Jatuh dalam kolam banjir Sungai Langat


 Pagi ini singgah di kolam banjir Sungai Langat di Kg Sungai Melut, Dengkil. Perjalanan hendak mengambil belon pagi yang jatuh di Banting. Alang-alang lalu Dengkil lebih baik melihat kolam yang menjadi tempat belon KLIA jatuh 21 Mac 2023 jam 21:27 malam.


Radiosonde D22028772 jatuh altitud terakhir sangat rendah iaitu 64m. Altitud ketinggian maksimum adalah 29,763m. Koordinat 2.83058 darjah Utara dan 101.67287 darjah Timur. Sudah pasti belon yang jatuh dalam kolam pasti telah hanyut ke darat mahupun terus ke laut. Awal pagi semalam hujan lebat. Kelihatan air melimpah hingga ke ladang kelapa sawit berdekatan.

Sempat mendapatkan jarak titik akhir dari tebing kolam. Catatan jaraknya 202m jauhnya. Harapan melihat-lihat di tepi tebing jikalau terdampar hanyalah angan sahaja. Banyak sampah plastik-plastik dan sisa kayu terdampar pada tebing kolam itu.


Tercari-cari benda putih yang banyak terapung. Manalah tahu peranti dan belon berada di situ hanyut ke gigi air.


Ada beberapa orang memancing dalam kolam ini. Orang Asal berdekatan sini tinggalnya. "Ada banyak ikan ke bang ?" tanyaku. "Ada banyak ikan tapi dalam kolamlah," jawab jujurnya. "Memanglah dalam kolam banyak ikan." getus hatiku.


Stesen Radar Meteorologi Bukit Tampoi boleh dilihat dari kolam ini. Nampak bola putih yang besar atas bukit itulah ia. Boleh dilihat sekitar Dengkil atau ketika melewati Elite.

Kemudian berpatah semula keluar ke Dengkil untuk teruskan perjalanan ke Banting. Melepasi Banting masuk simpang pertama ke kanan dan seterusnya terus ke kiri hingga bertemu Jalan Raba Batu1.


Altitud ketinggian terakhir sangat rendah iaitu 35m sahaja. Pergi kutip sahaja kerana ia pasti jumpa tepat di koordinat 2.82243 darjah Utara dan 101.48697 darjah Timur. Malangnya lokasinya dikelilingi parit. Pemandangan biasa bagi ladang dimiliki oleh syarikat persendirian. Kawasannya lebih kemas, bersih dan teratur serta berjaga.


Menggunakan pengalaman yang ada bagi mencari jalan masuk. Nasib baik sebelah ladang ini terdapat satu kawasan pembinaan yang berpagar. Ada longkang konkrit serta parit bertambak. Mengambil keputusan masuk melalui parit bertambak menjadi tempat lembu-lembu menyeberang parit. Tetapi telah berpagar dengan zink, tidak menjadi masalah bagi manusia yang dianugerahkan akal fikiran.


Tanpa berlengah terus melangkah panjang mengikut laluan kenderaan kelapa sawit. Ada beberapa ekor lembu sedang meragut rumput. Terdapat salah seekor menyedari tentang kehadiranku. Merenung tajam tanpa terlepas mata setiap pergerakanku. Jadi, ambil keputusan terus masuk ke barisan pokok kelapa sawit sahaja. Terpaksalah melompat bagi melepasi parit yang agak lebar juga. Jarum kompas digital menjadi pedoman.


Hatta, jarum bertukar biru menandakan telah sampai di titik akhir lokasi belon jatuh. Mata melilau-lilau mencari tetapi tidak ada dihadapan mata. Rupa-rupanya peranti berada di dalam parit. Patutlah tak nampak padahal altitud kali ini sangat rendah, sememangnya berada di situ.  Pernah juga telah tiba dilokasi akhir namun tidak ke temui benda yang di cari. Rupa-rupanya berada di atas kepala tersangkut atas pokok yang tinggi di hujung dahan.


Kelihatan belon jatuh di laluan sawit antara barisan pokok. Terpaksa memutuskan ikatan benang di peranti bagi membolehkan ia digulung pada kayu belon hijau. Belon berbaki tidak hilang sepenuhnya. Jarak 4 meter belon ditemui dari titik akhir untuk altitud 35m.


Peranti radiosonde D22028752 berada dalam genggaman. Wajib tunjuk sebegini membuktikan ia telah berjaya dicari dengan jayanya.
Lampu terpadam isyarat tidak dapat dipancarkan. Sudah maklum akan ini, setelah tiada kedengaran audio di coromg radio.


Belon jatuh pada kesan tayar kenderaan . Pasti digelek apabila kerja-kerja mengemas dilakukan di sini. Nasib baik peranti jatuh dalam parit. Ia akan selamat tanpa diganggu berada di situ.


Mengukuhkan lagi penemuan dengan mencerap menggunakan jam Garmin. Koordinat 2 darjah 49.2367' Utara dan 101 darjah 29.2147' Timur.


Benang telah digulung elok pada kayu belon hijau. Belon kelihatan lebih besar setelah pecah pada ketinggian 29,763m. Biasa dapat belon pecah sepenuhnya.


Selepas kerja-kerja mengemas dan merekod data, tanpa berlengah ingin terus keluar dari kawasan ladang. Terdapat anak beranak lembu masih meragut di laluan utama sawit. Terpaksa masuk semula barisan sawit setelah lembu itu berpatah balik ke tempat lain. Hilang sahaj dari pandangan barulah aku berjalan dengan hati girang keluar semula ke kereta di tepi jalan Raba Batu 1.


Stesen 9W2DYA-5 diaktifkan sepanjang misi sebagi langkah keselamatan. Rakan lain boleh memantau setipa pergerakanku secara real-live. Saranan kepada semua pemegang radio amatur mengaktifkan aprs bagi memudahkan pemantauan lokasi dan pergerakan. Secara tidak langsung memeriahkan aktiviti aprs.


Laluan keluar ladang sawit berbatu kelikir memudahkan pergerakan. Bersih dan kemas ladang ini telah diselenggara dan dijaga dengan baik. Parit menjadi musuh utama bagi menyampai lokasi belon jatuh. Pengalaman mengajar segalanya bagi menyelesaikan setiap masalah. Oleh kerana berpuasa, misi dihadkan sekali sahaja. Jikalau tidak pasti banyak misi pencarian boleh disambung. Banyak lagi peranti yang masih belum dicari lagi keranan kekangan masa.


Laluan masuk dan keluar pada misi kali ini. Kalau tiada bantuan ini manakan boleh parit yang luas itu utnuk dilangkah. Syukur jalan kebuntuan ditemui. Seterusnya terus memandu pulang ke base station di Bangi.

73, Jojet de 9w2dya

Rezeki tidak pernah salah alamat


 Sebelah petang pada hari ini berjaya melancarkan dua misi pencarian belon radiosonde. Pada kali ini, Abg Zahrin 9W2MDZ turut serta memandang base station di Nilai tidaklah ke Salak Tinggi.

Radiosonde D22028577 telah jatuh pada 22 Mac 2023 jam 21:33 malam. Jatuh kawasan hutan belukar di Salak Tinggi. Altitud ketinggian terakhir 120m serta ketinggian maksimum adalah 28,318m. Koordinat 2.80715 darjah Utara dan 101.73616 darjah Timur.


Pada mula meninjau di tepi jalan masuk Salak Tinggi. Setelah dibuat tinjauan tiada jalan masuk yang sesuai untuk meneruskan misi. Kemudian Abg Zahrin 9W2MDZ tiba, barulah kami mencari jalan masuk dari arah lain pula. Memandu berkonvoi ke Salak Tinggi berhampiran kawasan perumahan berdekatan titik akhir.


Tibanya kami di kawasan perumahan terus mencari tempat sesuai untuk meletak jelopi. Kelihatan ada satu kawasan kebun berdekatan hutan belukar tersebut. Tanpa berlengah terus masuk melalui pintu yang dihalang zink. Memantau kawasan persekitaran dan terjumpa laluan yang sesuai ke sungai. Melalui tepi sungai untuk mendapatkan laluan yang selamat.


Mengikut anak panah dari situ berbaki beberapa meter sahaja lagi. Terpaksa melintas longkang yang keluar airnya ke sungai itu. Terpaksa mendaki dan menuruni tebing dengan berhati-hati memandangkan tanah yang licin akibat hujan sejak subuh lagi.


Berjay naik ke tebing berdekatan sungai Abg Zahrin 9W2DMZ menyatakan sudah menghampiri titik akhir. Maka, kamipun melilau mencari-cari petunjuk. Sedang melilau mencari,terpandang dalam sungai belon hijau. Sah! yang dicari telah dijumpai. Terus melihat arah benang. Kamipun turun ke dalam sungai untuk mengesan peranti pula.


Aksi Abg Zahrin 9W2MDZ mengikut jejak arah benang berakhir. Rupanya benang tersangkut atas dahan pokok.Kemudian, beliau menarik-narik benang untuk mengesan peranti. Malangnya menurut beliau tiada peranti tersangkut di situ. Alamak! ke mana peranti menghilang? Agaknya mesti monyet dah bawa lari. Semasa tiba di kawasan ini telah kelihatan monyet melompat di atas pokok.


" Cikgu! Cikgu!," Abg Zahrin memberitahuku sambil menunjukkan beberapa cebisan peranti berada di tepi tebing sungai. Ia berada di bawah benang yang disentap tadi. Apa lagi aku menggulung benang pada kayu sugi belon hijau itu. Sementara itu, Abg Zahrin naik ke tebing terus meninjau cebisan-cebisan di bawah pokok itu.


Cebisan-cebisan dikumpulkan setempat. Memang sahlah kerja monyet yang disangka buah yang boleh dimakan. Ini bukanlah kali pertama kes seperti ini ditemuai. Sudah banyak kali kejadian seperti ini telah berlaku. Bahagian-bahagian utama seperti papan litar serta bateri ada berdekatan di situ. Nombor siri radiosonde turut ada membuktikan kami telah berjaya menemuinya.


Bahagian nombor radiosonde masih berbaki berjaya ditemui dipegang oleh Abg Zahrin 9W2MDZ. Bagaimanakah monyet ini boleh memusnahkan peranti ini?. Kuat betul! boleh mencabutkan segala isi dalam polisterina itu. Mana taknya? sangkanya itu adalah makanannya.


Papan litar yang ditinggalkan setelah tiga hari jatuh di situ. Setelah cuba memasukkan balik batari yang tertanggal pada papan litar. Ternyata ia masih lagi boleh hidup dan menyala lampu LEDnya. 


Kami bernasib baik kerana papan litar dan nombor siri dijumpai di titik akhir ini. Jikalau monyet ini membawa jauh lari ke tempat lain, pastilah ia hilang selama-lamanya.

Jarak 6.3m merupakan jarak peranti ditemui dari titik akhir bagi altitud ketinggian terakhir 120m. Ia jatuh ke kawasan lembah sungai ini ke bawah. Nasib juga tidak tersangkut pada pokok yang lebih tinggi di sekitar hutan belukar ini. Pada awal pemikiran risau sungguh jikalau tersangkut atas pokok besar yang ada. Nasib tersangkut pada pokok kecil sahaja. Manakala belon hanyut ke sungai.


Setelah mengumpul semua saki-baki yang ada, kami mengambil keputusan untuk bergerak keluar. Sebelum itu, sempat menunjukkan cara membuat laporan pada laman sesawang sondehub pada Abg Zahrin 9W2MDZ. Pentingnya membuat laporan setiap pertemuan bagi memudahkan pihak lain untuk mencari.


Seterusnya kami bergerak ke Pekan Salak bagi meletak jelopi Abg Zahrin 9W2MDZ. Kami menaiki kereta sekali bagi misi seterusnya di Bukit Bangkong, Sepang. Setelah disetkan koordianat belon tersebut pada googel map, terus memandu di tempat yang dituju.


Radisonde D22028705 telah jatuh pada 23 Mac 2023 jam 9:39 pagi. Altitud ketinggian terakhir sangat rendah iaitu 73m. Koordinat 2.66455 darjah Utara dan 101.68326 darjah Timur. Google map terus menunjuk arah hingga menghampiri titik terkhir. Nasib kami baik, menggunakan jalan kampung selorong yang bertar. Ini juga rezeki memudahkan menyampai ke tempat yang dituju.


Tiba di lokasi mencari tempat yang selamat untuk meletakkan kereta. Abg Zahrin 9W2MDZ telah bersedia dengan gps waypoint finder. Beliau menunjukkan arah titik akhir. Rezeki menyebelah kami sekali lagi, apabila tempat yang dicari terdapat titi memudahkan menyeberangi parit. Ada seorang budak sedang memancing di parit itu. Memaklumkan tujuan kehadiran kami di kawasan tersebut.


Pada kali ini, aku meminta Abg Zahrin memimpin ke titik akhir. Melepasi titi terus jalan mengikut anak panah. Beberapa langkah selepas itu, Abg Zahrin 9W2MDZ telah terlihat benang tergantung dihadapannya. Peranti berendam dalam air yang tergenang akibat hujan lebat pagi itu. Belon pula elok tergantung di tepi batang pokok kelapa sawit.


Jarak 3.6m merupakan jarak titik akhir dari peranti yang dijumpai bagi altitud 73m. Jarum biru menggambarkan benda yang dicari telah menghampiri untuk dijumpai. Altitud ketinggian terakhir bawah 100m amat memudahkan pencarian. Lagi rendah altitud lagi mudahlah ia ditemui.


Giliran Abg Zahrin 9W2MDZ untuk menghantar laporan kepada laman sesawang sondehub pula. Ini merupakan misi pencariannya yang keempat. Pasti sangat bermakna kerana kali ini peranti yang ditemui dalam keadan yang sempurna. Tiga misi pencarian sebelum ini telah tersedia maklum peranti yang ditemui dalam keadaan musnah akibat monyet dan digelek kenderaan.


Peranti yang keadaan sempurna dalam genggaman. Radiosonde D22028705 berjaya ditemui pada hari ketiga Ramadan. Nasib baik cuaca mendung sahaja pada kali ini Tidaklah terasa haus sangat.


Belon tersangkut dipelepah berdekatan batang pokok kelapa sawit. Belon agak sempurna tergantung elok. Ketinggian maksimum yang dicapai untuk belon ini adalah 29,214m sememang tinggi. Namun, serpihan belon agak besar lagi bakinya. Kalau jumpa waktu malam pastialah mengerikan. Nasib baik berada dalam bulan Ramadan. Tidak perlulah takut!


Detik menggembirakan yang dicari telah ditemui. Benang ditarik dari bawah berjaya diturunkan serta tidak memutuskannya. Kelihatan yang bergenang air dilantai ladang ini. Itu bukanlah penghalang bagi mencapai matlamat ini.


Titi uzur penghubung ke titik akhir daripada jelopi yang diletakkan di tepi jalan. Budak itu sudah beredar setelah kehadiran kami di situ. Pasti kami akan tunjukkan belon yang diterbangkan dari KLIA hingga jatuh ke tempatnya.


Aksi Abg Zahrin 9W2MDZ membawa hasil tangkapan terakhir hari ini. Tahniah! berjaya menemui dua peranti dalam dua misi. Pastilah pengalaman ini akan memberi keyakinan diri bagi melancarkan misi seterusnya di masa hadapan.

Jarak 49.2m merupakan jarak titik akhir ke jelopi. Kurang 50m berjalan telah berjaya menemui peranti. Jarak yang dekat ini juga merupakan rezeki kerana ia memudahkan pencarian. Alhamdulillah!

Berkat bulan Ramadan ditambah cuaca yang mendung memudahkan segala misi pencarian.


Laporan ke sondehub telah berjaya dilakukan oleh Abg Zahrin 9W2MDZ. Belon ini berjaya dicovered! Tahniah sekali kepada Abg Zahrin 9W2MDZ atas kejayaan berjaya menyempurnakan dua misi tanpa gagal.

73, Jojet de 9w2dya

Radiosonde D22028734 jatuh di kuari Labu


 Belon KLIA pagi ini masih lagi aktif. Pagi tadi jam 9:36 telah mendarat. Namun, ia masih lagi aktif hingga saat entri ini ditulis. Altitud ketika itu 169m. Koordinat 2.78903 darjah Utara dan 101.82679 darjah Timur.


Selepas mesyuarat panitia terus ke lokasi belon jatuh. Tiba di sana melihat kuar di depan mata dengan debu-debu berterbangan memenuhi ruang. Oh! sangat bahaya. Masih lagi aktif ketika tiba di sana.


Jam 12:27 tengah hari altitud ketinggian 77m. Koordinat 2.78882 darjah Utara dan 101.82645 darjah Timur. Ternyata peranti berada pada ketinggian 77m dari aras laut. Belon malam tadi dipercayai ia tergantung di atas pokok.


Pintu masuk Kuari Highway terletak di antara dua cabang jalan. Kejauhan dapat dilihat lori mendaki bukit mengangkut batu.


Bateri habis sehingga jam 16:13 petang. Sudah dijangka ia akan mati sehingga jam 4 petang. Koordinat terakhir 2.78883 darjah Utara dan 101.82644 darjahTimur. Opss! hidup lagilah. Tunggu detik terakhir seterusnya.


Stesen 9W2DYA-5 berjaya hingga pintu hadapan Kuari Highway sahaja. Lori mengangkut batu-batu bersimpang-siur di jalan-jalan ini.

Jarak berbaki 1033m untuk mendaki bagi mendapatkannya. Oleh kerana kawasan ini sangat berbahaya dan risiko tinggi. Lebih baik misi pencarian diabaikan sahaja.


Jam 16:25 petang barulah bateri habis sepenuhnya untuk menghantar isyarat. Lebih lama bertahan berbanding belon malam tadi sehingga 4:18 pagi sahaja. Beza tujuh minit sahaja, menujukkan bateri sebelah siang lebih panjang usia berbanding malam.

73, Jojet de 9w2dya

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...