Anggota ekspedisi Gunung Benom yang hilang dijumpai pagi ini
JERANTUT 19 Nov. -- Seorang anggota ekspedisi Jabatan Muzium Negara yang hilang ketika mendaki Gunung Benom dekat sini tiga hari lepas, ditemui dalam keadaan selamat hari ini.
Nur Liyana Mohd Tahir, 25, ditemui penduduk yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat berdekatan hutan di Kampung Perlok Ulu Cheka dekat Jerantut pukul 9.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut Supt. Mohd Azid Ismail berkata mangsa berada dalam keadaan keletihan dan telah dihantar ke Hospital Jerantut untuk pemeriksaan lanjut. - BERNAMA
Petikan berita diatas melaporkan bahawa operasi mencari dan menyelamat telah berjaya menjumpai mangsa dalam keadaan selamat. Apa yang penulis hendak tekan disini adalah kerjasama semua pihak yang jitu telah membuahkan hasil sehingga berjaya menemui pendaki yang hilang.
Berita kehilangan pendaki di Gunung Benom ini mendapat perhatian kerana ia melibatkan nyawa manusia. Semua orang menanti dan mengharap agar mangsa dapat ditemui dengan selamat.
Perkembangan terkini dilaporkan dinternet melalui facebook oleh insan-insan yang mengharapkan mangsa diketemui. Namun, semangat untuk membantu sesama insan telah mendorong beberapa individu melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.
Sekalung tahniah diucapkan kepada individu secara sukarela membantu mencari mangsa turut dibantu oleh penduduk kampung seperti yang dilaporkan oleh media. Tidak lupa juga pihak berkuasa yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat ini.
Pihak Persatuan Radio Amatur Pahang (Peramah) telah membenarkan pengulang digunakan untuk tujuan menyelamat ini. Inilah pentingnya fungsi radio amatur apabila berlaku saat kecemasan.
Peramah juga telah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat di Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing. Mangsa telah dijumpai jam 12.58 tadi didasar tasik dan dukacitanya mangsa tidak dapat diselamatkan. Operasi ditamatkan pada jam 1340 yang telah dilaporkan oleh Mohamad Norzam Abas dalam facebook Peramah.
Begitu tinggi pengorbanan rakan ham kita dalam tiga hari ini untuk membantu dalam operasi dan menyelamat. Kepakaran yang dimiliki digunakan bagi berbakti kepada masyarakat setempat. Kemudahan dan peralatan yang dimiliki digunakan sepenuhnya bagi melancarkan operasi ini.
Bagi rakan pendaki pula, kepakaran dalam selok-belok hutan dan kemampuan fizikal amat diperlukan bagi operasi sebegini. Ada dalam kalangan mereka ini mempunyai kemahiran navigasi survival dan dapat memberi bantu mula disaat diperlukan. Ada yang mahir setiap cerok sudut lantai hutan dan gunung-gunung di Malaysia ini. Jadi sudah pasti khidmat mereka sangat diperlukan ketika berlaku sesuatu kecemasan.
Ada dalam kalangan mereka juga pemegang lesen radio amatur yang memudahkan lagi urusan komunikasi. Gabungan seperti ini memudahkan lagi urusan menyelamat dan mempercepatkan lagi agar mangsa dapat diselamatkan.
Koordinasi semua pihak terlibat dapat melancarkan urusan menyelamat. Adanya radio amatur menjadi perantara komunikasi dengan agensi kerajaan yang lain. Setiap agensi kerajaan mempunyai jalur sendiri dan berbeza.
Kerjasama yang erat semua pihak ini harus diteruskan agar setiap bencana dan musibah pada masa hadapan diatasi dengan bijak dan baik. Penambahbaikan seharusnya dilakukan agar memudahkan kerja di masa hadapan. Semua pihak harus siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan lebih-lebih lagi dimusim hujan ini.
Pada 1 dan 2 Disember ini pihak Malaysian Amateur Radio League akan mengadakan National Field Day 2012 bertempat di Tasek Taman Jaya, Petaling Jaya. Aktiviti radio amatur ini menjalankan simulasi perhubungan radio seluruh negara apabila berlakunya sesuatu bencana. Pada ketika ini semua stesen hanya akan menggunakan kuasa bateri atau generator sahaja. Semua pihak dijemput untuk melihat bagaimana aktiviti radio amatur ini dijalankan. Tentu seronok melihat sesuatu perkara yang baru.
Sebenarnya aktiviti ini sangat penting kerana kita dapat mengetahui kemampuan kita dalam menghadapi sesuatu bencana. Perkhidmatan radio amatur akan menjadi tunggak utama apabila semua sistem komunikasi yang lain akan terputus.
Akhir kata semua pihak harus bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan. Kerjasama erat semua pihak amat diperlukan bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana.
73, Jojet, 9W2DYA
http://9w2dya.blogspot.com
No comments:
Post a Comment