ILLW 2025 9M4LBJ


 Setiap tahun minggu ketiga bulan Ogos akan diadakan acara International Lighthouse Lightship Weekend (ILLW) Pada tahun ini jatuh pada 16 dan 17 Ogos 2025. Pada sabtu 16 Ogos tersebut berkesempatan berkunjung ke Rumah Api Bukit Jugra, Banting. Pada kali ini bergerak ke Banting bersama Damia.


Bertolak dari Bangi singgah ke Dengkil bersarapan terlebih dahulu. Usai sarapan terus ke Banting melalui Olak Lempit. Kru 9M4LBJ telah bermalam sejak petang hari jumaat lagi kebiasaannya. Nasib baik jalan dari bawah ke Rumah Api dibuka. Pernah seketika dalam tahun ini laluan ditutup. Sudah pastilah agak jauh juga mendaki jika berjalan kaki sahaja. Rumah Api dikawal selia oleh Jabatan Laut Malaysia.


ILLW bertujuan menyedarkan masyarakat umum tentang peranan penting yang dimainkan Rumah Api dalam membantu navigasi kapal-kapal pelayaran di laut. Turut membantu Pengendali radio amatur mengaktifkan stesen di kawasan Rumah Api tersebut. Untungnya pada tahun ini mendapat kebenaran memasuki kawasan Rumah Api Bukit Jugra ini.


Rasanya penulis pernah ke sini, ketika itu stesen di buka di bawah tempat letak kereta berbumbung di luar kawasan Rumah Api ini. Maka, peluang mendapat masuk kawasan larangan ini sudah pasti tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.


Aksi rakan sedang berkomunikasi dengan stesen Rumah Api yang lain. Malahan boleh berkomunikasi deangn stesen di luar negara juga. Merujuk blog ini, penulis pernah hadir ke Bukit Jugra ini pada tahun 2013. Pada ketika itu, isyarat panggilan Rumah Api Bukit Jugra adalah 9M4LHE. Boleh simpleks ke Rumah Api Permatang Sedepa atau One Fathom Bank di perairan Klang. Tidak pasti sama ada ada stesen yang aktif untuk ILLW 2025.


Semasa tiba ramai stesen sibuk dengan aktiviti masing-masing. Sempat bersalaman deng Sufian 9W2SGJ dan Azmie 9W2HAS dan beberapa stesen lagi. Sempat juga bersembang lanjut dengan Sufian 9W2SGJ tentang keadaan stesen 9M4LBJ pada tahun ini. Kebanyakan muka baru sangat berminat dengan aktiviti radio amatur. Ini merupakan satu perkembangan positif bagi menarik minat ramai lagi tentang hobi yang santifik ini.


Kru yang terlibat hadir secara sukarela demi minat yang sama. Komitmen yang diberikan memenuhi kepuasan diri meneroka sesuatu yang baru. Mereka bukan sahaja mengorbankan masa dan tenaga sahaja. Malahan sanggup membawa peralatan sendiri bagi menguji kemampuan dan pencapaian setiap radas tersebut. Radas yang mampu bekerja dengan baik sudah pasti memberi satu kepuasan lebih lagi mendapat contact dengan stesen yang lebih jauh.


Bergerak mengelilingi kawasan Rumah Api dapat dilihat pelbagai jenis antena telah ditegakkan. Kru membawa sendiri radio dan antena agar dapat berkomunikasi dengan stesen lain terutamanya stesen Rumah Api yang lain. Antena Farm ini melihat sahaja memberi satu keseronokan bagi pengendali radio amatur.


Antena untuk portable yang mudah pasang dan ditanggalkan semula merupakan satu pilihan yang utama. Pengujian setiap antena dapat mengetahui sejauh mana prestasi dan kemampuan selain faktor lain juga. Prestasi yang cemerlang dan baik sudah pastilah memberi kepuasan terhadap penggunaan antena tersebut. Kepelbagaian antena dapat memberi penilaian terhadap perbezaan kemampuan setiap antena itu. Pengendali radio amatur salah satu skop hobi ini adalah membuat pengujian sesuatu radas tersebut.


Kerjasama menaik dan menurunkan semula antena dan peralatan lain menunjukkan semangat setiakawan setiap kru. Bekerjasama dalam masa tiga hari dua malam amat perlu bagi melancarkan aktiviti ILLW di Rumah Api Bukit Jugra ini.


Antena HF pula untuk berkomunikasi jarak jauh hingga ke stesen luar negara. ILLW ini melibatkan semua stesen radio amatur di Rumah Api seluruh dunia secara serentak. Maka, antena yang bersesuaian diperlukan bagi memudahkan komunikasi DXing ke luar negara.


Rumah Api Bukit Jugra merupakan menara yang sebelah kiri dan tinggi itu. Sebelah kanan merupakan menara radar Maritim Malaysia. Sejak tertubuhnya Maritim Malaysia, banyak menara radar dibina berdekatan dengan Rumah Api milik Jabatan Laut Malaysia.


Boleh dilihat pada video di atas radar milik Maritim Malaysia menjaga kedaulatan perairan negara. Aset pertahanan negara diletak tempat yang strategik demi menjaga kedaulatan negara.

Credit 9W2SGJ

Bergambar bersama Sufian 9W2SGJ orang kuat stesen 9M4LBJ ini. Ada kelapangan penulis pasti mengunjungi stsesen-stesen radio yang dibuka untuk pelbagai aktiviti dan pameran. Kesempatan yang ada sudah pasti menambah pengalaman serta kenalan rakan ham yang baru.


Pintu Rumah Api serta lambang Jabatan Laut Malaysia dapat dilihat dari bawah. Sistem grounding dapat dilihat di atas tanah sekeliling dua menara ini. Pada malam sabtu itu, cuaca tidak baik. Hujan lebat serta kilat pancar-memancar di Bukit Jugra ini. Maka, semua radio dan kabel harus dicabut dan dipadamkan demi keselamatan. Stesen Rumah Api yang lain pada malam itu cuaca baik-baik sahaja.


Pemandangan Kuala Langat dari Rumah Api Bukit Jugra. Cuaca tengah hari itu sangat baik dan cerah sahaja. Angin turut bertiup kencang menyegarkan persekitaran. Damia seronok bermain turun naik cerun berumput bersebelahan dua menara ini. Pemandangan amat mengasyikkan. Rugilah kalau tidak menikmatinya sementara mendapat keizinan untuk masuk kawasan larangan ini.


Bunyi deruan enjin bagi mengaktifkan tenaga bagi kegunaan dua menara ini. Sebelah kanan Sungai Langat itu merupakan Pulau Carey. Belon KLIA pada hujung dan awal tahun pasti singgah mendarat di Pulau Carey ini.


Terdapat pelbagi antena radio juga pada Menara Radar ini juga. Ekzos enjin diesel turut dapat dilihat bagi menjana tenaga pada menara ini.


Ada tangga sebelum ke pintu Rumah Api Bukit Jugra. Lambang Jabatan Laut Malaysia terpampang megah di badan rumah ini. Ketika kami menikmati pemandangan di sini, Sufian 9W2SGJ turut bersama menikmati pemandangan persekitaran. Banyak perkara juga kami bersembang. Semuanya kisah sekitar perkembangan radio amatur. Maklumlah Sufian 9W2SGJ banyak terlibat dengan pameran dan pelbagai aktiviti radio amatur. Penulis sendiri pernah diajak bagi pameran radio amatur di SK Bukit Changgang tidak berapa lama dahulu. Sudah pastilah pameran berkaitan radiosonde kepada pengunjung ketika itu.


Acara akan datang yang setiap tahun diadakan adalah CQ Merdeka. Acara ini setiap negeri akan terlibat membuka stesen masng-masing. Puas bersembang dan bertukar-tukar fikiran meminta izin berundur terlebih dahulu. Bersalaman semula atas kesudian menerima tetamu di stesen ILLW 9M4LBJ. Tahniah kepada semua kru iaitu terutama stesen Menager 9M2LDX, kru lain 9M2ODD, 9W3KIL, 9W2KQD, 9W2LCN, 9W2CMD, 9W2VHH, 9W2HDS, 9W2HAS dan 9W2SGJ.

Selepas keluar pintu pagar, kami bergerak ke sebelah kawasan Rumah Api. Kawasan pelepasan aktiviti Paragliding yang terkenal. Damia menanti jikalau ada monyet keluar disekitar kawasan hutan bukit ini.


Pemandangan Sungai Langat sibuk dengan aktiviti marin. Hadapan kuala pastilah Selat Melaka, laluan kapal paling sibuk. Pentingnya rumah api untuk pandu arah perkapalan walaupun teknologi navigasi masa kini yang lebih maju dan canggih.


Papan tanda Puncak Tinjau Bukit Jugra ketinggian 120 m atas paras laut. Kawasan bersebelahan pagar Rumah Api ini menjadi tumpuan peminat sukan Paragliding untuk menunjukkan aksi yang hebat demi mencapai kepuasan bebas terbang ke ruang angkasa.


Kami duduk di kawasan tempat duduk yang berbumbung bersebelahan pagar Rumah Api. Pemandangan indah Selat Melaka dan Sungai Langat yang dilihat tadi bercampur dengan payung paragliding di hadapan mata pula.


Melihat aksi dan telatah setiap juruterbang sebelum menerbangkan setiap payung. Sebenarnya agak sukar jika tiada kekuatan angin yang mencukupi bagi mengembangkan payung tersebut. Selepas kembang dengan baik, perlu menunggu tiupan angin yang sesuai untuk menerbangkan payung tersebut. Jikalau kurang tekanan, hanya membawa payung turun hingga ke kawasan pendaratan sahaja.


Juruterbang perlu pandai membaca pergerakan dan kekuatan angin yang tepat. Silap haribulan payung kembali kendur dan jatuh semula ke tanah tidak kembang. Ketepatan masa yang betul boleh membawa terus juruterbang berlegar-legar di ruang angkasa Bukit Jugra. Jadi, kecekapan dan pengalaman membaca kekuatan angin sangat membantu menerbangkan dengan mudah. Ia juga mengajar kesabaran dan percaturan yang betul demi mencapai matlamat terbang dengan jaya.


Apabila mendapat daya tujahan yang tepat, dengan mudah paragliding ini akan naik ke atas dan berlegar-legar di ruang angkasa. Terbang bebas bagaikan burung.


Ramai yang berminat untuk terbang. Bolehlah menghubungi pihak yang menguruskannya. Pasti ada bayaran yang dikenakan bagi menikmati pemandangan Bukit Jugra sambil terbang bagaikan burung bebas di angkasa. Terbang secara solo sudah pastilah juruterbang terlatih telah memenuhi syarat jumlah jam penerbangan atau penerjunan.


Minat pada bidang aeroangkasa bagi anak-anak muda dapat dilahirkan dengan aktiviti paragliding ini juga. Semua ilmu dan kemahiran dipelajari bagi menjadi seorang juruterbang yang cekap.



Paparan video menunjukkan betapa seronoknya aktiviti paragliding ini. Selamat mencuba! Ada keberanian dan keyakinan diri pada juruterbang yang akan membawa kita pasti seronok penerbangan tersebut.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Bercuti di Bentong dan Janda Baik

  Cuti Maulidur Rasul baru ini berkesempatan berjalan ke Bentong dan Janda Baik. Perjalanan mudah menggunakan jalan lama Gombak sahaja lalua...