Astaka Morocco


 Semalam berkesempatan berkunjung ke Astaka Morocco di Taman Botani Putrajaya. Hari hujung minggu ramai pengunjung beriadah dan berekreasi bersama keluarga. Kelihatan ramai yang berkelah di tepi-tepi tasik di kawasan rumput yang lapang dan menghijau.


Hiasan pokok telah dibentuk menyerupai arnab menarik perhatian Damia yang suka akan dunia haiwan. Potongan pokok hiasan yang cantik membentuk arnab ini pastilah sentiasa dijaga rapi. Ini penting agar bentuknya tidak berubah seperti sedia ada.


Damia bergambar berlatarbelakang pintu gerbang senibina Morocco. Tempat ini menjadi perhatian lensa kamera bagi para graduan dengan berjubah bagi kenangan memori masa hadapan. Para pelancong luar terutama dari asia timur turut tidak melepaskan bergambar kenangan.


Kemudian kami ke canopy walkway tarikan terbaru Taman Botani. Titian yang dibina antara dua pokok seperti jambatan menghubungkan kedua belah pokok.


Lokasi ini sangat sesuai untuk bergambar dengan berlatarbelakangkan tasik Putrajaya. Kelihatan di tasik, bot rekreasi yang boleh disewa turut disediakan di sini. Lihat di bawah pula kawasan perkelahan bersama keluar di kawasan padang yang luas dan redup menjadi pilihan pengunjung.


Setiap pokok di bina pelantar pemandangan. Titi menyambung kepada kedua pelantar di kedua pokok tersebut. Kawasan padang rumput carpet yang menghijau itu baru sahaja dibuka dan diselenggara semula. Ini kerana, tebing sebelah padang tersebut telah diindahkan dengan pembinaan laluan yang menarik terutamanya untuk orang kelainan upaya juga. Ini dapat memudahkan golongan tersebut akses ke kawasan padang berumput carpet tersebut.


Pelantar pemandangan yang cantik bagi melihat tasik Putrajaya. Pohon nyiur melambai-lambai ditiup bayu mengindahkan lagi cuaca. Persekitaran seumpama tepi laut ini menenangkan fikiran bagi melupakan lelah kerja di pejabat.


Tangga pusing turun ke bawah perlulah berhati-hati ketika memijak. Perlulah memegang pada pemegang kiri dan kanan agar tidak tergelincir ataupun terjatuh.


Puas bergambar pemandangan indah, terus ke bangunan sukan air. Segala pembayaran untuk bermain sukan rekreasi air dan trampolin di bayar di sini sahaja. Kami lebih minat mendapatkan palet ikan sahaja. Satu bungkus palet ikan berharga RM3. Menjadi minat Damia untuk memberi ikan makan di Taman Botani ini ketika berkunjung di sini selalu.


Rakaman video menunjukkan betapa banyaknya ikan di Tasik Putrajaya di Taman Botani ini. Merujuk kepada spesies ikan tasik Putrajaya kemungkinan ikan yang berenang itu adalah Lampam Sungai (Pontius Schwanenfeldii) kerana ekor yang berwarna oren itu. Selain itu ada dua ekor yang agak besar seperti ikan Toman. Dua ekor kura-kura agak kecil dan satu ekor kura-kura yang agak besar. Terdapar seekor labi-labi yang agak besar juga.


Seterusnya bergerak melewati restoran makanan laut menghala ke jeti Teksi Air. Teksi Air satu lagi kemudahan terkini di Tasik Putrajaya ini. Bot yang berkuasa enjin besar boleh membawa beberapa orang penumpang.


Ketika sibuk memberi ikan makan terlihat batu tanda. Batu tanda tersebut tertera CP 3. Terdapat paku payung di bahagian tengahnya. Mungkin ini merupakan coordinated point atau control points dalam kerja-kerja mengukur di kawasan ini.

Koordinat bagi CP 3 di Taman Botani tepi tasik Putrajaya adalah 2.944471 darjah Utara dan 101.692287 darjah Timur. Misi seterusnya boleh dilancarkan bagi mencari lagi batu tanda seperti ini di Taman Botani ini.


Kedudukan CP 3 berdekatan dengan tebing Tasik Putrajaya di Taman Botani. Kemungkinan banyak lagi batu tanda seperti ini boleh dicari jikalau jumpa.


Longgokan batu-batu ini menarik minat Damia untuk memijak dan memanjat. Setiap halangan batu dilalui dengan berhati-hati. Perlu memilih batu yang mudah atau paling hampir. Kadang batu agak jauh menyukarkan untuk melompat, perlu bantuan abah untuk melepasi batu tersebut. Itulah kehidupan yang banyak cabaran dan halangan serta perlu bijak membuat keputusan. Perlu meminta pertolongan atau bantuan orang lain kerana tidak mampu melakukan seorang diri.


Selepas melepasi halangan batu terus menyambung memberi ikan makan. Sebelum itu berjalan kehadapan sedikit. Malangnya setelah makan ikan dicampakkan ke tasik tiada seekorpun yang menjamah. Ternyata ikan lebih banyak berhampiran jeti.


Percikan air terhasil apabila ikan-ikan berebut-rebut memakan palet yang dicampakkan.Percikan air sampai ke tebing dan kadang-kala sangat kuat. Turun hingga ke tebing rumput lebih jelas melihat ikan berenang-renang di celah-celah batu.


Palet hanyut ke celah-celah antara tebing batu dan tanah berumput. Damia berusaha menolak kembali palet masuk ke tengah tasik semula. Ada juga ikan cuba sedaya upaya mendapatkan palet di kawasan yang sukar itu. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.


Selepas puas memberi ikan makan sempat pusing kawasan tasik yang bersambung dengan Tasik besar di Taman Botani ini. Airnya agak cetek dan berbau pula. Selepas itu ke IOI Mall untuk menambahkan koleksi pin Damia. Pin bertema haiwan seperti capybara, itik, kucing dan ayam menjadi pilihan hati.


Harga satu pin RM10 sahaja. Bagi jenis arkilik boleh beli RM10 dapat 3 jenis. Kebiasaannya pin-pin ini boleh didapati kedai buku seperti Popular dan Pustaka Rakyat. Teringat dahulu kumpul pin semasa Sukan Komanwel 1998 dan Sukma Selangor pada tahun itu juga. Bertukar-tukar pin satu hobi yang sangat menarik juga.

No comments:

Post a Comment

Radiosonde 2405011782 Gagal ditemui

  Semalam 17 September 2024 telah melancarkan misi pencarian belon KLIA secara solo di Tanah Merah, Port Dickson. Misi mencari radiosonde 24...