Meneroka haiwan


 Cuti Deepavali yang agak panjang digunakan membawa harmonic meneroka dunia haiwan. Harmonic sangat suka dengan haiwan. Jadi, cuti ini digunakan untuk membawanya berjalan ke tempat menarik yang menyediakan kemudahan mendekati haiwan-haiwan.


Destinasi pertama yang diterokai adalah Taman Rama-rama Kuala Lumpur. Sebelum ini telah pergi ke Taman Burung bersbelahan sahaja di Taman Tasik Perdana. Taman Etnobotani Kuala Lumpur seiring dengan penggunaan nama pada masa kini.


Pada mula cuba mencari parkir di taman ini, namun gagal kerana kemudahannya amat terhad. Kemudian terus memandu terus ke Parkir bertingkat berhadapan Ibupejabat Polis Bukit Aman. Terus keluar dan melintas Taman Etnobotani berjalan terus ke Taman Rama-rama. Suasana kehijauan dengan bunyi riang-riang atau cicada mengiringi perjalanan kami.


Tibanya di Taman ini terus menuju ke kaunter pembayaran tiket. Bayaran untuk dewasa RM13 dan kanak-kanak pula sebanyak RM6 untuk warganegara. Masuk sahaja ke dalam, suasana hijau menghiasi keseluruan taman. Rama-rama terbang ke sana-sini mengindahkan lagi pemandangan. Ada yang jinak boleh cuba memegangnya. Ada terbang bebas bersama pasangan, mahupun berkumpulan.


Rama-rama yang hinggap di daunan boleh melihatnya secara lebih dekat lagi. Ada yang begitu pantas terbang hingga tidak boleh disentuh terus terbang menghilangkan diri.


Spesies Rajah Brooke yang banyak kelihatan hinggap di jaring-jaring kurungan dengan banyak. Oleh kerana, kini musim tengkujuh telah membataskan pergerakan.


Susunan bunga raya yang telah disembur dengan air bercampur madu menjadi tempat makanan bagi haiwan ini. Selain bunga, pisang dan hirisan nenas juga disediakan.


Puas meneroka di luar taman, kami masuk pula dibahagian dalam ruang pameran pula. Pelbagai spesies serangga turut di pamerkan. Seterusnya ruang jualan cenderamata untuk dibawa pulang. Taman ini antara destinasi utama para pelancong yang berkunjung di Kuala Lumpur.


Kemudian, kami ke Taman Tugu. Taman Peringatan Tugu Negara pada masa kini dalam proses menaik taraf. Maka ia telah berpagar dan tidak boleh dimasuki pelancong. Hanya bahagian belakang sahaja boleh dilihat. Kunjungan ke Tugu Negara sebagai tempat bersejarah yang harus dikunjungi bagi memperingatkan jasa-jasa pahlawan negara mempertahankan negara daripada ancaman musuh.


Tugu Negara yang telah dibangun sejak 57 tahun yang lalu seharusnya di naik taraf bagi meningkatkan lagi kemudahan dan keindahannya. Sebelah pintu utama terdapat kemudahan gerai dan tandas. Kami mengambil kesempatan untuk menghilangkan dahaga dan mengalas perut. Cuti Deepavali telah memberi peluang bercuti di tempat sejarah ini. Ramai pengunjung tiba walaupun matahari tegak di atas kepala. Semangat patriotik dapat dilihat dan disemai oleh ibubapa kepada anak-anak.


Setelah perut diisi perjalanan diteruskan ke Taman Tugu. Kawasan hutan yang dibangunkan untuk pemeliharaan dan mengekalkan kawasan hijau di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Stesen 9W2DYA-5 menunjukkan altitud ketinggian 84m dari aras laut. Kawasan parkir merupakan kawasan dataran puncak bukit ini. 


Kayu landasan keretapi menjadi laluan pejalan kaki di taman ini. Terdapat dua buah tayar keretapi turut menghiasi sebagai tempat duduk berehat. Sangat kreatif mengekalkan peninggalan sejarah untuk tatapan generasi kini.


Kemudahan buaian turut disediakan. Oleh kerana kerusi buaian ini besar. Penulis turut mengimbau zaman kanak-kanak turut bermain bersama harmonic. Pintu gerbang kuning di belakang itu merupakan  rintis hutan yang kami lalui.


Taman Tugu destinasi rekreasi dan pendidikan alam sesuai untuk anak-anak meneroka keindahan alam. Pelbagai kemudahan disediakan seperti surau, tandas, kerusi dan meja tempat rehat dan pelbagai aktiviti. Parkir yang luas memudahkan ia diakses. Pelbagai rintis disediakan mengikut pilihan pengunjung.


Laluan rintis berwarna biru dengan jarak satu kilometer panjangnya. Treknya sangat luas dan berjaga. Laluan curam dan bertangga memudahkan pergerakan namun tetap berhati-hati. Suasana agak gelap ketika menuruni lembah. Aliran air mengalir lesu ada ketika deruannya dapat didengari. Ada beberapa titi dilalui merentangi anak sungai.


Penghujung laluan ketika menghampiri Taman Tugu, hujan mula turun. Namun, kanopi pokok menutupi titisan hujan hanyalah tempias sahaja. Keluar sahaja dari trek hutan itu, hujan semakin lebat menyambut kedatangan kami. Maka, ramai pengunjung lain turut berteduh menanti hujan berhenti di bawah dewan-dewan berbumbung yang disediakan.


Keesokannya kami meneroka di Semenyih pula. Ostrich Wonderland menjadi destinasi pertama. Bayaran tiket dewasa RM20 dan kanak-kanak RM15 sahaja. Tarikan utamanya pastilah burung Ostrich. Tapi sayangnya burung banyak yang botak bulunya. Harmonic seperti biasa memberikan makan pada haiwan-haiwan yang terdapat di situ.


Kelihatan jelas bulu ostrich telah togel. Meminta diberi dedak untuk dimakan. Letakkan dedak di dalam mangkuk yang dibekalkan. Ada kala mangkuk itu sekali digigitnya bagi menghabiskan makanan tersebut. Nasib baiklah mangkuk itu dijatuhkan ke tanah semula. Kalau jatuh ke tengah kurungan, pasti pening kepala cara nak mengambil.


Sekawan ostrich berteduh dibangsal tempat ia diberi makan. Matahari tegak atas kepala yang agak terik menyebabkan sekawan ini berlindung di bawah bumbung. Ada juga yang berlindung di bawah pokok berdekatan kandang.


Puas memberi makan haiwan harmonic pergi ke kawasan anak unggas yang baru menetas. Anak-anak ayam pelbagai spesies yang baru menetas dikumpulkan ke dalam kepuk. Ada yang jinak dan sebaliknya. Ada mudah ditangkap dan ada yang lari apabila cubaan untuk mengutip.


Terdapat seekor anak itik yang sesat di dalam kepuk ayam. Pasti mudah untuk mengenali itik tersebut. Ini memandangkan tubuh lebih besar berbanding ayam. Itik tunggal ini agak jinak. Harmonic sangat suka memegang anak itik. Sebenarnya, terdapat sangkar anak itik di bahagian lain. Ia dikurung untuk dijual kepada pengusaha ladang.


Puas berada di Ostrich Wonderland Semenyih, perjalanan diteruskan ke hadapan lagi. Melalui jalan bertar hingga bertemu Asia Camp. Laluan mendaki selepas itu, sebelum bertemu kolam yang melimpah air hingga ke jalan. Destinasi seterusnya adalah Saville Wonderland. Beralamat Lot 3476, kampung Pasir 43500 Semenyih.



Yuran masuk dewasa dan kanak-kanak adalah empat ringgit. Tiket Petting Zoo bagi dewasa adalah RM16 dan kanak-kanak RM14. Makanan Petting Zoo pula adalah lima ringgit satu bekas.


Tempat menunggang kuda turut disediakan. Sayangnya ketika kami tiba merupakan waktu rehat. Jam 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang merupakan waktu rehat. Selepas pukul 3.00 petang bolehlah melakukan aktiviti menunggang kuda.


Cubaan harmonic untuk mengusap seekor kuda yang bernama Sylvester. Semua kuda di sini sangat jinak menurut pekerja di sini. Cuma yang kecil agak nakal. Namun, harmonic berjaya mengusap dua ekor kuda yang berwarna putih. Terapi menyentuh kuda ini menggambarkan kasih sayang sesama pelbagai makhluk. Ia juga melatih menjadi berani berhadapan dengan haiwan.


Al-Lahif kuda putih yang agak kecil turut jinak apabila diusap. Diam dan baik sekali bertemu dengan pengunjung. Ini menunjukkan semua kuda di sini telah biasa bertemu dengan orang.


Stesen 9W2DYA-5 sempat diaktifkan bagi mengetahui kedudukan tempat ini. Agak jauh juga masuk ke dalam, namun mudah diakses kerana keadaan jalan masih baik di Kampung Pasir ini.



Suasana Petting Zoo yang menyajikan pelbagai haiwan seperti ayam, itik, angsa. rakun, ostrich, rusa dan arnab. Kelihatan beberapa ekor ayam merayau mencari makan.


Kandang rakun yang pertama sekali dilihat apabila memasuki lawasa Petting Zoo. Sangat besar dan gemuk. Hanya tidur sahaja di siang hari.


Kolam besar untuk kaki pancing mencuba nasib. Perkhidmatan menyediakan joran mesin, buloh dan pepas untuk aktiviti memancing di kolam besar dan kecil.

Kesimpulannya, membawa anak meneroka haiwan serta alam semulajadi sangat baik untuk perkembangan minda dan interaksi. Pengalaman ini pasti kekal dalam memori agar menjadi anak yang bijak lagi cerdik dalam mendepani cabaran masa hadapan.

73, Jojet de 9w2dya

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...