Jumpa Juga Radiosonde D20054569

Credit 9W2VDN

 Tengah hari tadi berjaya jumpa radiosonde D20054569 di Banting. Belon KLIA radiosonde ini jatuh pada malam tadi namun gagal ditemui kerana kesukaran untuk masuk ke ladang kelapa sawit. Ia dikelilingi parit walaupun jaraknya lagi 500m sahaja.


Jejak stesen 9W2DYA-10 untuk mencuba melepasi ladang kelapa sawit malam tadi. Gagal menemui jalan masuk walaupun isyarat radiosonde masih lagi aktif ketika itu.


Pada hari ini pula, cuba masuk di bahagia utara atau atas kawasan ladang kelapa sawit. Rupanya memang benar pintu mauk bertentangan dengan kunci air.


Ladang milik Sime Darby merupakan Ladang Dusun Durian divisyen Teluk Datoh. Perlu melaporkan diri kepada Pegawai bertugas sebelum masuk ke dalam. Jelopiku diletakkan berdekatan jalan bertentangan dengan pondok pengawal.


Membonceng motorsikal bersama Hanif 9W2VHF ke tapak pendaratan radiosonde D20054569 melalui jalan tar sebelum belok ke kanan berhampiran padang bola. Menyusur laluan yang agak berlumpur disesetengah tempat. Tanganku memegang telefon pintar memantau pergerakan jarum kompas GPS waypoint finder. 


Penghujung laluan bertemu jalan raya yang kami lalui malam tadi. Parit besar memisahkan antara dua jalan itu. Parit digunakan sebagai perlindungan dari dicerobohi oleh sesuatu yang boleh merosakkan tanaman milik syarikat perladangan ini. Sebab itulah kami tidak menjumpai laluan mahupun titi sepanjang parit yang mengeliling ladang ini.

Pencarian diteruskan selepas menjumpai lorong pertama berdekatan pondok rehat. Hanif 9W2VHF meletakkan motorsikalnya berhampiran pondok itu. Maka pencarian bermula mengikut anak panah. Jarak lingkungan 200m sahaja lagi.


Namun, usaha ini dihalang oleh parit yang baru dicuci. Jadi terpaksalah berpatah balik semula ke motorsikal.


Jarak hanya berbaki 54.4 m sahaja. Terlalu dekat. Namun, apakan daya dihadapan adalah parit yang agak sukar untuk diseberangi. Kami berjaya menemui satu lagi laluan antara blok ladang. Berjalan kaki semula ke tapak pendaratan mengikut arah jarum kompas digital.


Semakin menghampiri jarum bertukar warna kepada hijau dan seterusnya berwarna biru. Namun. melihat sekeliling tiada kelibat belon dilihat. Benang terjurai dari pelepah seperti kebiasaannya turut tidak dapat dilihat. Maka kami pusing sekitar kawasan itu. Tiba-tiba Hanif 9W2VHF terlihat benang di atas pokok. Rupa-rupanya peranti tersangkut dicelah pelepah atas pokok. Nasib baiklah pelepah dan buah sawit itu belum lagi kena sodok. Jikalau tidak pasti akan terhimpap dek pelepah yang lain ditepi pokok.


Selepas benang ditarik barulah kelihatan belon turun dari celah pokok sawit bersebelahan. Kemudian benang diputuskan membolehkan belon diambil.


Keadaan belon agak baik masih berbaki agak besar. Berbanding belon yang dijumpai semalam yang tinggal bucu sahaja. Tinggal usaha mendapatkan peranti dicelah pelepah atas pokok. Pelbagai ikhtiar dilakukan, namun gagal.


Akhirnya Hanif 9W2VHF membuat keputusan untuk memanjat sahaja bagi mengambil peranti itu. Walaupun tidaklah terlalu tinggi namun masih sukar untuk dicapai. Jalan penyelesaiannya dengan memanjat sedikit sehingga tercapai tangan peranti tersebut. Usaha tangga kejayaan. Tidak boleh berpeluk tubuh menunggu jatuh ke riba.

Selepas berjaya mendapatkan peranti dalam genggaman. Berbaloi usaha dari menunggu ia jatuh sendiri. Pengambilan data dan bergambar kenangan uuntuk rekod masa hadapan.



Ini merupakan penemuan pertama peranti terselit atas pelepah sawit. Kebiasaannya ia jatuh di atas tanah dan benang akan tergantung dari atas pokok. Tidak pada kali ini. Terpaksa cari dan memandang ke atas bagi mendapat kepastian.


Secara peribadi, ini merupakan penemuan lokasi radiosonde kali ke-20 bagi jenis DFM-17 yang dilepaskan oleh Met Malaysia. Hanya satu lokasi tidak menemui peranti dipercayai tuan kebun telah mengambilnya.
 


Namun bukti serpihan dan benang menjadi lokasi jatuhan radiosonde tersebut. 18 buah peranti dalam keadaan baik, manakala sebuah peranti telah rosak. Nasib baik papan litar masih ada ditinggalkan di tapak pendaratan. 

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...