Bukit Lada 98 mdpl terletak bersebelahan dengan KLIA. Pagi tadi sempat menjejaki bukit setinggi 323 kaki ini. Rentetan hantaran sahabat FB Ijat loloque pada Sabtu minggu lepas. Maka, pagi ini cuti Deepavali jatuh hari minggu maka esok cuti lagi.
Oleh kerana sudah lama tidak melancarkan misi SAR radiosonde. Maka, pagi ini sebagai mengimbas kembali aktiviti mencari belon kaji cuaca yang sering jatuh di sekitar kawasan ladang kelapa sawit KLIA, Sepang. Tak sangka pula, berdekatan KLIA ini ada sebuah bukit yang terdapat Aeronautical Observation Light Beacon milik CAAM.
Berdasarkan hantaran FB Ijat loloque, telah ada dikongsikan koordinat Bukit Lada ini. Koordinat 2.709208 darjah Utara dan 101.732482 darjah Timur. Masukkan koordinat ini seperti biasa dalam GPS Waypoint seperti misi SAR radiosonde yang selalu dilakukan tersebut. Mengkaji peta satelit mencari jalan akses yang terhampir. Ternyata akses paling dekat adalah melalui laluan sawit berdekatan penghujung landasan. Tempat orang ramai berhentikan kereta untuk melihat kapal terbang berlepas.
Laluan masuk ini juga terdapat kolam tadahan air keluar dari KLIA. Sudah pernah masuk ke sini mencari radiosonde yang jatuh dalam kawasan ini berdekatan hujung lampu runway. Nasib baiklah peranti radiosonde berjaya ditemui ketika itu.
Setelah sarapan di Bandar Sri Putra terus ke KLIA melalui Nilai dan Pekan Salak. Tiba lokasi kejadian terus letak kereta di bawah pokok kelapa sawit yang agak teduh. Bersedia dengan dua handheld serta satu botol minuman. Jam Garmin disetkan mode tactical. Jaln mengikut laluan sawit yang tersedia. Berpandukan arah gps waypoint terus bergerak mengikut laluan yang ada. Kemudian laluan semakin bersemak terpaksa berpatah balik kerana ada parit memisahkan dua blok berlainan.
Berpatah balik mengikut laluan sawit semula. Kawasan arah bukit itu terdapat parit. Maka tidak boleh masuk dan perlu mencari akses yang lain pula. Beberapa langkah kehadapan terlihat ada titi kayu merentangi parit berair tersebut. Titi tersebut merupakan laluan ke dusun durian. Terdapat pondok durian dalam kebun ini. Kemudian terus ke hadapan lagi melalui kawasan kelapa sawit sekali lagi. Ladang sini dimiliki oleh individu menyebabkan banyak kawasan yang berpagar dan berparit.
Kemudian ada pintu pagar terus panjat dan melepasinya. Bergerak mengikut laluan terus hingga bertemu jambatan batu sebelah kanan. Keluar pagar semula dan belok ke kiri pula selari dengan pagar kawasan ladang yang ada aliran air tersebut. Terus menyusur jalan dan bertemu pula kawasan ladang sawit yang telah botak untuk penanaman semula. Kawasan ini telah dipagar dengan kawat berduri. Menyusur kawat berduri ini hingga masuk semula ke atas puncak bukit. Nasib baik laluan ke atas tidak dipagar lagi. Maka boleh menyusur laluan terus ke puncak.
Pemandangan kawasan bukit telah ada kerja menereskan bagi penanaman semula. Setiap kontur bukit dilakukan dengan teliti bagi mengurangkan impak kesan alam sekitar.
Tiang lampu beacon telah mula kelihatan dari laluan mendaki ini. Langkah dilajukan kerana tidak sabar menikmati pemandangan 360 darjah di puncak Bukit Lada.
Tiba dipuncak ada binaan konkrit empat segi dengan satu tiang beacon terpacak berdiri. Tulisan LADA sahaja yang tertinggal. Bukti telah tiba di puncak Bukit Lada. Dinding konkrit dicat berbelang warna merah dan putih sebagai langkah keselamatan. Warna kontra ini lebih jelas dilihat dari jarak jauh.

.jpg)










No comments:
Post a Comment