CQ Merdeka 2024 9M67MB di PICC Putrajaya


 Ambang merdeka berkesempatan untuk menghadiri aktiviti radio di PICC Putrajaya. Aktiviti radio amatur sempena hari Kemerdekaan yang ke-67 pada tahun 2024. Tag dan pelekat telah diberikan oleh Sufian 9W2SGJ. Lama sungguh tidak menghadiri aktiviti radio amatur seperti malam kemerdekaan ini. Terima kasih Sufian 9W2SGJ atas bingkisan yang sangat berharga ini. Nampaknya pulang tidak tangan kosong.


Semuanya bermula dari ajakkan Arul 9W2OCX merupakan salah seorang daripada krew. Isyarat panggilan khas untuk merdeka ini telah dikeluarkan oleh SKMM atas daya usaha MARTS setiap tahun bagi meraikan hari Kemerdekaan. Setiap negeri telah diberikan isyarat panggilan khas ini yang telah dikendalikan oleh kumpulan radio amtur dari setiap negeri. Isyarat panggilan mengikut abjad negeri seperti 9M67MB untuk negeri Selangor.


Memandu dari Cheras terus ke PICC, Putrajaya. Pada mulanya risau tentang kesesakan trafik namun berjalan lancar hingga ke destinasi dituju. Tiba pintu masuk telah dihalang oleh petugas tidak membenarkan masuk walaupun tujuan kehadiran telah dimaklumkan. Terpaksalah meletakkan kereta di bahu jalan.


Seterusnya menapak ke atas dengan kecerunan yang agak tinggi. Maklumlah kedudukan PICC ini di atas bukit. Menghampiri bangunan yang ikonik ini telah kelihatan antena farm. Tidak sah jika tiada antena untuk aktiviti radio amatur. Itulah klu paling tepat jika hendak mengenali kedudukan atau lokasi aktiviti radio amatur.


Meja panjang yang dipenuhi peralatan komunikasi radio adalah tempat aktiviti ini tertumpu. Lokasi yang strategik menghadap Pusat Pentadbiran  Negara. Para kru sibuk mengendalikan radio dalam mode HF dan VHF.


Sufian 9W2SGJ dan dibantu Faizal 9W3RLG mengendalikan mode HF 40m band. Manakala, Che Ta 9M2SYG sedang sibuk mengendalikan 2m Net MARTS linking sempena ambang merdeka. Semasa memandu ke PICC memantau di frekuensi ketika Che Ta 9M2SYG mengendalikan 2m Net itu. Maka, sahlah aktiviti radio amatur di PICC sedang berjalan.


Tidak terlepas juga unit komunikasi pihak berkuasa keselamatan turut ada pada malam itu. Kemungkinan persiapan komunikasi untuk sambutan kemerdekaan. Antena J-pole bagi kegunaan mode VHF terus menghala ke Gunung Ulu Kali. Menurut Arul 9W2OCX antena bagi mode HF pula adalah 750V Dipole yang turut dimiliki di base stesen beliau.


Arul 9W2OCX sibuk membantu Kamarul 9M2VKA menguji keupayaan radio pada malam itu. Aktivi biasa dilihat untuk menguji radas dan antena agar dapat berkomunikasi dengan baik. Percubaan demi percubaan tetap gagal kemungkinan gangguan antena 750V dipole yang  berkeupayaan lebih tinggi.

Credit 9W2OCX

Penulis 9W2DYA bersama Arul 9W2OCX sempat bertukar-tukar cerita tentang event yang lepas seperti Rumah Api (ILLW) dan Peak to Peak (PTP). Sayangnya dua event tersebut penulis tidak dapat terlibat kerana kesibukan tugasan dalam sukan. Arul 9W2OCX turut berkongsi tentang radas QRP yang dimilikinya.


Azmie 9W2HAS bersama Faizal 9W3RLG mengendalikan radas HF 40m band. Faizal 9W3RLG memasukkan data setiap stesen yang berjaya dihubungi. Waktu menghampiri jam 12 tengah malam beberapa pengunjung memenuhi jalan di hadapan bangunan bagi menunggu detik kemerdekaan.


Che Ta 9M2SYG masih meneruskan tugasan sebagai pengawal rangkaian 2m Net ambang Merdeka sambil dipantau oleh Pak Jinggo 9M2PJO dan Kamarul 9M2VKA.


Arul 9W2OCX mengambil alih pengawal rangkaian daripada Che Ta 9M2SYG. Sambutan stesen lain amat menggalakkan ketika menghampiri detik 12 tengah malam.


Setiap stesen yang menyertai 2m Net ambang merdeka perlu direkodkan. Manakala di jalur 40m pula terus rancak dengan panggilan dari dalam dan luar negara. Meja dihujung sana pula sesi eyeball berlangsung bertukar-tukar fikiran dan pengalaman tentang dunia radio amatur. Waktu seperti inilah setiap stesen dapat bertemu di daratan sambil bercerita tentang minat yang sama.


Suasana rancak dengan menerima banyak stesen untuk mendapat contact dengan stesen 9M67MB di Putrajaya. Pemburuan isyarat panggilan khas seperti ini harus diambil kerana hanya diadakan setahun sekali sahaja sempena Hari Kemerdekaan. Angka dalam isyarat panggilan itu akan bertukar mengikut tahun kemerdekaan semasa.


Gobox milik Faizal 9W3RLG boleh dibawa dengan mudah ke mana-mana sahaja. Isi kandungan lengkap radas radio yang boleh diaktifkan pada bila-bila dan mana-mana sahaja. Ia selalu digunakan untuk komunikasi kecemasan yang selalunya luar jangka ia berlaku.


Arul 9W2OCX mencatat setiap stesen pada buku secara manual sahaja. Lebih seratus stesen telah mengambil bahagian dalam 2m Net ini. Selain melalui radio frekuensi, ia turut disambungkan melalui internet membolehkan stesen yang tidak dapat menjangkau melalui radio frekuensi dapat berhubung jua. Echolink melalui protokol internet memberi peluang kepada stesen yang mampu berhubung melalui internet dengan baik.


Ada satu stesen dari Itali tidak jelas penerimaannya oleh Arul 9W2OCX sebagai pengawal rangkaian. Nasib baiklah rakan kami Yatt 9W2MFE membantu memaklumkan isyarat panggilan stesen tersebut. Pemandangan dari meja konti menghadap ke Bangunan Pejabat Kerajaan Pusat yang disinari cahaya lampu yang cantik.


Hari semakin lewat tidak menghalang beberapa stesen hadir memberi tanda sokongan kepada 9M67MB. Antara stesen yang ada pada malam tersebut adalah 9M2MAD, 9W2EZR, 9M2PJO, 9W2BKF, 9W2HAS, 9W3RLG, 9M2SYG, 9M2VKA, 9M2LDX, 9W2XMS, 9W2ZBL, 9W2LCN, 9W2SGJ, 9M2MAX, 9W2OCX dan penulis 9W2DYA.


Melepasi detik 12 tengah malam suasana yang sunyi sepi bertukar meriah dengan dentuman bunga api. Rakaman video yang telah berjaya dibuat.


Lama juga bunga api dibakar menandakan masuknya Hari Kemerdekaan kali ke-67 tahun. Puaslah melihat pelbagai corak, warna dan bunyi setiap kali terbang memenuhi ruang angkasa Putrajaya.


Pengunjung yang ada terpaku melihat bunga api yang sangat meriah ini. Masing-masing tidak melepaskan merakam momen untuk dikenang.


Puas menonton bunga api kembali ke konti radio semula. Selepas tengah malam aktiviti radio semakin rancak terutamanya jalur 40m. Sufian 9W2SGJ telah menutup 2m Net sempena ambang Merdeka.


Seterusnya Muhamad Noor 9M2MAD telah mengendalikan jalur 15m pula. Berjaya mendapat sahutan dari stesen-stesen dari benua eropah. Kedengaran audio dari corong radio sangat kuat mampu memecah kesunyian awal pagi tersebut.


Faizal 9W3RLG setia memasukkan data-data stesen dari eropah tersebut. Puas melihat Muhamad Noor 9M2MAD mengendalikan panggilan dari eropah, terpaksa pulang ke Bangi kerana keesokan ada tugasan lain pula. Bersalaman dengan ke semua stesen yang masih ada untuk mengundur diri.


Akhir kalam, Tahniah kepada semua stesen yang terlibat bagi mengendalikan 9M67MB sempena Hari Kemerdekaan kali ke-67 tahun ini. Kerjasama yang mantap dalam minat yang sama melancarkan perjalanan aktiviti radio amatur ini. Ada kesempatan boleh ketemu lagi.

Jumpa dan jumpa lagi
73, Jojet de 9w2dya

Belon Ozon Singapura radiosonde RS-11G 7110225

Credit 9W2PRX

 Pagi tadi belon ozon Singapura telah dilepaskan. Radiosonde RS-11G 7110225 buat julung kali berjaya ditemui oleh Faizal 9W2DVZ. Walaupun kawasan agak semak, namun berjaya juga menjumpai ozonsonde serta radiosonde.

Credit 9W2XOR

Credit 9W2DVZ

Credit 9W2DVZ

Credit 9W2DVZ





Belon KLIA radiosonde WxR-301D 2405015884 jatuh di Batu Laut


 Belon KLIA pagi ini jatuh di Kampung Batu Laut. Radiosonde WxR-301D 2405015884 jatuh jam 9:41:09 pagi ini. Koordinat 2.69023 darjah Utara dan 101.53074 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 783 m agak tinggi untuk mencarinya. Manakala, altitud ketinggian maksimum 26,647 m .


Kebiasaannya peranti radiosonde masih mempunyai tenaga lagi. Perlu raspi yang telah ada Auto-RX untuk mengesan kedudukan terkini. Altitud ketinggian terakhir 783m agak tinggi untuk pergi mencarinya. Tambah pula jangkaan mendarat perlu berpatah balik. Jikalau garisan lurus agak mudah mencarinya. Sebaliknya, berpatah balik atau pusingan U pasti agak sukar dan lebih mencabar.

Selamat memburu!

73, Jojet de 9w2dya

Astaka Morocco


 Semalam berkesempatan berkunjung ke Astaka Morocco di Taman Botani Putrajaya. Hari hujung minggu ramai pengunjung beriadah dan berekreasi bersama keluarga. Kelihatan ramai yang berkelah di tepi-tepi tasik di kawasan rumput yang lapang dan menghijau.


Hiasan pokok telah dibentuk menyerupai arnab menarik perhatian Damia yang suka akan dunia haiwan. Potongan pokok hiasan yang cantik membentuk arnab ini pastilah sentiasa dijaga rapi. Ini penting agar bentuknya tidak berubah seperti sedia ada.


Damia bergambar berlatarbelakang pintu gerbang senibina Morocco. Tempat ini menjadi perhatian lensa kamera bagi para graduan dengan berjubah bagi kenangan memori masa hadapan. Para pelancong luar terutama dari asia timur turut tidak melepaskan bergambar kenangan.


Kemudian kami ke canopy walkway tarikan terbaru Taman Botani. Titian yang dibina antara dua pokok seperti jambatan menghubungkan kedua belah pokok.


Lokasi ini sangat sesuai untuk bergambar dengan berlatarbelakangkan tasik Putrajaya. Kelihatan di tasik, bot rekreasi yang boleh disewa turut disediakan di sini. Lihat di bawah pula kawasan perkelahan bersama keluar di kawasan padang yang luas dan redup menjadi pilihan pengunjung.


Setiap pokok di bina pelantar pemandangan. Titi menyambung kepada kedua pelantar di kedua pokok tersebut. Kawasan padang rumput carpet yang menghijau itu baru sahaja dibuka dan diselenggara semula. Ini kerana, tebing sebelah padang tersebut telah diindahkan dengan pembinaan laluan yang menarik terutamanya untuk orang kelainan upaya juga. Ini dapat memudahkan golongan tersebut akses ke kawasan padang berumput carpet tersebut.


Pelantar pemandangan yang cantik bagi melihat tasik Putrajaya. Pohon nyiur melambai-lambai ditiup bayu mengindahkan lagi cuaca. Persekitaran seumpama tepi laut ini menenangkan fikiran bagi melupakan lelah kerja di pejabat.


Tangga pusing turun ke bawah perlulah berhati-hati ketika memijak. Perlulah memegang pada pemegang kiri dan kanan agar tidak tergelincir ataupun terjatuh.


Puas bergambar pemandangan indah, terus ke bangunan sukan air. Segala pembayaran untuk bermain sukan rekreasi air dan trampolin di bayar di sini sahaja. Kami lebih minat mendapatkan palet ikan sahaja. Satu bungkus palet ikan berharga RM3. Menjadi minat Damia untuk memberi ikan makan di Taman Botani ini ketika berkunjung di sini selalu.


Rakaman video menunjukkan betapa banyaknya ikan di Tasik Putrajaya di Taman Botani ini. Merujuk kepada spesies ikan tasik Putrajaya kemungkinan ikan yang berenang itu adalah Lampam Sungai (Pontius Schwanenfeldii) kerana ekor yang berwarna oren itu. Selain itu ada dua ekor yang agak besar seperti ikan Toman. Dua ekor kura-kura agak kecil dan satu ekor kura-kura yang agak besar. Terdapar seekor labi-labi yang agak besar juga.


Seterusnya bergerak melewati restoran makanan laut menghala ke jeti Teksi Air. Teksi Air satu lagi kemudahan terkini di Tasik Putrajaya ini. Bot yang berkuasa enjin besar boleh membawa beberapa orang penumpang.


Ketika sibuk memberi ikan makan terlihat batu tanda. Batu tanda tersebut tertera CP 3. Terdapat paku payung di bahagian tengahnya. Mungkin ini merupakan coordinated point atau control points dalam kerja-kerja mengukur di kawasan ini.

Koordinat bagi CP 3 di Taman Botani tepi tasik Putrajaya adalah 2.944471 darjah Utara dan 101.692287 darjah Timur. Misi seterusnya boleh dilancarkan bagi mencari lagi batu tanda seperti ini di Taman Botani ini.


Kedudukan CP 3 berdekatan dengan tebing Tasik Putrajaya di Taman Botani. Kemungkinan banyak lagi batu tanda seperti ini boleh dicari jikalau jumpa.


Longgokan batu-batu ini menarik minat Damia untuk memijak dan memanjat. Setiap halangan batu dilalui dengan berhati-hati. Perlu memilih batu yang mudah atau paling hampir. Kadang batu agak jauh menyukarkan untuk melompat, perlu bantuan abah untuk melepasi batu tersebut. Itulah kehidupan yang banyak cabaran dan halangan serta perlu bijak membuat keputusan. Perlu meminta pertolongan atau bantuan orang lain kerana tidak mampu melakukan seorang diri.


Selepas melepasi halangan batu terus menyambung memberi ikan makan. Sebelum itu berjalan kehadapan sedikit. Malangnya setelah makan ikan dicampakkan ke tasik tiada seekorpun yang menjamah. Ternyata ikan lebih banyak berhampiran jeti.


Percikan air terhasil apabila ikan-ikan berebut-rebut memakan palet yang dicampakkan.Percikan air sampai ke tebing dan kadang-kala sangat kuat. Turun hingga ke tebing rumput lebih jelas melihat ikan berenang-renang di celah-celah batu.


Palet hanyut ke celah-celah antara tebing batu dan tanah berumput. Damia berusaha menolak kembali palet masuk ke tengah tasik semula. Ada juga ikan cuba sedaya upaya mendapatkan palet di kawasan yang sukar itu. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.


Selepas puas memberi ikan makan sempat pusing kawasan tasik yang bersambung dengan Tasik besar di Taman Botani ini. Airnya agak cetek dan berbau pula. Selepas itu ke IOI Mall untuk menambahkan koleksi pin Damia. Pin bertema haiwan seperti capybara, itik, kucing dan ayam menjadi pilihan hati.


Harga satu pin RM10 sahaja. Bagi jenis arkilik boleh beli RM10 dapat 3 jenis. Kebiasaannya pin-pin ini boleh didapati kedai buku seperti Popular dan Pustaka Rakyat. Teringat dahulu kumpul pin semasa Sukan Komanwel 1998 dan Sukma Selangor pada tahun itu juga. Bertukar-tukar pin satu hobi yang sangat menarik juga.

Webinar : Exploring STEM through Amateur Radio

Malam ini sempat mengikuti webinar bertajuk Exploring STEM through Amateur Radio. Webinar melalui facebook MARTS secara langsung sangat menarik menambah pengetahuan mengenai STEM dalam radio amatur.


Webinar disampaikan oleh Ts Ir Dr Ahmad Azlan Bin Ab Aziz Professor Madya / Deputy Director Enterprise Office Universiti Teknologi Brunei, Brunei Darussalam. Ts Ir Dr Ahmad Azlan 9M2AGC tidak asing lagi bagi rakan ham kerana sangat aktif dalam berkongsi ilmu dan pengalaman dalam dunia radio amatur di Malaysia.


Banyak topik-topik menarik diketengahkan berkaitan STEM dalam radio amatur. Pengendali radio amatur secara tidak langsung telah menguasai bidang STEM dalam meneruskan hobi yang saintifik ini. Perkongsian ilmu yang ada pada bidang STEM dalam radio amatur mendedahkan pada masyarakat bahawa hobi ini sangat bermanfaat.


Penulis secara peribadi berasa sangat seronok dapat mengikuti webinar ini kerana dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan dalam radio amatur. Pengetahuan sedia ada dapat ditambah serta diperbahurui dengan pendekatan teknologi yang semakin berkembang. Seiring kepesatan dan kepantasan teknologi tidak terkecuali dalam radio amatur juga.


Berkongsi ilmu dengan Pakar pastilah kita dapat mengikuti perkembangan terkini hasil kajian yang dibuat oleh beliau. Ilmu teknikal yang dikongsikan dapat menambah serta mengukuhkan ilmu tersebut.


Akhir sekali tahniah kepada Ts Ir Dr Ahmad Azlan 9M2AGC serta MARTS atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat ini. Perkongsian ini dapat mencambahkan ilmu serta menarik minat ramai dalam hobi radio amatur.

Jumpa dan jumpa lagi,

73, Jojet de 9w2dya

 

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...