Pada cuti sekolah yang lalu berkesempatan mengerjakan ibadah Umrah dari 12 Disember 2022 hingga 3 Januari 2023. Umrah selama 22 hari ini bersama sebuah agensi pelancongan yang berpusat di Kuala Terengganu.
Pada hari kedua tiba di Arab Saudi, kami terus berada di Taif dari Jeddah. Taif kawasan tanah tinggi dan banyak tempat bersejarah. Sebelum bergerak ke Mekah untuk mengerjakan Umrah wajib kami melawat beberapa tempat menarik di sini. Sudah pasti kereta kabel Taifsana menjadi pilihan semua jemaah. Merujuk kepada jam Garmin di atas altitud ketinggian di pusat ini adalah 1853m dari aras laut.
Kereta kabel seperti di Genting mahupun di Pulau Langkawi. Ia tiada dalam senarai pakej yang disediakan oleh pihak agensi. Namun atas permintaan ramai, ia ditanggung sendiri kosnya kepada sesiapa yang mengikutinya. Oleh kerana, bilangan yang ramai dapatlah potongan harga tiketnya.
Menunggu giliran untuk menaiki kereta kabel yang akan tergantung di udara. Penuh debaran menanti giliran. Apa taknya? Selalu kita pasti mendaki naik ke atas puncak. Bukan di Taif ini. Sebenarnya kita sudah berada di atas puncak. Sebab itulah altitud ketinggian 1853m adalah sangat tinggi. Suhu sangat rendah ditambah dengan tiupan angin menambah kesejukan.
Kereta kabel sudah tiba. Perlu melangkah berhati-hati ketika ingin memasuki ke dalamnya. Ia akan terus bergerak perlahan-lahan. Ketika itulah kita terpaksa mengejarnya dengan waspada selalu. Ia boleh memuatkan enam orang dalam satu kereta.
Meluncur perlahan-lahan ke bawah sangat mengasyikkan. Tidak bagi yang takut tinggi atau gayat. Pasti pemandangan yang menakutkan pasti tidak dapat dilupakan. Pemandangan jalan raya membelah gunung memukau mata memandang.
Sayup jauh nun di sana destinasi masih jauh lagi untuk tiba. Lingkaran jalan bengkang-bengkok seperti ular dipalu. Gunung-ganang batu menghiasi pemandangan sekeliling.
Laluan lebuhraya mendaki ke arah puncak kawasan Taif. Lereng bukit ditarah bagi pembinaan laluan yang canggih ini. Batu granit yang keras dan stabil mengukuhkan pembinaannya menjadi lebih selamat dan meyakinkan.
Pembinaan lebuhraya ini mempercepatkan lagi masa dan jarak ke Taif. Ini sangat penting memandang ia merupakan kawasan pelancongan yang dikunjungi ramai terutamanya jemaah umrah.
Semakin dekat jelas kelihatan kawasan gunung yang berbatu tandus. Tidak kelihatan sebarang tumbuhan sekali pandang. Jikalau diteliti dengan betul ada beberapa spesies hidupan yang masih boleh hidup di kawasan pergunungan ini.
Kelihatan beberapa spesies rumput dan pokok renek yang mampu hidup di celah-celah kawasan pergunungan ini. Tanah tandus dan batu keras serta kurang menerima hujan menyebabkan tumbuhan sukar hidup subur.
Bentuk muka bumi bergunung-ganang yang menyajikan pemandangan batu-batan sahaja. Berbanding dengan negara kita yang menghijau. Satu pengalaman baru bagi sesiapa yang belum pernah ke tanah arab. Lebuhraya moden yang dibina seiring dengan kemajuan negara ini menuju negara maju tahun 2030.
Lebuhraya dibina mengikut kontur muka bumi gunung memudahkan pemanduan dan keselamatan. Jalan yang bengkang-bengkok ini mengikut kecerunan dan muka bumi yang sesuai untuk tahap keselamatan antarabangsa. Maklumlah kenderaan di negara ini semuanya besar belaka.
Pemandangan puncak dari bawah yang semakin menghampiri. Batu-batan yang pecah akibat proses luluhawa memakan masa yang lama. Batu yang rapuh ini boleh berguling ke bawah sangat membahayakan keselamatan awam. Namun, ia pasti jatuh ke lembah antara gunung sahaja.
Taman tema semakin menghampiri. Kelihatan warna biru menguasai pemandangan. Pastilah ia kolam air menjadi tarikan utama di sini. Namun, setelah sampai tiada kelihatan pengunjung menikamti segala permainan di kawasan kolam air. Rupanya taman ini sedang dalam proses penyelenggaraan. Patutlah sunyi sepi sahaja di kawasan kolam itu. Jika ia dibuka pasti ramai pengunjung yang tiba. Ini memandangkan sekarang negara Arab turut bercuti sekolah pada bulan disember.
Tiba sahaja di bawah, banyak bangunan seni bina arab ada di sini. Kedai-kedai menjual makanan dan minuman serta pelbagai cenderahati dibawa pulang sebagai kenangan.
Deretan bangunan seni bina arab yang kelihatan seperti kotak sahaja. Senibina biasa kelihatan di mana-mana seluruh negara tanah arab ini. Faktor iklim mempengaruhi senibina bangunan dan rumah-rumah.
Menara masjid yang dibina di taman tema ini. Ketika kami tiba azan zohor berkumandang. Tanpa berlengah kamipun berjemaah dengan solat jamak sekali.
Ketinggian taman tema adalah 820m dari aras laut. Jadi, hampir 1000m ketinggian turun telah dilalui dari puncak. Beza 1000m sangatlah besar jarak ketinggiannya itu.
Sayup di atas gunung di hadapan itulah kami turun tadi menggunakan kereta kabel. Sangat jauh dan tinggi bukan? Mana taknya? Beza ketinggian 1km untuk naik semula ke puncak.
Pemandangan sekeliling taman tema dihiasi pemandangan gunung-ganang. Pelbagai kemudahan permainan ada disediakan untuk pengunjung. Paling mencabar boleh mencuba toboggan ride di atas rel di tepi gunung. Hanya orang berhati kering boleh mencubanya tanpa massalah. Semasa menaiki kereta kabel terperasan kabel untuk aktiviti zip line atau flying fox.
Beberapa tanaman turut menghijaukan pemandangan sekitar taman tema ini. Ada pokok buah tin, delima serta beberapa tanaman turut di tanam sebagai tanaman hiasan. Setelah puas bergambar dan meronda-ronda kami beratur semula untuk menaiki kereta kabel ke puncak semula.
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment