Nikmat berendam kaki


 Semalam  telah melancarkan dua misi SAR belon Klia bersama Arul 9W2OCX dan Zahrin 9W2MDZ. Belon pagi dan malam sebelumnya berjaya ditemui dengan kerjasama yang padu setiap anggota kumpulan. Selepas selesaikan tugasan masing-masing di awal pagi, barulah kami turun bertemu di Kota Seriemas.


Belon pagi radiosonde D22028477 jatuh di ladang kelapa sawit sebelah Techpark 2, Bandar Enstek Nilai. Ia jatuh jam 9:05 pagi bertarikh 7 Mei 2023. Altitud ketinggian terakhir 91m dan ketinggian maksimum 27,552m.


Kami masuk melalui laluan rentis TNB sebelum menjumpai laluan ke ladang. Sebelum itu, berjalan ke hadapan untuk mencari laluan yang sesuai  tetapi tidak jumpa. Berpatah balik hingga Zahrin 9W2MDZ menjumpainya. Kebiasaan setiap ladang dikelilingi parit. Laluan kami pagi itu paritnya kering. Ini memudahkan untuk menyeberang masuk ke ladang. Kami membuat tanda supaya mudah untuk pengecaman ketika laluan berpatah balik nanti.


Kami terus ke hadapan sambil mendaki sedikit sebelum bertemu jalan tanah merah. Ketika ini, isyarat telah dapat didengari dari rentis TNB lagi. Arul 9W2OCX mencabut antena radio. Kami mengetahui jika semakin menghampiri peranti apabila bunyi kembali didengari. Laluan tanah merah dilalui dengan berhati-hati ketika menuruni bukit. Maklumlah setiap petang cuaca hujan kadang-kala ribut petir.


Selepas menemui simpang, isyarat kembali kedengaran. Jarak kurang dari 70m sahaja lagi. Kami belok ke kanan masuk ke baris kelapa sawit. Kawasannya sangat bersih dan kemas. Ini memudahkan pencarian kami pada kali ini. Zahrin 9W2MDZ mendahului dalam beberapa langkah sebelum menemui peranti tersebut.

Peranti dan belon ditemui tergolek atas laluan antara baris pokok. Belon berada di sebelah kiri manakala peranti di sebelah kanan bersebelahan dengan tandan sawit yang jatuh. Jarak peranti dari titik akhir 1.2 meter.


Tergolek elok peranti ketika ditemui dengan lampu Led menyala. Lampu menyala menunjukkan isyarat masih lagi aktif.


Keadaan kayu pine dan belon hijau serta belon utama di atas lantai tanah. Benang antara peranti dan belon tersangkut pada pelepah. Terpaksa memotong terlebih dahulu sebelum ia digulung pada kayu oleh Zahrin 9W2MDZ. Pentingnya bawa pisau lipat bersama untuk memutuskan benang. Kadangkala tidak perlu diputuskan, apabila benang mudah ditarik turun ke bawah dari sangkut pada pelepah.


Pemandangan hadapan belon ke arah peranti. Kelihatan dua anggota SAR sibuk membuat kerja-kerja perekodan. Arul 9W2OCX berjaya menghantar laporan penemuan ke laman sesawang Sondehub.

Credits 9W2OCX
Misi belon pagi berjaya! Anggota bergambar di tapak pendaratan.


Papan tanda yang sudah lusuh. Tidak dapat membaca mesej yang hendak disampaikan. Belakang papan tanda inilah belon pagi telah ditemui. Kedudukannya di persimpangan jalan tanah merah.


Pergerakan pulang melalui laluan yang sama. Van menyambut kedatangan kami di laluan masuk rentis Tnb. Keluar sahaja rentis ini, kami telah berada di Negeri Sembilan. Belon jatuh disebelah Negeri Selangor. Sempadan kedua negeri adalah rentis Tnb ini.


Seterusnya kami bertolak ke Taman Desa Indah, Sepang. Belon malam itu telah jatuh di Ladang Bukit Pelandok. Hasil kajian peta dibuat, jarak terhampir ke belon KLIA malam adalah dari sini. Radiosonde D22028622 jatuh jam 21:50 malam bertarikh 6 Mei 2023. Altitud ketinggian terakhir 82m dan ketinggian maksimum 27,979m.


Arul 9W2OCX berdiri atas batu penanda. Ada tertera Jabatan Ukur dan Pemetaan. Tidak pasti batu sempadan negeri atau batu aras. Jikalau rujuk peta sempadannya di parit air belakang itu. Zahrin 9W2MDZ sedang meninjau laluan di hujung sana.


Kebiasaannya jumpa batu yang besar seperti ini sebagai batu sempadan. Tiada pula tertera hurf negeri di tepi batu ini. Kalau batu BM rendah lagi saiznya. Van pun diletakkan disebelah batu sempadan ini. Merujuk peta google. Inilah laluan yang bawa ke titik akhir. Malangnya, ia perlulah melintas parit seperti kebiasaannya di ladang kelapa sawit.


Pemandangan batu sempadan dari atas. Plat besi teretera Jabatan  Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Plat tertera GPS N10. Ada siri nombor 2/900. Kedudukan hadapan Negeri Selangor manakala di belakang Negeri Sembilan. Mungkin sememangnya batu ini berada di Negeri Sembilan sahaja.


Jarak titik akhir dari batu sempadan adalah 1141m merujuk kompas digital. Koordinat batu sempadan 2.703230 darjah Utara dan 101.762039 darjah Timur. Pemburu batu sempadan boleh datang ke sini dengan merujuk koordinat tersebut. Setkan pada google map pada search 2.703230N 101.762039E kemudian tekan. Pasti ia akan tunjuk tempat ini dari mana kita berada. Mudahkan? zaman teknologi kini.

Setelah bersiap, kami melintas parit terus mengikut laluan sawit yang berumput ke titik akhir. Sebelah kiri merupakan anak sungai yang airnya sangat jernih dan deras airnya.


Kemudian kami sampai ke simpang jalan raya berturap yang lama. Terus belok ke kanan mengikut jalan berturap ini.


Ini arah sebelah kiri dari arah Sepang. Kelihatan kawasan sekitar Bukit Pelanduk sebelah dengan Sepang ini berbukit-bukau ladangnya.


Ini pula arah sebelah kanan merupakan laluan yang betul ke titik akhir. Jalan raya lama berturap ini akan sampai ke arah Tanah Merah berdasarkan rujukan peta. Ia bertemu jalan yang kami jumpa belon pada 30 April yang lalu melalui Kampung 107 Ekar.


Ketika melalui jalan ini cuaca agak panas sangat menguji kekuatan fizikal dan mental kami. Perjalanan diteruskan di bawah terik mentari.

Perjalanan agak mendaki namun dipayungi pokok yang ditanam secara teratur di kiri dan kanan jalan. Kemudian menemui simpang empat. Kami bergerak arah ke kanan melalui jalan tanah merah semula. Kawasan persekitaran ladang ini di kawasan puncak bukit. Sebelah kiri pokok kelapa sawit di tanam disepanjang kontur bukit berteres-teres. Sebelah kanan pula di puncak permatang bukit. Altitud ketinggian hasil cerapan jam Garmin sekitar 80m dari aras laut.


Meneruskan perjalanan melalui hadapan sebuah kuil kecil sebelum bertemu simpang. Titik akhir semakin menghampiri sehingga jarum kompas digital arah 270 darjah barulah masuk ke lorong-lorong kelapa sawit yang agak bersemak.

Jarak 9.4m merupakan jarak peranti yang dijumpai dari titik akhir. Altitud ketinggian terakhirnya 82m.


Peranti radiosonde D22028622 masih menyala setelah dihidupkan semula. Namun kekuatannya semakin berkurangan.

Credits 9W2OCX
Peranti tergantung elok ketika kami jumpa. Belon tersangkut pada pelepah ketika percubaan menurunkannya.


Laluan jejak stesen 9W2DYA-5 dari batu sempadan hingga ke peranti dijumpai. Pemilihan laluan yang tepat dapat memendekkan masa serta menjimatkan tenaga. Oleh kerana kawasan ini berbukit-bukau mengikut laluan yang ada merupakan pilihan yang tepat. Kecerunan yang tinggi amat sukar untuk diredahi walaupun dalam peta kelihatan berada berdekatan sahaja.


Radiosonde D22028622 ditandakan dalam aprs dengan ketinggian 52m dari aras laut. Apabila melihat pada jam Garmin mencatatkan altitud ketinggian 51m. Maka, tepatlah ukuran ketinggian walupun selisih 1 meter sahaja.


Laluan masuk belon ketika mengambil semasa hendak pulang. Bersemak kawasan ladang ini. Permukaannya rata memudahkan kami sampai ke titik akhir dengan mudah. Berkat kesabaran mencari lokasi yang sesuai. Akhirnya jalan tanah merah ini menghampiri titik akhir. Tidak perlu meredah semak mengikut bearing.


Perjalanan pulang mengikut laluan yang sama penuh ketabahan. Cuaca panas sepanjang pencarian. Ladang berbukit-bukau ini antara punca air sungai di bawah tadi sangat deras dan jernih. Jarang sekali jumpa aliran air yang laju di kawasan ladang. Parit yang bergenang sahaja kawasan tanah gambut.


Aksi Arul 9W2OCX bertongkat ketika melalui jalan lama. Terus kehadapan kelua ke Jalan Sepang. Tercari juga batu tanda jarak tetapi tidak jumpa. Mungkin ini jalan asal dari Sepang ke Tanah Merah, Port Dickson.


Kembali masuk ke kawasan redup ladang kelapa sawit. Perjalanan pulang semula ke batu sempadan. Jalan lecah memandang setiap petang hujan telah turun.


Bertemu kembali anak sungai yang amat jernih ini. Memanggil-manggil untuk terjun ke dalam. Pasti seronok dapat berendam ke dalam.


Pemandangan indah anak sungai dalam kawasan ladang kelapa sawit jarang diketemui. Dasarnya berpasir dan berbatu halus sangat sesuai untuk diterjahi. Ada terserempak juga dengan biawak di kawasan ini.
Ikan sekali pandang memang tidak kelihatan dalam air.


Menghampiri van tamatlah pencarian buat kali ini. Oleh kerana cucan yang cerah beginin. Memaksa kami semua berehat seketika di anak sungai ini.


Kedudukan van disebelah batu sempadan. Penghujung jalan yang lapang ini terlataknya batu itu. Ada pagar untuk masuk ke sini. Kami meminta izin terlebih dahulu di kawasan kuil di hadapan jalan ini.


Arul 9W2OCX telah berendam kaki terlebih dahulu. Air yang sejuk serta jernih ini memberi kelegaan pada otot-otot kaki. Sambil itu, kasut-kasut yang berlumpur dapat dibersihi.


Pemandangan kawasan belah hulu. Berjalan atas batu-batu kecil dalam air sangat menyeronokkan. Umpama melakukan urutan refleksologi pada batu dan pasir-pasir halus.


Langit membiru melatari pemandang van dan anak sungai ini. Kelihatan Zahrin 9W2MDZ membuka pintu belakang van untuk menyimpan sesuatu.

Credits 9W2OCX
Melepaskan lelah berendam kaki memberi kenikmatan. Hanya yang sukakan adventure memberi keseronokkan tersendiri.Sekadar membasuh kakipun dapat menyegarkan dan memulihkan kepenatan badan.


Sesungguhnya setiap kali misi pencarian memberi seribu satu pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Hanya mereka yang menempuhnya sahaja dapat menilai tanpa kata-kata. Hanya gambar sebagai memori untuk tatapan generasi masa hadapan.

Credits 9W2MDZ

Hasilan tangkapan pada kali ini. Hasil kerjasama  berpasukan telah membawa kejayaan. Kemudian kami terus pulang ke Kota Seriemas semula untuk bersantap sebelum pulang ke sarang masing-masing.

73, Jojet de 9w2dya


No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...