Kem Bina Semangat Olahraga 2012
Aktiviti Kayak, Wall Climbing dan Flying Fox |
Peserta menunggu giliran untuk melakukan aktiviti Wall Climbing dan Flying Fox |
Kem ini berjaya dilaksanakan pada 6 hingga 7 Jun 2012. Seramai 39 orang peserta telah hadir daripada 42 orang yang mendaftar. Walaupun permulaan waktu dilimpahi hujan para peserta dengan penuh semangat yang tinggi hadir melaporkan diri di tempat yang telah ditetapkan.
Pembahagian kumpulan yang dibuat awal membolehkan peserta mengenalpasti rakan mereka dalam kumpulan. Kumpulan dibantu oleh dua orang fasilitator bagi menolong menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi sepanjang program ini berlangsung.
Tugasan pertama adalah mencipta nama kumpulan visi dan misi serta sorakan. Semangat kerjasama yang ada walaupun belum lagi mengenali rakan mereka dapat melakukan dalam tempoh yang ditetapkan. Selepas berbincang setiap kumpulan mempersembahkan tugasan yang diberi itu.
Kemudian aktiviti LDK dikendalikan oleh guru praktikal yang opsyen dalam Bimbingan dan Kaunseling. Ilmu yang beliau ada dikongsi kepada peserta bagi memantapkan lagi jati diri dan kerjasama berpasukan.
Seterusnya, aktiviti ice breaking diadakan bagi peserta lebih mengenali rakan-rakan yang lain. Peserta bergerak mencari kumpulan berdasarkan arahan yang diberi. Mereka dapat mengenali negeri kelahiran, bulan kelahiran, saiz kasut dan lain lagi. Peserta juga diuji kecerdasan fikiran dalam permainan barisan. Semua peserta dapat memberi komitmen yang tinggi setiap arahan yang diberi serta mampu menyelesaikannya dalam masa yang singkat.
Aktiviti berstesen pula bertujuan memantapkan lagi semangat berpasukan serta kerjasama. Sebelum itu, dengan barang yang ada fasilitator dikehendaki menyediakan satu aktiviti berstesen dalam membentuk semangat berpasukan. Fasilitator berjaya mencipta program berdasarkan barangan yang diberi seperti gelung, penyedut minuman, skital serta kekacang seperti kacang hijau.
Setiap kumpulan dikehendaki menghabiskan aktiviti setiap stesen yang telah ditetapka. Matlamat tercapai apabila setiap peserta mampu memberi kerjasama yang erat dalam setiap tugasan yang diberi. Mereka telah didedahkan dengan semangat tolong-menolong, kerjasama berpasukan, komunikasi, komitmen, kesabaran, kreativiti, keberanian, membuat keputusan, menyelesaikan masalah, mendengar arahan, ketepan masa, bergantung antara satu sama lain serta percaya kepada orang lain.
Nilai murni yang diterapkan ini diharap dapat menjadikan setiap peserta bersedia menghadapi cabaran seterusnya di kem. Bas tiba seperti yang dijanjikan untuk bertolak ke Outback Broga. Perjalanan mengambil masa setengah jam dari Cheras. Tibanya di kem peserta ke tapak perkhemahan yang telah ditetapkan. Peserta membawa peralatan peribadi dan juga peralatan program seperti tong air dan bekas peralatan tulis.
Selepas meletak beg, peserta beratur untuk menikmati hidangan tengahari. Peserta tidak dibenarkan menjamu selera selagi semua peserta sudah mengambil makanan. Bacaan doa didahulukan sebelum menikmati makanan untuk aktiviti seterusnya. Makan bersama dapat mengeratkan lagi hubungan kemesraan setiap peserta. Ia juga mengajar menghargai orang lain serta sabar menunggu giliran sebelum dapat menikmatinya.
Selepas makan dan solat serta khemah didirikan, semua peserta telah bersedia memulakan aktiviti pertama di kem. Peserta dipecah kepada dua kumpulan besar sebelum memulakan aktiviti. Instruktor Outback memberi taklimat dan demonstrasi dalam setiap aktiviti.
Aktiviti stesen satu adalah rempuh halangan serta low rope.
Kolam Kayak bersebelahan dengan Low Rope dan Obstacle Course |
Aktiviti ini menghendaki peserta melalui halangan dan rintangan yang disediakan. Aktiviti low rope pula lebih menarik kerana peserta perlu meniti atau melalui rintangan seperti monkey bridge, meniti kabel, tayar bergantungan, jambatan tangga, rentangan bersilang serta meniti tali bentuk U. Semasa meniti setiap halangan seorang peserta akan dibantu oleh dua orang rakan bagi mengelakkan diri daripada terjatuh ke bawah. Di sini nilai kepercayaan terhadap orang lain telah diterapkan. Selain bekerjasama, bantu- membantu dalam mendengar nasihat atau arahan memudahkan setiap halangan dapat ditempuhi tanpa sebarang masalah. Ia juga menguji kekuatan fizikal dan mental ketika meniti setiap halangan. Jika tidak membuat mengikut arahan serta teknik yang ditunjukkan pasti akan mengalami kegagalan dan kekecewaan.
Stesen kedua pula, para peserta dibawa kepada aktiviti yang lebih mencabar. Kumpulan dipecahkan kepada tiga bagi menyelesaikan setiap tugasan.
Kumpulan lelaki menghadapi rintangan yang paling sukar iaitu memanjat tembok setinggi 12 kaki. Setiap peserta dikehendaki melepaskan diri bagi memanjat tembok setinggi 12 kaki tanpa mengguna sebarang alat sokongan seperti tangga. Strategi yang betul amat penting bagi menaikkan semua peserta melepasi tembok ini. Kerjasama yang tinggi diperlukan kerana tanpanya mustahil seseorang dapat memanjat tembok setinggi itu tanpa bantuan orang lain melainkan menggunakan peralatan lain seperti tangga atau tali.
Aktiviti wild woozy adalah dua orang bekerjasama meniti kabel dari satu titik ke titik yang lain. Peserta bantu-membantu berpegangan untuk bergerak diatas kabel. Cabarannya adalah kabel semakin menjarak dan memboleh peserta terjatuh jika hilang keseimbangan. Kepercayaan dan komunikasi diterapkan bagi menghadapi rintangan ini.
Manakala spider web memerlukan peserta melepasi diri daripada halangan tali seperti sarang labah-labah tanpa menyentuhnya. Selain strategi, keyakinan diri penting ada selain bantuan orang lain.
Giant finger adalah cabaran terakhir merupakan cabaran mengapungkan diri diatas pelantar. Peserta beramai-ramai berdiri diatas pelantar seperti jongkang-jongkit. Matlamat aktiviti ini adalah dalam masa yang diberikan semua peserta berdiri atas pelantar itu dikehendaki membuat ia seimbang atau terapung. Kerjasama setiap orang amat perlu bagi membuatkan ia dapat bertahan untuk terapung.
Selepas melepasi pelbagai rintangan dan dugaan peserta berehat untuk solat asar sebelum melakukan aktiviti seterusnya.
Tapak perkhemahan di padang berlatar belakang Bukit Broga |
Blind trail direka untuk setiap peserta menghadapi pelbagai halangan dengan mata ditutup. Fasilitator yang mengemudi peserta bagi menguji kesabaran serta kekuatan fizikal dan mental. Ia juga mengajar menghargai menjaga deria yang dianugerahi dengan baik. Walaupun deria penglihatan tidak dapat digunakan terdapat deria lain masih boleh diguna pakai.
Flying fox merintangi kolam kayak |
Initiative game pula, peserta menyelesaikan permasalahan yang dicipta dengan kerjasama berpasukan. Peserta secara spontan memberi idea atau fikiran bagi menyelesaikan tugasan yang diberi. Peserta lelaki lebih cekap dan pantas berbanding dengan peserta wanita. Bagi aktiviti garisan yang terpanjang pula, peserta sanggup mengorbankan benda kesayangan bagi membentuk garisan terpanjang dengan menggunakan benda-benda yang ada pada diri. Ada yang sanggup membaringkan dirinya bagi memastikan kumpulannya menang. Kita sanggup membuat apa sahaja bagi mencapai matlamat. Pengorbanan juga penting bagi membantu kita berjaya dalam kehidupan masa depan.
Selepas persiapan diri dan solat maghrib peserta menjamu selera untuk makan malam. Kemudian selepas solat isyak aktiviti pertama pada malam itu adalah Sejam Bersama Pendaki Everest.
Mungkin satu hari nanti ada pendaki Everest dalam kalangan peserta Kem |
Pendaki Everest yang diundang adalah En. Sharul Azuan dari projek everest 2011. Beliau juga merupakan guru yang pernah mengajar kebanyakan peserta semasa di sekolah rendah dahulu. Oleh itu, keakraban dalam kalangan peserta terserlah. Banyak persoalan dan pertanyaan dilemparkan kepada guru mereka ini. Beliau menceritakan pengalaman sewaktu mendaki everest pada tahun lepas. Banyak aspek ditekankan bagi menjadi seorang pendaki yang terbaik. Peserta sangat teruja mendengar perkongsian pengalaman itu. Apa yang diharapkan pengalaman itu dapat dijadikan panduan dan pengajaran semua peserta.
Selepas ceramah itu, peserta menikmati hidangan BBQ yang dibakar oleh guru-guru dan fasilitator. Sambil menikmati ayam dan udang bakar peserta berbincang mengenai persembahan yang akan dibuat selepas itu.
Setiap kumpulan dikehendaki membuat persembahan bagi mencungkil bakat terpendam. Peserta membuat persembahan sketsa, nyanyian nasyid, tarian dan nyayian solo. Ia juga dapat menghiburkan hati setiap orang yang berada di kem selepas penat melakukan aktiviti seharian. Ia juga melatih peserta berani tampil ke hadapan untuk menunjukkan bakat yang ada. Rata-rata peserta memberi sepenuh kerjasama berkumpulan tanpa menghiraukan rasa segan dan malu.
Aktiviti terakhir pada hari pertama adalah kunang-kunang. Aktiviti menguji keberanian setiap peserta kerana dikehendaki berjalan berseorangan berpandukan cahaya lilin dalam kegelapan malam. Pelbagai aksi dan ragam dapat dilihat semasa aktiviti ini dijalankan. Pelajar dengan berhati-hati memastikan api lilin tidak terpadam. Mereka berjalan perlahan-lahan ke destinasi yang dituju dengan harapan cahaya yang menerangi itu dapat memberi panduan ke hadapan. Hakikat sebenarnya cahaya itu mengaburi pandangan mata serta menyilaukan. Jika terpadam pandangan hati lebih tajam membawa diri ke destinasi yang ditujui. Pada malam itu juga diterangi cahaya bulan yang menerangi sekalian alam.
Kita seharusnya tidak memberi fokus kepada sesuatu sahaja kerana banyak alternatif lain boleh menyelesaikan sesuatu masalah. Selepas aktiviti itu tamat taklimat untuk hari esok diberikan.
Hari Kedua 7 Jun 2012
Seawal jam 4.30 pagi peserta telah bersiap bagi memulakan aktiviti mendaki Bukit Broga. Seperti yang dijanjikan oleh Instruktor Outback bertolaj jam 5.30 pagi. Malangnya kami memulakan trekking ke puncak jam 6.00 pagi.
Keluar melalui pintu belakang kem disambut dengan salakan anjing di tempat perlindungan haiwan. Selepas itu kami mula melalui jalan besar dengan berhati-hati dalam kegelapan subuh. Kami melawan arus memudahkan kenderaan melihat barisan panjang yang berjalan ke kaki bukit Broga. Selepas berjalan 20 minit kami tiba dikawasan kelapa sawit yang merupakan tempat letak kereta bagi pengunjung yang ingin mendaki.
Pendakian bermula dengan agak perlahan kerana terdapat beberapa kumpulan besar yang turut mendaki. Kami hanya dibenarkan mendaki di puncak pertama sahaja menurut Instruktor Outback. Tepat jam 7 pagi semua peserta selamat tiba dan menikmati pemandangan yang indah cipataan Tuhan. Berehat 30 minit di atas puncak sebelum memulakan langkah kembali ke kem.
Aktiviti trekking menguji ketahanan fizikal dan mental serta kesabaran untuk sampai ke puncak. Bila diadaptasikan dalam kehidupan ia berkait kerana perlu menempuh pelbagai dugaan sebelum mendaki puncak kejayaan. Dugaan dan rintangan dihadapi dengan tabah dapat melahirkan sikap yang kental dan ingin terus berjaya.
Laluan yang dipilih harus betul supaya tidak sesat dan mungkin tidak akan sampai ke tempat yang dituju. Jikalau sesat haruslah balik ke pangkal jalan semoga berjumpa semula jalan yang betul.
Tibanya di kem sarapan pagi telah dihidang dan peserta dengan kelaparan mengambil hidangan. Tetapi tidak boleh makan selagi semua peserta belum mengambil makanan.
Flying fox umpama terbang di awan |
Aktiviti pagi itu adalah Flying fox dan Wall climbing merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta. Ada yang takut dan gayat tetapi ingin cuba juga. Semangat ini harus dicontohi kerana berani melawan ketakutan sendiri.
Flying fox mengajar pada diri tentang keberanian ingin mencuba sesuatu yang baru. Selain dapat menghilangkan ketakutan ia juga dapat melepaskan rasa tertekan semasa terbang diudara. Biasanya pada peringkat permulaan sahaja perasaan takut wujud apabila sudah meluncur laju ke bawah rasa ingin mengulangi sekali lagi.
Menuju puncak kejayaan |
Wall climbing pula menguji kekuatan fizikal dan mental. Perlu ada strategi untuk mendaki kerana terpaksa berpaut pada hold untuk membawa badan naik ke atas. Ia juga mengajar sifat percaya pada belayer yang mengawal tali keselamatan semasa mendaki. Arahan belayer perlu diikuti kerana nyawa pendaki ditangan belayer yang mengawal segala pergerakan. Jika belayer leka dan tidak memberi tumpuan pada pendaki risiko kemalangan terjatuh boleh terjadi.
Pasukan kayak 2 Inovatif |
Aktiviti kayak juga paling menyeronokkan dalam kalangan peserta. Jaket keselamatan perlu dipakai memastikan tidak tenggelam kelemasan. Teknik kayuhan yang betul membolehkan ia bergerak dan dikawal dengan baik. Kerjasama penting agar ia dapat dikawal dengan baik. Jika tiada persefahaman antara dua orang pendayung maka ia tidak akan bergerak ke mana-mana. Malahan boleh membawa bencana menyebabkan kayak capside jatuh ke dalam air.
Selepas melakukan ketiga-tiga aktiviti yang mencabar semua peserta berkemas untuk keluar daripada Outback Broga. Peserta akan kembara semula ke tempat letak kereta Bukit Broga untuk aktiviti Ikhtiar Hidup.
Kali ini perjalanan membawa beg lebih mencabar berbanding pagi tadi hanya berlenggang. Ia menguji kekuatan fizikal untuk berjalan kaki dalam jangka masa 20 minit yang kadangkala agak mendaki. Aktiviti kembara mengajar kita menghargai alam sekeliling dan juga menguji kesabaran untuk ke destinasi yang dituju. Keselamatan diri tetap diberi perhatian dan peserta perlu berhati-hati terutama di jalan besar.
Tiba di tempat letak kereta setiap kumpulan memilih tapak dapur untuk memasak dan memanggang ubi kentang yang disediakan. Roti lilit yang telah diuli di kem dikeluarkan untuk proses memasak dengan cara kreativiti masing-masing. Setiap kumpulan dengan sedaya upaya menghidupkan api bagi memastikan setiap bahan dimasak dengan baik.
Belajar menghidupkan api juga memerlukan teknik yang betul. Ada kumpulan berjaya menghidupkan api dengan mudah dan sebaliknya. Ikhtiar hidup penting kerana seseorang belajar bagaimana hendak menyelamatkan diri daripada kesusahan dan berusaha untuk meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang dihadapinya.
Selepas berjaya memasak dengan cara memanggang atau membakar, peserta menikmati hasil usaha yang dilakukan. Tamatlah aktiviti terakhir dan semua menikmati nasi ayam bungkus sebelum melawat Rabbit Farm di seberang jalan. Selepas puas melihat pelbagai jenis haiwan di Rabbit farm perjalanan pulang ke sekolah dengan menaiki bas.
Penghargaan
1. Kepada pihak pentadbir terutam Pengetua yang meluluskan program ini. Kepada Penolong Kanan Kokurikulum yang meluluskan dan memberi sokongan sepenuhnya terutama penyediaan bas.
2. Rakan-rakan yang turut membantu merealisasika program ini. Pn Rosnita penyediaan surat-surat dan membantu perjalanan program, En Asrul banyak membantu terutama penyediaan minuman dan makanan yang sedap-sedap. En Ahmad Fahmi banyak membantu menyediakan peralatan PA dan aktiviti ikhtiar hidup. Pn Zuriana datang memberi sokongan. Pn Marina yang menguruskan pendaftaran peserta pagi serta isteri tercinta Pn Nor Deeyana yang banyak memberi sokongan dan galakkan serta turut turun ke padang membantu perjalanan program.
3. Guru-guru praktikal dari UPM Cik Amira, Cik Mardhiah dan Cik Shafizah yang banyak membantu dari mula program sehingga habis. Pengalaman yang berguna ini boleh dibawa semasa menjadi Guru.
4. Outback Broga terutama pengurus Dr Yap yang memberi perkhidmatan yang terbaik. Instruktor Ouback yang friendly, berpengalaman dan berpengetahuan serta staff yang menyediakan pelbagai keperluan Thank you very much.
5. Fasilitator yang bertungkus lumus membantu menjayakan perjalanan program ini. Pengalaman yang berharga ini harus digunakan dalam kehidupan.
6. Semua peserta yang terlibat kerana memberi kerjasama sepenuhnya dan dapat mencari pengalaman yang berguna dan menyeronokkan.
7. Pendaki Everest En Sharul Azuan yang sudi berkongsi pengalam semasa mendaki Gunung Everest.
Serta kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak.
73, Zaiham, 9W2DYA
http://9w2dya.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment