Berjaya Dapat 2 Belon KLIA Jatuh Malam

Credit 9W2MFE

 Pagi tadi berjaya mendapat dua belon KLIA yang jatuh pada waktu malam bersama Yatt 9W2MFE. Radiosonde D20051303 jatuh malam tadi bersebelahan kilang sawit di Pulau Carey. Manakala, radiosonde D20054773 jatuh pada malam 16 Mac 2022 di ladang Dusun Durian, Banting.


Radiosonde D20051303 jatuh 17 Mac 2022 jam 21:14 bersebelahan kilang sawit dan SKVE. Altitud ketinggian terakhir 30m dan altitud maksimum 18997m. Stesen radiosonde 9W2VDN di Putrajaya bekerja dengan cemerlang mendapatkan altitud bawah 50m.


Radiosonde D20054773 telah jatuh pada 16 Mac 2022 jam 21:26 malam. Altitud ketinggian terakhir adalah 35m dan altitud ketinggian maksimum adalah 22555m. Ia jatuh di ladang Dusun Durian, Banting.


Pada malam ia jatuh, aku dan Hanif 9W2VHF telah cuba mencarinya dari sebelah Jalan Kelanang. Sayangnya pencarian terhenti pada titik tinggal lagi 273m. Parit yang besar menghalang kami memasuki kawasan pencarian. Isyarat pada malam itu, masih lagi aktif. Terpaksa berpatah balik untuk mencari laluan masuk yang baru. Laluan sebenarnya adalah Ladang Dusun Durian milik Sime Darby. Pegawai bertugas mencadangkan mencari sebelah siang kerana laluan tidak sesuai untuk jelopi.

Credit 9W2MFE

Kami bersarapan terlebih dahulu di sebuah warung di tepi jalan masuk ke Pulau Carey. Oleh kerana Yatt cuti,  turut serta dalam misi pagi ini. Sebelum aku tiba, Yatt telahpun membuat tinjauan laluan masuk bersebelahan kilang sawit. Hasil perbincangan bersama, laluan bersebelahan kilang adalah yang terbaik.


Pekena nasi lemak dan lempeng, sangat mengenyangkan sebelum misi pencarian dilancarkan. Ada banyak pilihan warung di sini untuk bersarapan. Yatt 9W2MFE turut memuat turun aplikasi GPS waypoint finder bagi melicinkan pergerakan mencari. Memasukkan koordinat D20051303 bersebelahan kilang sawit.


Ini merupakan pertama kalinya kami memasuk ke ladang sawit berhampiran kilang. Kami berkongsi kereta memudahkan misi mencari. Jelopi Yatt 9W2MFE ditinggalkan ditepi jalan berhampiran warung. Perjalanan diteruskan melalui laluan tempat letak kereta pegawai di kilang. Terus ke hadapan seiring dengan paip penyambung kilang sawit yang tidak berfungsi lagi. Sehingga bersebelahan kilang sawit jarak semakin hampir. Kurang 20m kami berhentikan kereta dan meneruskan pencarian dalam kebun sawit.


Melangkah parit yang berair berpandukan arah jarum kompas digital. Benang telahpun dilihat Yatt 9W2MFE sebelah baris dihadapan. Terpaksa berpatah balik melintas parit ke barisan hadapan pula. Peranti berada di atas rumput, manakala belon di baris hadapannya pula.

Rakaman video di atas oleh Yatt 9W2MFE semasa menjumpai peranti di atas rumput. Kemudian mengikut benang untuk mengesan kedudukan belon selang baris di hadapan.


Keadaan belon masih sempurna walaupun pecah pada bahagian atas. Hari ini dua belon yang diperolehi agak sempurna walaupun  pecah sedikit. Memang tangan Yatt 9W2MFE yang bertuah memegang ke semua belon dalam keadaan sempurna.


Koordinat radiosonde D20051303 yang dijumpai 2 darjah 52.9084' Utara dan 101 darjah 25.9117' Timur. Alhamdulillah, dapat jumpa berdekatan jalan sawit sahaja. Mudah dan tepat dengan bantuan stesen radiosonde 9W2VDN yang mencerap altitud dibawah 50m.

Credit 9W2MFE

Selepas mengambil data dan gambar serta mengemas belon. Pulang semula ke jelopi Yatt 9W2MFE di tepi jalan Pulau Carey dekat Telok Panglima Garang. Misi berjaya dan mudah hasil kerjasama berpasukan yang mantap. Baik team SAR dilapangan mahupun penyedia penerima isyarat radiosonde. Saling perlu memerlukan diantara satu sama lain.


Rakaman video oleh Yatt 9W2MFE hasil tangkapan radiosonde D20051303 bersebelahan kilang sawit. Mudah akses dan laluan sawit yang dalam keadaan baik berbanding dilaluan yang ada Pondok Pengawal di sebelah atas lagi. Membuat pilihan laluan yang tepat memudahkan operasi pencarian. Pilih laluan yang selamat walaupun ia jauh mahupun dekat. Bagi mengelakkan sebarang kesukaran yang mendatang.


Kami berkonvoi ke Ladang Dusun Durian dari Jalan Bandar Lama masuk ke Jalan Pusara melalui jambatan merentasi Sungai Langat. Berkomunikasi melalui V40 145.500MHz setiap simpang yang dilalui. Kemudian belok ke kanan melalui Kampung Sg Buaya sebelum ke kiri Jalan Sultan Sulaiman Shah. Melintasi SM Sains Banting dan Kolej Komuniti Kuala Langat sebelum perumahan TUDM Jugra. Belok ke kanan  dan kemudian ke kiri untuk terus ke Dusun Durian melalui Jalan Kelanang B59. 


Tiba di Pos Pengawal melapor diri kepada pegawai yang bertugas. Terus ke kawasan kompleks untuk melihat persekitarannya. Setelah Yatt 9W2MFE memasukkan koordinat D20054773 barulah kami bergerak ke destinasi yang dituju. Laluan berhampiran pos pengawal tadi. Bergerak melalui jalan sawit yang lecah tidaklah terlalu sukar.


Berpandukan jarum kompas digital laluan dipilh berdasarkan arah yang ditunjukan. Terpaksa meletak kereta di lokasi yang sesuai dan selamat agar tidak menghalang laluan pekerja dan kenderaan ladang. Ada lebih kurang 400m jarak ke tapak pendaratan belon. Berjalan semula laluan kenderaan sebelum melintas titi konkrit ke kawasan pendaratan. 
Credit 9W2MFE

Lagi 80m kami telah nampak kelibat peranti radiosonde tergantung di hadapan. Berpusing-pusing ditiup angin serta memancarkan sinaran apabila terbias cahaya matahari. Belon dijumpai terlebih dahulu sebelum ke peranti yang tergantung elok selang berapa baris.

Credit 9W2MFE

Lokasi radiosonde D20054773 dijumpai 2 darjah 47.7992' Utara dan 101 darjah 27.0957' Timur. Lengkaplah dua misi pagi ini, berjaya bawa balik peranti setiap seorang. Untungnya kedua radiosonde ini ditemui dengan altitud ketinggian bawah 40m sangatlah membantu.
Selepas mengemas dan mengambil data, berpatah balik ke jelopi. Tiba di pos pengawal menunjukkan hasil yang diperolehi sebagai bukti. Kamipun berpisah ke destinasi masing-masing melalui Jalan Kelanang semula. Singgah di Masjid Jenderam Hilir untuk solat jumaat.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...