Berjaya dapat empat radiosonde secara solo


 Hari ini berjaya menjumpai empat unit radiosonde di sekitar Banting. Pembuka laluan pastilah belon KLIA pagi ini telah jatuh di jalan Durian. Jatuh jam 9:21 pagi di koordinat 2.7686 darjah Utara dan 101.5185 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir adalah 184m serta ketinggian maksimum adalah 26,483m.

Jarak 0.5m merupakan jarak titik akhir terhampir. Ia berada di kawasan kelapa sawit muda. Namun, kawasan ini agak semak dan sukar untuk mencarinya. Mencari berpandukan GPS waypoint finder semata. Rupanya kawasan ini agak sukar untuk melakukan pencarian. Terpaksa berpatah balik ke jelopi untuk mengeluarkan rdzTTGOsonde bagi mendapatkan koordinat terkini. Sebelum itu mencari berdasarkan bunyi isyarat radio. Isyarat kuat berada di sebelah selatan yang agak semak.


Cucuk usb di kereta bagi mendapatkan koordinat terkini. Berdasarkan pengalaman lepas perlu sabar semasa mengimbas dilakukan. Bacaan perlu diambil setelah koordinat betul-betul stabil. Kadangkala bacaannya tidak tepat dan terpesong. Perlu menunggu sehingga ia tepat dan tidak berubah-ubah lagi. Setelah stabil bacaan yang diimbas adalah 2.76797 darjah Utara dan 101.51836 darjah Timur.

Jarak 70.1m merupakan jarak dari peranti ke titik akhir. Altitud ketinggian terakhirnya adalah 184m. Ia dijumpai dalam semak berhampiran selekoh. Agak jauh juga mencari dengan keadaan persekitaran ladang kelapa sawit yang agak semak. Nasib baik isyarat masih aktif lagi. Bolehlah dapat koordinat terkini terus mendapatkannya.


Jarak jelopi semasa proses mengimbas ke peranti yang berada dalam semak lebih kurang 150m. rdzTTGOsonde berjaya mengimbasnya dengan antena kontot.


Koordinat hasil cerapan jam Garmin 2 darjah 46.0785' Utara dan 101 darjah 31.1007' Timur. Terpaksa meredah semak untuk mencapai benang yang kelihatan terlebih dahulu.

Saat paling menyeronokkan semasa misi pencarian adalah pemandangan benang tergantung di depan mata. Nasib baik ia jatuh agak jauh dari kelapa sawit yang menjulang tinggi. Peranti berada di dalam semak penghujung benang ini. Belon pula berada di sebalik pokok di sebelah luar.


Lampu menyala menandakan isyarat masih aktif. Menghampiri titik akhir jikalau mendengar bunyi, pasti ia juga saat  mengujakan. Apa taknya? Harapan untuk mendapatkan peranti adalah sangat tinggi. Peluang mendapat koordinat baru sangat cerah dan memudahkan lagi misi pencarian walaupun persekitaran yang agak sukar.


Belon tergantung elok sebelah hadapan peranti bersebelahan dengan laluan tanah merah. Biasanya perlu tarik-tarik benang bagi mendapat kedudukan belon. Apabila ditarik benang, pastilah belon akan bergoyang. Ketika itulah, dapat mengenal pasti kedudukannya. Tidak perlulah menariknya jikalau ia tergantung agak rendah. Jikalau menariknya pasti ia akan tersangkut pada bahagian pokok yang paling atas. Sudah pastilah belon tersangkut selama-lamanya.


Pokok renek ini memudahkan menyelamatkan belon. Ia membantu memudahkan pencarian kerana ia berada tinggi dan mudah dilihat. Kali ini belon tidak pecah sepenuhnya. Masih ada serpihan peninggalan belon yang agak besar.


Koordinat belon hasil cerapan jam Garmin 2 darjah 46.0763' Utara dan 101 darjah 31.1009' Timur. Dua punca koordinat baru diperolehi dari jam Garmin dan GPS waypoint finder dapat dicari.


Peranti dan belon berserta rdzTTGOsonde dalam bekas di atas laluan tanah merah. Belon hijau turut berkeadaan baik tanpa pecah. Mungkin faktor membawa belon agak jauh ke hadapan mendarat sangkut ke pokok renek itu. Ia berjaya melepasi pokok sawit yang agak tinggi antara pokok sawit muda di titik akhir.


Tidak berani hendak masuk kereta ke laluan ini memandangkan beberapa hari hujan menyebabkan ia agak sukar dilalui. Jalan utama ke sini tadipun sudah agak sukar untuk menyampainya. Sebab itu, rela berjalan sahaja daripada mengambil risiko kereta tersangkut.


Keadaan selekoh lokasi belon dijumpai. Sebelah kiri merupakan kawasan belon dijumpai. Boleh rujuk tangkap layar di atas kawasan belon mendarat.


Sebelah kiri laluan dari titik akhir dan kereta diletakkan di jalan utama. Pokok renek di hadapan itulah belon dan peranti terhalang pergerakannya. Jika tiada pokok, pasti ia dijumpai di atas laluan tanah merah ini. Pokok sawit di hadapan itu berjaya dilepasi. Keadaan dibawahnya agak semak sememangnya menyukarkan pencarian.


Misi kedua radiosonde D22028662 jatuh pada 26 Januari 2023 jam 21:28 malam. Tidaklah jauh dari Jalan Durian misi pertama. Laluan menghubungnya sangat teruk pada beberapa bahagian. Ia memaksa aku berpatah balik ke Jalan Durian keluar ke laluan bertar yang lebih elok. Lokasi misi kedua di jalan Kenanga 1 Kg Sg Kelambu berdekatan Kg Sg Lang.


Pada kali ini, belon jatuh disebelah kebun di antara parit yang menjadi sempadan. Semasa hendak memasuki kawasan ini berjumpa dengan pekerja yang sibuk membuat rumah. Memaklumkan kedatanganku untuk mencari peranti yang berbaki kurang 50m dari situ. Kelihatan peranti di seberang parit yang tenang mengalir. 


Belon dijumpai sebelah parit, kayu pine tertusuk ke tanah gambut yang lembut. Belon pecah sepenuhnya.


Benang penyambung antara belon dan peranti tersangkut pada pelepah sawit. Peranti berada di seberang parit kawasan kebun ubi kayu. Benang tergantung ini sangat menyenangkan hati. Kali ini ternampak peranti di seberang parit terlebih dahulu sebelum melihat benang.

Benang yang melintang parit menggambarkan arah dari mana ia datang. Sudah pastilah belon berada dihadapan membawa peranti di belakangnya. Adakah ia disentuh orang? Sudah pasti tidak! Bagaimana tahu? Ini kerana benang tersangkut pada pelepah. Ia menggambarkan bahawa ia tidak dikacau kedudukan asalnya. Itulah kedudukannya semasa ia jatuh mendarat di sini.


Koordinat belon hasil cerapan jam Garmin di atas manakala peranti pada gambar bawah. Benang terkumpul elok di sekeliling peranti.


Jarak 20.6m merupakan jarak peranti ke titik akhir. Altitud ketinggian terakhir adalah 135m manakala ketinggian maksimum adalah 27,276m. Bagi altitud 135m berjaya jumpa peranti pada jarak 20.6m

Berdasarkan GPS waypoint di atas terdapat dua bahagian koordinat. Koordinat bahagian atas bersama tertulis kod radiosonde D22028662 sebagai tajuk. Bawahnya adalah koordinat titik terakhir bagi belon ini. Manakala di bahagian bawah pula adalah koordinat kedudukan semasa kita berada. Warna hijau jarum kompas dan angka jarak menunjukkan menghampiri koordinat yang disetkan. Bagi warna biru menunjukkan koordinat adalah tepat.  Seterusnya warna kuning menggambarkan jarak ke koordinat yang masih jauh lagi.


Kedudukan peranti yang senget ketika dijumpai dengan gumpalan benang kelilingnya. Sebelahnya juga merupakan tiga tali menjadi pagar kawasan kebun ini. Ia didirikan bagi mengelakkan binatang ternakan menceroboh. Walaupun ada parit tetap juga berpagar bagi tujuan tersebut.


Radiosonde D22028660 berjaya dicari setelah dua hari ia jatuh. Untungnya jatuh di kawasan tanaman sukar diusik kecuali pekerja menyentuhnya. Kelihatan pokok sawit baru dibaja. Kedudukannya yang tidak mengganggukan membolehkan ia berdiam diri sebelum dikutip.

Parit sebagai sempadan tanah dan juga mengelakkan binatang ternakan menceroboh kawasan. Sebenar binatang ternakan ini boleh sahaja melintasnya dengan mudah. Warna tanah gambut yang hitam biasa ditemui di sekitar Banting ini.

Bagi misi kedua ini, benang ditarik hingga dapat mencapai tangan pada belon. Setelah pelepah sawit itu melendut akibat belon yang tersangkut. Mencapai tangan dan terus tarik belon keluar dari celah pelepah itu. Nasib baiklah pelepahnya tidak terlalu tinggi. Maka bolehlah ditarik keluar belon dengan mudah. Maka, benang tidak terputus dan kekal menyambung antara peranti dan belon.


Benang elok digulung pada kayu pine seperti asal semasa penerbangan. Jadi, ia tidak terputus langsung kerana mudah untuk mengeluarkan daripada tersangkut pada pelepah.


Sebelah kiri kebun kelapa sawit berhadapan dengan beberapa rumah. Rezeki pada kali ini mudah untuk mencarinya. Ini kerana kawasan kelapa sawit yang kemas dan dijaga dengan baik oleh penanam.


Pemandangan ke jalan Kenanga 1. Meletakkan kereta di tepi jalan itu. Jarak hanya berbaki 60m sahaja. Berjalan kaki lebih baik bagi memudahkan pencarian.


Misi ketiga belon KLIA radiosonde D22028046 telah jatuh pada 9 Januari 2023 jam 20:56 malam. Lokasinya di Jalan Sukun dipersekitaran Kampung yang terdapat kebun kelapa sawit. Ini merupakan kali kedua mencarinya. Pada 24hb Januari 2023 semasa cuti tambahan Tahun Baru Cina telah berjaya sampai ke titik akhir. Namun tidak menjumpai sebarang tanda memandang altitud ketinggian terakhir adalah 370m

Pada kali ini ,berjaya menjumpai radiosonde D22028046 pada jarak 101m. Oleh kerana ia dikelilingi rumah orang, terpaksalah memakai vest pemantul cahaya sebagai langkah keselamatan. Nasib baik juga ia ditemui di kebun kelapa sawit. Nampak benang sekali lagi semasa mencari di sebelah kawasan sawit itu. Tanpa berlengah terus masuk ke situ dari kawasan lapang sebelahnya.


Terus ke benang yang tergantung dari pelepah sawit. Lihat dibawahnya peranti disebalik timbunan pelepah-pelapah kering. Rasanya kawasan ini digenangi air. Lihat kesan air dapat dilihat melimpah akibat parit sebelahnya.


Apa taknya? Ketika mengambil peranti air meleleh keluar. Hampir tiga minggu sejak jatuh masih kekal disitu. Timbunan pelepah sawit kering  kebiasaannya memang tidak dibakar. Ia biar reput.


Koordinat peranti hasil cerapan jam Garmin 2 darjah 47.1994' Utara dan 101 darjah 29.9434' Timur.


Masih bersih putih berseri walaupun telah berada selama tiga minggu. Semasa hendak mengambil gambar inilah air hujan meleleh keluar. Cuba menarik-narik benang bagi mengetahui kedudukan belon. Ternyata belon berada sebelah aku datang tadi. Boleh tak perasan ketika lalu di situ. Parit kecil itu disambungkan oleh titi kecil. Kelihatan bekas tayar motor ada melalui laluan tersebut. Elok sahaja benang berada betul-betul pada timbunan pelepah lama ini. Jadi ia tidak menghalang laluan. Jikalau tidak pasti ia telah dialihkan.


Belon berada disebelah timbunan pelepah menghadap jalan masuk. Elok berada di pelepah kering tanpa diganggu kacau.


Belon kelihatan pecah sepenuhnya. Turut pecah belon kecil hijau. Terpaksa memutuskan benang yang tersangkut atas pelepah sawit. Kemudian terus gulung benang yang berbaki pada kayu.


Koordinat belon hasil cerapan jam Garmin adalah 2 darjah 47.1963' Utara dan 101 darjah 29.9472' Timur.


Set lengkap radiosonde D22028046. Baki benang telah digulung elok pada kayu pine.


Pemandangan dari arah jalan masuk ke tapak peranti dan belon dijumpai. Sebelah kiri merupakan tanah kebun sayur. Pergi kawasan kebun terlebih dahulu sebelum terlihat benang tergantung dalam kebun kelapa sawit.


Jalan kampung bertar memudahkan perhubungan antara penduduk.
Masa kali pertama sampai hari itu berjaya sampai di sini. Rezeki tiada sebab hujanpun turun dengan agak lebat. Pada kali ini, barulah sempat untuk mencari-cari dengan lebih lanjut. Menjadi prinsip pemburu belon mencari belon sehingga sudah berpuas hati tidak dapat menjumpainya. Barulah malam boleh tidur lena sebab sudah melihat-lihat kawasan yang dicari.


Misi keempat radiosonde D22028656 jatuh pada 22 Januari 2023 pada jam 21:27 malam. Pertama kali masuk ke kawasan Pulau Banting pada koordinat 2.83993 darjah Utara dan 101.50613 darjah Timur. Meletak kereta di tepi jalan kawan ladang kelapa sawit.


Melangkah parit dengan mudah masuk ke kawasan ini. Jarak ke titik akhir kurang 50m. Sawitnya agak tua serta tinggi-tinggi belaka. Mata melilau cari peranti setalah jarum kompas bertukar hijau.


Kemudian nampak peranti dikelilingi benang. Malangnya papan litar telah dikeluarkan daripada bekasnya. Ini mesti tuan tanah yang buat. Tidak jauh dari sini terdapat sebuah pondok. Sudah pastilah ia mudah ditemui. Lebih-lebih lagi benang tergantung di situ.
 

Tanpa berlengah terus masukkan semula papan litar ke dalam bekasnya. Bateri masih ada pada papan litar itu. Ini menggambarkan bahawa orang yang mencabutkannya sekadar ingin tahu isi di dalam sahaja.


Keadaan asal peranti setelah papan litar dimasukkan semula. Kelihatan tanah-tanah melekat pada peranti. Hanya seminggu selepas jatuh barulah dicari. Namun, ada orang terlebih dahulu menjumpai dengan rakus membuka serta meninggalkan biar di luar. Habis kena hujan dan panas serta percikan air. Tapi bagusnya ia biar di situ sahaja tanpa membuangnya.


Kemudian cuba merentap benang untuk mengenal pasti kedudukan belon. Setelah benang terputus, ternyata belon tersangkut di atas. Ketika itu, hujanpun turun. Tanpa berfikir panjang terus bergerak ke jelopi. Benang ditinggalkan di situ sahaja, tanpa membawa pulang sekali. Ini sebagai makluman bahawa benda yang dibuka itu telah diambil.


Kemudian keluar semula ke pekan Banting. Seterusnya memandu pulang ke base station di Bangi. Rezeki kali ini dengan izinNya dapat bawa pulang empat peranti.

73, Jojet de 9w2dya

Disapa Shah 9W2UON

 Semasa hendak ke saltmine tengah hari tadi telah disapa oleh Shah 9W2UON. Kedengaran audio dicorong radio mobileku sebelum simpang tiga Dengkil dari Pekan Bangi frekuensi 145.500MHz.

Kedengaran audio readability 5/9 crystal clear semasa beliau menyebut isyarat panggilanku. Rupanya jelopi beliau hanya ada dibelakangku sahaja. Tidak mustahillah audionya kedengaran sangat baik sekali.

Melepasi lampu isyarat aku membelok ke kiri arah Dengkil. Beliau meneruskan perjalanan arah ke Kajang. Barulah nampak jelopi vios putihnya dengan antena yang menjulang dibelakangnya.

Semasa melepasi plaza tol Southville cuba memanggil sekali lagi. Ternyata beliau membalasnya dan hendak mendarat untuk bersarapan terlebih dahulu.

Kini setiap kali bermobile aku akan QRV V40 menunggu sapaan mana-mana rakan berhampiran. Boleh rujuk aprs juga bagi menentukan lokasi secara langsung.

73, Jojet de 9w2dya


Berjaya dapat dua radiosonde daripada empat misi


 Cuaca pagi ini yang hujan tidak menghalang aku melancarkan empat misi pencarian. Belon pagi tadi jatuh di Kg Sg Buaya, Banting. Memandu dari Bangi hujan agak renyai. Namun tiba menghampiri Banting semakin lebat. Terpaksa berhenti sarapan terlebih dahulu sementara menunggu hujan reda.

Lokasi jatuh di Kg Sg Buaya dalam kawasan kelapa sawit. Terletak di belakang sebuah bengkel kereta. Keadaan masih hujan terpaksalah menggunakan payung. Meminta kebenaran tuan punya bengkel untuk melalui kawasannya. Menghampiri lokasi kejadian sebelum itu, berjaya mendapat isyarat semasa memandu. Walaupun hujan agak lebat isyarat masih lagi dapat diterima. Jarak 22.1m merupakan jarak titik akhir dari peranti yang ditemui. Altitud ketinggian terakhir 171m ditemui pada jarak 22.1m.


Peranti tergantung elok tidak mencecah tanah walaupun air memenuhi ruang yang ada. Walaupun hujan agak lebat ia masih lagi aktif. Hujan tidak menyebabkan ia boleh terpadam. Masih terus berfungsi dengan baik sehingga kehabisan tenaga bateri.


Hujan terus turun tanpa henti. Misi menyelamat mesti diteruskan walau ada halangan cuaca sekalipun. Rugi jiklau tidak mencarinya kerana berdekatan dengan jalan utama. Lagipun berada dipersekitaran kawasan kampung. Sebab itu sanggup turun mencarinya walaupun hujan. Bertambah semangat pula, isyarat masih lagi aktif.


Peranti tergantung berdekatan longgokan pelepah sawit kering. Kebun sawit ini sangat bersih dan kemas. Terjaga rapi oleh pemilik.


Lampu merah menyala dalam hujan menggambarkan bahawa peranti ini sangat tahan keadaan apa jua cuaca sekalipun.


Radiosonde D22028688 dalam genggaman dengan lampu merah kuning masih menyala. Selepas ia disentuh, ia bergerak ke atas. Apa yang menyebabkan ia semakin bergerak ke atas? Belon lebih berat daripada peranti ini mempunyai daya yang tinggi menggerakkanya. Bertambah pula dengan hujan yang lebat menambahkan lagi bebanan.


Terpaksa memutuskan benang pada bahagian peranti dahulu bagi membawa belon turun. Ia tergantung seperti kebiasaan pada pelepah pokok kelapa sawit.


Selepas benang diputuskan jatuhlah belon dengan pantasnya macam buah durian gugur. Tanpa berlengah terus menggulungkan benang ada kayu.































Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...