Belon KLIA pagi tadi jatuh di Kampung Batu Untung. Radiosonde D22028695 berjaya dijumpai bersama Arul 9W2OCX. Kali kedua telah sampai di kawasan ini. Tahun lepas jatuh di belakang rumah teres rumah pekerja. Ketika itu waktu malam bersama Hanif 9W2VHF berjaya menjumpai peranti jatuh di bahagian belakang rumah teres tersebut.
Stesen tadahan hujan milik Jabatan Pengairan dan saliran di kampung ini. Berhenti di kedai kopi berhampiran stesen hujan ini. Ada empat orang uncle sedang lepak di sini. Arul 9W2OCX keluar dari jelopi terus maklumkan tujuan kehadiran. Sambil menunjukkan contoh peranti kepada mereka. Aku pula menyemak audio dari corong radio. Ternyata isyarat belon pagi tersebut masih lagi aktif. Ini mengukuhkan bukti belon telah jatuh di kawasan ladang kelapa sawit tersebut. Uncle-uncle tersebut bersetuju kehadiran kami dan membenarkan tugasan yang ingin kami lakukan.
Selepas bersiap sedia dengan bantuan kompas digital gps waypoint finder terus mengikut laluan sawit. Sampai di titik akhir tidak kelihatan apa yang kami cari. Altitud ketinggian terakhir adalah 84m. Jadi, kami mencari sekeliling kawasan. Seterusnya ke hadapan berhampiran longgokan tanah parit yang baru dicuci. Terpandang benang tergantung dari pokok kelapa. Alamak! kena lintas parit. Nasib baik ada titi untuk menyeberangnya.
Parit yang baru dicuci sangat lebar. Pasti sukar untuk melepasinya jikalau tiada titi kayu tersebut.
Melepasi sahaja titi kayu itu, peranti berada di atas rumput tergolek. Manakala, belon tersangkut pada pelepah pokok kelapa nan sebatang.
Parit dari arah kami datang. Ketika ini angin monsun barat daya telahpun bermula. Jangkaan cuaca akan mengalami musim panas. Permulaan monsun didapati sebelah kawasan tengah masih mengalami hujan dan ribut petir terutamanya sebelah petang. Arah angin belon kini kebanyakannya terus menghala ke Selat Melaka. Maka seperti tahun lepas, ia lebih banyak jatuh ke dalam laut.
Semalam dan pagi ini secara tidak semena-mena jatuh ke darat. Ia satu bonus yang tidak boleh dilepaskan. Jangkaan belon terus ke laut sehingga bulan september nanti. Ini berlaku sehingga permulaan pertukaran monsun timur laut pula.
Oleh kerana, pagi ini belon jatuh berhampiran Banting. Maka banyak lagi belon yang jatuh akan dicari pada pagi ini. Sebelum ini pencarian tertumpu di sekitar Sepang, Nilai, Sendayan dan Labu.
Boleh dilihat belon bersama kayu belon hijau tergantung elok. Melurutkan benang agar belon tersebut boleh turun dengan selamat.
Peranti diapit dengan dua radio hand-held. Orang biasa panggil walkie-talkie. Ketika hendak mencari terus buka antena. Setelah menghampiri pasti bunyi isyarat kedengaran semakin kuat. Penggunaan radio sangat penting ketika misi. Komunikasi dua hala mudah berlaku tanpa mengharapkan telefon yang kadang-kala tiada liputan.
Radio yang antena kontot itu dimiliki oleh Arul 9W2OCX. Apa yang istimewanya radio ini mempunyai jalur udara. Kita boleh monitor perhubungan komunikasi antara Juruterbang dan Pusat Menara Kawalan Trafik Udara.
Umpama bermain layang-layang oleh Arul 9W2OCX menurunkan belon. Nasib baik setiap kali SAR membawa pisau lipat sekali. Mudahlah memotong benang bagi mendapatkan belon atau peranti.
Stesen 9W2DYA-5 beraksi secara real-time. Semua orang boleh memantau pergerakan kami secara langsung melalui APRS. Mana-mana stesen yang ingin turut serta sangat dialu-alukan. Jangan segan dan malu. Kita boleh belajar bersama-sama mencari dan mengejar belon kaji cuaca.
Lengkap sudah misi belon pagi ini. Benang telah digulung kemas oleh Arul 9W2OCX. Set lengkap ini bukti misi berjaya disempurnakan berkat kerjasama berkumpulan.
Misi kedua masih berhampiran Kampung Batu Untung. Bertanyakan uncle jalan ke Banting. Merekapun menunjukkan jalan hala ke sana. Menggunkan google map terus masukkan koordinat radiosonde D22028741 yang jatuh pada 9 Mei 2023 yang lalu.
Meletakkan kereta berhampiran laluan masuk jalan sawit. Jalan tidak sesuai untuk dimasuki kereta. Berlopak dan berlumpur tanah merah. Jarak ke titik akhir dari simpang ini kira-kira 800m hasil cerapan GPS waypoint finder. Jumpa dalam lubang kawasan kelapa sawit muda. Jarak titik akhir ke peranti yang dijumpai adalah sangat rendah iaitu 3.9m.
Peranti ditemui dalam lubang yang agak besar menjadi tempat longgokan pelepah sawit. Tak perlu turun ke bawah untuk mengambilnya. Tarik sahaja benang hingga mencapai ditangan.
No comments:
Post a Comment