Bermain dengan Rakun


 Selepas puas melihat aktiviti paragliding di Bukit Jugra. Kamipun pulang melalui laluan sama turun ke bawah  jalan berselekoh tajam dan bercerun tinggi. Semasa menurun tersebut terlihat Lotong Cengkung yang diminati Damia. Ada dua ekor Lotong Cengkung di atas pokok tepi jalan turun tersebut. Ada anak-beranak dan seekor lagi bergayut pada dahan lain. Semasa melalui laluan bawah turut terserempak dengan spesies ini sekali lagi. Ada bergayut pada kabel elektirk. Ada di tepi jalan sekitar laluan ini.


Penulis perasan kewujudan spesies ini kerana semasa melakukan aktiviti mendaki bukit ini tidak berapa lama dahulu. Sewaktu turun dari  puncak pernah melihat spesies monyet ini. Singgah makan di Banting serta solat zohor di Olak Lempit. Destinasi seterusnya adalah Farm In The City, terletak di Seri Kembangan. Tujuannya Damia ingin bermain dengan Rakun yang terdapat di sini.


Oleh kerana tempat letak kereta telah penuh. Maka terpaksalah meletak di tepi jalan besar. Bayar masuk warganegara dewasa adalah RM39 dan kanak-kanak RM32 sahaja. Harga biasa dewasa RM58 dan kanak-kanak RM48. Bayaran untuk bekas makanan pula adalah RM10. Makanan Rakun pula adalah RM4 sekotak dibeli melalui mesin layan diri.


Usai membeli tiket terus mendapatkan dua bekas makanan haiwan. Bergerak turun tangga dengan berhati-hati. Kita berjumpa dengan dua ekor kuda padi di hadapan tangga tersebut bertemakan Fallabella. Kemudian masuk ke kawasan Turtle dan Tortoise Farm. Puas memberi makan kura-kura gergasi tersebut. Ada pelbagai saiz dan bentuk di taman ini.


Seterusnya bergerak Reptile Cavern yang ada banyak haiwan reptilia seperti buaya dan ular. Ruang pameran dalam bentuk akuarium memudah melihat haiwan tersebut berada di dalam air. Atas kepala ular sawa melingkar jangan terkejut pula.


Kemudian bergerak ke kurungan Sunny Oasis. Ada spesies monyet putih yang bergerak lincah. Kami telah diberi taklimat sebelum masuk. Tidak boleh memberi makan monyet yang lincah tersebut. Walabi hanya memandang tajam kepada para pengunjung.


Kemudian bergerak ke Bird Aviary yang banyak pelbagai jenis unggas. Bagi memanggil burung kakak tua perlu memberi biji kuaci. Barulah burung-burung ini akan hinggap di tubuh pengunjung. Selepas selesa pastikan hulurkan potongan lobak merah. Sedikit demi sedikit pasti dimakan burung tersebut.


Burung makan perlahan-lahan. Nampaknya burung itu telah selesa bersama Damia. Burung tersebut menggunakan paruh makan sedikit demi sedikit. Sudah kenyang terbang semula ke dahan pokok. Puas memberi makan burung bergerak ke Savannah.


Masih terdapat kura-kura besar di kawasan ini. Kelihatn sukarelawan memberi rawatan pada haiwan Alpaca di dalam kandang. Kambing-kambing akan mengerumuni pengunjung meminta makan. Ada juga kambing suka berebut makanan hingga berdiri. Mengejar pengunjung untuk mendapat makanan tersebut. Oleh itu, perlu berhati-hati memegang bekas makanan.


Selepas Savannah ada tangga turun ke kebun sayur dan buah-buahan. Ada kerbau putih dan perigi di kawasan hujung taman ini. Berpatah balik melalui laluan akan melalui taman Rusa pula. Kembali mendaki anak tangga akan terlihat kolam yang terdapat burung Pelican, angsa, itik dan bermacam lagi.


Kemudian melalui Cafe dan Rumah Kampung. Berdekatan terdapat Pet Village & Longkang Fishing. Aliran air seperti longkang yang terdapat ikan untuk ditangguk. Tikus belanda juga ada terdapat di sini. Hulur sahaja rumput-rumput yang dibekalkan pasti makan dengan lahap.


Puas beri tikus belanda makan masuk ke kurungan Jungle Walk. Ada beberapa ekor Lemur duduk kekenyangan. Menurut penjaga haiwan tersebut baru habis makan sahaja. Patutlah lemur-lemur ini berdiam diri sahaja. Terdapat juga walabi dan itik.


Seterusnya masuk ke Twilight Creatures ada burung hantu. Manakala, dewan pameran terdapat haiwan peliharaan seperti iguana, landak, dan lain-lain lagi. Sesi bergambar dengan Rakun turut diadakan seperti dalam jadual. Ketika itu, jadual jam 3.30 petang. Damia tidak berminat untuk bergambar di situ. Lebih berminat dan memberi makan di tempat Rakun sahaja.


Selepas bermain dan memberi makan Rakun, kami menikmati ais krim terlebih dahulu. Kemudian ke kawasan Happy Farm. Ada seekor burung Unta datang untuk makan. Selepas itu, beberapa ekor kambing juga datang minta makan. Ada juga pondok burung merpati juga disebelah kandang tersebut. Waktu burung merpati diberi makan jam 10 pagi.


Kemudian masuk ke dalam bangunan Ranger Outpost. Tarikan terbaru taman ini. Pusat interaktif menyediakan pelbagai maklumat dan aktiviti di sini. Damai lebih tertarik dengan kucing yang berada di atas meja. Ruang pameran menyediakan pelbagai maklumat tentang haiwan. Baik untuk menambah pengetahuan dan pengalaman.


Bengkel kraftangan turut boleh dilakukan di dalam pusat pendidikan ini. Ini dapat menambahkan kemahiran baru yang menyeronokan melakukan bersama ahli keluarga.


Akhir sekali melalui kedai cenderahati yang sangat panas berkipas sahaja. Kalau sejuk suasana, pasti lebih lama dalam kedai ini. Jadi datanglah ke sini yang mempunyai lebih 150 spesies haiwan yang boleh diterokai dan dipelajari. Tema suasana kampung  pasti menggamit memori bagi yang tinggal di metropolitan ini.

Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Bermain dengan Rakun

  Selepas puas melihat aktiviti paragliding di Bukit Jugra. Kamipun pulang melalui laluan sama turun ke bawah  jalan berselekoh tajam dan be...