Berdua Tergantung


 Belon KLIA pagi radiosonde D20065748 berjaya ditemui di ladang kelapa sawit berhampiran Bandar Seri Ehsan. Altitud ketinggian terakhir 52m serta ketinggian maksimum 26,100m. Mengharapkan belon pecah awal agar ia jatuh ke darat. Semenjak pertukaran angin monsun barat daya ia sering menghala ke Selat Melaka.



Jarak 4.5m merupakan jarak peranti ke titik akhir. Terlalu tepat dengan titik akhir altitud ketinggian 52m. Ketika tiba di kawasan pendaratan belon dan peranti tergantung dari pelepah kelapa sawit.


Cuaca pula semakin panas menghampiri tegak atas kepala. Isyarat masih aktif. Masih dapat diterima isyarat dari tepi jalan besar lagi. Kereta diletakkan di laluan sebelum laluan yang sebenar selang sebaris jalan masuk. Ini disebabkan laluan masuk pertama ini lebih sesuai untuk kereta diletakkan. Menyusur laluan pertama hingga bergerak ke laluan hadapan telah kelihatan dua benda tergantung pada pokok kelapa sawit.


Belon tergantung agak rendah berbanding peranti. Gulungan benang pada kayu belon hijau masih banyak tidak terlurut sepenuhnya. Apabila percubaan menarik belon agar peranti turun tidak berjaya. Alternatif lain perlu dicari agar misi membawa pulang berjaya. Ini berpunca dari benang tersangkut pada dua pelepah yang berbeza.


Kebiasaannya jikalau tersangkut pada satu pelepah sahaja, kerja mudah untuk menurunkan peranti tersebut. Sebaliknya sangkut lebih satu pelepah atau dahan menyebabkan ia tersangkut dan sukar bergerak.


Keadaan belon yang tergantung lebih rendah dan boleh dicapai. Percubaan menarik-narik agar peranti turun tidak menghasilkan sesuatu perubahan. Malahan peranti tidak bergerak langsung. Bermakna peranti tersangkut dan tidak boleh diturunkan.


Sudut pandangan kedudukan belon dan peranti. Belon di sebelah bawah kiri manakala peranti sebelah atas kanan. Kelihatan peranti berada tergantung di atas sangat tinggi. Namun, sebenarnya boleh dikait menggunakan bahan bantu yang banyak di sekeliling.


Peranti dalam genggaman setelah dikait menggunakan kayu yang ada di sekeliling. Berdasarkan nombor siri peranti yang diperolehi pagi ini adalah yang lama. Ini kemungkinan pihak Jabatan ini menghabiskan stok yang ada. Berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai. Kemungkinan model baru akan digunakan bagi mencerap data meteorologi. Tunggu dan lihat perubahan tersebut.


Hasil tangkapan pagi ini, agak mencabar juga bagi mendapatkannya. Nasib, sudah berpengalaman banyak kali menghadapi situasi begini.


Isyarat radiosonde berjaya dikesan bermula dari jalan besar lagi. Sudah beberapa kali juga belon telah jatuh di kawasan persekitaran ladang kelapa sawit menghala ke Bandar Seri Ehsan.


Keadaan ladang kelapa sawit di kawasan pendaratan belon Klia. Pokok kelapa sawit yang sudah matang. Kelihatan bahagian hadapan pokoknya telah mati.


Kelapa sawit muda telah ditanam semula menggantikan pokok yang mati. Laluan terus ini ke keluar ke jalan besar. Sememangnya melalui kawasan ini sangat panas tiada tempat berteduh.


Rupanya tanah ladang tersebut merupakan tanah rezab orang Asli Akta 134 Seksyen 7.


Jarak 241m merupakan jarak titik akhir dari jalan besar. Nasib tiada parit berdekatan jalan besar ini. Jika tidak jenuh nak cari jalan masuk atau titi.

Hasil cerapan jam Garmin untuk misi Sar pagi ini seperti dalam gambar di atas. Sayangnya terlewat untuk mengaktifkan jam ini dari kereta diletakkan berhampiran jalan besar. Jadi kurang beberapa meter dari jarak aktiviti sebenar.

73, Jojet de 9w2dya

Mencari Yang Dekat


 Pagi semalam telah melancarkan dua misi SAR belon KLIA di sekitar KLIA sahaja. Belon pagi semalam telah jatuh di Port Dickson dan berjaya ditemui oleh Zahrin 9W2MDZ. Jadi, aku memilih pencarian yang dekat di KLIA sahaja. Ada dua belon belum dicari lagi.


Radiosonde D22028742 telah jatuh pada 25 Mei 2023 jam 9:35 pagi Altitud ketinggian terakhir 75m dan ketinggian maksimum 21,544m. Memandu dari Bangi terus simpang hala ke Met Sepang. Kawasan menjadi tempat letak kereta bagi staff. Menyusur jalan batu kelikir dan tar lama terus ke simpang masuk titik akhir.


Kawasan rawa sebelah belon jatuh. Merujuk peta ia jatuh berhampiran rawa ini di atas kawasan kelapa sawit. Ketika di titik akhir menghala arah jatuh, tiada sebarang tanda dapat dikesan. Memerhati dengan berhati-hati untuk memastikan setiap kawasan tidak terlepas mata memandang.

Bukti jarak 0.4m telah tiba dititik akhir. Mencari hingga jarak 70m tiada hasil juga. Tidak pasti sama ada jatuh di kawasan rawa ini atau tidak. Benang terjuntai tidak kelihatan. Setelah berpuas hati berpatah balik ke kereta melalui jalan sawit bertanah merah.


Pemilihan laluan masuk yang tepat memudahkan sampai ke tempat yang ditujui. Memilih untuk berjalan kaki sahaja untuk meningkatkan tahap kecergasan diri dan membakar kalori. Kereta boleh masuk ke titik akhir. Cuaca yang panas membolehkan lopak-lopak telah kering dengan cepat.


Kawasan sebelah kiri merupakan kawasan belon dijangka mendarat. Sayangnya tiada sebarang tanda dapat dikesan untuk dibawa pulang. Laluan sawit sangat elok dan boleh diakses dengan kereta.


Pemandangan kawasan rawa yang dimonopoli sejenis paku-pakis. Kawasan berair ini sangat bahaya untuk diredahi. Nasib baik belon jatuh di kawasan kelapa sawit, namun tidak dijumpai jua.


Laluan tar lama ini kereta diletakkan di simpang jalan. Hujung laluan ini dapat dilihat merupakan Menara Kawalan KLIA 2. Sepanjang misi ini, monitor Airband menggunakan radio model UV-K5 yang viral kini. Audio Lumpur Radar memecah kesunyian sepanjang pencarian buat berteman.


Data hasil cerapan jam Garmin dengan jarak berjalan sejauh 1.89km. Masa pencarian selama 49:23 minit dengan pembakaran kalori sebanyak 272 kalori.


Misi kedua dibahagian utara KLIA 2. Radiosonde D22028570 telah jatuh pada 8 Mei 2023 jam 21:23 malam. Altitud ketinggian terakhir 81m dan ketinggian maksimum 27,599m. Masuk melalui laluan dari kawasan lapang sebelum stesen minyak Petronas. Melintas parit menggunakan paip air.


Perlu mengikut laluan dari sini, memikirkan kereta letak di kawasan yang selamat. Walaupun agak jauh, perjalanan diteruskan bagi aktiviti membakar lemak. Kali ini, perjalanan lebih jauh berbanding SAR yang pertama tadi. Cuaca tengah hari agak panas. Berpandukan kompas digital dan aprs memilih laluan dengan berhati-hati.


Jejak stesen 9W2DYA-5 beraksi secara real-time. Rakan-rakan boleh monitor perjalanan misi di internet. Ini bagi memeriahkan lagi aktiviti aprs di Malaysia. Penggunaan aprs ini sangat baik dalam membuat keputusan memilih laluan yang betul ke titik akhir. Selisih dengan pemancing yang mencari lubuk ikan untuk dibawa pulang ikan-ikan menggunakan motosikal.


Simpang terakhir berada di hadapan beberapa meter lagi. Kelihatan kawasan ini berjaga berdasarkan rumput-rumpai telah diracun. Ini memberi rasa kegusaran kerana belon ini telah jatuh tiga minggu yang lalu. Kebarangkalian tidak dijumpai sangat tinggi.


Titik akhir ditanda sebelah kanan laluan sawit ini. Mencari kawasan pokok itu tidak dijumpai. Laluan angin jatuh melintasi laluan ini. Mencari di sekitar kawasan ini dahulu sebelum masuk ke ke kawasan hadapannya. Ternyata benang terjuntai telah dapat dikesan 30m dari titik akhir.


Hanya belon sahaja dijumpai berdekatan semak pakis. Cuba menarik benang untuk mendapatkan peranti tetapi sudah tiada. Betullah telahanku bahawa peranti telah diambil pekerja sawit. 


Jarak 39.9m merupakan jarak belon yang dijumpai dari titik akhir. Rasanya peranti jatuh ke tanah. Semasa kerja-kerja mengemas kelapa sawit ia turut dikutip dan dibuang. Mencari juga dipersekitaran kawasan tetapi tidak jumpa juga.


Hasil misi SAR pada kali ini hanya mambawa pulang belon ini sahaja. Ini adalah bukti sememangnya belon jatuh di kawasan tersebut.  Model UV-K5 sebagi peneman sepanjang pencarian bagi monitor Airband. Penerimaan audio lebih jelas berbanding semasa di base.


Hasil cerapan jam Garmin bagi misi kedua ini dengan jarak 3.78km. Masa yang diambil sepanjang misi adalah 1 jam 07:23 minit. Pembakaran kalori sepanjang perjalanan adalah 408 kalori. Jumlah keseluruhan jarak perjalanan pencarian adalah 5.67km.


Pemilihan jalan pulang berdasarkan peta aprs dengan lebih dekat. Lebih dekat lebih pantas menuju ke garisan penamat.

73, Jojet de 9w2dya

Mini Karnival Radio Amatur 2023


 

Kembali ke Banting


 Belon KLIA pagi tadi jatuh di Kampung Batu Untung. Radiosonde D22028695 berjaya dijumpai bersama Arul 9W2OCX. Kali kedua telah sampai di kawasan ini. Tahun lepas jatuh di belakang rumah teres rumah pekerja. Ketika itu waktu malam bersama Hanif 9W2VHF berjaya menjumpai peranti jatuh di bahagian belakang rumah teres tersebut.


Stesen tadahan hujan milik Jabatan Pengairan dan saliran di kampung ini. Berhenti di kedai kopi berhampiran stesen hujan ini. Ada empat orang uncle sedang lepak di sini. Arul 9W2OCX keluar dari jelopi terus maklumkan tujuan kehadiran. Sambil menunjukkan contoh peranti kepada mereka. Aku pula menyemak audio dari corong radio. Ternyata isyarat belon pagi tersebut masih lagi aktif. Ini mengukuhkan bukti belon telah jatuh di kawasan ladang kelapa sawit tersebut. Uncle-uncle tersebut bersetuju kehadiran kami dan membenarkan tugasan yang ingin kami lakukan.


Selepas bersiap sedia dengan bantuan kompas digital gps waypoint finder terus mengikut laluan sawit. Sampai di titik akhir tidak kelihatan apa yang kami cari. Altitud ketinggian terakhir adalah 84m. Jadi, kami mencari sekeliling kawasan. Seterusnya ke hadapan berhampiran longgokan tanah parit yang baru dicuci. Terpandang benang tergantung dari pokok kelapa. Alamak! kena lintas parit. Nasib baik ada titi untuk menyeberangnya.


Parit yang baru dicuci sangat lebar. Pasti sukar untuk melepasinya jikalau tiada titi kayu tersebut.


Melepasi sahaja titi kayu itu, peranti berada di atas rumput tergolek. Manakala, belon tersangkut pada pelepah pokok kelapa nan sebatang.


Parit dari arah kami datang. Ketika ini angin monsun barat daya telahpun bermula. Jangkaan cuaca akan mengalami musim panas. Permulaan monsun didapati  sebelah kawasan tengah masih mengalami hujan dan ribut petir terutamanya sebelah petang. Arah angin belon kini kebanyakannya terus menghala ke Selat Melaka. Maka seperti tahun lepas, ia lebih banyak jatuh ke dalam laut.


Semalam dan pagi ini secara tidak semena-mena jatuh ke darat. Ia satu bonus yang tidak boleh dilepaskan. Jangkaan belon terus ke laut sehingga bulan september nanti. Ini berlaku sehingga permulaan pertukaran monsun timur laut pula.


Oleh kerana, pagi ini belon jatuh  berhampiran Banting. Maka banyak lagi belon yang jatuh akan dicari pada pagi ini. Sebelum ini pencarian tertumpu di sekitar Sepang, Nilai, Sendayan dan Labu.


Jarak dari titik akhir ke peranti yang ditemui adalah 22.6m bagi altitud terakhir 84m.


Arul 9W2OCX bertungkus-lumus memastikan belon yang tersangkut dapat di bawa pulang.


Boleh dilihat belon bersama kayu belon hijau tergantung elok. Melurutkan benang agar belon tersebut boleh turun dengan selamat.


Peranti diapit dengan dua radio hand-held. Orang biasa panggil walkie-talkie. Ketika hendak mencari terus buka antena. Setelah menghampiri pasti bunyi isyarat kedengaran semakin kuat. Penggunaan radio sangat penting ketika misi. Komunikasi dua hala mudah berlaku tanpa mengharapkan telefon yang kadang-kala tiada liputan.


Radio yang antena kontot itu dimiliki oleh Arul 9W2OCX. Apa yang istimewanya radio ini mempunyai jalur udara. Kita boleh monitor perhubungan komunikasi antara Juruterbang dan Pusat Menara Kawalan Trafik Udara.


Umpama bermain layang-layang oleh Arul 9W2OCX menurunkan belon. Nasib baik setiap kali SAR membawa pisau lipat sekali. Mudahlah memotong benang bagi mendapatkan belon atau peranti.


Stesen 9W2DYA-5 beraksi secara real-time. Semua orang boleh memantau pergerakan kami secara langsung melalui APRS. Mana-mana stesen yang ingin turut serta sangat dialu-alukan. Jangan segan dan malu. Kita boleh belajar bersama-sama mencari dan mengejar belon kaji cuaca.


Lengkap sudah misi belon pagi ini. Benang telah digulung kemas oleh Arul 9W2OCX. Set lengkap ini bukti misi berjaya disempurnakan berkat kerjasama berkumpulan.



Misi kedua masih berhampiran Kampung Batu Untung. Bertanyakan uncle jalan ke Banting. Merekapun menunjukkan jalan hala ke sana. Menggunkan google map terus masukkan koordinat radiosonde D22028741 yang jatuh pada 9 Mei 2023 yang lalu.


Meletakkan kereta berhampiran laluan masuk jalan sawit. Jalan tidak sesuai untuk dimasuki kereta. Berlopak dan berlumpur tanah merah. Jarak ke titik akhir dari simpang ini kira-kira 800m hasil cerapan GPS waypoint finder. Jumpa dalam lubang kawasan kelapa sawit muda. Jarak titik akhir ke peranti yang dijumpai adalah sangat rendah iaitu 3.9m.


Peranti ditemui dalam lubang yang agak besar menjadi tempat longgokan pelepah sawit. Tak perlu turun ke bawah untuk mengambilnya. Tarik sahaja benang hingga mencapai ditangan.


Belon jatuh di hadapan lubang. Aksi Arul 9W2OCX memegang belon yang agak besar serpihannya. Warna bertukar kemerahan setelah jatuh hampir dua minggu.

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...