktifkan aprs itu berada. Selepas selamat tiba di Banting Arul cuba memanggil di V40. Rakan seterusnya Yatt 9W2MFE turut berjaya menjawab panggilan. Kedudukan beliau terperangkap juga di lampu isyarat yang banyak di Banting. Kami ikut jalan pintas melalui Jalan Sentosa untuk ke Kanchong Darat.


Siap dengan segala peralatan memburu belon, pergerakan satu kereta untuk mengejar belon pagi tadi. Radiosonde D20073381 jatuh di Kg Kanchong Tengah. Memandu dari Jalan Durian ke Kg Kanchong Tengah. Masuk kawasan Kampung sahaja, corong radio sudah mula mendengarkan isyarat belon frekuensi 401.110MHz. Ini menggambarkan bahawa isyarat pagi itu masih lagi aktif.


Masuk kanan lorong kedua di Jalan Kanchong Tengah, isyarat semakin jelas kedengaran. Jalan Kesum yang dilalui itu semakin menghampiri titik akhir. Arul 9W2OCX mengeluarkan rdzTTGOsonde untuk mendapatkan koordinat terkini belon KLIA. Memandu ke hadapan sedikit hingga jarum GPS waypoint finder tepat ke arah koordinat. Apabila tepat jarum tersebut, jaraknya mestilah semakin dekat. 


Jarak tinggal berbaki 90.6m dari kereta diletakkan. Arul 9W2OCX menggunakan rdzTTGOsonde untuk mengesan kedudukan belon. Peranti ini turut memaparkan jarak yang berbaki apabila semakin menghampiri. Selepas beberapa langkah kami belok ke kiri. Ternyata dihadapan kami peranti radiosonde ditemui pada rimbunan pelepah sawit.


Peranti radiosonde D20073381 berjaya dalam genggaman. Lampu merah masih menyala menunjukkan ia masih lagi mempunyai tenaga yang masih banyak. Ia sangat membantu jikalau isyarat masih lagi aktif. Ini pasti membolehkan peranti rdzTTGOsonde mengesan koordinat yang terkini.


Satu keseronokan dan keterujaan apabila sewaktu misi pencarian isyarat masih lagi aktif. Bunyi radiosonde ini memberi semangat kepada kami untuk terus memburunya. Apakan tidak? ia sememangnya wujud di kawasan itu. Kalau hendak mencabar lagi? Guna teknik radio finding dengan mengesan mendengar bunyi sahaja. Hanya yang cekap dan mahir pasti dapat menggunakan teknik ARDF untuk mendapatkan peranti ini.


Arul 9W2OCX sibuk mengemaskini laporan untuk dihantar ke laman web Sondehub Tracker. Apabila sudah menjumpai sesuatu peranti haruslah dilaporkan. Ini penting agar rakan lain tahu bahawa peranti itu telah ditemui dan diambil.


Satu perkara yang menarik perhatian kami adalah serpihan belon yang tersangkut di pelepah sawit. Belon hijau dan belon utama berada berhampiran dengan peranti. Manakala serpihan belon ini pula berada agak jauh. 


Rasanya di saat akhir belon ini jatuh menegak gedebuk jatuh ke bawah terus tepat ke lantai. Bukan seretan semasa mendarat. Kebiasaannya belon berada agak jauh dari peranti radiosonde. Ia berada di hadapan manakala peranti berada di belakang. Berdasarkan ini juga kami dapat mengetahui arah angin yang dilalui saat mendarat.


Jarum hijau menggambarkan peranti semakin dihampiri untuk mendapatkannya. Jarak 22.7m merupakan jarak yang harus dilalui agak dekat serta pasti peranti akan ditemui beberapa langkah seterusnya. Ini terpakai apabila ia telah dikesan semula menggunakan rdzTTGOsonde ketika isyarat masih lagi aktif.


Jarum biru pula menunjukkan peranti telah berada atau ditemui dengan mudah. Maksudnya telah sampai lokasi pencarian. Koordinat sebenar isyarat akhir adalah 2.75895 darjah Utara dan 10.47972 darjah Timur. Hasil cerapan rdzTTGOsonde Arul 9W2OCX adalah 2.759020 darjah Utara dan 101.479591 darjah Timur.


Hasil cerapan jam Garmin pula adalah 2 darjah 45.5454 ' Utara dan 101 darjah 28.7750 ' Timur. Jam Garmin yang menggunakan gps antara perkara penting sebagai alat bantu yang bagus dimiliki pemburu belon.


Hasil pencarian  belon yang pertama dikumpulkan setempat sebagai bukti misi berjaya. Belon hijau serta batang pine bergulung benang berserta belon utama di samping serpihan belon dilonggokkan atas pelepah  sawit. rdzTTGOsonde  yang berwarna oren ini berjaya mengesan koordinat terkini radiosonde D29973381. Peranti rdzTTGOsonde seharusnya dimiliki oleh pemburu belon bagi memudahkan pencarian.


Yatt 9W2MFE menunjukkan peranti terdapat kesan geseran dan hentakan pada bahagian bawahnya. Ini bukti bahawa telah berlaku perlanggaran atau pergeseran semasa mendarat.


Misi kedua pencarian hari ini adalah belon yang jatuh malam tadi. Radiosonde D20073436 telah dicari Arul 9W2OCX bersama Saiful 9W2DCW. Oleh kerana terdapat masalah teknikal, kawasan pencarian tidak berjaya sampai.

Belon Kedua Radiosonde D20073436


Belon kedua ini hanyalah bersebelahan jalan dari belon yang pertama sahaja. Jalan Kenangan Baru diberi nama sangatlah bertepatan dengan misi kali ini. Buat pertama kali kami telah saksikan peranti radiosonde ditemui terapung dalam parit. Sememangnya ia boleh terapung kerana ia dibuat dari polisterina ini sangat ringan, kuat dan lasak.


Semasa ia ditemui, ia terapung-apung mengikut arus parit yang agak deras. Namun, benang yang tersangkut pada pelepah kelapa sawit telah menyelamatkannya dari terus hanyut di bawa arus. Ternyata benang yang digunakan sangat kuat dan kukuh buatannya.

Kelihatan Yatt 9W2MFE telah sampai ke seberang parit menggunakan titi yang ada. Nasib baik ada titi di ladang kelapa sawit ini. Mudahlah kami untuk mengaksesnya seterusnya menyelamatkan peranti tersebut.


Lihatlah peranti terapung dalam keadaan baik sekali. Antena suhu berada elok ke atas. Benang yang tersangkut pada pelepah memegang erat agar tidak terlepas. Walaupun air kelihatan tenang, sebaliknya arusnya dapat dilihat juga. Peranti ini turut bergoyang-goyang apabila aliran parit ini agak deras.


Cerapan jam Garmin 2 darjah 45.3218 ' Utara dan 101 darjah 28.3490' Timur. Kedudukan tepat tidak dapat dilakukan memandang peranti ditengah-tengah arus parit. Titik akhir radiosonde D20073436 adalah 2.75523 darjah Utara dan 101.4727 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir adalah 152m serta ketinggian maksimum adalah 30,192m.


Peranti akhirnya berjaya diselamatkan daripada dihanyut arus parit. Arul 9W2OCX dan Yatt 9W2MFE berusah memastikan peranti berjaya dibawa pulang. Tali benang ditarik kemudian ia berjaya keluar dari air.  Apabila ditarik ke atas tersangkut pula pada pelepah. Arul 9W2OCX menggunakan pelepah untuk keluarkan peranti yang tersangkut dipegang benang oleh Yatt 9W2MFE. Akhirnya peranti berjaya diselamatkan tanpa sebarang kerosakan.


Kerjasama berpasukan ditonjolkan agar matlamat tercapai. Menggunakan keadaan persekitaran dalam menyelesaikan sebarang masalah. Perancangan teliti perlu dirangka bagi memastikan objektif dapat dicapai. Kesabaran dan ketelitian penting agar fokus utama tidak terpesong. Kadang-kala keghairahan melalaikan sehingga mengakibatkan peluang besar terlepas begitu sahaja. Segala risiko dinilai terlebih dahulu sebelum melakukan segala tindakan.

Peranti kedua dalam genggaman radiosonde D20073436 setelah percubaan kedua dilakukan pagi ini. Merujuk kepada titik akhir ia berakhir di atas titi. Akhirnya ia ditemui kehadapan sedikit di dalam parit.

Video rakaman Arul 9W2OCX sewaktu tiba dilokasi kejadian. Belon di sebelah kanan di tepi tebing. Boleh dilihat jarak titik akhir ke belon sewaktu ditemui dalam video ini. Titik akhir atas titi dan belon serta peranti di parit. Altitud ketinggian terakhir adalah 152m serta ketinggian maksimum adalah 30,192m.

Credit 9W2OCX

Lagi rendah ketinggian altitud, lagi mudahlah misi pencarian dijalankan. Lagi rendah, lagi tepat lokasinya serta sangat memudahkan bagi setiap pemburu belon.

Credit 9W2OCX

Belon berada di hadapan peranti menunjukkan arah ia terbang. Bearing 269 darjah merupakan arah barat. Ternyata benar belon tepat berada di kedudukan tersebut dari titik akhir dikesan.

Credit 9W2OCX

Penulis memegang belon yang pecah tinggal sedikit sahaja selamat berada di tebing. Belon yang pecah keseluruhan menggambarkan telah pecah pada altitud ketinggian maksimum 30,192m yang agak tinggi. Kebiasaannya ketinggian maksimum melebihi atau menghampiri 30k belon akan pecah sepenuhnya.

Credit 9W2OCX

Sememangnya Jalan Kenangan Baru telah meninggalkan kenangan baru sewaktu misi belon kedua ini. Peranti buat pertama kali ditemui terapung atas air parit. Pemanduan seterusnya mencari belon ketiga tidak jauh dari belon kedua juga. Membelok ke kanan dari Jalan Kenangan Baru ke Jalan Sempadan. Belok kiri melalui jalan menghala ke tempat penternakan. Nasib baik palang dibuka bolehlah kami menumpang lalu. Meletakkan jelopi berhampiran pintu pagar pusat tersebut. Seekor anjing mengintai dari dalam pusat itu tanpa sebarang bunyi. Memerhati kami dari jauh sahaja.

Belon Ketiga Radiosonde D20073215


Belon ketiga radiosonde D20073215 telah jatuh hari Khamis 6 Oktober 2022 yang lalu. Boleh dilihat dalam video rakaman Arul 9W2OCX sewaktu kami menemui belon terlebih dahulu diikuti peranti di belakangnya. Ini menunjukkan kami mencari dari sebelah hadapan ia jatuh. 

Credit 9W2OCX

Sebenarnya, semalam Hanif 9W2VHF telah turut mencari belon ini. Ia mencari dari arah belakang iaitu dari jalan Kenangan Lama. Ini rentetan kejayaannya mencari belon yang jatuh pagi semalam radiosonde D20073377.

Credit 9W2VHF

Jarak titik akhir dari peranti yang ditemui adalah 66.1m bagi altitud ketinggian 279m. Percaturan memilih jalan masuk yang baik turut membantu membawa kejayaan. Risiko yang diambil dalam memilih jalan masuk yang tepat. Pasti pilihan membawa kejayaan atau sebaliknya. Kadang-kala bergantung kepada nasib dan rezeki yang dikurniakan atas usaha yang telah dilakukan. Ada kala pencarian sangat mudah begitu juga sebaliknya. Namun, haruslah bersyukur atas kurnia dan limpah rahmatNya.


Bearing 348 darjah bagi radiosonde D20073215. Bearing ini sememangnya menuju arah kedatangan kami. Perlu juga membuat kajian peta sebelum operasi pencarian dilaksanakan. Kajian lapangan terhadap sesuatu tempat turut dapat membuat pemilihan laluan yang tepat. Ada juga di peta tidak dapat dilihat laluan yang tepat. Namun, setelah menyelidik sendiri sesuatu kawasan itu sememangnya ada laluan yang mudah untuk sampai ke tempat kejadian. Ini merupakan satu bonus yang sangat membantu misi pencarian.


Amalan biasa penulis merekodkan koordinat menggunakan jam Garmin. Ini pilihan kedua selain menggunakan aplikasi GPS waypoint finder. Koordinat jam Garmin untuk rekod peribadi penulis untuk dimasukkan dalam buku log belon.


Arul 9W2OCX memeriksa nombor siri pada peranti bagi menghantar laporan ke laman web Sondehub Tracker. Nombor siri ada tertulis pada peranti menjadi rujukan yang penting. Ini kerana ia sebagai bukti bahawa nombor siri itu adalah sama setiap kali belon dilepaskan. 


Pernah juga model peranti berbeza dari kebiasaan dipaparkan dalam info pada Sondehub Tracker. Namun, selepas dikejar dan dicari sebaliknya info itu adalah salah. Rupanya model DFM17 juga yang dilepaskan ke angkasa raya.


Nombor bar kod yang dikeluarkan oleh pengeluar peranti oleh Graw. Ia buatan German. Boleh dilihat tertera 20336-073215 nombor siri tersebut. Bagi rujukan belon pula di mana-mana laman web tertera D20073215 ia dua angka yang awal serta 5 angka yang akhir. Bagi 5 angka yang akhir itu, dua angka hadapannya dilihat sebagai rujukan koleksi peribadi penulis. Penulis telah berjaya mendapat 03, 04, 05 dan terkini adalah 07. Contoh D20039748, D20041923, D20054433 dan D20073217


Yatt 9W2MFE sedang beraksi untuk memutuskan benang. Kalangan kami lupa untuk membawa pisau lipat untuk memotong benang. Maka sasarannya pasti batang-batang sawit yang kasar itu. Boleh dilihat juga kawasan ladang sawit ini pokoknya sudah tua. Tinggi-tinggi batangnya. Tiada masalah jika tersangkut. Benangnya sangat panjang melebihi 50m.


Arul 9W2OCX, melaporkan penemuan peranti dalam laman sesawang SondeHub Tracker seperti kebiasaannya setiap kali penemuan. Liputan talian internet yang baik pasti memudahkan untuk menghantarnya.


Koordinat kedudukan belon juga dicerap penulis. Selain peranti yang lebih utama, kedudukan belon dilupa jangan. Kedudukan belon sentiasa berada dihadapan peranti.


Selepas selesai kerja-kerja perekodan, kamipun berpatah semula ke kereta. Jarak ikut bearing ke titik akhir adalah 351m. Setelah ditolak dengan jarak penemuan peranti berbaki 284.9 m sahaja dari kereta.

Belon Keempat Radiosonde D20072426


Belon terakhir jatuh di Jalan Utama Kanchong Tengah. Jalan ini selalu diguna kami untuk operasi sebelah Tanjung Sepat. Jalan pintas ini lebih cepat berbanding lalu ikut Morib. Jarak 200m di atas merupakan jarak sebenar penemuan peranti dari titik akhir.


Belon terakhir ini sangat mencabar untuk mencarinya memandangkan setiap blok keadaan yang berbeza. Tempat kereta diletakkan kawasan sawitnya sangat bersih dan kemas. Manakala sawit di titik akhir agak semak. Seterusnya antara titik akhir ke 100m pertama pokoknya agak rendang dan pelepah yang banyak menutup pandangan. Akhir kawasan penemuan peranti sawitnya agak kemas dan memudahkan kami mencarinya.


Pada mulanya kami mncari hingga jarak 100m sahaja. Namun, peranti tidak ditemui. Sebelum itu, kami cari titik akhir dahulu. kemudian Arul 9W2OCX mengenal pasti arah berdasarkan bearing 322 darjah.


Setelah gagal menemui jarak itu, kami teruskan usaha ke hadapan lagi melalui sawit yang kemas dan bersih ini. Memasuki semula bearing 322 darjah berpecah hingga jarak 200m. Oh! terlupa altitud ketinggian terakhir adalah 380m. Maka seharusnya melebihi jarak 100m. Ternyata benar, Yatt 9W2MFE tellah menemui segumpal belon di atas dengan terlihat benang seperti kebiasaannya.


Paparan jam Garmin terakhir bagi koordinat D20073426 sehingga bateripun tinggal 1 bar sahaja. Beberapa misi pencarian sebelum ini berjaya dilaksana dalam beberapa minggu tanpa mengecasnya semula. Maka, pastilah kuasanya semakin kurang dengan kerap menggunakan gps.


Aksi Yatt 9W2MFE bagi kali terakhir memutuskan benang. Pelepah sawit pasti menjadi sasaran untuk memutuskan benang. Benang perlu diputuskan bagi memudahkan ia digulung bersama kayu pine pada belon hijau. Sebab apa? Benang  selalunya tersangkut pada pelepah sawit yang pastinya menjadi pedoman utama bagi mencarinya.


Belon yang jatuh pada hari jumaat 7 Oktober 2022 dengan altitud ketinggian terakhir 29,450m. Belon masih kelihatan lebih besar berbanding belon pecah sepenuhnya penemuan sebelum ini. Nasib baiklah pekerja sawit tidak mengutip lalu membuangnya ke longgokan pelepah. Sebab itulah kami yakin bahawa peranti boleh tidak dicari dalam beberapa hari di ladang kelapa sawit. Pasti ia tidak diusik kecuali kerja pembersihan oleh pekerja ladang.


Peranti terakhir bagi misi kali ini berjaya dijumpai radiosonde D20073426 yang agak mencabar. Berkat kesabaran serta terus berusaha akhirnya membuahkan hasil.Apa yang penting? Kerjasama. kata wonder pet.

Credit 9W2OCX

Selagi arah bearing diikuti dengan tepat pasti belon dapat dijumpai. Bezanya jarak pencarian yang bergantung pada latitud ketinggian terakhir serta daya seretan semasa mendarat. Angin yang kuat akan membawa lajak lebih kehadapan lagi.

Credit 9W2OCX

Misi berjaya mendapat empat peranti. Hanif 9W2VHF yang baru tiba memberi sokongan. Lewat tiba kerana ada masalah pada motorsikalnya. Jika tidak, pasti kami berempat akan menjalankan misi kali ini.

Credit 9W2OCX

Muka ceria selepas mengharungi pelbagai halangan dan rintangan. Amat berbaloi setelah usaha yang dilakukan mendapat ganjarannya. Kerjasama berpasukan amat penting dalam menyempurnakan sesuatu misi.


Video terkahir bagi belon terakhir hasil tangan Arul 9W2OCX. Misi paling  banyak mendapat peranti. Alhamdulillah dapat bawa pulang empat peranti dalam sehari misi. Tahniah Semua!

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Dua Belon KLIA pagi ini

  Pada pagi ini Met Malaysia Sepang telah melepaskan dua buah belon kajicuaca. Jangkaan mendarat di Pulau Carey. Pertama belon WxR-301D 2302...