Pagi Tahun Baharu 2026 telah dapat melakukan satu pusingan Tasik Putrajaya. Laluan yang diambil sebelah Cyberjaya. WX pagi ini mendung sahaja. Ini amat memudahkan pergerakan. Pusingan mengikut lawan jam.
Laluan dirancang mengarah ke Marina terlebih dahulu. Meletak jelopi di Kompleks Sukan Air, Presint 5. Bersiap sedia memanaskan badan, singgah tandas terlebih dahulu. Pagi cuti umum ramai orang melakukan aktiviti kecergasan. Ada juga yang membawa anak kecil dalam kereta sorong. Ada berbasikal, berlari dan berjalan kaki sahaja.
Usai keluar tandas terus bergerak menghala ke Marina. Lalu pantai buatan terlebih dahulu dan hotel lima bintang. Sebelah hotel barulah tiba di Marina. Ada beberapa orang bersedia untuk aktiviti wakeboard dan wakesurf atau luncur air
Semasa leka meneruskan perjalanan terperasan jam garmin telah berhenti berfungsi. Maka, segala data tidak dapat direkodkan. Nasib baik telefon pintar telah tersedia aplikasi Gaia GPS. Memilih mode walking untuk meneruskan perjalanan.
Pemilihan mode walking adalah kerana permukaan laluan di sepanjang sisir tasik merupakan permukaan simen yang keras. Penulis tidak dapat menggunakan laluan tersebut untuk berlari. Ini kerana memberi kesan kepada kedua belah lutut. Berjalan laju tidak menjadi masalah.
Pemandangan sebelah Kompleks Rekreasi Air tempat bermula perjalanan pagi ini. Gambar ini diambil selepas melepasi Jambatan Seri Gemilang yang berhadapan dengan PICC itu. Menyeberang jambatan itu menandakan kita telah memasuki Pulau Putrajaya. Menyusur sisir tasik terus keluar ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Laluan sisir tidak dapat diteruskan kerana kawasan hutan. Maka perlu lencong ke Jalan Tuanku Abdul Rahman ini.
Kemudian menghala ke Anjung Floria turut tutup kerana ada acara Festival Lentera 2025 Putrajaya. Festival ini berlangsung dari 26 Disember 2025 hinga 4 Januari 2026. Tiket dewasa warganegara RM10 dan kanak-kanak wargenegara RM5. Maka terpaksalah merentasi Jambatan Seri Saujana terus ke jalan yang sama. Jalan Tuanku Abdul Rahman dilalui hingga menghampiri Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Masuk semula laluan sisir tasik.
Jambatan LRT ini akan bertukar fungsi sebagai laluan pejalan kaki dan berbasikal. Satu keputusan yang bagus diambil dapat menggalakan lebih ramai beriadah di keliling Tasik Putrajaya ini. Kelihatan laluan naik ke jambatan ini bagi sebelah Pulau telahpun ada. Manakala sebelah tanah besar kelihatan tiang sahaja. Siap kelak mudahlah berjalan kaki sahaja ke Ayer 8 dari Anjung Floria.
Pemandangan Monumen Alaf Baru tiang yang runcing tersebut. Masjid Putra turut jelas kelihatan di bahagian tengah serta sebelah kiri pula adalah Perdana Putra. Jambatan ketiga yang akan direntasi turut nampak adalah Jambatan Seri Wawasan.
Sisir tasik sebelum Monumen Alaf Baru menjadi tumpuan keluarga berkumpul dan berkelah. Pagi itu juga telah sibuk perkhidmatan bot-bot bergerak ke sana ke mari. Ini telah menghasilkan ombak memecah kesunyian. Ikan-ikan berenang dengan hati yang girang. Mana taknya ada pengunjung yang menghulurkan roti. Berkocak air merebut makanan. Keseluruhan Tasik ini merupakan kawasan larangan bagi aktiviti memancing.
Ada Taman Hobit dekat Monumen Alaf baru tersebut. Ternampak tandas singgah sekali lagi. Ada mesin vending air. Cuba membeli namun duit kertas tidak ditelannya. Perjalanan telah melebihi 5 km. Lalu Mekdi ramai orang tengah bersarapan. Kemudian terus melintasi Pulau melalui Jambatan Seri Wawasan tersebut. Terdapat pelancong asing turut menggunakan sambil mengambil gambar kenangan.
Pemandangan tasik dari Jambatan Seri Wawasan. Laluan sebelah kiri telah dijelajahi. Tinggal bahagian sebelah kanan pula akan menyusul. Jarak perjalanan telah 6 km. Turun jambatan terus ke Ayer 8.
Jambatan gantung yang indah dan unik senibana. Jambatan terakhir dilalui sepanjang misi mengelilingi Tasik Putrajaya. Tiba di Ayer 8 mencari sebotol air. Hanya kedai Subway yang kelihatan menjadi sasaran. Tanpa berlengah terus mencapai air dalam peti sejuk kecil lalu terus membayar. Nikmat betul minum air sejuk ketika penat berjalan. Cuaca tidaklah begitu panas namun tetap dahaga setelah menempuh jarak lebih 6 km.
Selepas membeli air mentari pun mengintai memancarkan cahaya sedikit demi sedikit. Maka, gambar lebih nampak terang sebelum seperti ini. Gambar-gambar yang awal ketika pagi yang agak mendung.
Suasana redup sedikit di bawah Jambatan Seri Saujana yang menghadap Anjung Floria di Presint 4. Kedua-dua tiang yang menampung beban jambatan ini berada di bahagian tengah agak kecil dan tidaklah terlalu lebar. Punca kabel di atas jambatan yang lebih menyokong bebanan tersebut.
Melepasi jambatan tersebut melalui bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di Presint 8. Mula memasuki kawasan teluk bersebelahan dengan Cyberjaya. Suasana damai serta mententeramkan jiwa. Pokok-pokok menghiasi sepanjang trek memberi udara segar.
Tangkap layar di atas menunjuk tempoh masa perjalanan telah mencapai 2 jam 15 minit 59 saat. Jarak telah dicapai dalam tempoh tersebut adalah 10 km. Penghujung teluk itu telah bermula sempadan Negeri Selangor dan Putrajaya. Sempadan ditanda dengan pagar yang ditanam pokok. Sempadan tersebut beberapa meter dari tebing tasik. Ini menunjukkan sepanjang perjalanan di tepi tasik ini adalah dimiliki oleh Putrajaya.
Pemandangan dari hujung teluk menampak PICC jauh nun di sana. Terserempak dengan beberapa orang yang masih beriadah walaupun mentari hampir tegak atas kepala. Ada yang menggunakan kasut roda yang sebaris dan juga yang klasik ada empat tayar itu. Permukaan pejalan kaki agak rata memudahkan aktiviti rekreasi ini dimainkan. Pelbagai jenis basikal turut melalui laluan tersebut. Maka, pasti kedudukan kita di tepi laluan memudahkan pengguna lain untuk melaluinya juga.
Melepasi selekoh teluk yang pertama. Pemandangan ke arah Cyberjaya. Kawasan ini tiada berpokok. Umpama berjalan di tepi pantai dengan terikan panas mentari. Namun awan masih banyak. Sesekali melindungi panas mentari yang membara itu.
Pemandangan PICC serta bangunan berhampiran Dataran Gemilang. Tebing tasik berumput sahaja. Hanya berpagar pada bahagian saluran air ke tasik sahaja.
Penat berjalan di atas permukaan simen sekali-sekala berjalan di atas rumput pula. Kadang mengambil jalan pintas melalui atas rumput tersebut. Bergerak di atas rumput lebih lembut. Masih berembun pasti kasut boleh basah. Selisih dengan dua orang ultra rasanya. Bertegur sapa mengatakan cuaca semakin panas bang!. Pelari ultra berlatih dengan jarak yang lebih jauh di waktu panas sebegini.
Laluan lurus ke penghujung teluk kecil. Sebelum itu melepasi taman permainan. Pernah bawa Damia ke kawasan tersebut Persiaran Tasik Cyberjaya. Masuk sahaja pagar telah memasuki Putrajaya. Boleh dilihat tiada pokok menutupi laluan di kawasan ini. Saujana mata memandang tasik dihadapan mata.
Melepasi penghujung teluk sebelah Cyberjaya dalam masa 2 jam 38 minit 7 saat. Elevation 31 m dari aras laut. Speed 3.7 km/h ketika hendak screenhot. Sepanjang berjalan ini penulis memastikan kelajuan kekal 5 km/h.
PICC serta bangunan di Dataran Gemilang seolah semakin dekat. Perjalanan semakin menghampiri ke Kompleks Sukan Air. Hakikat sebenarnya terpaksa menempuh satu lagi teluk kecil bersebelah kawasan perumahan sebelah Persiaran Tasik. Lebih spesifik lagi di Jalan Cyber Suria.
Laluan bahagian ini berpagar. Ini memandangkan sisir tasik sangat menghampiri laluan. Sebelah kanan pula terdapat tiang lampu bagi menerangi suasana ketika malam. Laluan menghala ke perumahan Cyber Suria. Teluk terakhir ditempuhi.
Sebelah kanan tersebut kawasan hutan di sebalah Kompleks Sukan Air. Sekali-sekala berjalan atas rumput lagi untuk mendapat jalan pintas. Kadang kembali semula ke laluan kerana kawasan rumput itu dipenuhi air.
Meninggalkan kawasan perumahan di selekoh terakhir mula berjalan laluan bertar. Permukaan tarmac ini sangat sesuai untuk teruskan larian. Akibat sudah penat teruskan berjalan laju sahaja. Terdapat pokok turut di tanam sebelah tepi tasik. Kelihatan juga aliran air bersih dari hutan mengalir ke tasik dengan jernih sekali. Tiada perangkap sampah pada aliran keluar tersebut. Ini menggambarkan air dari hutan lebih bersih berbanding longkang kawasan perumahan yang memerlukan perangkap sampah dan kotoran. Perangkap yang di pasang pada aliran yang masuk ke dalam tasik.
Tiba dengan selamat di Kompleks Sukan Air. Namun perjalanan diteruskan semula ke Marina. Teruskan perjalanan melalui kolam renang dan hotel sekali lagi.
Tiba di Marina pada tempat permulaan tadi terus screenshot pada jarak terakhir tersebut. Satu pusingan penuh pagi itu adalah 14.25 km. Catatan masa yang direkodkan adalah 3 jam 10 minit 19 saat. Tiba jam 12:19 tengah hari.
Titik pertemuan melengkapkan satu pusingan berjalan di Tasik Putrajaya sebelah Cyberjaya. Kemudian terpaksa berpatah balik ke jelopi yang diletakkan berdekatan dengan kolam renang. Berjalan hingga cukup jarak 15 km. Kemudian beli air dekat kolam renang kerana terdapat mesin vending di situ. Biasa mandi kolam dengan Damia pada hari ahad pagi di situ. Bayaran masuk RM2 untuk dewasa serta RM1 untuk kanak-kanak. Tetapi bayar harga dewasa untuk Damia kerana hendak mandi kolam besar.
Lengkap sudah misi berjalan mengelilingi Tasik Putrajaya sebelah Cyberjaya. Cuaca yang baik turut melancarkan perjalanan. Pastikan bawa bekalan air secukupnya agar tidak dehidrasi. Jumlah masa keseluruahan bagi jarak 15km yang dicapai adalah 3 jam 22 minit 16 saat.
Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya