Masuk Parit


 Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 2405011539 telah jatuh jam 9:30 pagi. Koordinat 2.81683 darjah Utara dan 101.44195 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 145m dan ketinggian maksimum 25,975m.


Belon KLIA yang jatuh tepi jalan perlu diselamatkan dengan segera. Kebetulan selesai tugasan lebih awal, bolehlah menjenguk di lokasi kejadian. Sayang dan rugi tidak menjenguk memandangkan altitud ketinggian akhir agak rendah iaitu 145m. Maka, seharusnya perlu dijenguk dengan kadar segera.


Tiba di lokasi kejadian ternyata belon berada di bahu jalan. Manakla peranti terapung di dalam parit. Peranti tidak akan tenggelam kerana diperbuat daripada gabus polisterina tahan kepada suhu yang ekstrem. Lagipun altitud yang rendah pastilah mudah untuk dijumpai.


Belon dan winder di atas rumput bahu jalan. Manakala, peranti terjatuh dalam parit. Benang disedari bergulung-gulung.


Peranti terapung elok di dalam parit. Tidak boleh hanyut kerana benang masih lagi terikat. Lagipun parit dipenuhi rumput menjalar.


Hasil tangkapan petang tadi belon berjurai elok jumpa di tepi jalan dan peranti di dalam parit.


Hasil tangkapan dalam genggaman radiossonde 2405011539.


Sungai Raba mengalir lesu kelihatannya. Hakikat sebenar aliran agak laju setelah dilihat ke dalam sungai. Sungai mengalir ke muara sungai.


Sungai Raba pemandangan dari arah Banting. Cuaca petang ini agak cerah. Kesimpulannya peranti di tepi jalan perlu diambil segera. Banyak faktor yang membolehkan ia hilang. Kemungkinan pekerja pembersihan memotong rumput dan membuangkannya.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya

Kena Campak Dalam Parit


 Semalam hari ahad sempat melancarkan misi SAR belon secara solo. Lima misi pencarian telah dijalankan. Dua berjaya menjumpai radiosonde dalam keadaan baik walaupun telah beberapa hari mendarat. Namun, belon KLIA pagi itu gagal ditemui kerana keadaan persekitarannya.


Misi pertama mencari belon ozon yang jatuh pada 7 November 2024. Hasil pencarian di laman sesawang Sondehub terbuktilah bahawa belon ini telah jatuh pada hari khamis pada bulan november ini. Sayangnya titik akhir belon ini berada di dalam kawasan lapangan terbang. Belum cuba belum tahu. Bila sudah pergi baru tahu keadaan persekitarannya.


Memandu dari base di Bangi terus ke Kota Warisan. Lepak di port terlebih dahulu menikmati sarapan memberi tenaga misi SAR seharian. Sambil menunggu mengatur strategi untuk misi seharian. Memasuk koordinat siap-siap bagi misi yang awal yang dijalankan pada aplikasi GPS Waypoint Finder.


Usai sarapan terus ke lokasi kejadian radiosonde 1032405024 telah jatuh 7 November 2024 jam 12:31 tengah hari. Koordinat 2.74092 darjah Utara dan 101.67699 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 133m dan ketinggian maksimum 22,556m adalah rendah bagi belon ozonsonde. Biasanya melepasi altitud 30 ribu meter.



Sampai lokasi meletak kereta di tepi jalan. Biasa tepi jalan ini menjadi tumpuan umum melihat kapal terbang berlepas. Sempadan dengan ladang kelapa sawit memudahkan untuk akses kawasan tersebut. Menyusur tepi pagar hingga menghampiri titik akhir. Berada luar pagar melihat arah ke titik akhir. Mata tajam memerhatikan sebarang objek berada di atas rumput. Tidak kelihatan kotak ozonesonde.


Laluan sawit di tepi pagar KLIA antara laluan belon jatuh. Altitud ketinggian terakhir 133m sangat rendah. Kebarangkalian jatuh tepat dalam kawasan KLIA. Merujuk peta satelit titik akhir di tepi parit. Jikalau hanyut pasti tersangkut pada palang-palang yang menghalang masuk KLIA di parit tersebut. Kotak ozonesonde sangat besar pasti tersangkut walaupun sudah beberapa hari berlalu.



Pemandangan tepi pagar ke titik akhir tidak kelihatan sebarang tanda. Rasanya kotak putih yang gak besar itu pasti sudah diambil pihak berkuasa. Maklumlah kawasan lapangan terbang merupakan kawasan larangan. Sebarang objek yang ditemui pasti dikutip dan dilupuskan dengan kadar segera. Jarak pagar ke titik akhir adalah 45.5m sahaja.



Pemandangan laluan sawit tepi pagar menghadap arah sungai. Kawasan laluan jangkaan belon jatuh. Puas mencari tetapi tidak ada. Andaian jatuh di atas laluan tanah merah ini kemungkinan boleh hilang juga.


Sungai di tepi laluan sebelah pagar tadi. Dua baris pokok sawit sahaja. Mencari hingga ke tebing sungai ini. Manalah tahu kalau tersangkut macam biasa. Berjalan hingga ke atas sedikit ada orang menahan jala. Boleh tahan banyak juga ikan di dalam sungai tanah gambut ini. Kemudian berpatah balik semula ke kereta. Selisih jug adengan beberapa Orang Asal yang menahan jala juga.


Misi kedua di Ladang KLIA. Memohon kebenaran masuk dari pengawal yang betugas. Pengawal tersebut tidak membenarkan masuk. Namun, membenarkan kereta diletakkan berdekatan jalan masuk tersebut. Perlu jalan di tepi jalan besar kemudian menyusur melalui lorong kelapa sawit sebelum bertemu jalan berturap.


Jalan berturap ini sebelah lebuh raya Elite ke KLIA sahaja. Melepasi tali air tanah gambut pemandangan biasa bagi ladang-ladang di keliling KLIA ini.


Menghampiri titik akhir berhampiran susur keluar ke Masjid KLIA dari lapangan terbang. Terdapat parit kecil di situ. Bergerak ke arah deretan pohon kelapa sawit. Tepat pada titik akhir terlihat benang tergantung. Terlihat belon di atas tanah.


Tercari-cari peranti di tanah. Rupanya peranti tergantung di tas pokok. Semasa memandang ke atas tidak nampak apa-apa. Setelah benang di tarik barulah peranti kelihatan turun ke bawah. Umpama upacara menaikkan bendera. Benang dilepaskan perlahan-lahan ke atas. Akibatnya peranti turun ke bawah. Kali ini bernasib baik. Pernah peranti tersangkut di atas pelepah dan tidak boleh diturunkan. Pernah juga hilang dibawa lari monyet. Tarik-tarik benang terus jatuh ke bawah tanpa ada peranti terikat.


Peranti tergantung elok selepas benang ditarik. Hadapan kelihatan parit kecil. Tali benang perlu diputuskan. Ini perlu untuk memudahkan benang digulung untuk dibawa pulang.



Umpama upacara menaikkan bendera peranti tergantung elok. Tidak perlu tarik ke atas semula bagi mendapatkannya. Sekadar memotong benang. Kerja menggulung amat mudah setelah benang diputuskan dari peranti. Sebab itulah perlu ada pisau lipat atau gunting bagi memutuskan benang tersebut.


Akhirnya berjaya membawa pulang peranti radiosonde 2405012518. Kemudian kerja perekodan di laman sesawang sondehub. Turut mengambil gambar bukti untuk penulisan blog ini. Turut digunakan dalam meda sosial lain seperti muka buku, whatsApp, dan telegram. Penyebaran aktiviti memburu belon perlu dikongsikan agar masyarakat faham akan aktiviti ini.



Kalau masyarakat terjumpa peranti dan belon seperti gambar di atas, tidak perlu takut menyangka bahan letupan pula. Pelekat pada tubuh peranti tersebut ada menerangkan benda itu.


Papan iklan besar menghiasi bahu jalan. Dekat sahaja jalan susur keluar KLIA. Malangnya tidak boleh masuk dari sebelah sana. Kawasan larangan berpagar. Perlu masuk dari pintu utama ladang ini lebih selamat. Usai perekodan berpatah balik ke kereta. Jumpa Pengawal yang mengizinkan tadi sambil menunjukkanbukti penemuan.



Misi ketiga merupakan mencari belon KLIA pagi yang baru jatuh di kampung Olak Lempit. Jatuh di kawasan dusun durian yang agak bersemak. Isyarat masih lagi aktif dapat didengari sejak dari  jalan besar. Perlu menempuh dua buah rumah orang kahwin sebelum tiba di kawasan rumah sewa 20 pintu. Semasa hendak masuk kawasan dusun tersebut telah disambut oleh dua ekor siamang. Habislah pasti jadi habuan siamang ini mendapatkan peranti yang disangka makanan.


Selepas keluar dari dusun tersebut, sempat bersembang dengan salah satu penyewa di situ. Berceritakan tentang radiosonde dan belon kaji cuaca. Sangat rancak kami berbual kerana penyewa tersebut sangat faham dan ada pengetahuan sedia ada. Selepas itu, meminta izin untuk bergerak ke misi lain pula.


Misi ke empat jatuh di Teluk Datuk berdekatan tangki air di Bandar Sungai Emas. Menyusur masuk melalui jalan yang telah siap terus ke tangki air. Kemudian bergerak ke belakang pagar. Sudah terlihat peranti terapung di dalam parit belakang tangki air tersebut.


Tercari-cari juga lokasi belon dan benang. Pelik! hanya ada peranti sahaja terapung di permukaan parit. Belon ini jatuh pada 14 November 2024. Lebih seminggu telah jatuh tetapi masih berada di dalam parit tanpa dihanyutkan.


Kemudian hendak melintas parit bagi mendapatkan peranti yang terapung di tepi parit. Tiada titi untuk menyeberangi parit tersebut. Menyusur pagar tangki air hingga ke penghujung. Baru perasan benang ada di situ. Betullah arah belon jatuh arah ke situ. Rupanya peranti telah dipatahkan dan seterusnya telah dicampakkan ke dalam parit tersebut. Ada kesan peranti dipatahkan pada bahagian tangkai yang mengikat benang masih kekal di situ.


Belon dan winder dalam semak penjuru pagar tangki air. Tiada laluan untuk menyeberang. Terpaksalah berpatah balik menghala ke seberang melalui jalan utama berkereta. Jarak belon dan winder ke titik akhir yang ditemui adalah 71.3m. Jarak tangkai pengikat benang ke titik akhir adalah 66.1m. Jarak peranti di dalam parit ke titik akhir adalah 41.3m.


Pemandangan belon di penjuru tangki air ketika ditemui. Ini pun gara-gara mencari laluan untuk menyeberang parit. Bukti ini lebih sahih belon mendarat. Ini tepat mengikut arah belon terakhir mendarat.



Selepas mencari laluan masuk di belakang tangki air baru dapat memegang peranti ini. Ternyata ada orang yang mematahkan tangkai peranti kemudian mencampakkan ke dalam parit.


Gambar satelit dari laman sesawang sondehub menunjukkan bahawa ketika itu tiada lagi tangki air. Belon bergerak selari dengan pagar tangki air.



Oleh kerana ada masa banyak lagi. Singgah semula ke jalan Paya Indah. Semalamnya bersama Arul 9W2OCX, Zahrin 9W2MDZ dan Che Ta 9M2SYG telah sampai di sini. Mencari setakat titik akhir dan tiada laluan. Kali ini mencari laluan hingga sampai ke rumah belakang tasik bekas lombong bijih timah.


Berpatah balik ke titik akhir hingga terus berjalan hingga sempadan rumah teres. Ternyata ada laluan menyusur pagar elektrik yang telah dipasangkan. Malangnya masih tidak juga jumpa radiosonde 2405012508 yang jatuh pada 22 November 2024. Kawasan bersemak tebal menyukarkan pencarian altitud ketinggian terakhir 313m.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat memburu!
73, Jojet de 9w2dya




Belon Ozonesonde Gaya Baru

Credit 9W2OCX

 Belon ozon KLIA telah jatuh pada hari khamis yang lalu telah berjaya ditemui pagi tadi di Nilai. Belon ini disedari oleh Zahrin 9W2MDZ pada petang khamis itu. Pada malam itu telah membuat tinjauan mendapati kawasan tersebut telah berpagar.


Merujuk gambar satelit di atas seolah berada dalam kawasan berair belakang kilang. Setelah Zahrin 9W2MDZ membuat tinjauan didapati telah ditambak menjadi kawasan kilang. Ternyata gambar satelit yang digunakan oleh  laman sesawang sondehub adalah sudah lama. Sebab itulah perlu membuat tinjauan lapangan bagi mendapat gambaran sebenar keadaan terkini.

Credit 9W2OCX

Kebiasaannya belon ozon dilepaskan pada hari jumaat. Mungkin satu hari khamis kami telah terlepas pandang. Patutlah sudah lama tidak perasan belon ozon terbang pada hari jumaat. Belon KLIA ozonesonde 1032405025 jatuh pada 21 November 2024 jam 13:59 petang. Koordinat 2.82921 darjah Utara dan 101.82259 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 122m dan ketinggian maksimum 29,335m. 
Credit 9W2OCX
Tiga stesen telah terlibat dalam misi mencari belon ozon ini di kawasan perindustiran Nilai. Che Ta 9M2SYG sangat teringin pula mencari belon ozon akhirnya hasratnya telah tercapai. Belon ozon kebiasaannya dilepaskan dua minggu sekali. Sudah pastilah menjadi idaman pemburu belon.

Credit 9W2OCX

Meraikan kejayaan menjumpai belon ozonesonde berwajah baru. Sebelum ini radiosonde tidak dilekatkan pada batang paip pvc rasanya. Penulis tidak sempat melihat keadaannya tadi. Sebelum ini ozonesonde yang ditemui, radiosonde dilekatkan bersama kotak ozonsonde tersebut.

Credit 9W2MDZ

Untungnya pencarian kali ini jatuh di kawasan lapang yang berumput tebal. Bayangkan kalau kawasan ini dalam keadaan asal, pasti sukar untuk mengambil jika berada dalam kawasan kolam.


Seterusnya mereka ke Olak Lempit mencari belon KLIA pagi tadi pula. Radiosonde 2405012506 telah jatuh jam 9:16 pagi. Koordinat 2.82065 darjah Utara dan 101.60759 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 474m dan ketinggian maksimum 26,705m.

Credit 9W2MDZ

Mudah akses kerana berada di belakang kawasan perindustrian Olak Lempit. Jatuh di kawasan ladang kelapa sawit tidak merisaukan. Namun, jikalau diusik oleh pekerja atau haiwan liar pasti akan berubah tempat.

Credit 9W2OCX

Kejayaan kedua berjaya menemui belon KLIA pagi tadi. Menurut Arul 9W2OCX, pekerja sawit ada terjumpa belon tersebut tapi membiarkan sahaja. Kalau tersangkut atas pokok, pastilah boleh meminta bantuan mereka bagi menurunkan peranti tersebut.

Credit 9W2OCX

Hasil tangkapan pagi tadi bersama raspi untuk mengesan koordinat terkini. Altitud ketinggian terakhir 474m agak tinggi. Perlu mendapat koordinat baru bagi memudahkan pencarian.


Misi ketiga pula mencari belon KLIA pagi semalam. Jatuh dekat jalan masuk paya indah. Penulis berkesempatan untuk menyertai misi yang ketiga setelah bertolak dari base station di Bangi. Pada mulanya  mereka tidak berani masuk kawasan kebun yang berpagar ini. Demi belon selepas penulis sampai usaha perlu diteruskan. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.

Credit 9W2MDZ

Radiosonde 2405012508 pagi semalam jatuh bertarikh 22 November 2024 jam 9:29 pagi. Koordinat 2.84444 darjah Utara dan 101.64196 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 313m dan altitud ketinggian maksimum 28,105m. Jatuh di tepi bekas lombong bijih timah. Kawasan kebun pisang dan tebu yang telah terbiar.

Credit 9W2MDZ

Laluan masuk ke kawasan kebun perlu melepasi pintu pagar. Bergerak ke titik akhir melalui jalan berpasir. Tiba dititik akhir bersebelahan kebun pisang. Sayang tidak boleh bergerak ke hadapan kerana terdapat parit. Keluar semula ke jalan berpasir, kemudian masuk melalui kebun tebu pula. Kamipun masih tidak boleh sampai ke kawasan pendaratan kerana dihalangi parit juga. Jadi misi ketiga ini telah gagal.


Misi terakhir bagi mereka manakala kali kedua bagi Penulis adalah radiosonde 2405012522. Belon KLIA ini telah jatuh pada 18 November 2024 jam 9:36 pagi. Koordinat 2.80632 darjah Utara dan 101.60737 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 289m dan ketinggian maksimum 30,501m. Jatuh di hadapan Pintu 2 Kilang Besi Lion dekat Labohan Dagang.

Namun, sudah merata mencari di kawasan jalan yang amat lapang ini tidak menemui sebarang tanda. Masuk juga ke dalam tepi pagar juga tiada. Habis tepi jalan kami geledah jikalau belon tercampak hingga ke tepi jalan. Maklumlah laluan lori yang penuh berdebu ini membolehkan sesuatu berkumpul di bahu jalan. Akhirnya mengambil keputusan misi ditamatkan.

Haluan seterusnya pastilah di kedai makan bagi mengisi perut terlebih dahulu. Usai makan semua stesen pulang ke base masing-masing.

Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya


Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...