High Altitude Balloon Sungkai 2018

Hari ini seperti yang dijadualkan program High Altitude Balloon di SMK Sungkai telah berjaya dilaksanakan. Sempat melihat proses dari mula mengisi gas helium hinggalah belon dilepaskan.


Ucapan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada dua orang Pensyarah Dr Norilmi Amilia dan Dr Siti Harwani. Memberi izin untuk berkongsi pengalaman, ilmu pengetahuan tentang angkasaraya.


Tidak lupa juga tuan punya drone yang ambil gambar Sharmen di tapak pelancaran.


Kepada tiga orang yang menyiapkan belon dari mula hingga akhir iaitu En Ismail dua orang pembantu yang sangat komited iaitu Aiman dan Sam. Mereka bertiga sangat berpengalaman dan mahir dalam mengendali serta menyediakan belon hingga selamat untuk dilancarkan.


Serta kepada semua pelajar subjek spacecraft yang bertungkus- lumus memastikan segala perancangan berjalan lancar agar projek bersedia untuk diterbangkan. Semangat kerjasama berkumpulan ditonjolkan antaranya Ayul, Putri, Anis, Juliana, Raweyah, Aiqa,  Sing Mei, Sharfa, Rahmah dah Syuhadah.

Berbalik kepada pengalaman hari ini, ia sememangnya  dinanti-nantikan. Peluang yang ada, harus tidak dilepaskan memandangkan pelancaran kali ini diadakan di Sungkai, Perak. Beberapa program sebelum ini buat di bahagian  utara terutamanya di kampus Kejuruteraan USM.

Seperti yang kita maklum, menggunakan HAB adalah satu kaedah yang mudah untuk membuat kajian di angkasa lepas. Belon altitud tinggi boleh mencapai 25km hingga 50km dari aras bumi. Walaupun begitu, kajian berhampiran angkasa lepas ini sangat significant.


Bermula dari pemilihan belon yang baik dapat membantu memudahkan matlamat tercapai. Belon meteorological yang beratnya 1000 gram diplih. Dua tabung gas helium dibawa dari kampus Kejuruteraan USM. En. Ismail yang berpengalaman mengisi gas helium ke dalam belon. Turut dibantu dua orang hero Aiman dan Sam menyempurnakan pengisian gas.


Sarung tangan getah digunakan setiap orang, bagi mengelakkan sebarang kemungkinan. Maklumlah permukaan belon yang sensitif perlu diberi perhatian ke tahap yang lebih tinggi. Lagipun harganya sangatlah mahal, jika bocor atau rosak habislah tak boleh terbang. Semasa proses pengisian gas, perlu berhati-hati serta fokus agar belon tidak terlepas.
Setelah gas memenuhi belon dengan sukatan isipadu yang tepat, barulah belon itu diikat dengan rapi dan kemas agar tidak terkeluar atau mengalami kebocoran. Sukatan isipadu ditimbang mengikut pengiraan yang telah dibuat. Pada misi ini, berat gas helium adalah 5.5kg. Jenuhlah Aiman memegang belon agar tidak terlepas. Nasib baik dia selalu pergi gym buat workout jadi takde masalah kalau menampung berat 6.5kg belon itu.


Pada perkiraanku tempoh mengisi gas helium dalam masa 25 minit untuk mendapat 5.5kg. Menurut Pensyarah setiap pengiraan akan mempengaruhi penerbangan dan ketinggian yang dicapai. Pada pelepasan kali ini, dapat dilihat belon terbang menegak ke atas dengan agak laju. Walaupun waktu perlepasan cuaca agak berangin dan mendung namun bersyukur tidak hujan. Ia terus naik ke atas tanpa mengalami sebarang masalah.


Apabila mencapai satu tahap yang maksimum belon akan burst dan pecah. Ketika inilah khidmat payung terjun yang berwarna kuning ini mengambil peranan. Ia perlu memastikan payload turun mendarat dengan selamat.


Bagi menentukan koordinat dan ketinggian alat GPS Traccker amat diperlukan. Datanya perlu direkod serta mudah digunakan, lebih lagi apabila payload sudah berjaya diturunkan. Koordinat yang tepat memudahkan pencarian payload apabila telah mendarat ke bumi.


Waktu perlepasan telah dilewatkan 30 minit, berbanding dalam jadual pada jam 12:00 tengahari. Ini disebabkan beberapa masalah teknikal bahan projek yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Namun selepas sedaya upaya mencari punca masalah, berkat kerjasama kumpulan yang tinggi akhirnya ia berfungsi dengan baik seperti dalam perancangan.


Untung pelajar spacecraft ini, dapat melakukan latihan amali dilapangan. Ini memberi mereka seribu satu pengalaman dalam menyelesaikan masalah serta cepat membuat keputusan. Masa yang berharga digunakan sebaiknya dalam keadaan  tenang bagi menyelesaikan punca masalah. Pengetahuan teori yang dipelajari digunakan sebaiknya serta diamalkan ilmu itu. Apabila mengalaminya pengalaman seperti ini dapat membantu di masa hadapan. Barulah tahu bagaimana ia perlu digunakan.


Ini merupakan latihan yang berharga dan sukar dicari jika tidak berusaha untuk mendapat serta mencarinya. Tidak lupa juga kepada bantuan dan panduan serta tunjuk ajar Pensyarah serta orang yang berpengalaman seperti En Ismail serta senior mereka Sharmen.


Setelah masalah  diselesaikan, tiba masa yang ditunggu-tunggu bagi belon dilepaskan ke udara. Kesemua perkakasan dimasuk dan disusunkan mengikut keutamaan ke dalam payload. Kesemuanya mesti berfungsi dan diuji telah bekerja dengan baik sebelum dapat dilepas. Ia perlu dibuat dengan berhati-hati kerana segala perkakasan elektronik sangat sensitif terutama pemasangan pada litar-litar agar ia tidak tercabut atau terputus.


Sumber tenaga bagi perkakasan elektronik adalah bateri untuk menampung dalam tempoh penerbangan. Antara projek yang dilaksanakan menarik minat ialah konsep turbin dalam menghasilkan tenaga semasa penerbangan. Kipas yang berputar hasil tolakan dari luar kemungkinan menghasilkan tenaga. Adakah tenaga dapat dihasilkan? Keadaan sewaktu bila ia dihasilkan? Adakah sewaktu menaik ke atas? Atau mungkin sewaktu  turun bersama payung terjun? Finding hanya pelajar yang menjalankan kajian itu tahu jawapannya. Menarik bukan.


Dapatan data juga disimpan dalam memori kad. Ada juga diperolehi secara langsung melalui transmitter. Tapi ada sehingga tahap altitud tertentu terus terputus hubungan.


Payload disediakan dengan kemas dan rapi bagi mengelakkan perkakas terlepas keluar ataupun hilang. Kita sedia maklum semakin tinggi semakin rendahlah suhu sekitarnya. Jadi perkakasan perlu diletakkan dalam bekas yang boleh menampung suhu sekitar yang rendah.


Rakaman video juga dibuat sepanjang penerbangan. Pasti seronok jikalau dapat menonton sepanjang tempoh penerbangan itu. Kamera diletakkan menghadap beruang teddy yang menjadi watak utama rakaman ini. 


Sebelum berlepas, panggilan ke DCA perlu dimaklumkan. Penggunaan ruang udara tanpa kebenaran adalah dilarang. Keizinan daripada pihak DCA amat diperlukan. Tepat jam 12:32 jam penulis, belon telah dilepaskan dan meluncur laju ke atas. Angin kadangkala agak kuat di tapak pelancaran, namun sepanjang penerbangan cuaca amat baik.


Sebelum berlepas, payload disambungkan dan diikat kepada payung terjun dan belon. Karabiner digunakan antara penyambung. Tali bahagian atas antara belon dan payung terjun dililit dengan pita pelekat. Manakala dibahagian bawah antara payung terjun dengan payload tidak dililit dengan pita pelekat. Ini bagi mengelakkan tali terpintal apabila belon telah burst. Ada tiga tali pada setiap bahagian. Kebarangkalian untuk terpintal amat tinggi apabila keadaan tidak stabil.


Kelihatan lensa kamera video menghadap beruang teddy. Empat warna berbeza pada tali yang menyokong payload disambungkan dengan karabiner. Kemudian dililit dengan pita pelekat walaupun screw gatenya telah dilockkan. Ini bagi memastikan ia tidak tertanggal antara semua bahagian.


Nota pelbagai bahasa ditulis dan ditampal di payload. Ini memaklumkan kepada orang ramai jika terjumpa payload ini. Syukur pada misi kali ini payload ini dapat ditemui semula dalam keadaan baik.
Malahan sewaktu mendarat payung terjun sempat dilihat oleh mereka yang mengejarnya. Namun, tidak sempat mengambil video ketika payload mendarat.


Saat yang dinantikan adalah apabila semua peralatan bersedia untuk dilepaskan. Pasti teruja melihat belon dilepaskan terbang bebas ke udara. Memang menyeronokkan bagi orang dewasa, apatah lagi jika ada anak-anak yang turut sama melihatnya. Melihatnya terbang bebas hingga tidak kelihatan di langit. Segala bacaan dan data-data dipantau agar ia bekerja dengan baik.


Penulis juga sempat berkongsi frekuensi 434.233.380MHz di FB. Frekuensi yang digunakan untuk mendapatkan koordinat dan altitud. Kemungkinan rakan ham  yang lain boleh menerima isyarat tersebut sewaktu penerbangan.


Selepas beberapa minit belon dilepaskan. Semua orang bersedia untuk mengejar dan mendapatkan payload itu kembali. Penulis diajak oleh Pensyarah untuk ke tempat payload mendarat. Namun penulis tidak dapat turut serta kerana ada tugasan lain. Mengikut perkiraan belon burst pada jam 1:40 petang dan turun selepas itu dalam satu jam 30 minit kemudian. Namun, oleh kerana cuaca berangin, payung terjun berada di udara lebih lama mengikut tiupan angin. Bacaan GPS altitud payung terjun kejap naik dan turun dibawa angin.



Credit Syuhadah
Merujuk kepada laman sesawang findmespot.com koordinat terakhir direkodkan adalah pada jam 2:56 petang di Latitude 4.15364 dan longtitude 100.83463 dengan altitude 11m/ 36kaki. Tempoh penerbangan hingga berjaya mendarat dalam perkiraan findmespot ini hampir 2 jam setengah.

Credit Syuhadah
Gambar jam 16:15 dikirimkan oleh Syuhadah menunjukkan payload telah berjaya ditemui semula. Syabas dan Tahniah kepada semua kerana Misi HAB kali telah berjaya menemui semula payload.

Credit Juliana
Gambar dari kamera video kiriman Juliana pula menunjukkan beruang teddy berlatar belakang pemandangan angkasa. Betapa tingginya beruang teddy ini telah berjaya terbang membelah awan hingga menampakkan bahawa kaki langit ciptaan Tuhan. Ruang angkasa lepas berjaya dihampiri menunjukkan bumi ini sememangnya bulat.

Sekali lagi syabas dan Tahniah semua atas Misi HAB pada kali ini. ada lagi kita jumpa lagi

73, Jojet de 9W2DYA

2 comments:

  1. Replies
    1. Tak dapat lagi tuan. Kalau ada saya kongsikan tuan. Tnx membaca coretan ini. 73

      Delete

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...