Pemburuan Batu Tanda 0km dan 1km


 Oleh kerana belon kaji cuaca radiosonde masih lagi jatuh ke Selat Melaka walaupun monsun timur laut telahpun berlaku. Hobi baru dicari bagi memenuhi masa lapang. Kali ini memburu batu tanda jalan raya pula. Pemburuan batu tanda 0 Km dan1 km menjadi sasaran kali ini. Ideanya daripada group di Facebook iaitu Pemburu 0 km dan 0 mile Malaysia dan Menjejak Km 1 Malaysia.


Maka, pada hari ini bermulalah pemburuan batu-batu tersebut. Selepas solat zohor dari Masjid Bandar Seri Putra terus menghala ke Bangi. Namun, sudah tidak kelihatan sebarang petanda. Terus memandu menghala ke Semenyih pula. Tiba di Rinching Hilir terus mencari tempat yang sesuai untuk meletak kereta. Batu pertama Rinching Hilir B24 dijumpai berdekatan jambatan Sg Semenyih. Batu tanda jalan ini bersebelahan dengan Batu Tanda Kg Rinching Hilir ini. Batu ini mengarah ke Semenyih dari Jalan Enam Kaki.



Seterusnya menghala ke Semenyih belok ke kanan selepas melepasi jambatan. Jumpalah batu yang kedua Semenyih FT31 bertentangan dengan warung makan dari Bangi. Pemburuan seterusnya ke Broga pula. Batu tanda Broga N34 dijumpai dari arah Lenggeng berdekatan dangan Outback. Kem yang pernah penulis buat program Pendidikan Luar di sini.



Pemburuan diteruskan menghala ke Lenggeng. Batu tanda Ulu Beranang N34 dari Broga berdekatan dengan pintu kebun. Jarak ke Seremban adalah 27km lagi.



Tiba-tiba setelah memandu ke hadapan lagi kelihatan sebuah lagi batu tanda. Ulu Beranang 1km  namun tiada nombor jalan pula. Batu tanda Ulu Beranang ini merupakan batu asal berbanding yang baru dijumpai tadi.



Kemudian terus menghala ke Lenggeng N34 melalui jalan yang sama dari Broga tadi. Batu tanda Lenggeng N34 merupakan batu tanda yang pertama bagi Lenggeng daripada lima yang berjaya ditemui dengan jayanya. Kemudian singgah ke kedai bagi membeli bekalan air di kedai serbaneka.


Setelah melepas lelah, terus menuju keluar ke simpang jalan hala ke Sungai Jai. Masuk ke sebelah kanan dan terus ke hadapan hingga jumpa batu tanda Lenggeng N142 yang kedua. Kemudian berpatah balik menuju ke Pekan Lenggeng.


Melepasi Pekan Lenggeng terus melepasi jambatan Sungai Sompo pula. Kelihatan batu tanda yang ketiga Lenggeng N34 dari jalan Kampung Sompo. Meletakkan kereta berdekatan bahu jambatan itu. Jalan ke batu tanda Lenggeng N34 telah kedengaran salakan anjing dari rumah berhampiran. Tanpa mempedulikan salakan tersebut terus sahaja merakam gambar batu tanda umpama tiada apa-apa masalah.


Kemudian menghala semula ke Pekan Lenggeng terus masuk simpang kanan ke Pantai. Batu tanda Lenggeng N30 yang keempat berdekatan dengan rumah kampung. Kedudukan batu dari arah Pantai ke Lenggeng.


Akhir sekali, batu tanda Lenggeng N30 yang ke lima boleh ditemui di jalan Kg Rawa. Jalan kampung yang agak sempit ini perlulah memandu dengan lebih berhati-hati. Najis binatang ternakan juga banyak kelihatan dibahu jalan terutamnya atas rumput yang menghijau.


Pencarian diteruskan melalui jalan yang sama ke Sungai Jai. Batu tanda Sungai Jai N36 selepas simpang jalan N142. Laluan yang sama bagi batu tanda Lenggeng yang kedua tadi. Sebab itulah Lenggeng mencapai lima buah batu kerana terdapat lima laluan menghubungkannya. Rasanya ini rekod paling tinggi bagi batu tanda sesuatu tempat.


Terus memandu kehadapan lagi, terlihat batu tanda di dalam pagar rumah orang. Tanpa berfikir panjang terus masuk ke laman lapang tepi jalan itu. Batu terpapar nombor 1 sahaja. Kemudian terlihat papan tulisan beranang di atas rumput. Terus ambil, ternyata tulisan Beranang telah tertanggal. Ambil gambar sambil memegang tulisan menunjukkan bukti Beranang 1km dihadapan. Sebaliknya pula terpapar Lenggeng 7 km. Misi kali ini telah berjaya menemui dua buah batu tanda lama.


Seterusnya memandu hingga ke sempadan negeri dan membelok ke kanan menuju Daching Hilir. Penghujung jalan selepas membelok ke kiri terlihat batu tanda Daching Hilir N21 berhadapan rumah kampung. Berjaya merakam gambar memandu terus keluar ke Beranang. Masuk ke Jalan Enam Kaki tetapi hingga ke Km 2 terjumpa batu tanda tersebut. Berpatah balik mencari dengan berhati-hati ketika memandu. Tiba-tiba terlihat batu tanda yang hanya tinggal tapak sahaja. Batu tanda Km 1 telah musnah, mungkin kerja-kerja di tepi jalan tersebut.



Keluar dari Jalan Enam Kaki belok kanan terus ke arah Mantin pula. Menghampiri Mantin ambil belok kiri ke arah Sg Jai atau Lenggeng pula. Batu tanda Mantin N31 tepi kawasan komersial yang agak menuruni bukit. Meletak kereta terus di tepi jalan dan berpatah balik berjalan kaki bagi merakam gambar. Kemudian mencari di sekitar Pekan Mantin tiada batu tanda lagi. Hanya jarak untuk Seremban dan Kuala Lumpur sahaja yang wujud bagi Jalan nombor 1.


Memandu dari Mantin terus ke arah Nilai pula. Batu tanda Pajam FT3265 berada di tepi jalan arah ke Nilai tersebut. Meletak kereta di kawasan perumahan dan berpatah balik berjalan kaki bagi merakam gambar. Papan tulisan Pajam pun hampir sengit sudah.


Terus memandu ke arah Nilai kenderaan telahpun mulai sibuk. Batu tanda Nilai FT3265 berada di tepi pagar rumah. Sempat meletak kereta di hadapan bengkel motor. Tuan bengkel menanyakan kehadiranku. Memaklumkan untuk mengambil gambar batu tanda di tepi jalan. Diapun tersenyum simpul sahaja. Selesai sahaja mengangkat tangan sebagai tanda terima kasih.


Pencarian seterusnya ke arah Salak. Namun tidak menemui sebarang tanda. Seterusnya memandu ke arah Jijan, turut tidak juga menemui sebarang tanda. Akhir sekali terus ke arah Sepang selepas masuk kanan di persimpangan LBJ.


Masuk jalan Sepang B48 merupakan jalan yang telah di naik taraf  daripada dua lorong menjadi empat lorong. Maka, kedua belah arah laluan telah diletak batu tanda jarak. Batu tanda Sepang B48 telah ditemui bersebelahan dengan pondok bas. Kemudian terus memandu ke arah hadapan lagi. Merujuk dalam group FB, Sepang sememangnya mempunyai batu tanda 0 km.


Seingat penulis, sebelum jalan baru dibina batu tanda ini masih belum wujud lagi. Setelah siapnya barulah batu ini diletakkan di kedua arah jalan. Maka, batu tanda ini merupakan batu tanda 0 km yang pertama penulis temui.


Swafoto di tepi batu tanda 0 km Sepang yang menjadi sejarah peribadi penulis. Kawasan Sepang, Bukit Pelanduk, Sungai Pelek dan sekitarnya merupakan kawasan belon kaji cuaca radiosonde jatuh. Sebab itulah penulis agak mahir jalan-jalan kawasan sekitar ini. 

Kemudian solat asar pula di Masjid Sepang berhampiran batu tersebut. Usai solat terus memandu pulang ke Bangi. Sebenarnya, di Pekan Bangi pun ada batu tanda 1km. Batu tanda yang tiap hari dilihat namun tak sempat nak bergambar kerana kesesakan jalan raya waktu puncak pulang daripada kerja.

Selamat Memburu

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...