Monitor 9M2TDX QSO bersama 9W2YQN

 Jam 9:05 pagi sempat monitor QSO diantara  Abg Salman 9M2TDX dan  Abg Yaqin 9W2YQN di Marts SDR. Frekuensi 7130MHz didengar dan dilihat  http://eshail.marts.org.my:8072/?fbclid=IwAR1NID6EH0AyWYLApzt5QlvP8gAhOYGl7C7hdEb5SZ_SxUA6-X6zToGJWw4

Marts SDR melalui perisian KiwiSDR dikendalikan oleh 9M2CNC dan 9M2CQC.

9M2TDX di Kuala Terengganu manakala 9W2YQN berada di Kuantan. Trafik WX kedua tempat hujan. Bersedia menghadapi banjir.

QSO tentang pengalaman banjir yang pernah dialami. Audio di Kuala Terengganu lebih baik berbanding di Kuantan yang agak perlahan.

Jam 9:24 pagi stesen Abg Yaqin 9W2YQN mendarat. Jam 9:24 Pak Yoep 9M2YRS masuk bergabung. Terima Pak Yoep pun baik di Sg Siput Perak. Kuasa pancaran 100w. WX mendung sahaja.

Jam 9:29 pagi  ingin masuk bergabung stesen Izwan 9M2GDX QTH Negeri Sembilan. Gemas WX mendung berangin sejuk sahaja. Antena double bazooka tinggi 30 hingga 35m. Inverted V. 

Jam 9:38 pagi stesen YB5FIR masuk bergabung. Firdinan operator atau Eddy. Terima audio baik raedability 5/9. QTH Sumatera Barat.  Antena Rotary dipole tinggi 20m dari aras bumi.

 Jam 9:54 pagi stesen YB5MB QSO bersama 9M2YRS, 9MGDX.

73, Jojet de 9w2dya

Misi Mencari Radiosonde di Sungai Manggis, Banting

 


Misi mencari radiosonde belon KLIA objek aprs D20052283 di Sungai Manggis, Banting pada hari Rabu 22 Disember 2021. Ia jatuh dibelakang kilang Showa Denko Carbon Malaysia Sdn Bhd.


Pemandangan dari tapak lebuhraya pantai barat (WCE) menghadap belakang kilang. Kawasan berpaya gambut bagi rentis tnb. Altitud terakhir 646m di kawasan kilang dalam pembinaan. Jangkaan mendarat titik terakhir di belakang kilang Showa Denko Carbon.


Lebuhraya pantai barat dalam pembinaan. Kawasan pagar batu putih merupakan kawasan kilang dalam pembinaan. Mencari laluan untuk ke sana. Namun tiada jalan yang dapat menghubungkan. Parit yang agak luas sukar untuk menyeberanginya. Kawasan kilang ini adalah titik terakhir yang dikesan.


Kilang berwarna biru ini dipercayai belon berada di bahagian belakangnya. Tidak pasti diluar atau didalam kawasan kilang. Kawasan paya gambut sukar untuk menjejaknya. Rentis tnb dibina melalui kawasan paya gambut.


Berjaya ke kawasan kilang dalam pembinaan. Titik terakhir belon altitud ketinggian 646m. Berlegar-legar di kawasan itu, namun tiada kesan belon jatuh di sini. Ada juga bertanya kepada pekerja-pekerja jikalau terlihat belon jatuh. Semuanya menjawab tiada.


Mencari juga di luar pagar tembok menghadap paya gambut. Namun tiada kesan kelibat belon dapat dilihat. Mendongak ke atas talian voltan tinggi juga tiada benda yang tersangkut. Weerut 9W2RUT dan Mikefox 9W2SMF berjaya mendapatkan belon yang tersangkut pada talian voltan tinggi di Putrajaya. Jadi tidak mustahil juga ia boleh tersangkut.


Kesimpulannya titik terakhir sememangnya tiada dijumpai. Tapak dijangka jatuh dibelakang kilang biru kebarangkalian jumpa amatlah tinggi.


Pemandangan kawasan kilang dalam pembinaan yang sangat luas. Pekerja-pekerja sibuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Puas hati dengan pencarian sekitar kilang dalam pembinaan. Sasaran seterusnya di belakang kilang biru. Kereta diletakkan berhampiran pondok pengawal. Keluar semula ke kereta mengisi stok air. Seterusnya menuju belakang kilang biru. Tanah ditambak hingga sampai ke belakang kilang itu.


Tiba dibelakang tembok kilang biru, masih tiada apa-apa yang dapat ditemui. Tidak boleh menyusur sepanjang belakang kilang kerana paya gambut dan semak-samun. Pergi juga memeriksa di tepi kawasan paya gambut. Masih tiada apa-apa yang dapat menunjukkan belon berada di situ.


Talian voltan tinggi tiada benda yang tersangkut. Elok dari sebarang gangguan. Paya gambut yang susah untuk diharungi.


Kawasan pendaratan belon dibelakang kilang biru ditandakan. Telah memaklumkan kepada pengawal keselamatan jikalau terjumpa sesuatu di belakang akan menghubungiku semula.

Sebelum misi ini dijalankan. Pagi itu eyeball bersama Sufian 9W2SGJ. Base stationnya di Bukit Changgang tidak jauh dari lokasi belon jatuh. Mengikut perancangan awal beliau akan turut serta mencari. Namun perkara yang tidak dapat dielakkan maka terbatal dan tidak boleh ikut serta.

73, Jojet de 9w2dya

Misi Mencari Radiosonde di Kg Ladang Batu, Banting


 Hari Jumaat 24 Disember 2021 memburu belon KLIA objek aprs D20052398. Altitud ketinggian maksimum adalah 30710 dan altitud terakhir 601m. Lokasi dijangka jatuh adalah di Kg Ladang Batu kawasan ladang kelapa sawit.

Credit 9W2SGJ

Apabila ke Banting pasti melalui Bukit Changgang base station Sufian 9W2SGJ. Beliau memantauku melalui aprs. Sedia maklum misiku untuk memburu belon kajicuaca.


Pada mulanya ingin mencari objek aprs D20052435 yang jatuh berhampiran. Jatuh malam sebelumnya. Weerut 9W2RUT dan Mikefox 9W2SMF telah pergi mencarinya namun gagal mendapat isyarat. Secara tidak langsung belon tidak dapat dikesan.


Oleh kerana pernah ke sini. Tahu jalan hala hendak ke mana. Sedia maklum kawasan ladang kelapa sawit. Kebarangkalian untuk mendapatnya adalah amat sukar sekali. Namun, lebih baik mencuba dari memeluk tubuh sahaja. Alang-alang dah sampai pastikan belon terus diburu.


Belon ini jatuh jam 9:31 pagi. Berhenti ditempat selamat terutama di stesen minyak. Beli bekalan atau urusan panggilan alam terlebih dahulu. Tangkap layar peta dan kedudukan terakhir belon. Ini kerana ditengah kelapa sawit tiada liputan talian telefon. Maka data internet sudah pasti lenyap.


Melalui Jalan Utama Kg Ladang Batu mencari Jalan Keranji. Tiba di Jalan Keranji ada sebuah rumah dan sebelahnya ada tanah lapang. Situlah kereta diletakkan. Bersiap sedia dengan frekuensi 401.111MHz jelas dapat isyaratnya dari situ.


Berjalan terus ikut laluan jalan yang tidak berturap sehingga latitud 
2 43.78 ' darjah Utara. Selisih dengan orang kampung yang bekerja diladang. Maklumkan mereka ingin mencari belon sambil radio ditala frekuensinya. Semakin lama isyarat semakin kuat. Namun tidak menjumpainya. Berpusing-pusing di sekitar ladang di situ. Kemudian kembali semula ke titik latitud tadi.


Kemudian mencari longtitud 101 31.47' darjah Timur. Maka kena bergerak ke arah barat. Berjaya mendapat kedudukan terakhir belon direkodkan.  Nasib baiklah ada laluan untuk berpusing-pusing mencari belon.


Setelah mendapat arah utara dengan mengorientasikan tangkap layar peta. Kedudukan arah tenggara sedikit seperti peta ditentukan. Maka bergeraklah ke arah yang dituju dengan menggunakan laluan yang ada. Ladang usaha persendirian ini agak semak menyukarkan pencarian. Isyarat masih lagi kuat ketika berada di situ. Namun, masih belum ditemui sekitar radius dari koordinat terakhir belon.


Kemudian tiba-tiba hujan lebat turun semasa sibuk mencarinya. Maka  misi terus dibatalkan dan pulang segera ke kereta semula. Semakin dekat dengan kereta isyarat semakin lemah. 

Credit 9M2ZAK

Mysonde diatas boleh mengesan koordinat sewaktu isyarat radiosonde diaktifkan. Selesai masalah setelah dapat menentukan kedudukannya melalui koordinat. Tapi dapat juga pengalaman mencari dengan isyarat masih lagi aktif. Ini menunjukkan radiosonde itu berada di kawasan sekitar. Cuma tidak menjumpainya sahaja, Ini membuatkan perasaan membuak-buak untuk terus mencari.

73, Jojet de 9w2dya

Misi Mencari Radiosonde D20052302 Berjaya di Kanchong Darat


 Misi mencari radiosonde diteruskan hari ini, setelah berehat semalam bagi membantu pakcik membersihkan rumahnya yang banjir. Ada tiga misi pada hari ini. Pertama gagal disebabkan air banjir di kawasan ladang sawit Labohan Dagang.


Radiosonde D20054252 jatuh pada 25/12/21 jam 21:23 malam. Koordinat  latitud 2.76211 darjah Utara dan longtitud 101.62298 darajah Timur. Altitud ketinggian terakhir 633m. Terserempak dengan Pengurus ladang rasanya. Beliau memaklumkan kawasan ladang telah dinaiki air. Menasihatkan tidak perlu masuk kerana ladang digenangi air.  Misi seterusnya ke Banting.


Misi kedua adalah radiosonde D20054614 telah jatuh di Jalan Masudi Kanchong Darat. Jatuh pada Jumaat malam jam 22:00 bertarikh 24/12/21. Malam satu team mencari diketuai abg Ann 9M2VJP namun gagal. Pagi ini giliran aku pula untuk mencarinya. Pada malam tersebut, isyarat masih dapat diterima dari arah belakang Masjid.
Credit 9M2VJP

Akupun mencarinya kawasan yang diperkatakan. Titik terakhirnya berhampiran rumah berwarna putih dalam pembinaan. Mencari ke arah Masjid beberapa kali ulang-alik. Namun gagal mengesan sebarang tanda. Kawasan kebun sawitnya tidaklah terlalu semak. Boleh dilalui dan dilihat dengan jelas jika menjumpainya. Jenguk dan melangut ke atas pokok turut tiada sebarang tanda.


Kadang keluar dari kawasan carian ke arah lebih jauh namun masih gagal juga. Mungkin ada orang sudah mengambilnya jika jatuh ke tanah. Keadaan kebun sawit yang dijaga ini pasti dilihat orang apabila berada didepan mata. Setelah berpuas hati mencarinya, mencari satu lagi radiosonde di Jalan Nangka.


Radiosonde D20052302 jatuh di Jalan Nangka Kanchong Darat. Lebih kurang 2.1km sahaja dari Jalan Masudi. Aku pusing kawasan ini bagi mencari titik terakhir ia jatuh. Apabila telah dikenal pasti. Kereta diletakkan ditepi Jalan Tarimin.


Berjalan melalui rumah-rumah kampung ke titik terakhir dijangka mendarat. Bertegur sapa makcik dalam kawasan rumah. Bertanya jika ada terjumpa belon di sekitar kawasan itu. Kemudian jalan lagi ke hadapan sedikit. Tiba-tiba di bawah pohon nangka terlihat segumpal getah bersama tali benang putih. Alhamdulillah benda yang dicari telahpun jumpa. Rupanya alat peranti radiosonde di atas tanah bawah pokok itu juga. Risau jikalau orang lain sudah mengambilnya. Kesan tanah-tanah melekat akibat hujan semalaman.

Pada kali ini, belon hancur tidak nampak rupanya langsung. Perkara yang penting, peranti radiosonde turut berada di situ. Mengemas tali menjadi gumpalan. Membuat rekod kedudukan pada jam Garmin. Pingkan pada aprsdroid untuk mendapat kedudukan tepat.



 Kebetulan masih jumpa peranti berdekatan pokok nangka. Pertemuan pertama bersama Weerut 9W2RUT selasa lalu turut jumpa di pokok nangka. Ada seorang pakcik bertanya buat apa bawah pokok itu? Cakap cari belon yang dilepaskan dari KLIA. Diapun terkejut kerana terbang jauh sampai ke Banting.


Perbezaan belon pertemuan pertama dan kedua. Belon kedua hancur sama sekali. Belon pertama pecah bahagian atas sahaja. Kejayaan ini juga atas kerjasama semua kumpulan Radiosonde Malaysia. Sentiasa memberi sokongan di antara satu sama lain.

Credit 9W2SMF

Secara peribadi telah 12 misi pencarian dilakukan. Dua berjaya menjumpai peranti. Satu bersama Weerut 9W2RUT dan hari ini secara solo. Dua jatuh dilaut yang sudah pasti tidak menjumpainya tetapi ingin menguji tuah. Dua kawasan banjir tidak boleh dimasuki. Satu berjaya mendapat isyarat radiosonde namun tidak menjumpainya. Seronok semasa berjaya menemuinya. Gagal boleh cuba hingga berjaya.
Credit 9W2SMF

73, Jojet de 9w2dya

Misi Mencari Radiosonde di Pantai Tanjung Rhu, Pulau Carey


 Pagi tadi ke Pantai Rhu, Pulau Carey mencari objek aprs D20052319. Jatuh pada malam 22 Disember jam 21:58. Altitud ketinggian terakhir adalah 417m. Kedudukan berhampiran pantai. Jauh nak akses. Sampai penghujung jalan Pulau Carey di Pantai Rhu.


Berjalan ikut atas ban yang boleh dilalui. Ban sangat penting mengelakkan air melimpah masuk ke pulau. Ada seketika paras laut lebih tinggi daripada pulau.


Sewaktu pergi air sedang pasang. Cuaca mendung selepas hujan lebat ketika memandu dari Sungai Manggis. Nasib sampai penghujung jalan hujan telahpun berhenti.


Pemandangan dari ban kelihatan kapal-kapal berlabuh tersusun di Selat Melaka. Selat paling sibuk di dunia.Sedia maklumlah tentang ini.



Ketika melalui atas ban ini, terjumpa dengan batu TBM Pantai Tanjung Rhu. Ukur titik ketinggian ditandakan di peta. Menjadi panduan kepada Juruukur yang membuat kerja lapangan dipersekitarannya.


Air sungai kawasan ladang sawit tanah gambut menjadi habitat flora dan fauna. Pokok bakau menjadi benteng pertahanan semulajadi bagi Pulau Carey ini.


Kunci air mengawal aliran keluar masuk ke laut. Jikalau lihat peta google yang bentuk U itu. Inilah tempatnya mengikut jejak di atas ban. Ketika berada di sini kelihatan seseorang sedang mencari sesuatu di ladang.

Kunci air terdapat laluan menghubungkan satu tempat dengan tempat yang lain. Kawasan ladang ada yang dinaiki air. Semasa melalui atas ban, terlihat jalan di ladang ini turut digenangi air.


Sebelah kiri hutan bakau lebih tinggi daripada ladang kelapa sawit di sebelah kanan. Ada motor melalui ban ini. Kesan jejak tayar motorsikal dapat dilihat dengan jelas. Ban perlu diperiksa dengan kerap bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap yang tinggi.

Hutan Bakau tumbuh segar selepas kawasan pantai Tanjung Rhu. Ketika arah ke sini terserempak dengan seekor melintasi ban turun ke hutan bakau. Banyak burung-burung dan primat di kawasan ini. Ikan belacakpun banyak di tanah paya.


Perjalanan diteruskan hingga berjumpa simpang. Kiri menghala ke pantai dan kanan melalui ladang sawit. Sahaja hala ke pantai terlihat seekor babi berlari di dalam hutan paya hingga hilang dari pandangan mata. Jadi, berpatah balik ikut jalan ladang sawit yang agak bersemak. Ban tidak boleh dilalui kerana terlalu semak. Kemudian jumpa rumah pekerja tetapi tiada orang. Mungkin dipindahkan kerana jalan masuk digenangi air. Hanya salakkan anjing menyambut ketibaanku.


Koordinat rumah pekerja menujukkan kedudukan belon masih jauh lagi. Berpusing-pusing mencari jalan ke pantai tetapi tidak jumpa. Sehinggalah ada pengurus dan pekerjanya menunjukkan jalan ke pantai. Katanya ikut ban sahaja. Akupun mencari-cari ban tidak juga jumpa. Nasib jumpa uncle india yang sudi menunjuk arah ke pantai. Kebetulan beliau menjemput sekawan lembu balik ke kandangnya. Ada 10 ekor lembu yang dipelihara. Kemudian melintasi kawasan kadang turut dilihat beberapa ekor kambing pula di situ. Rumahnya turut roboh akibat banjir.


Sambil berjalan bersembang dengan pelbagai topik terutamnya cerita banjir. Jalan melalui jalan tanah yang boleh dilihat dengan jelas dalam peta google. Jalan selari dengan sungai terus menghala ke pantai.

Tiba di pantai, kelihatan deretan kapal-kapal menghiasi Selat Melaka. Ada tiang putih menghadap pantai sebagai navigasi untuk kapal-kapal. Menurut uncle jarak dari penghujung jalan Pulau Carey ke tiang penanda itu adalah 5km. Pantainya cukup landai di keliling pokok nipah pula. Akupun ucapkan terima kasih pada uncle kerana sudi menunjukkan jalan ke pantai. 


Jalan ke hadapan sedikit hingga latitud tepat 2 50.8338' darjah Utara. Berhenti dan mencari longtitud pula. Arahnya adalah kawasan hutan nipah. Ketika itu longtitud 101 17.4263' darjah Timur. Jadi belon berada di dalam hutan nipah yang sangat semak dan bahaya untuk masuk.

Uncle ada cakap terdapat kawasan lapang dihadapan lagi. Tapi terlupa hendak ke hadapan lagi mencari di balik hutan nipah ini. Setelah periksa semula pada peta google, sememangnya ada kawasan lapang di sebalik pokok nipah. 


Kawasan hutan nipah yang paling hampir dengan titik akhir belon. Ambil keputusan tidak mengambil risiko kerana tiada laluan selamat.


Pemandangan laut dari sempadan hutan nipah. Kawasan yang agak lapang yang hanya boleh dilalui. Jikalau ingin mencarinya perlu menyusur lagi tepi pantai hingga berjumpa kawasan lapang. Carilah belon kawasan lapang berdekatan hutan nipah itu. Belakang hutan nipah itupun ada ban yang boleh dilalui.


Pemandangan pantai yang memutih hala ke arah jalan balik. Deretan pokok nipah di tepi pantai. Ketika ini air surut, jadi tiada masalah bersiar-siar di tepi pantai.


Aliran air yang masuk ke laut. Terpaksa melalui tinggalan akar-akar dan banir pokok nipah yang agak licin. Jalan menghala ke rumah pekerja semula. Semasa melalui jalan tanah ini, menyemak semula longtitud belon. Sememangnya jarak dari pantai ke arah hutan nipah agak jauh juga. Tapi sayang lupa hendak teroka pergi ke kawasan lapang. Lupa juga nak melalui ban dibelakang hutan nipah itu.


Kemudian perjalanan terus ke rumah pekerja berjumpa uncle semula. Hulur sedikit token kepadanya atas bantuan menunjukkan arah. Ucap terima kasih tas pertolongan yang diberikan. Perjalanan melalui jalan kelapa sawit yang agak semak. Burung-burung dan ayam hutan mendominasikan kawasan ladang ini.


Tiba di kawasan pintu air semula, kelihatan burung bangau mencari makan di aliran sungai. Airpun semakin surut di kuala berdekatan kawasan hutan bakau.


Sebelah kiri pintu air ini terdapat kawasan sampah dibuang secara haram. Memburukkan mata yang memandang. pihak yang tidak bertanggungjawab sanggup mengotorkan kawasan persekitaran tersebut.


Menghampiri kawasan pantai semula air laut telahpun surut. Kelihatan di pantai yang surut dan berlumpur itu ada beberapa orang mengutip kerangan. Sampai di kereta meletak beg dan berehat seketika. Beli air 100 campur dua tin bagi menghilangkan dahaga badan. Makcik kedai minuman itu bertanya belon ditemui. Aku cakap tak jumpa dikawasan pokok nipah. Masa keseluruhan aktiviti pencarian adalah 3 jam  30 minit 29 saat dengan jarak 13.95km.

73, Jojet de 9w2dya

Tanda Pelarasan UG0692 S1HSR04

  Hari ini telah berjaya menemui satu lagi Pillar Geodetik nombor rujukan UG0692 S1HSR04. Ini merupakan stesen ketiga berjaya ditemui selepa...