Pusingan U


 Belon pagi ini radiosonde 2405015328 sangat sukar dijumpai memandangkan altitud ketinggian akhir agak tinggi. Kawasan ladang kelapa sawit di laluan B60 Jalan Utama Seri Cheeding lokasi jatuhan. Jatuh jam 9:25 pagi. Koordinat 2.87267 darjah Utara dan 101.53217 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 436m dan ketinggian maksimum 24,359m.


Memandu dari Bangi hingga ke Olak Lempit terus masuk ke Jalan Bukit Perah untuk ke Seri Cheeding. Jalan dalam ini lebih cepat berbanding menghala ke Banting terlebih dahulu. Tiba di lokasi kejadian meletakkan kereta di tempat pengumpulan buah sawit. Kemudian berjalan masuk ke kawasan ladang kelapa sawit. Bergerak ke titik akhir. Terdapat dua motorsikal di situ menandakan pekerja sedang memetik tandan buah kelapa sawit.


Titik akhir bersebelahan penjuru belakang pusat tersebut. Ketika sibuk menentukan arah menggunakan kompas perismatik datang lelaki cina. Sudah pasti tuan punya tanah menanyakan tujuan kehadiranku di situ. Sudah pasti menunjukkan contoh peranti radiosonde kepadanya. Si empunya pun paham dan terkejut yang selama ini ramalan kaji cuaca menggunakan alat tersebut. Barulah dia faham cara Meteorologi membuat ramalan cuaca. Kemudian dia pun beredar pergi. Sangkaannya penulis membuat kerja mengukur tanah.


Setelah berjaya mengenal pasti arah belon jatuh terus berjalan ke arah tersebut. Bergerak ke arah yang dituju. Terhenti akibat parit. Melewati parit hingga ke hujung terdapat batang kelapa sawit mati jatuh merentangi parit itu. Melintas dengan berhati-hati. Setelah menjejak tanah sebelah terus kembali semula ke arah bearing tadi. Terus bergerak menyambung bergerak terus ke hadapan. Hampir 200m jarak isyarat tidak kedengaran. Berpatah balik sambil terus mencari. Kawasan jangkaan belon jatuh turut diselongkar. Selepas   mencari satu jam setengah misi pencarian dihentikan.


Sebelum beredar sempat berjumpa salah seorang pekerja yang sibuk mengait tandan sawit. Memaklumkan kepada pekerja tersebut jika terjumpa peranti radiosonde. Berjalan keluar ke jalan besar hingga ke kereta semula. Misi kedua di Kampung Sungai Rambai. Malam tadi Hanif 9W2VHF berjaya mengunci koordinat terkini belon malam tersebut. Sayangnya tidak boleh masuk mengambil peranti kerana kawasan terlalu semak.


Radiosonde 2405015322 jatuh bertarikh 26 Disember 2024 jam 21:17 malam. Koordinat 2.90148 darjah Utara dan 101.49447 darjah Timur. Koordinat terkini yang dikuncikan oleh Hanif 9W2VHF adalah 2.90103 darjah Utara dan 101.49473 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 369m dan ketinggian maksimum 26,492m.


Bergerak ke Sg Rambai dari jalan Seri Cheeding tidaklah terlalu jauh. Perlu buat pusingan U di simpang SKVE sebelum belok ke kiri masuk ke Jalan Sg Rambai. Tiba di Jalan Teratai belok kiri juga. Lokasi pendaratan di sebelah kiri juga. Jarak dari jalan besar ke titik akhir hanya berbaki 50m sahaja.


Meletak kereta bersebelahan warung makan yang tutup di persimpangan jalan Bakawali. Setelah bersedia dengan kelengkapan terus ke titik akhir. Melintas jalan dengan berhati-hati. Meninjau terlebih dahulu kawasan lokasi. Ada laluan masuk di sebelah kabin. Kawasan bersemak ini telah dibiarkan oleh empunya tanah. Terdapat papan tanda Tanah untuk dijual di situ. Patutlah bersemak kerana tanah diabaikan untuk mendapat pemilik baharu.


Selepas meninjau terus bergerak ke belakang kabin. Tiada laluan untuk ke titik akhir. Pokok pakis melepasi kepala di hadapan serta kawasan keliling. Hendak tak hendak pencarian mesti diteruskan jua. Apa taknya? Koordinat terkini telah berjaya diperolehi. Rugi rasanya jika tidak cuba mengambilnya. Walaupun halangan besar di hadapan, objektif mengambil peranti perlu diteruskan.


Parang tidak bawa bersama untuk menebas laluan. Jadi, teknik rempuhan digunakan bagi membuka laluan. Rupanya ada pokok kelapa sawit muda telah ditanam di kawasan sekitar tanah ini. Nasib baik pokok pakis sahaja yang tumbuh. Bolehlah dirempuh sahaja bagi cepat mendapatkan peranti.


Akhirnya terlihat gumpalan benang di atas pakis. Peranti terselit di bawah pokok paku-pakis tersebut. Tanpa banyak soal terus mendapatkan peranti serta belon berada di hadapan sedikit. Terus tarik benang bagi mendapatkan belon. Usai bergambar terus keluar melalui laluan rempuhan tadi. Sampai warung makan barulah membuat kerja pelaporan di laman sesawang sondeHub.



Usai pelaporan di warung terus bersiap untuk solat Jumaat pula. Keluar sahaja jalan besar telah kelihatan Masjid Al-Firdaus menjadi pilihan. Usai solat Jumaat terus ke kedai makan sebelah stesen minyak Petronas.


Kemudian setelah tembolok diisi terus bergerak semula ke Jalan Kg Jenjarom. Belon pagi semalam berhampiran kuil itu. Pada kali ini mencari ke kawasan hadapan pula. Meletak kereta di hadapan Klinik Kesihatan Jenjarom. Memerhati di bahu jalan serta di dalam longkang juga. Bergerak hingga ke simpang tiga turut tidak menjumpai sebarang tanda.


Puas mencari bergerak pula ke Sungai Buaya. Ada beberapa belon jatuh di kawasan Sungai Buaya namun tiada kesempatan untuk mencari. Jalan Bakawali bersebelahan warung tempat berehat sebentar selepas berenang dalam pokok paku-pakis tersebut. Pemandangan hadapan itulah mencari belon yang berbaki 50m itu.


Jejak pencarian di Sg Rambai melalui peta satelit. Terpaksa berenang pada pokok paku-pakis yang menghalang pandangan. Agak penat juga menolak dan memijak pokok tersebut bagi membuat laluan ke peranti. Kalau menebas lagi penat, elok pijak lebih cepat untuk membuka laluan. Pengalaman meraduk resam banyak mengajar teknik untuk melepaskan diri di dalam semak. Dulu selalu naik gunung terpaksa menghadap masalah ini. Alah bisa tegal biasa. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.


Bergerak ke Sungai Buaya melalui Banting terus ke jalan menghala ke Pulau Carey. Letak kereta di Kg Sg Buaya. Berjalan menyusur tepi jalan tersebut dan masuk ke kawasan kebun kelapa sawit. Radiosonde 2405011534 telah jatuh pada 5 Disember 2024 jam 21:37 malam. Koordinat 2.85367 darjah Utara dan 101.4789 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 358m dan ketinggian maksimum 30,759m.


Pada kali ini menggunakan koordinat jangkaan jatuh oleh laman sesawang SondeHub. Titiknya di belakang rumah kawasan kebun. Jika tepat jatuh di kawasan itu sudah pasti telah dikutip. Pasti penghuni rumah menyedari benda pelik jatuh di atas kebunnya lalu simpan atau dibuang sahaja.

Credit 9W2VHF

Kemudian bergegas semula ke jalan Seri Cheeding bagi memulakan pencarian kali kedua. Pada kali ini dengan talian hayat dari Hanif 9W2VHF membawa senjata untuk mendapatkan koordinat terkini. Beliau bersama Syukri 9W2UUE bermotosikal. Sayangnya senjata tersebut tidak berjaya mengesan koordinat terkini. Merata juga kami mencari hinggakan motorsikal turut dibawa masuk ke dalam kawasan ladang.

Credit 9W2VHF

Setelah penat mencari kamipun bergerak pulang. Beberapa minit selepas itu, Hanif 9W2VHF memaklumkan telah berjaya mendapat koordinat baru. Mereka berdua bergerak melalui lorong sebelah pusat bahagian hadapan sedikit. Isyarat kuat menurut Hanif 9W2VHF. Koordinat terkini pada paparan di atas berjaya dikunci. Rupanya belon berada di dalam parit belakang pusat pengumpulan buah kelapa sawit tersebut.

Credit 9W2VHF

Sikap tidak pernah kenal putus asa akhirnya membawa kejayaan. Matlamat tercapai dengan sifat kesabaran yang telah ditanam dalam jiwa. Kerjasama berkumpulan memudahkan pencarian. Akhirnya peranti radiosonde 2405015828 berjaya dalam genggaman Hanif 9W2VHF dan Syukri 9W2UUE.


Tuntasnya teknik mencari kini perlu berfikir dari luar kotak. Tidak disangka pula belon disaat akhir telah membuat pusingan U. Sangat dekat dengan titik akhir. Memang tidak disangka belon boleh berpatah balik. Jika jangkaan belon yang beralih arah itu bolehlah menjangka ia akan berpusing pula. Semuanya perlu Think out of the box. Bukan sekadar bergantung harapan bearing yang lurus itu. Sangat mencabar dan menduga akal pada misi kali ini. Semua teka-teki dapat dijawab setelah ia dijumpai dengan bantuan talian hayat. Alhamdulillah rezeki turut menyebelahi usaha.

Tahniah pada Hanif 9W2VHF dan Syukri 9W2UUE yang sanggup turun dari KL. Usaha berbaloi membawa hasil akhirnya.

Selamat Memburu!
Jumpa dan jumpa lagi

73, Jojet de 9w2dya

Belon minggu lepas berjaya


 Hari ini berjaya melancarkan lima misi pencarian belon KLIA. Dua daripada misi ini berjaya menemui radiosonde. Tiga lagi gagal menemui sebarang tanda. Belon pagi tadi radiosonde 2405015316 jatuh di Jalan Sungai Jarum. Titik akhir berdekatan kuil dan belakang rumah teres. Koordinat 2.8776 darjah Utara dan 101.4995 darjah Timur. Keberangkalian jatuh atas bumbung. Semasa menghampiri lokasi isyarat tidak dapat didengari. Mungkin terhempas atas atap lalu isyarat tehenti terus. Altitud ketinggian akhir 298m dan ketinggian maksimum 24,681m.


Misi kedua pula mencari belon KLIA malam tadi. Turut jatuh berhampiran Jenjarom juga. Bergerak ke Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat. Parkir kereta ke kawasan pejabat tersebut. Jarak ke titik akhir menghampiri 1 km juga. Radiosonde 2405015327 jatuh jam 21:37 bertarikh 25 Disember 2024. Koordinat 2.85022 darjah Utara dan 101.53853 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 333m dan ketinggian maksimum 29,991m.



Tanah telah ditambak untuk sesuatu projek pembangunan. Tidak sempat menuju ke titik akhir kerana hujan telah mulai turun. Berdasarkan pemerhatian kawasan persekitaran kelihatan berpaya dan ladang kelapa sawit tua telah mula bersemak. Ada kelapangan ingin mencuba mencari laluan yang tepat pula.


Sebelum melancarkan misi ketiga, pergi solat zohor terlebih dahulu di Kg Sungai Lang. Usai solat terus melalui jalan pintas ke Tanjung Sepat melalui jalan dalam. Terus memandu hingga ke Kg Tumbuk. Radiosonde 2405015966 telah jatuh pada 18 Disember 2024 jam 9:30 pagi. Koordinat 2.68007 darjah Utara dan 101.59177 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 132m dan ketinggian maksimum 27,899m.


Ketika menghampiri padang bola berhenti seketika. Memeriksa semula tangkap layar di atas berjaya melihat laluan berhampiran titik akhir. Terus memandu ke hadapan lagi dan terus meletakkan kereta berhmpiran laluan masuk tersebut. Walaupun laluan berbatu kelikir, lebih baik berjalan kaki sahaja. Jarak kurang 200m ketika itu.


Ketika sampai di situ hujan sudah mula turun agak lebat. Terpaksa mengeluarkan payung bagi mengelakkan telefon basah. Penggunaan telefon penting bagi menggunakan aplikasi GPS Waypoint Finder. Terus berjalan ke titik akhir melalui laluan sawit batu kelikir tersebut. Kemudian menghampiri terus masuk ke dalam kawasan baris kelapa sawit. Selepas menemui titik akhir terus mengarah ke jalan bear semula. Beberapa langkah ke hadapan telah terlihat benang beberapa meter di hadapan.


Terjumpa belon di hadapan yang telah diliputi tanah. Maklumlah hampir seminggu baru ditemui. Kemudian ke arah belakang melihat peranti di tanah yang penuh diliputi tanah gambut akibat hujan. Jarak titik akhir ke peranti adalah 33.1m bagi altitud akhir 132m.


Ketika sibuk membuat kerja perekodan kedengaran enjin lori sawit berhenti untuk mengutip hasil. Dua orang lelaki datang menghampiriku lalu bertanya. Sebelum sempat membuka mulut terus tunjukkan peranti radiosonde dengan benang tersangkut atas pokok. Mereka berdua bawa besi cucuk sawit tersebut. Tanpa banyak soal bertanya pula sama ada melihat pekerja sawit di kawasan sekitar. Aku menjawab pekerja tersebut baru berlalu pergi. Kemudian dua orang tersebut turut berlalu pergi.


Misi keempat masih di kawasan kampung Tumbuk, Tanjung Sepat. Radiosonde 2405016017 jatuh pada 17 Disember 2024 jam 9:39 pagi. Koordinat 2.66284 darjah Utara dan 101.6002 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 112m dan ketinggian maksimum 25,101m.


Lokasi radiosonde keempat ini bersebelahan dengan bangunan ini di Jalan Tumbuk Sempadan. Meletak kereta berhampiran kebun kelapa sawit bersebelahan bangunan tersebut. Kali ini, tidak hujan namun perlu berhati-hati memasuki kawasan kebun sawit yang sangat bersih. Jarak kurang 100m dari kereta diletakkan. Masuk melalui pintu yang berpagar.



Terus masuk kawasan kebun sawit hingga terlihat kawasan lapang dengan pondok-pondok seperti rumah pekerja. Belok ke kanan ke arah titik akhir di kawasan tanah sebelah. Melompat parit mengikut kesan laluan lembu. Kawasan tanah ini agak terbiar. Pokok tinggi-tinggi hidup namun di bawah tidaklah terlalu bersemak hingga sukar untuk melaluinya. Bergerak hingga ke titik akhir merupakan busut anai-anai.


Seterusnya mengenal pasti arah belon jatuh. Hasil penyelidikan ternyata belon jatuh arah datang tadi. Bergerak semula perlahan-lahan dan terus melihat peranti yang jelas berwarna putih di atas tanah. Belon tersangkut pada dahan pokok.


Pemandangan menghadap titik akhir. Kawasan tanah seperti hutan ini berjaya menemui radiosonde. Ini faktor altitud yang rendah 112m berjaya membawa kepada jarak 27.3m ke arah peranti. Bahagian lantai tanah ini tidaklah terlalu semak. Pokok tinggi-tinggi mempunyai ruang yang agak luas untuk melepasinya.


Benang yang panjang itu turut membantu peranti terus jatuh di atas lantai tanah. Biar belon tersangkut atas pokok tidak mengapa. Jangankan peranti di atas pastilah sukar untuk mengambilnya.


Pemandangan kawasan sekitar peranti yang ditemui seperti dalam hutan yang dipenuhi pokok-pokok yang menjulang tinggi. Nasib boleh masuk dan terus mendapatkan peranti tersebut. Jikalau hutan tebal dan bersemak pasti sukar untuk melepaskan diri ke titik akhir. Usai kerja perekodan terus kembali semula ke kereta. Seterusnya misi terakhir di Bandar Baru Salak Tinggi. Memandu terus melalui Sg Pelek dan Pekan Sepang. 

Credit 9M2MDZ

Misi terakhir yang kelima adalah radiosonde 2405016044. Belon KLIA ini jatuh pada 24 Disember 2024 jam 9:14 pagi. Koordinat 2.828 darjah Utara dan 101.72475 darjah Timur. Titik akhir di kawasan lapang yang telah dijadikan kebun bandar.


Tangkap layar GPS Waypoint Finder jarak 0.3m bukti telah tiba di titik akhir. Sebelum ini, Zahrin 9M2MDZ dan SWL Hafiz telah datang mencari terlebih dahulu. Namun, mereka berdua gagal menemui sebarang tanda.


Pada hari kejadian SWL Hafiz turut menanyakan kepada pasangan Pakcik dan Makcik yang mengusahakan kebun bandar tersebut. Menurut mereka tidak melihat sebarang objek yang jatuh di kawasan kebun tersebut. Ternyata laluan arah belon jatuh di kawasan bumbung rumah pangsapuri bersebelahan kebun ini. Sebelum ke kebun telah minta kebenaran kepada Pengawal Keselamatan bertugas di Pondok Pengawal. Melihat kawasan sekitar termasuklah longkang di tepi pangsapuri ini.


Ada dua kemungkinan belon gagal ditemui. Kemungkinan pertama jatuh atas bumbung. Memerhati setiap unit tidak kelihatan benang tergantung pula. Satu lagi mungkin sudah ada orang yang mengutipnya. Maklumlah belon ini jatuh pada waktu pagi siang hari. Lebih-lebih lagi waktu cuti sekolah pula. Kemudian singgah solat asar di surau berdekatan. Pulang ke Bangi melalui Jenderam.

Selamat Memburu!
Jumpa dan jumpa lagi

73, Jojet de 9w2dya

Masuk Parit


 Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 2405011539 telah jatuh jam 9:30 pagi. Koordinat 2.81683 darjah Utara dan 101.44195 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 145m dan ketinggian maksimum 25,975m.


Belon KLIA yang jatuh tepi jalan perlu diselamatkan dengan segera. Kebetulan selesai tugasan lebih awal, bolehlah menjenguk di lokasi kejadian. Sayang dan rugi tidak menjenguk memandangkan altitud ketinggian akhir agak rendah iaitu 145m. Maka, seharusnya perlu dijenguk dengan kadar segera.


Tiba di lokasi kejadian ternyata belon berada di bahu jalan. Manakla peranti terapung di dalam parit. Peranti tidak akan tenggelam kerana diperbuat daripada gabus polisterina tahan kepada suhu yang ekstrem. Lagipun altitud yang rendah pastilah mudah untuk dijumpai.


Belon dan winder di atas rumput bahu jalan. Manakala, peranti terjatuh dalam parit. Benang disedari bergulung-gulung.


Peranti terapung elok di dalam parit. Tidak boleh hanyut kerana benang masih lagi terikat. Lagipun parit dipenuhi rumput menjalar.


Hasil tangkapan petang tadi belon berjurai elok jumpa di tepi jalan dan peranti di dalam parit.


Hasil tangkapan dalam genggaman radiossonde 2405011539.


Sungai Raba mengalir lesu kelihatannya. Hakikat sebenar aliran agak laju setelah dilihat ke dalam sungai. Sungai mengalir ke muara sungai.


Sungai Raba pemandangan dari arah Banting. Cuaca petang ini agak cerah. Kesimpulannya peranti di tepi jalan perlu diambil segera. Banyak faktor yang membolehkan ia hilang. Kemungkinan pekerja pembersihan memotong rumput dan membuangkannya.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya

Kena Campak Dalam Parit


 Semalam hari ahad sempat melancarkan misi SAR belon secara solo. Lima misi pencarian telah dijalankan. Dua berjaya menjumpai radiosonde dalam keadaan baik walaupun telah beberapa hari mendarat. Namun, belon KLIA pagi itu gagal ditemui kerana keadaan persekitarannya.


Misi pertama mencari belon ozon yang jatuh pada 7 November 2024. Hasil pencarian di laman sesawang Sondehub terbuktilah bahawa belon ini telah jatuh pada hari khamis pada bulan november ini. Sayangnya titik akhir belon ini berada di dalam kawasan lapangan terbang. Belum cuba belum tahu. Bila sudah pergi baru tahu keadaan persekitarannya.


Memandu dari base di Bangi terus ke Kota Warisan. Lepak di port terlebih dahulu menikmati sarapan memberi tenaga misi SAR seharian. Sambil menunggu mengatur strategi untuk misi seharian. Memasuk koordinat siap-siap bagi misi yang awal yang dijalankan pada aplikasi GPS Waypoint Finder.


Usai sarapan terus ke lokasi kejadian radiosonde 1032405024 telah jatuh 7 November 2024 jam 12:31 tengah hari. Koordinat 2.74092 darjah Utara dan 101.67699 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 133m dan ketinggian maksimum 22,556m adalah rendah bagi belon ozonsonde. Biasanya melepasi altitud 30 ribu meter.



Sampai lokasi meletak kereta di tepi jalan. Biasa tepi jalan ini menjadi tumpuan umum melihat kapal terbang berlepas. Sempadan dengan ladang kelapa sawit memudahkan untuk akses kawasan tersebut. Menyusur tepi pagar hingga menghampiri titik akhir. Berada luar pagar melihat arah ke titik akhir. Mata tajam memerhatikan sebarang objek berada di atas rumput. Tidak kelihatan kotak ozonesonde.


Laluan sawit di tepi pagar KLIA antara laluan belon jatuh. Altitud ketinggian terakhir 133m sangat rendah. Kebarangkalian jatuh tepat dalam kawasan KLIA. Merujuk peta satelit titik akhir di tepi parit. Jikalau hanyut pasti tersangkut pada palang-palang yang menghalang masuk KLIA di parit tersebut. Kotak ozonesonde sangat besar pasti tersangkut walaupun sudah beberapa hari berlalu.



Pemandangan tepi pagar ke titik akhir tidak kelihatan sebarang tanda. Rasanya kotak putih yang gak besar itu pasti sudah diambil pihak berkuasa. Maklumlah kawasan lapangan terbang merupakan kawasan larangan. Sebarang objek yang ditemui pasti dikutip dan dilupuskan dengan kadar segera. Jarak pagar ke titik akhir adalah 45.5m sahaja.



Pemandangan laluan sawit tepi pagar menghadap arah sungai. Kawasan laluan jangkaan belon jatuh. Puas mencari tetapi tidak ada. Andaian jatuh di atas laluan tanah merah ini kemungkinan boleh hilang juga.


Sungai di tepi laluan sebelah pagar tadi. Dua baris pokok sawit sahaja. Mencari hingga ke tebing sungai ini. Manalah tahu kalau tersangkut macam biasa. Berjalan hingga ke atas sedikit ada orang menahan jala. Boleh tahan banyak juga ikan di dalam sungai tanah gambut ini. Kemudian berpatah balik semula ke kereta. Selisih jug adengan beberapa Orang Asal yang menahan jala juga.


Misi kedua di Ladang KLIA. Memohon kebenaran masuk dari pengawal yang betugas. Pengawal tersebut tidak membenarkan masuk. Namun, membenarkan kereta diletakkan berdekatan jalan masuk tersebut. Perlu jalan di tepi jalan besar kemudian menyusur melalui lorong kelapa sawit sebelum bertemu jalan berturap.


Jalan berturap ini sebelah lebuh raya Elite ke KLIA sahaja. Melepasi tali air tanah gambut pemandangan biasa bagi ladang-ladang di keliling KLIA ini.


Menghampiri titik akhir berhampiran susur keluar ke Masjid KLIA dari lapangan terbang. Terdapat parit kecil di situ. Bergerak ke arah deretan pohon kelapa sawit. Tepat pada titik akhir terlihat benang tergantung. Terlihat belon di atas tanah.


Tercari-cari peranti di tanah. Rupanya peranti tergantung di tas pokok. Semasa memandang ke atas tidak nampak apa-apa. Setelah benang di tarik barulah peranti kelihatan turun ke bawah. Umpama upacara menaikkan bendera. Benang dilepaskan perlahan-lahan ke atas. Akibatnya peranti turun ke bawah. Kali ini bernasib baik. Pernah peranti tersangkut di atas pelepah dan tidak boleh diturunkan. Pernah juga hilang dibawa lari monyet. Tarik-tarik benang terus jatuh ke bawah tanpa ada peranti terikat.


Peranti tergantung elok selepas benang ditarik. Hadapan kelihatan parit kecil. Tali benang perlu diputuskan. Ini perlu untuk memudahkan benang digulung untuk dibawa pulang.



Umpama upacara menaikkan bendera peranti tergantung elok. Tidak perlu tarik ke atas semula bagi mendapatkannya. Sekadar memotong benang. Kerja menggulung amat mudah setelah benang diputuskan dari peranti. Sebab itulah perlu ada pisau lipat atau gunting bagi memutuskan benang tersebut.


Akhirnya berjaya membawa pulang peranti radiosonde 2405012518. Kemudian kerja perekodan di laman sesawang sondehub. Turut mengambil gambar bukti untuk penulisan blog ini. Turut digunakan dalam meda sosial lain seperti muka buku, whatsApp, dan telegram. Penyebaran aktiviti memburu belon perlu dikongsikan agar masyarakat faham akan aktiviti ini.



Kalau masyarakat terjumpa peranti dan belon seperti gambar di atas, tidak perlu takut menyangka bahan letupan pula. Pelekat pada tubuh peranti tersebut ada menerangkan benda itu.


Papan iklan besar menghiasi bahu jalan. Dekat sahaja jalan susur keluar KLIA. Malangnya tidak boleh masuk dari sebelah sana. Kawasan larangan berpagar. Perlu masuk dari pintu utama ladang ini lebih selamat. Usai perekodan berpatah balik ke kereta. Jumpa Pengawal yang mengizinkan tadi sambil menunjukkanbukti penemuan.



Misi ketiga merupakan mencari belon KLIA pagi yang baru jatuh di kampung Olak Lempit. Jatuh di kawasan dusun durian yang agak bersemak. Isyarat masih lagi aktif dapat didengari sejak dari  jalan besar. Perlu menempuh dua buah rumah orang kahwin sebelum tiba di kawasan rumah sewa 20 pintu. Semasa hendak masuk kawasan dusun tersebut telah disambut oleh dua ekor siamang. Habislah pasti jadi habuan siamang ini mendapatkan peranti yang disangka makanan.


Selepas keluar dari dusun tersebut, sempat bersembang dengan salah satu penyewa di situ. Berceritakan tentang radiosonde dan belon kaji cuaca. Sangat rancak kami berbual kerana penyewa tersebut sangat faham dan ada pengetahuan sedia ada. Selepas itu, meminta izin untuk bergerak ke misi lain pula.


Misi ke empat jatuh di Teluk Datuk berdekatan tangki air di Bandar Sungai Emas. Menyusur masuk melalui jalan yang telah siap terus ke tangki air. Kemudian bergerak ke belakang pagar. Sudah terlihat peranti terapung di dalam parit belakang tangki air tersebut.


Tercari-cari juga lokasi belon dan benang. Pelik! hanya ada peranti sahaja terapung di permukaan parit. Belon ini jatuh pada 14 November 2024. Lebih seminggu telah jatuh tetapi masih berada di dalam parit tanpa dihanyutkan.


Kemudian hendak melintas parit bagi mendapatkan peranti yang terapung di tepi parit. Tiada titi untuk menyeberangi parit tersebut. Menyusur pagar tangki air hingga ke penghujung. Baru perasan benang ada di situ. Betullah arah belon jatuh arah ke situ. Rupanya peranti telah dipatahkan dan seterusnya telah dicampakkan ke dalam parit tersebut. Ada kesan peranti dipatahkan pada bahagian tangkai yang mengikat benang masih kekal di situ.


Belon dan winder dalam semak penjuru pagar tangki air. Tiada laluan untuk menyeberang. Terpaksalah berpatah balik menghala ke seberang melalui jalan utama berkereta. Jarak belon dan winder ke titik akhir yang ditemui adalah 71.3m. Jarak tangkai pengikat benang ke titik akhir adalah 66.1m. Jarak peranti di dalam parit ke titik akhir adalah 41.3m.


Pemandangan belon di penjuru tangki air ketika ditemui. Ini pun gara-gara mencari laluan untuk menyeberang parit. Bukti ini lebih sahih belon mendarat. Ini tepat mengikut arah belon terakhir mendarat.



Selepas mencari laluan masuk di belakang tangki air baru dapat memegang peranti ini. Ternyata ada orang yang mematahkan tangkai peranti kemudian mencampakkan ke dalam parit.


Gambar satelit dari laman sesawang sondehub menunjukkan bahawa ketika itu tiada lagi tangki air. Belon bergerak selari dengan pagar tangki air.



Oleh kerana ada masa banyak lagi. Singgah semula ke jalan Paya Indah. Semalamnya bersama Arul 9W2OCX, Zahrin 9W2MDZ dan Che Ta 9M2SYG telah sampai di sini. Mencari setakat titik akhir dan tiada laluan. Kali ini mencari laluan hingga sampai ke rumah belakang tasik bekas lombong bijih timah.


Berpatah balik ke titik akhir hingga terus berjalan hingga sempadan rumah teres. Ternyata ada laluan menyusur pagar elektrik yang telah dipasangkan. Malangnya masih tidak juga jumpa radiosonde 2405012508 yang jatuh pada 22 November 2024. Kawasan bersemak tebal menyukarkan pencarian altitud ketinggian terakhir 313m.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat memburu!
73, Jojet de 9w2dya




Kem Aspirasi Pemimpin Muda 2026

  Kem Aspirasi Pemimpin Muda telah berlangsung pada 24 dan 25 Julai 2026. Seramai 123 orang murid telah menyertainya. Kem ini bertempat di R...