Hari terakhir tahun 2023 digunakan untuk misi mencari batu tanda 1km atau 0km. Selepas sarapan di Bandar Seri Putra terus memandu ke Nilai melalui Bukit Mahkota. Kemudian belok ke kiri menghala ke Labu. Koleksi pembuka hari ini adalah Nilai FT362 arah dari Labu. Batu tanda ini merupakan penemuan yang ke-18. Terpaksa masuk ke kanan bahu jalan berhadapan laluan masuk kawasan kampung. Berpatah berjalan kaki untuk menyimpan memori.
Batu tanda yang ke-19 merupakan Labu FT362 masih jalan yang sama. Meletakkan kereta sebelum simpang Batu 10 Labu. Terpaksa berpatah balik dan melintas jalan. Batu tanda ini dari arah Nilai tadi.
Kemudian masuk simpang hala ke Sendayan. Batu tanda Labu FT1265 dari Sendayan. Kereta berpatah balik berhampiran kuil. Kemudian meletak kereta ditepi jalan melepasi batu tanda ini. Perlu mencari lokasi yang sesuai bagi meletak kereta dalam keadaan selamat amat perlu difikirkan. Berpatah balik berjalan untuk mendapatkan shot yang hebat. Usai mengambil gambar terpaksa mencari keadaan jalan yang selamat untuk berpatah semula hala ke Sendayan.
Melepasi Sendayan terus ke jalan nombor 53 Seremban - Port Dickson. Hala ke Port Dickson berjaya menemui batu tanda Lukut FT53 dari Seremban. Meletak kereta sebelum simpang perumahan. Menapak agak jauh juga semata-mata mengambil gambar batu ini. Jarak ke Port Dickson berbaki 10km lagi.
Kemudian terus menghala ke Port Dickson selepas melepasi Lukut. Monumen KM 0 Port Dickson terletak di Pejabat Post. Ini merupakan asas pengukuran jarak jalan persekutuan laluan 53 dari Port Dickson ke Seremban. Turut laluan 5 dari Port Dickson ke Lubok China, Sepang dan Klang. Ia telah diwartakan seperti yang ditunjukkan pada monumen ini. Jadi ini merupakan koleksi kedua dalam pemburuan 0km penulis dan penemuan pertama bagi monumen KM 0.
Selepas mengambil gambar pada monumen Port Dickson, mencari makan di deretan Pejabat Pos. Ada banyak kedai makan di kawasan sekitar. Sesudah kenyang, terus bergerak menghala ke Lukut semula untuk mencari Masjid.
Terlihat papan tanda Muzium dan Kota Lukut yang sememangnya handak ditujui. Selalu ke Port Dickson tetapi tiada kesempatan untuk singgah. Pada kali ini peluang harus tidak dilepaskan.
Melepasi pintu pagar utama mengandaikan hari Ahad kawasan ini tutup. Namun terlihat ada beberapa kenderaan di kawasan tempat letak kereta. Tanpa berfikir panjang terus masuk sahaja. Kebetulan ada beberapa buah kereta turut baru tiba.
Keluar sahaja kereta perlu naik beberapa anak tangga menuju Muzium. Tiba di atas disambut pula dua laras meriam. Berdasarkan papan kenyataan yang dipamerkan. Meriam tembaga ini dijumpai secara tidak sengaja pada tahun 1993 semasa kerja-kerja survei arkeologi di Bambek Shoal. Ia dijumpai dari artifak Kapal Nassau.
Kedudukan meriam tembaga menghala ke bawah memberi suasana kota yang dilengkapi senjata peperangan. Ekskavasi menaikkan artifak Kapal Nassau termasuk meriam tembaga ini telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia melalui JabatanMuzium dan Antikuiti dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa agensi lain.
Meriam kecil beroda diletakkan sebelah meriam tembaga Kapal Nassau. Kedudukan Muzium dan Kota Lukut adalah di atas bukit. Ia pemilihan strategik dalam tujuan keselamatan.
Kemudian bergerak ke bangunan Muzium perlu melalui beberapa bahan pameran berupa alat pengangkutan. Pertama kali akan bertemu kereta lembu. Kereta yang ditarik seekor atau dua ekor lembu bagi menggerakkannnya.
Sebelahnya pula adalah Perahu Sekoci yang terkenal di negeri Terengganu. Perahu sekoci dihias cantik dengan ukiran dan corak yang berwarna-warni. Perahu tradisi bersaiz kecil menjadi pengangkutan utama para nelayan tradisi.
Perahu Sekoci ini digunakan untuk memancing, mencadat sotong dan memukat ikan dengan menggunakan pukat kecil.
Kemudian, sebelahnya merupakan perahu naga yang panjang. Turut diukir dan diahiasi seni tradisi yang unik.
Kemudian terus ke kaunter di Muzium Lukut. Bertanyakan kedudukan surau terlebih dahulu. Usai solat zohor barulah mendaftar dalam buku pendaftaran. Tiada bayaran dikenakan. Ia dibuka setiap hari dan tutup pada Hari Raya sahaja. Menurut pengawal bertugas ia buka jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang.
Tertinggal satu lagi perahu yang agak besar berbanding yang tadi. Perahu Payang merupakan perahu terbesar digunakan di Terengganu untuk menangkap ikan. Operasi memukatnya adalah di kawasan laut dalam menggunakan pukat payang dengan awak-awak seramai kira-kira 15 orang. Perahu ini dikenali sebagai perahu payang berdasarkan operasi memukatnya yang kebiasaannya menggunakan pukat payang. Perahu ini berukuran 14.2m panjang, 2.27m lebar, 3.1m tinggi dan menggunakan dua layar. Pada kebiasaannya perahu payang akan dihiasi dengan lukisan awan larat yang indah.
Bangunan Muzium Lukut yang dibina dua tingkat. Ia ditubuhkan untuk mempamer dan menyebarkan maklumat mengenai sejarah Lukut dari awal abad ke-19 sehinggalah Lukut menjadi sebahagian dalam daerah Sungai Ujong (Negeri Sembilan) pada tahun 1880.
Bangunan Muzium Lukut yang terletak di sebelah timur dan berhampiran Kota Lukut siap dibina pada tahun 1997. Reka bentuk dan ciri-ciri utama bangunan dipercayai mengikut rupa bentuk seni bina Bugis. Muzium ini dibuka secara rasmi pada 9 April 1999.
Km 1 Chuah N4 dari Lukut.
Km 1 Chuah N189 dari Tanah Merah,
Km 1 Kampung Pachitan N151 dari Bukit Pelanduk.
Km 1 Bukit Pelanduk N4 dari Chuah
KM 1 Bukit Bangkong B119 dari Sungai Pelik (depan)
Km 1 Bukit Bangkong B119 dari Sungai Manggis bahagian belakang. Besar harapan jikalau pihak JKR Sepang dapat menaik taraf batu tanda B119 yang telah uzur ini dari Sg Pelek ke Sg Manggis.