Selepas bersarapan bergerak ke Broga dengan berkongsi kereta seramai 5 orang. Manakala dua lagi bermotosikal memandangkan rumah mereka di Semenyih sahaja. Pada mulanya seramai 7 orang mengesahkan penyertaan. Namun disaat akhir PK Ko turut serta dalam aktiviti santai ini.
Jam 7:20 telah tiba di tempat letak kereta dan dikehendaki membayar jumlah penumpang RM1 seorang. Setelah membuat aktiviti memanaskan badan masing-masing, jam 7:30 bergerak ke puncak bersama-sama. Kali ini kulihat tempat parkir tidak terlalu penuh. Ini menggambarkan jumlah pengunjung pada pagi itu tidaklah terlalu sesak. Kemungkinan musim hujan yang melanda mungkin menyebabkan kekurangan pengunjung.
Tiba di Pintu Gerbang jam 7:46 pagi. seperti biasa sesi fotografi untuk kenangan. Perjalanan santai melalui jalan balak yang luas dan rata. Oleh kerana melalui tanah persendirian, sekali lagi pengunjung dikehendaki bayar tiket sebanyak RM1 seorang. Mantan PK Ko pula telah belanja tiket itu pada kali ini.
Seorang lagi rakan kami yang lewat telah berjaya mengejar kami ketika naik ke atas. Maka lengkaplah 8 orang untuk aktiviti santai kali ini.
Cuaca pagi yang berkabus dan berawan memberi suasana yang indah dan permai. Di suatu kawasan yang berpokok seekor burung yang berwarna hijau membuat bunyian yang sangat kuat seolah-olah menyambut kedatangan kami ke Bukit Broga. Seorang pengunjung mengatakan bahawa itu adalah burung raja udang. Kamipun ramai-ramai tengok burung yang ditunjukkan diatas dahan yang tinggi di atas pohon.
Selepas itu, bermulalah cabaran sebenar mendaki apabila terpaksa mendaki kawasan yang bercerun curam. namun tali keselamatan ada disediakan bagi memudahkan pendakian dan keselamatan.
Kawasan memukau mata memandang menyebabkan kepenatan berbayar. Suasana agak sejuk dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.
Pemandangan persekitaran sangat memukaukan perasaan.Apatah lagi melihat awan carpet yang memutih di waktu pagi ini. Selepas melepaskan lelah, pendakian diteruskan dicelah-celah batu dan lorong-lorong trek yang menjadi laluan pendaki. Pendakian agak sukar dengan cerun yang tinggi serta trek yang licin memberi seribu satu cabaran. Maklumlah musim hujan telah tiba kini, menyebabkan trek menjadi bertambah licin.
Rentangan tali sewaktu pendakian amat berguna bagi berpaut sewaktu melangkah ke atas. Namun terdapat juga beberapa tiang yang sudah tumbang menyebabkan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Kawasan berbatu di celah lereng bukit memberi peluang untuk pendaki melepaskan lelah disamping menikmati pemandangan indah didepan mata.
Puncak tinjau pertama berjaya ditawan pada 880 kaki dari aras laut. Sekali lagi gambar berkumpulan berjaya dirakamkan. Sudah ada papan tanda bagus menjadi rujukan dan tanda peringatan. Pengunjung hendaklah menjaga keindahan dan kebersihan Bukit Broga. Jangan membuang sampah merata-rata. Segala sampah yang dibawa hendaklah simpan sebelum buang di tong sampah semasa berada di bawah atau tempat parkir.
Pendakian diteruskan ke Puncak Tinjau Kedua. Sewaktu di sini dua orang ahli berhenti rehat tidak meneruskan perjalanan. Pendakian ke puncak diteruskan seramai 6 orang sahaja.
Aku seperti biasa memandu mereka memilih trek yang lebih selamat tanpa perlu menghadapi kawasan yang berbatu yang amat mencabar. Maklumlah kami semua Old Boys melakukan aktiviti fizikal mengikut tahap kemampuan masing-masing.
Tiba di Puncak Broga suasana meriah dengan pengunjung. Sudah pasti papan tanda puncak menjadi sasaran lensa kamera. Namun kami berehat seketika di celah batu yang redup. Maklumlah sang mentari semakin terik dan menyebabkan suhu semakin panas. Kesempatan berehat juga dapat minum air serta menambah tenaga dengan memakan gula-gula.
Selepas papan tanda tiada orang bergambar, maka peluang ini tidak dapat dilepaskan. Meminta bantuan pendaki lain dapatlah bergambar kenangan dipuncak Broga. Selepas itu perjalanan turun terus ke Puncak Tinjau Kedua untuk bertemu dua rakan yang menunggu di sana.
Perjalanan perlu lebih berhati-hati ketika menuruni curam yang agak licin. Suhu semakin tinggi menyababkan cepat kehilangan air. Maka bekalan air yang dibawa perlu digunakan agar badan tidak dihidrat.
Semasa menuruni lurah, selisih dengan ramai lagi pendaki ingin naik ke atas walaupun suasana semakin panas. Maklumlah kawasan bukit broga merupakan kawasan lalang dan bersemak sahaja. Hanya di awal pendakin dan di puncak Broga sahaja ada ditumbuhi pokok-pokok.
Perjalanan di trek balak semakin selamat dan santai. gelak ketawa dan bersembang tentang pelbagai perkara menunjukkan betapa seronoknya dapat melakukan aktiviti riadah bersama-sama. Ia dapat mengeratkan hubungan dan kemesraan serta dapat mengenali antara satu sama lain walaupun satu tempat kerja. Maklumlah sibuk dengan tugasan masing-masing di sekolah.
Ia turut menguji ketahanan fizikal dan mental disamping meningkatkan kerjasama berpasukan. Interaksi dan semangat tolong-menolong wujud melalui aktiviti seperti ini.
Secara tidak langsung turut menggalakkan cara hidup sihat dengan aktiviti fizikal. Seterusnya meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan diri.
Merujuk data Runkeeper pada pagi ini perjalanan sejauh 3.69km telah direkodkan.Catatan masa pula selama 2 jam 35 minit 53 saat. Puncak tertinggi direkodkan adalah 372m dari aras laut. Kalori yang dibakar untuk aktiviti hiking pada kali ini adalah 602kcal.
73, Jojet de 9W2DYA
No comments:
Post a Comment