Semalam telah melancar lima misi pencarian belon radiosonde di Pulau Carey. Pencarian bersama dua stesen lagi iaitu Hanif 9W2VHF dan Yatt 9W2MFE. Berjaya membawa pulang dua belon radiosonde daripada lima misi. Masing-masing setakat ini telah mempunyai dua koleksi radiosonde setiap orang. Secara peribadi aku telah berjaya menemui tujuh belon radiosonde setakat ini.
Berkumpul jam 9 pagi di Balai Pengawal yang mempunyai papan tanda Muzium Perladangan. Setelah semua anggota tiba, menuju ke Kg Melayu untuk mencari belon radiosonde D20050676. Belon ini telah jatuh pada 5 Disember 2021 pada jam 21:04 dengan altitud ketinggian terakhir 553m. Hanif 9W2VHF memandu kami menggunakan google map hingga ke simpang yang telah ditutup oleh palang.
Kemudian berjalan ke titik terakhir 2 darjah 50.16' Utara dan 101 darjah 22.86' Timur. Terpaksa melalui jalan yang dipenuhi air kesan banjir. Nampaknya kawasan persekitaran masih terdapat air bertakung. Setelah menghampiri titik terakhir begitu semak dan air bergenang di sana-sini. Situasi ini menyukarkan tugas pencarian. Maka misi ini dibatalkan kerana risiko bahaya. Boleh baca entri tentang belon ini pada https://9w2dya.blogspot.com/2021/12/belon-klia-jatuh-di-pulau-carey-lagi.html
Entri ditulis pada 6 Disember 2021 dalam blog ini.
Kemudian ke Pondok Pengawal Sg Kurau. Memaklumkan kepada pegawai bertugas untuk mencari belon. Selepas pendaftaran terus ke destinasi Misi kedua 2 darjah 51.06' Utara dan 101 darjah 21.16' Timur. Mencari tempat parkir yang selamat di lorong dalam kelapa sawit muda yang baru membesar. Berjalan menuju titik terakhir terpaksa melangkah beberapa parit. Tiba titik terakhir mencari mengikut baris pokok disebelah kanan.
Jumpa disebabkan ternampak belon hijau yang kecil tersangkut di pokok. Kemudian Hanif 9W2VHF dan Yatt 9W2MFE mengikut benang untuk mendapatkan peranti. Rupanya peranti telah berada dibawah rumput. Maklumlah ia jatuh pada 4 November 2021. Hampir 2 bulan jatuh baru ditemui. Jatuh arah selatan sebaris dengan titik terakhir dengan jarak lebih kurang 75m. Koordinat seperti gambar di atas. Altitud ketinggian terakhir 563m. Meraikan kejayaan dengan bergambar kenangan. Sebenarnya hampir berputus asa, namun rezeki terpandang di saat akhir berjaya jumpa benda yang dicari. Alhamdulillah misi berjaya dengan WX cerah dan panas ketika itu. Boleh baca entri sebelum ini https://9w2dya.blogspot.com/2021/11/misi-mencari-radiosonde-di-pulau-carey.html
Entri ditulis pada 5 November 2021 dalam blog ini.
Misi ketiga hendak mencari radiosonde D20052319 ditepi pantai. Pernah mencari pada 23 Disember 2021 dengan berjalan kaki dari Pantai Tanjung Rhu. Sewaktu itu, banjir menyebabkan jelopi tidak boleh masuk ke kawasan berhampiran. Boleh baca semula pada entri https://9w2dya.blogspot.com/2021/12/misi-mencari-radiosonde-di-pantai-rhu.html
Entri pada 23 Disember 2021 dalam blog ini.
Oleh kerana tidak jumpa jalan ke kuarters yang pernah sampai dulu. Misi yang ketiga di tepi pantai dibatalkan. Pergi ke surau Ar-Rahman untuk solat Zohor sebentar.
Misi keempat diteruskan ke gereja. Yatt 9W2MFE memandu kami dengan bantuan google map. Hanif telah mengesahkan kawasan gereja telahpun berjaya tiba menggunakan motorsikalnya. Kami meletakkan kereta di persimpangan berhampiran kawasan itu. Kemudian berjalan ke titik terakhir belon D20052467 jatuh pada 21 Disember 2021 jam 9:23 pagi. Koordinat 2 darjah 53.05' Utara dan 101 darjah 19.82' serta altitud ketinggian terakhir 344m.
Setelah mengenalpasti titik terakhir. Misi pencarian dimulakan mengikut baris pokok sawit arah ke utara. Akhirnya bertemu juga peranti D20052467 dalam keadaan yang telah bersepai dan pecah berhampiran pokok di tepi jalan.
Koordinat radiosonde yang kedua berjaya ditemui seperti gambar di atas. 2 darjah 53.0945' Utara dan 101 darjah 19.7978' Timur. Sebenarnya ia jatuh pada pokok di hadapannya. Ini dapat dibuktikan dengan tali benang yang tersimpul pada bahagian pucuk pokok itu. Berhampiran pokok tersebut terdapat kesan cebisan peranti. Baterinya telah diambil atau hilang tidak ditemui. Nasib baik litar peranti dan kod bar tertulis masih melekat. Ini membuktikan kami berjaya menemui belon itu. Kami percaya pekerja telah menemuinya yang jatuh lebih 18 hari yang lalu.
Misi terakhir di penghujung jalan dari jalan gereja itu. Kami tersilap meletak kereta menyebabkan terpaksa berjalan jauh. Belon D20052410 telah jatuh pada 19 Disember 2021. Koordinat 2 darjah 52.65' Utara dan 101 darjah 18.03' Timur. Altitud ketinggian terakhir 514m. Arah jatuh adalah dari arah kami masuk ke titik akhir. Masih mencari ikut baris pokok sawit. Mencari baris demi baris sebelah kanan dan kiri namun tidak berjaya.
Misi terpaksa dihentikan kerana hari telahpun lewat. Jam 5.30 petang operasi berakhir dan berjalan semula ke jelopi. Singgah Surau Ar-Rahman semula untuk solat Asar. Kemudian kami berhenti makan di tepi jalan menghala ke Banting di Teluk Panglima Garang.
Hanif 9W2VHF menguji semula peranti yang kami jumpa. Walaupun telah jatuh lebih dua bulan, setelah bateri dimasukkan. Peranti berjaya diaktifkan semula. Menggunakan peranti ttgo yang boleh mengesan koordinat radiosonde. Berjaya mengesan peranti radiosonde itu serta melihat gps berfungsi dengan baik.
Kejayaan berjaya mendapatkan dua belon radiosonde daripada lima misi pencarian. Menifestasi semangat berpasukan dengan kerjasama padu dan erat. Tidak mudah berputus asa serta tabah menghadapi ujian dan cabaran dalam kalangan kami. Kejayaan pasti datang kepada orang yang bersabar serta fokus pada matlamatnya.
Misi seterusnya akan dilancarkan di Banting pula. Memandang ketika ini belon asyik jatuh ke laut. Inilah masa yang sesuai mencari gali semula belon yang telah jatuh ke darat semula.
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment