CQ Merdeka 2024 9M67MB di PICC Putrajaya


 Ambang merdeka berkesempatan untuk menghadiri aktiviti radio di PICC Putrajaya. Aktiviti radio amatur sempena hari Kemerdekaan yang ke-67 pada tahun 2024. Tag dan pelekat telah diberikan oleh Sufian 9W2SGJ. Lama sungguh tidak menghadiri aktiviti radio amatur seperti malam kemerdekaan ini. Terima kasih Sufian 9W2SGJ atas bingkisan yang sangat berharga ini. Nampaknya pulang tidak tangan kosong.


Semuanya bermula dari ajakkan Arul 9W2OCX merupakan salah seorang daripada krew. Isyarat panggilan khas untuk merdeka ini telah dikeluarkan oleh SKMM atas daya usaha MARTS setiap tahun bagi meraikan hari Kemerdekaan. Setiap negeri telah diberikan isyarat panggilan khas ini yang telah dikendalikan oleh kumpulan radio amtur dari setiap negeri. Isyarat panggilan mengikut abjad negeri seperti 9M67MB untuk negeri Selangor.


Memandu dari Cheras terus ke PICC, Putrajaya. Pada mulanya risau tentang kesesakan trafik namun berjalan lancar hingga ke destinasi dituju. Tiba pintu masuk telah dihalang oleh petugas tidak membenarkan masuk walaupun tujuan kehadiran telah dimaklumkan. Terpaksalah meletakkan kereta di bahu jalan.


Seterusnya menapak ke atas dengan kecerunan yang agak tinggi. Maklumlah kedudukan PICC ini di atas bukit. Menghampiri bangunan yang ikonik ini telah kelihatan antena farm. Tidak sah jika tiada antena untuk aktiviti radio amatur. Itulah klu paling tepat jika hendak mengenali kedudukan atau lokasi aktiviti radio amatur.


Meja panjang yang dipenuhi peralatan komunikasi radio adalah tempat aktiviti ini tertumpu. Lokasi yang strategik menghadap Pusat Pentadbiran  Negara. Para kru sibuk mengendalikan radio dalam mode HF dan VHF.


Sufian 9W2SGJ dan dibantu Faizal 9W3RLG mengendalikan mode HF 40m band. Manakala, Che Ta 9M2SYG sedang sibuk mengendalikan 2m Net MARTS linking sempena ambang merdeka. Semasa memandu ke PICC memantau di frekuensi ketika Che Ta 9M2SYG mengendalikan 2m Net itu. Maka, sahlah aktiviti radio amatur di PICC sedang berjalan.


Tidak terlepas juga unit komunikasi pihak berkuasa keselamatan turut ada pada malam itu. Kemungkinan persiapan komunikasi untuk sambutan kemerdekaan. Antena J-pole bagi kegunaan mode VHF terus menghala ke Gunung Ulu Kali. Menurut Arul 9W2OCX antena bagi mode HF pula adalah 750V Dipole yang turut dimiliki di base stesen beliau.


Arul 9W2OCX sibuk membantu Kamarul 9M2VKA menguji keupayaan radio pada malam itu. Aktivi biasa dilihat untuk menguji radas dan antena agar dapat berkomunikasi dengan baik. Percubaan demi percubaan tetap gagal kemungkinan gangguan antena 750V dipole yang  berkeupayaan lebih tinggi.

Credit 9W2OCX

Penulis 9W2DYA bersama Arul 9W2OCX sempat bertukar-tukar cerita tentang event yang lepas seperti Rumah Api (ILLW) dan Peak to Peak (PTP). Sayangnya dua event tersebut penulis tidak dapat terlibat kerana kesibukan tugasan dalam sukan. Arul 9W2OCX turut berkongsi tentang radas QRP yang dimilikinya.


Azmie 9W2HAS bersama Faizal 9W3RLG mengendalikan radas HF 40m band. Faizal 9W3RLG memasukkan data setiap stesen yang berjaya dihubungi. Waktu menghampiri jam 12 tengah malam beberapa pengunjung memenuhi jalan di hadapan bangunan bagi menunggu detik kemerdekaan.


Che Ta 9M2SYG masih meneruskan tugasan sebagai pengawal rangkaian 2m Net ambang Merdeka sambil dipantau oleh Pak Jinggo 9M2PJO dan Kamarul 9M2VKA.


Arul 9W2OCX mengambil alih pengawal rangkaian daripada Che Ta 9M2SYG. Sambutan stesen lain amat menggalakkan ketika menghampiri detik 12 tengah malam.


Setiap stesen yang menyertai 2m Net ambang merdeka perlu direkodkan. Manakala di jalur 40m pula terus rancak dengan panggilan dari dalam dan luar negara. Meja dihujung sana pula sesi eyeball berlangsung bertukar-tukar fikiran dan pengalaman tentang dunia radio amatur. Waktu seperti inilah setiap stesen dapat bertemu di daratan sambil bercerita tentang minat yang sama.


Suasana rancak dengan menerima banyak stesen untuk mendapat contact dengan stesen 9M67MB di Putrajaya. Pemburuan isyarat panggilan khas seperti ini harus diambil kerana hanya diadakan setahun sekali sahaja sempena Hari Kemerdekaan. Angka dalam isyarat panggilan itu akan bertukar mengikut tahun kemerdekaan semasa.


Gobox milik Faizal 9W3RLG boleh dibawa dengan mudah ke mana-mana sahaja. Isi kandungan lengkap radas radio yang boleh diaktifkan pada bila-bila dan mana-mana sahaja. Ia selalu digunakan untuk komunikasi kecemasan yang selalunya luar jangka ia berlaku.


Arul 9W2OCX mencatat setiap stesen pada buku secara manual sahaja. Lebih seratus stesen telah mengambil bahagian dalam 2m Net ini. Selain melalui radio frekuensi, ia turut disambungkan melalui internet membolehkan stesen yang tidak dapat menjangkau melalui radio frekuensi dapat berhubung jua. Echolink melalui protokol internet memberi peluang kepada stesen yang mampu berhubung melalui internet dengan baik.


Ada satu stesen dari Itali tidak jelas penerimaannya oleh Arul 9W2OCX sebagai pengawal rangkaian. Nasib baiklah rakan kami Yatt 9W2MFE membantu memaklumkan isyarat panggilan stesen tersebut. Pemandangan dari meja konti menghadap ke Bangunan Pejabat Kerajaan Pusat yang disinari cahaya lampu yang cantik.


Hari semakin lewat tidak menghalang beberapa stesen hadir memberi tanda sokongan kepada 9M67MB. Antara stesen yang ada pada malam tersebut adalah 9M2MAD, 9W2EZR, 9M2PJO, 9W2BKF, 9W2HAS, 9W3RLG, 9M2SYG, 9M2VKA, 9M2LDX, 9W2XMS, 9W2ZBL, 9W2LCN, 9W2SGJ, 9M2MAX, 9W2OCX dan penulis 9W2DYA.


Melepasi detik 12 tengah malam suasana yang sunyi sepi bertukar meriah dengan dentuman bunga api. Rakaman video yang telah berjaya dibuat.


Lama juga bunga api dibakar menandakan masuknya Hari Kemerdekaan kali ke-67 tahun. Puaslah melihat pelbagai corak, warna dan bunyi setiap kali terbang memenuhi ruang angkasa Putrajaya.


Pengunjung yang ada terpaku melihat bunga api yang sangat meriah ini. Masing-masing tidak melepaskan merakam momen untuk dikenang.


Puas menonton bunga api kembali ke konti radio semula. Selepas tengah malam aktiviti radio semakin rancak terutamanya jalur 40m. Sufian 9W2SGJ telah menutup 2m Net sempena ambang Merdeka.


Seterusnya Muhamad Noor 9M2MAD telah mengendalikan jalur 15m pula. Berjaya mendapat sahutan dari stesen-stesen dari benua eropah. Kedengaran audio dari corong radio sangat kuat mampu memecah kesunyian awal pagi tersebut.


Faizal 9W3RLG setia memasukkan data-data stesen dari eropah tersebut. Puas melihat Muhamad Noor 9M2MAD mengendalikan panggilan dari eropah, terpaksa pulang ke Bangi kerana keesokan ada tugasan lain pula. Bersalaman dengan ke semua stesen yang masih ada untuk mengundur diri.


Akhir kalam, Tahniah kepada semua stesen yang terlibat bagi mengendalikan 9M67MB sempena Hari Kemerdekaan kali ke-67 tahun ini. Kerjasama yang mantap dalam minat yang sama melancarkan perjalanan aktiviti radio amatur ini. Ada kesempatan boleh ketemu lagi.

Jumpa dan jumpa lagi
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Radiosonde 2405011782 Gagal ditemui

  Semalam 17 September 2024 telah melancarkan misi pencarian belon KLIA secara solo di Tanah Merah, Port Dickson. Misi mencari radiosonde 24...