Cuti Maulidur Rasul baru ini berkesempatan berjalan ke Bentong dan Janda Baik. Perjalanan mudah menggunakan jalan lama Gombak sahaja laluan 68. Sempena kemerdekaan tahun ini yang ke- 68 tahun. Jalan bengkang-bengkok itu menyajikan panorama yang lebih mengasyikkan. Lebih-lebih lagi dapat melihat monyet memenuhi laluan tersebut.
Persinggahan pertama kami di Kolam Air Panas Bentong. Bersebelahan laluan ECRL. Terdapat sebuah hotel bersebelahan kolam air panas ini juga. Berbaki 14 km ke Bentong. Sepanjang laluan Jalan lama Gombak ini kerja-kerja laluan ECRL sedang rancak berjalan. Boleh dilihat jejambat dan terowong sepanjang laluan 68 ini juga. Perlu berhati-hati terdapat laluan agak rosak kerana kerja-kerja pembinaan tersebut.
Usai berehat sebentar, perjalanan terus ke Bentong. Destinasi pertama adalah Air Terjun Chamang. Melepasi Pekan Bentong belok ke kiri mengikuti Laluan C 136. Jarak 9 km dari Bentong ke Air Terjun. Jarak dari simpang Laluan 8 ke Air Terjun adalah 7 km sahaja. Memandu perlu berhati-hati kerana banyak anjing liar berkeliaran di tepi jalan tersebut.
Perjalanan banyak mendaki menyebabkan masih bengkang-bengkok seperti Jalan Gombak tadi. Tiba sempadan Hutan terdapat Pondok Renjer. Pegawai Renjer tersebut melihat jumlah penumpang. Kami hanya berdua sahaja. Bayaran yang dikenakan hanyalah RM3 sahaja. Terus bergerak hingga ke dataran tempat letak kereta.
Selepas meletak kereta, terus bergerak ke pemandangan air terjun yang indah nian. Ramai pengunjung sudah tiba lebih awal. Maklumlah cuti hari kelepasan am. Hampir semua lot tempat kereta dipenuhi.
Terdapat gerai makanan dan minuman di situ. Oleh kerana baru tiba perjalanan jauh. Damia ingin membeli kudapan bagi mengalas perut. Sempat bergambar berlatarbelakangkan air terjun yang deras meluncur di celah-celah batu. Usai makan bergerak semula ke kawasantempat letak kereta. Tujuan kehadiran adalah untuk meninjau keadaan tempat terlebih dahulu. Sebenarnya tempat penginapan belum ditempah lagi. Hanya ke hotel secara daftar masuk sahaja.
Semasa bersiar-siar melihat kawasan persekitaran terpandang sebuah batu aras. Wah! tak sangka kawasan Eko Rimba ini turut mempunyai batu aras milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Maka, ini merupakan pertama kali menemui batu aras dari jabatan tersebut. Kebiasaannya batu aras dari Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Pengairan dan Saliran sahaja.
Tertera pada plat batu aras tersebut adalah Bacaan GPS bagi Bukit Tinggi 03. Tarikh pembinaan tertulis September 2008. Ada juga tertera bacaan koordinat GPS tersebut.
Plat bahagian atas pula, tertera Jabatan Perhutanan Pahang, Hutan Simpan Kekal -HSK- Bawah pula tertulis Bukit Tinggi 03. Pasti ada batu aras sebegini di kawasan Taman Eko Rimba yang lain. Hasil cerapan menggunakan aplikasi GPS Waypoint Finder bagi batu aras Bukit Tinggi 03 adalah 3.509299 darjah Utara dan 101.858323 darjah Timur.
Setelah merekod data selesai, terus ke kereta untuk mencari tempat penginapan terlebih dahulu. Berpatah balik ke Bentong melalui jalan yang sama. Tertarik pada peralatan peranti yang bertiang di tepi jalan. Mungkin alat pengesan pergerakan tanah bagi mencegah tanah runtuh. Pemanduan dari Genting Sempah hala ke Bukit Tinggi juga terlihat peranti seperti ini di tepi jalan.
Peranti sekitar Genting Sempah ke Bukit Tinggi mempunyai antena di atasnya. Tidak bagi peranti ini kelihatannya. Ada juga peranti ini diletakkan di atas tembok konkrit penghadang jalan selain bertiang seperti ini. Teknologi tinggi yang sangat baik bagi pencegahan sebelum sesuatu bencana terjadi.
Tiba di Pekan Bentong berjaya mendapat bilik di Hotel Kristal. Kemudian makan di sebuah restoran makanan segera berdekatan hotel tersebut. Usai makan, barulah bergerak semula ke Air Terjun Chamang. Sebelum itu, sempat singgah ke The Bentong Farm. Meninjau laluan masuk dan harga tiket tempat tersebut.
Tiba di pintu Pondok Renjer terus membayar RM3 sekali lagi. Meletak kereta terus turun ke kawasan sungai. Cuaca petang itu panas sekali. Selepas mencecah air ke dalam sungai terasa sejuk nyaman sahaja. Air terjun sangat deras. Namun ada kawasan yang sesuai untuk bermandi-manda bagi kanak-kanak juga. Kawasan berpasir dan terlindung dari arus. Cuma laluan air mengalir agak acup juga.
Selepas masuk ke dalam air sungai terperasan bahawa di dalam banyak ikan tengas berenang. Berenang bebas tanpa gangguan. Ada beberapa orang pemuda yang mandi turut berjaya menangkap ikan tersebut menggunakan baju sahaja. Banyak juga ikan yang berjaya ditangkap. Kemudian mereka memberi ikan kepada pengunjung lain.
Sebenarnya ikan ini tidak boleh disimpan lama dalam bekas atau dalam beg plastik. Ikan tengas ini akan mabuk dan hampir mati. Maka, lebih baik dilepaskan semula ke habitat alam semulajadi di dalam sungai.
Damia sempat menangkap semula ikan yang mabuk ketika dilepaskan itu. Dapatlah merasa memegang dan bermain seketika dua ekor ikan tengas tersebut. Kulit licin menurut Damia lagi.
Sebenarnya Damia teringin hendak cuba menangkap menggunakan beg plastik. Sebelum itu, pemuda yang menangkap ikan tersebut ada menwarkan ikan tersebut untuk diberi kepada Damia. Tetapi Damia enggan menerimanya. Hendak cuba menangkap sendiri katanya.
Akhirnya dapat juga memegang dan menangkap ikan yang mabuk. Ini kerana pemilik ikan yang disimpan awal menyedari ikan-ikan yang berjaya disimpan tadi telah mabuk. Maka, anak-anak mereka telah melepaskan ikan tersebut. Semasa itulah Damia cuba menangkap ikan yang mabuk tersebut. Berjaya menangkap semula dua ekor ikan. Gembiralah dapat bermain ikan sebentar.
Kawasan berpasir seperti pantai itu digali menjadi kolam. Ikan tersebut berenanglah dalam takungan yang digali. Puas bermain ikan tersebut dilepaskan semula ke habitat asal. Peluang sebegini tidak harus dilepaskan oleh anak-anak. Ia mengajar menghargai hidupan lain berhak untuk meneruskan kehidupan jua. Melatih mencintai dan menghargai alam sekitar flora dan fauna.
Stesen 9W2DYA-5 bagi mengesan kedudukan semasa. Data menunjukkan altitud ketinggian 162 meter dari aras laut. Merujuk peta tersebut nama sungai sebenar adalah Sungai Serting bagi Air Terjun Chamang ini. Kemudian setengah jam sebelum tutup Pegawai Renjer yang bertugas memaklumkan penutupan tempat ini menggunakan healer. Tempat ini ditutup pada jam 5 petang.
Batu penanda jarak 1 km Air Terjun Chamang telah tertanggal tulisannya. Batu penanda yang kelapan dari simpang laluan 8. Hadapan terdapat papan tanda amaran bahawa bas dan kenderaan berat dilarang melalui jalan tersebut. Ini kerana laluan yang curam dan sempit tidak sesuai bagi kenderaan berat.
Usai bersalin pakaian kering di dalam bilik persalinan yang disediakan. Terus bergerak balik ke Pekan Bentong semula. Meronda dan berjalan-jalan di sekitar pekan. Misi seterusnya bergambar pada batu tanda jarak km 0 Bentong.
Sudah pastilah lokasi berada di Pejabat Pos Bentong di tepi jalan utama di pekan ini. Sangat mudah mencarinya. Pasti boleh bertembung semasa memandu di dalam pekan ini.
Batu penanda jarak km 0 ini banyak dilihat di Negeri Pahang ini. Tahniah dan syabas JKR negeri Pahang mewujudkan batu ini sebagai panduan jarak. Secara tidak langsung menggalakkan masyarakat menghargai batu ini sebagai monumen yang perlu dijaga.
Damia di samping monumen km 0 Bentong. Monumen ini menandakan permulaan jarak Bentong ke Kula Lumpur Laluan 68 jalan lama dan ke Raub Laluan 8. Ia juga mesej bagi Sayangi Jalan Persekutuan.
Semasa berjalan-jalan terlihat tahun binaan sesebuah premis di pekan ini. Paling lama tertera tahun 1930. Ada tertera 1978 juga. Terdapat Galeri Bentong, namun tidak sempat hendak berkunjung ke situ.
Hari Kedua Sabtu 6/9/2025
Suasana pagi di Pekan Bentong mendung sahaja. Malam itu hujan turun menyebabkan kabus mengelilingi bukit-bukau.
Bersarapan berjalan kaki ke kedai mamak terlebih dahulu. Kedudukan pekan ini berjajar. Berjalan melalui bangunan serta melintas jalan demi jalan hingga tiba di tempat yang ditujui.
Selepas bersarapan berjalan melalui bangunan sebelah belakang pula. Boleh nampak bangunan-bangunan hotel di Genting Highlands dari pekan ini. Sempat monitor di Marts Linking pada malam tadi. Ini kerana pengulang tersebut berada berdekatan dengan Genting Highlands tersebut. Terima readability 5/9 crystal clear. Pengulang 9M4RLG frekuensi 147.900MHz.
Lagipun, bilik kami berada di tingkat empat. Pemandangan dari tingkat bilik Hotel Kristal, Bentong. Sudah pastilah penerimaan audio dari corong radio sangat jelas. Sempat singgah ke BSN bagi mendapatkan tunai untuk percutian kali ini.
Pada hari kedua ini, aktiviti utama adalah ke The Bentong Farm. Mendapat risalah semasa berkunjung di Farm In The City, Seri Kembangan. Sudah pastilah Damia ingin ke tempat petting zoo seperti ini lagi.
Lokasi The Bentong Farm terletak di Kampung Orang Asli Lebak. Laluan yang sama ke air terjun, tetapi jumpa simpang yang ada papan tanda belok ke kanan. Terus menyusur jalan ke Kg Orang Asli tersebut masuk kiri di jambatan kecil. Melepas jambatan kecil terus ke hadapan sedikit dan terus belok ke kiri lagi. Sudah kelihatan jalan naik sebelah kiri agak mendaki sedikit.
Meletak kereta menyerong. Pusat ini di buka jam 9.30 pagi hingga 6.00petang bagi hujung minggu, kelepasan am serta cuti sekolah. Bergerak bersama beg yang mengandungi pakaian kering. Sebenarnya selain melihat haiwan, pusat ini turut menyediakan kawasan mandi-manda yang dikenali sebagai Monkey Spring.
Damia teringin hendak bermain air di Monkey Spring. Menurut penjaga kaunter di Monkey Spring tidak ada monyet hanya sekadar nama sahaja. Ini kerana ramai pengunjung fikir bahawa di situ ada monyet. Monyet liar ada di luar kawasan. Hanya yang bertuah boleh melihat.
Bayaran masuk untuk Combo iaitu gabungan Monkey Spring dan Petting Zoo bagi dewasa warganegara adalah RM68 dan kanak-kanak RM53 sahaja. Harga bagi Petting Zoo warganegara dewasa RM48 dan kanak-kanak RM38. Manakala, harga bagi Monkey Spring warganegara dewasa RM35 dan kanak-kanak RM25 sahaja. Setelah mendapat resit dan gelang akses terus ke staf yang menjaga pintu masuk. Staf menunjukkan arah yang perlu dijejaki.
Membawa bersama risalah yang diberi. Damia suka merujuk peta lokasi yang ingin dijelajahi. Kemahiran membaca peta atau pelan ini amat penting memudahkan kedudukan semasa dapat diketahui. Ini membolehkan perancangan perjalanan dapat dibuat dengan baik.
Penjelajahan bermula dengan melihat replika buah durian gergasi terlebih dahulu. Cabang antara Petting Zoo dan Monkey Spring. Perlu mendaki kerana kawasan lembah bukit memerlukan mendaki mengikut laluan yang ditetapkan. Sepanjang berjalan mendaki itu, kelihatan pelbagai pokok ditanam menjadikan suasana redup dan menyegarkan. Pokok durian tengah berputik. Ada pokok cermai, ciku dan bermacam lagi. Bagus untuk pengetahuan anak-anak mengenai jenis pokok-pokok. Ia juga dilabelkan.
Destinasi pertama adalah kawasan Savannah. Ada beberapa spesies mamalia dan burung-burung. Rusa agak jinak juga. Kambing-kambing sangat memilih makanan. Sebelum itu, sempat membeli dua bekas makanan dan sekotak makanan ikan. Sebekas makanan berharga RM10 dan sekotak palet ikan RM2 sahaja.
Kemudian ke dewan pameran yang berbumbung. Ada rakun sedang berlindung di balik batu. Meerkat tiga ekor datang bermain-main. Monyet putih juga ada membelakangi orang. Buat hal sendiri lebih baik daripada melihat perangai orang.
Alcapa anaknya baru beberapa bulan. Hendak bagi rumput hijau perlu mengoyak bahagian daunnya sahaja. Bahagian urat yang keras itu tidak dimakannya.
Burung Kakaktua, Nuri seperti biasa akan bising satu dewan bunyinya. Tahulah bahawa di situ tempat burung-burung ini bertenggek.
Tiada pula jadual persembahan haiwan atau jadual memberi makan seperti di Farm in the City. Maka, tengok dan lihat sahaja burung-burung ini bertenggek sambil menyanyi ikut irama yang tersendiri.
Haiwan reptilia pula dalam akuarium atau bekas berkaca. Kerja-kerja pembinaan tempat baru sedang sibuk dijalankan di situ. Selepas ini, tempat reptilia pasti lebih cantik dan menarik lagi. Pasti bekas kaca akan dihias lebih menarik.
Sugar glider berehat dalam bekasnya tanpa gangguan. Belakang itulah tapak akuarium reptilia sedang dalam penambahbaikan. Ada seekor lagi bergerak ke sana ke mari. Merupakan haiwan peliharaan yang menarik minat ramai untuk membelanya.
Tikus belanda yang banyak dalam sangkar. Walaupun sudah tersedia makanan, tetap ingin makan yang dihulurkan. Potongan rumput dimakan beramai-ramai.
Bergerak keluar dewan pameran ke kandang Kuda Belang dan burung Unta. Ada juga burung merak berkeliaran di situ.
Merak biru bersama merak putih menunggu rumput untuk dihulurkan. Rumputpun makan selain dedak. Jinak dan tidak takut pada orang.
Kuda Belang yang jinak datang menghampiri meminta rumput. Sebenarnya kuda belang sedang makan dari bekas makanannya. Nampak kami terus menghampiri meminta sesuatu. Belakang nun jauh dua ekor Burung Unta berehat tepi tembok.
Jarang dapat melihat Kuda Belang di Petting Zoo selain Zoo sebenar. Kelainan ini pasti menjadi tarikan kepada pengunjung untuk datang bertandang.
Burung Unta datang menerpa untuk makan rumput juga. Burung Unta yang jinak tidak perlu khuatir dipatuk kerana telah biasa bertemu dengan orang.
Puas tengok kuda belang dan burung unta terus bergerak ke kurungan seterusnya. Ada Asian Palm Civet dan Squirrel Monkey.
Landak merayau-rayau keluar berjemur. Seekor lagi sedang enak menikmati santapan setelah kelaparan.
Seterusnya masuk ke dalam Aviary ada air terjun mini. Unggas banyak boleh dilihat di sini.
Merak putih ini antara yang menarik dilihat. Bertenggek pada batu dekat air terjun. Maka, mudahlah melihat ekornya yang panjang itu.
Merak yang berwarna biru turut bertenggek atas batu. Elok sahaja tidak takut pada orang yang datang ke Aviary ini.
Pelbagai spesies unggas terdapat dalam aviary ini. Pelbagai bentuk dan warna dapat dilihat. Ada juga yang datang menghampiri meminta sedikit makanan.
Keluar dari aviary melepasi kurungan burung Hantu yang duduk diam dalam sangkar sahaja. Maklumlah waktu siang tidak aktif dan tidur sahaja. Namun, kelihatan matanya terbuka sahaja. Kemudian ada Gua reptilia sebelum bertemu kandang kambing dan keldai pigmi yang comel.
Dua ekor keldai yang berebut hendak makan rumput yang dihulurkan oleh Damia. Kambing pigmi yang lincah juga tidak kurang lasaknya.
Puas beri keldai dan kambing pigmi masuk ke kurungan Burung Paradise. Syurga bagi peminat burung berwarna-warni. Burnung agak liar terbang bebas dalam kurungan ini. Namun, ada cara untuk menjinakkan burung-burung tersebut
Penjaga tempat tersebut menghulurkan biji kuaci letak ditapak tangan. Beberapa seketika dua ekor burung nuri telah hinggap atas tapak tangan Damia. Bagi melepaskan burung tersebut sekadar membuang sahaja makanan tersebut pasti terbang semula ke tempat lain.
Tinggal seekor yang masih setia menghabiskan makanan. Damia sampai lenguh tangan ketika burung-burung itu hinggap.
Suasana dalam sangkar Paradise meriah dengan burung-burung. Selagi makanan ada selagitulah bertenggek atas tangan.
Dua ekor yang khusyuk makan hingga menyebabkan tangan Damia letih. Kemudian mengikut kata Penjaga dengan menjatuhkan biji kuaci tersebut ke lantai pasti burung tersebut turut terbang ke tempat lain.
Ketika leka melihat burung makan ditangan Damia, tiba-tiba seekor burung telah hingga pada bahu penulis. Menurut Penjaga burung tersebut, burung ii sememangnya sangat peramah. Tidak silu segan untuk menyapa para pengunjung.
Ini merupakan spesies merpati paling besar di dunia. Siap ada jambul atau crown atas kepala.Burung merpati yang jarang dijumpai kecuali di sini The Bentong Farm.
Lihatlah perbezaan saiz antara merpati biasa dengan merpati bersaiz besar tersebut. Menurut Penjaga tersebut, burung merpati besar ini tetap boleh terbang seperti burung-burung yang lain.
Puas memberi makan, terus keluar dari Bird Paradise. Sebelah kurungan ini merupakan kawasan Pony Ride. Tiada pula Penjaga di kawasan tersebut. Sudah pastilah Damia akan mencuba menunggangnya. Kegemaran menunggang kuda setiap tempat yang ada perkhidmatan aktiviti ini.
Bertentangan Pony Ride merupakan Longkang Fishing. Aliran air seperti longkang yang mengandungi ikan berenang-renang. Sayangnya ikan-ikan yang terdapat dalam longkang itu agak besar. Bukan saiaz kecil kebiasaannya yang ada di Petting Zoo yang lain. Damia ingin cuba menangkapnya. Atas nasihat abahnya terus akur dan tidak mencuba. Ini kerana ikan yang agak besar lebih sukar untuk ditangkap. Masa akan terbuang begitu sahaja.
Sebelah Longkang Fishing merupakan Tortoise Cafe. Pengunjung boleh melepaskan lelah sambil menikmati hidangan. Tortoise Land kawasan kura-kura gergasi. Ada tiga spesies kura-kura gergasi di sini. Selalu melihat spesies Sulcata sahaja. The Bentong Farm ada dua lagi spesies kura-kura iaitu Aldabra dan Leopard. Anak-anak kura-kura yang masih kecil juga dapat dilihat pelbagai peringkat umur.
Stesen 9W2DYA-5 menjelajah kawasan The Bentong Farm. Hasil cerapan data di APRS.FI menunjukkan altitud ketinggian adalah 148m dari aras laut. Memang agak tinggi di kawasan berbukit-bukau ini. Peta The Bentong Farm dalam google map.
Selepas melepasi Tortoise Cafe, akan melalui Bunny Land. Arnab-arnab dalam bekas masing-masing. Damia lebih berminat untuk ke MooMoo and Friends.
Kandang pelbagai haiwan ternakan. Kerbau putih lebih banyak berbanding di Seri Kembangan. Mungkin ambil bawa dari Bentong ke Seri Kembangan.
Selain kerbau putih, kambing merupakan haiwan peliharaan yang mencuri tumpuan. Telatah dan gelagat yang mencuit hati pasti menjadi ingatan kepada para pengunjung.
Lembu sudah pastilah ada dalam kandang ini. Namapun MooMoo. Jinak ketika dihulurkan rumput. Sebenarnya di kawasan base station Pekan Bangi, Damia suka melihat haiwan seperti kambing, lembu dan kerbau sedang sibuk meragut. Burung bangau sering bersama kerbau. Penternakan lembu kerbau dan kambing masih wujud di Bangi.
Burung Emu ini agak liar. Sukar untuk diberi makan. Berkeliaran sekitar kawasan kandang ini.
Inilah yang dikatakan telatah kambing pasti mencuitkan hati. Habis tempat bekas makanan diduduknya kambing seekor ini. Kawan hendak makanpun tak boleh.
Perjalanan turun semula ke replika durian. Pemandangan pelbagai pokok buah-buahan yang ditanam di kawasan ladang ini. Bentuk muka bumi beralun di kawasan ini sesuai untuk penanaman buah-buahan. Kawasan bawah terdapat aliran air yang dijadikan kolam ikan. Sayangnya kawasan tadahan kolam telah kering untuk penambahbaikan.
Stesen 9W2DYA-5 telah tiba di Monkey Spring. Data menunjukkan altitud ketinggian 153m dari aras laut. Walaupun terpaksa turun ke lembah, ketinggiannya masih lagi tinggi berbanding di kawasan penternakan haiwan tersebut.
Monkey Spring ini hanyalah terdapat patung monyet sahaja. Jangalah berharap terdapat kurungan monyet di sini. Kawasan kolam untuk mandi-manda sahaja. Semasa dalam perjalanan turun ke kolam ini, kedengaran di pokok luar kawasan monyet-monyet bergerak. Hanya dengar bunyi dan pergerakan pada pokok sahaja.
Kawasan ini mempunyai pelbagai peringkat kolam. Peringkat pertama terdapat air terjun. Sangat seronok duduk di bawah deruan air terjun tersebut. Airnya agak sejuk juga. Maklumlah kawasan bukit yang agak tinggi juga. Suasana persekitaran yang mendamaikan jiwa. Kawasan hijau pokok-pokok buah-buahan dan pinggir hutan juga.
Kolam pertama ini seronok untuk berendam. Terdapat kipas gergasi di sebelah kolam ini. Sewaktu kami baru tiba, staf telah menghidupkan kipas tersebut. Maka, bertambahlah kedinginan apabila angin menerpa tubuh badan.
Terdapat dua aliran air. Aliran utama menyambungkan kolam yang besar. Manakala, satu aliran lagi ke kolam kecil. Kolam-kolam kecil ini sesuai untuk kanak-kanak. Terdapat aliran yang menyambung di antara satu kolam dengan kolam yang lain.
Kolam kecil ini sesuai untuk kanak-kanak. Ini kerana cetek dan selamat untuk kanak-kanak bermain air. Hadapan di bawah adalah aliran kolam utama yang agak dalam.
Air terjun di kolam pertama. Sempat meninjau dibalik air terjun ini. Aliran air di empang secara semula jadi dan menggunakan sistem tapisan agar ia mengalir jernih. Umpama empangan mini menahan air menjadi lebih banyak dan jernih. Tidak nampak pula aliran sungai di bahagian hulu. Ternyata proses pembersihan semula jadi berjaya menghasilkan kualiti kejernihan air yang lebih baik. Air bukit ini sangat baik dan sejuk sekali. Jikalau bahagian hulu diterokai dan dimusnahkan pasti aliran ini semakin keruh dan sedikit isipadunya.
Oleh itu, kawasan hijau perlu dikekalkan bagi menjamin sumber air berterusan. Kawasan tadahan air seperti ini harus dikekalkan bagi menjamin sumber air yang bersih. Kemusnahan dan kerosakan kawasan hijau pasti menjadi bencana kekurangan sumber air untuk kehidupan sejagat.
Stesen 9W2DYA-5 berada di kolam pertama titik tertinggi di kawasan Monkey Spring ini. Ketinggian yang direkodkan adalah 163m dari aras laut. Patutlah aliran air sungai ini sejuk sekali. Ketinggian lembah bukit ini menghampiri altitud 200 meter.
Damia berada di kolam pertama. Pastikan anak-anak anda sentiasa di awasi ketika berada di dalam air. Aktiviti air sangat berisiko tinggi terutama kejadian lemas dan hanyut di bawa arus. Cuaca pagi itu sangat baik dan cerah. Maka, sangat sesuai untuk berendam.
Gelongsor ini merupakan penyambung antara kolam pertama dan kedua. Pasti seronok dapat turun dari atas menggelongsor masuk ke dalam kolam. Penulis mencuba beberapa kali. Sudah pasti ia sangat menyeronokkan. Damia tidak mencuba kerana terlalu curam dan agak tinggi bagi kanak-kanak perempuan.
Kolam kedua ini agak memanjang dan dalam. Pastikan kanak-kanak diawasi selalu ketika bermain dalam kolam ini. Cahaya matahari menembusi kolam ini dengan lebih banyak. Maka, sedaplah berendam di sini. Tidak terlalu sejuk rasa kerana pancaran mentari mengenai kulit.
Damia duduk di penyambung aliran air antara kolam. Untungnya sewaktu mandi di sini tiada orang lain. Hanya kami berdua sahaja menikmati kedingan aliran air di kolam ini. Perasan masa kami pulang, baru ada orang lain hendak ke Monkey Spring ini. Rasa, dunia ini ana yang punya. Seronok mandi tanpa ada orang lain sekali. Sudah jadi private pool pula.
Rakaman video oleh Damia ketika abahnya bermain gelongsor. Sangat seronok dan menarik bukan? Datanglah ke sini bagi menikmati kedinginan aliran bukit semula jadi. Kolam-kolam buatan ini mengindahkan lagi suasana percutian anda.
Puas berendam dan berenang bersiap sedia untuk turun semula ke bawah. Ada kemudahan tandas. Sebelum itu membilaskan diri di shower yang disediakan di tepi kolam. Bersalin baju ditepi kolam sahaja memandang tiada siapa di kawasan kolam tersebut. Cuma seorang staf sahaja yang menunggu kami habis mandi-manda. Setelah kami selesai staf tersebut turut turun ke bawah bersama. Menurut beliau monyet sememangnya ada di kawasan luar pagar tersebut.
Selepas mendaki agak curam sedikit dari Monkey Spring, akan bertemu Phantasy Hill. Kawasan taman dihiasi pelbagai arca. Penulis lebih suka menghayati keindahan bukit yang berbalam-balam dihadapan mata.
Menghampiri replika buah durian terdapat sebuah kolam di sebelah kanan. Sebenarnya di Monkey Spring terdapat kolam ikan juga. Selepas bertukar pakaian kering. Damia mencampakkan makanan ikan tersebut ke dalam kolam ikan. Kolam ikan merupakan kolam ketiga yang terakhir di situ. Seterusnya aliran air tersebut turun ke bawah. Hanya kolam pertama dan kedua sahaja untuk aktiviti mandi-manda. Kolam terakhir paling bawah merupakan kolam ikan.
Replika buah durian merupakan simpang ke Monkey Spring dan Farm. Ketika ini, pokok durian baru berputik. Tidak lama lagi pasti akan membesar buah durian tersebut. Ini juga bergantung keadaan cuaca. Jikalau musim hujan risiko untuk luruh pasti tinggi dan tidak sempat membesar. Eloklah membawa anak datang ke sini. Bolehlah ia tahu proses buah-buahan berlaku dan membesar.
Kami berpatah balik semula ke Savannah. Ini kerana bekas makanan masih berbaki. Memberi burung-burung makan agar tidak membazir sahaja. Usai memberi makan turun semula ke kedai cenderamata untuk membeli ais krim bagi menghilangkan dahaga.
Kami bersanti dahulu duduk di ruang legar pusat ini. Deretan kenderaan dipamerkan di sini. Land rover 110 ini pastilah memikat hati. Kenderaan yang lasak biasa dilihat di Cameron Highlands. Mungkin tuan punya pusat ini sangat minat mengumpul kenderaan tersebut.
Tidak terlepas juga melihat keunikan sang Kancil ini. Kereta kompak ini bertukar wajah menjadi buggy. ATV Adventure Ride turut disediakan kepada pengunjung yang berminat dengan aktiviti lasak tersebut. Boleh mendapatkan maklumat pada kaunter aktiviti ini.
Terkenang ketika aktiviti pendakian di Cameron Highlands sewaktu belajar dahulu. Jip sayur inilah menjadi pengangkutan utama ke tempat permulaan pendakian ke banjaran titiwangsa. Land rover yang lasak ini membawa pelbagai sayur-sayuran dan bunga dari kebun-kebun ke pekan sekitar Cameron Highlands. Kami berhimpit-himpit dengan beg galas yang besar di belakang kenderaan tersebut.
Perjalanan seterusnya menghala ke Janda Baik pula. Sebelum itu, perlulah mengisi perut terlebih dahulu. Singgah restoran rangkaian nasi ayam yang terkenal terlebih dahulu. Maklumlah laluan bakal dilalui laluan 68 adalah bengkang-bemgkok.
Rata-rata tempat penginapan di Janda Baik telah penuh. Bilik penginapan mahupun tapak perkhemahan dipenuhi para pelancong tempatan. Mencari hingga ke Kupi Tunggal. Bertanya kepada tuan punya gerai tersebut tentang penginapan. Iapun memberi nombor pemilik Nuang Homestay. Sayang setelah menghubungi pemilik tersebut hanya ada homestay sahaja. Kemudian pemilik tersebut memberi senarai nombor hubungi pengusaha penginapan di sekitar Janda Baik tersebut.
Penulis mengandaikan semua tempat telah penuh. Memandangkan ketika mencari tadi, kelihatannya semua tempat dipenuhi kenderaan dan khemah sahaja. Bersebelahan Kupi Tunggal tersebut terdapat pengusaha Glamping. Cuba menanyakan tentang penginapan. Staf menyatakan bahawa tiada penginapan kosong. Cuba bertanyakan kadar harga khemah tersebut. Staf menyatakan untuk bermalam sebuah khemah berharga lebih seribu ringgit. Khemah besar dan mempunyai ruang yang banyak. Hanya orang berkemampuan sahaja sanggup membayar penginapan khemah tersebut.
Pilihan terakhir Penulis cuba mencari di Cherengin Hills. Alhamdulillah ada bilik kosong walaupun bilik agak jauh. Bilik jauh tidak ada masalah. Perkara yang penting adalah dapat bilik dan bolehlah berehat. Menghadap pula kolam renang. Apa lagi! Damia teruja sangat untuk masuk ke dalamnya. Sebelah petang itu dipenuhi aktiviti bermandi-manda sahaja. Sebelah malam pula makan di Pulau Santap. Tidak jauh dari tempat penginapan. Makan di tepi sungai sambil mendengar deruan air serta bunyi pelbagai serangga dan katak.
Hari Ketiga Ahad 7/9/2025
Bersarapan di kafe hotel terlebih dahulu. Usai bersarapan berjalan di sekitar kawasan penginapan. Cuaca pagi itu amat baik dan cerah sekali.
Aktiviti pagi itu adalah mandi-manda sahaja di kolam. Berdasarkan data stesen 9W2DYA-5 altitud ketinggian kawasan hotel ini adalah 422m. Pemandangan menghadap banjaran gunung Nuang dan sekitarnya. Ketika mandi-manda sebelah petang semalamnya air kolam terasa agak sejuk. Faktor ketinggian mungkin menyebabkan suasana sejuk dan nyaman sekali.
Kemudian bergerak ke padang sebelah kolam. Ada sekumpulan ayam mutiara. Terdapat juga ayam api-api ini berwarna putih. Ayam-ayam ini sibuk mencari makan di padang.
Damia yang suka akan haiwan pasti teruja melihat sekumpulan ayam mutiara ini sibuk mencari makan. Apa lagi! Damia seronok mengejar ayam-ayam tersebut. Kelihatan belakang hotel ini terdapat reban ayam kecil. Tidak hairanlah pagi-pagi telah berkokok. Sebelah petang semalam padang ini telah digunakan untuk aktiviti membina kumpulan atau pasukan. Ada pakej Teambuilding dan perkhemahan disediakan oleh pihak pengurusan.
Sempat jugalah Penulis meninjau tapak perkhemahan di kawasan bersebelahan padang tersebut.Tapak perkhemahan atas bukit sudah pasti menyajikan pemandangan indah.
Bergerak ke bilik untuk menukar baju mandi. Damia membawa pelampung flaminggonya serta sebiji bola. Terdapat dua kolam disediakan untuk kanak-kanak dan dewasa. Pada pagi itu, kolam ini tetaplah sejuk airnya. Tidak menjadi masalah bagi Damia yang suka berendam dan pantang tengok air.
Pada pagi itu juga terdapat satu keluarga membawa bayinya mandi. Namun, ketika memasukkan bayi ke dalam kolam ia telah menangis. Sudah pastilah bayi itu menangis kerana tidak tahan dengan kesejukan air kolam tersebut. Bayi dalam perut ibu telah berenang. Jikalau campak dalam air pasti ia seronok.
Sebelum daftar keluar sempat bergambar di hadapan papan tanda Cherengin Hills Convention & Spa Resort. Penginapan hari terakhir cuti Maulud Nabi.
Sebelum pulang ke Bangi singgah makan terlebih dahulu di Warung Janda Baik. Sudah pastilah batu penanda 0 Km menjadi sasaran utama. Mudah mencari warung yang hanya di tepi jalan utama sahaja.
Pesan nasi lemak hijau bersama ayam berempah pasti enak sekali. Perut perlu diisi kerana perjalanan menuruni bukit dari Genting Sempah jalan bengkang-bengkok. Hiasan kedai ini berkonsepkan barang-barang lama. Pelbagai barangan lama menjadi hiasan amat menarik sekali. Dekorasi barangan lama tersebut pasti menambah pengetahuan generasi kini. Ini kerana barangan tersebut tidak wujud lagi.
Usai makan dan bergambar pada 0 km, meneruskan perjalanan pulang melalui jalan lama. Laluan 68 lebih seronok dan menenangkan pemanduan berbanding lebuhraya yang pantas. Tiba Gombak terus ke Kuala Lumpur dan masuk ke Lebuhraya Sg Besi E9. Berakhirlah percutian singkat cuti Maulud Nabi setelah selamat tiba di Bangi.
Jumpa dan jumpa lagi
Selamat memburu!
73, Jojet de 9w2dya