Misi Mencari Radiosonde D20052320 Berjaya di Shah Alam


 Hari ini berjaya mencari radiosonde D20052320 di Shah Alam. Belon ini jatuh pada 18 Disember 2021 sewaktu banjir besar melanda Selangor dan negeri lain. Nasib baik peranti radiosonde ini tidak dihanyutkan banjir. Genap sebulan belon ini dijumpai pada hari ini. Kuat untuk mencarinya disebabkan altitud ketinggian terakhir 108m. Paling rendah antara pencarian sebelum ini.


Jatuh berdekatan trek keretapi dan juga tepi sungai. Kawasan rentis tnb yang terdapat kebun sayur berdekatan kuil. Itulah lokasi persekitaran kawasan pendaratan belon ini. Jadi, bolehlah mencarinya tidak berada di kawasan perumahan. Namun meletak kereta di Jalan Rotan Sega 18/19 di Seksyen 18, Shah Alam.


Bersiap sedia seperti biasa bersama beg mengandungi 2 botol air dan sebuah radio. Turut tab yang mengaktifkan stesen 9W2DYA-10. Memandangkan dikelilingi kawasan pembangunan. Tiada masalah liputan talian telefon dan data. Berjalan di tepi kuil beserta dekat kebun sayur. Bertegur sapa tuan punya kebun. Sedia maklum tujuan kehadiran. Maklumlah minggu lepas dua orang turut mencari belon namun tidak menjumpainya. Menunjukkan jalan ke trek keretapi berdekatan kuil yang lebih kecil.


Hanif 9W2VHF dan Yatt 9W2MFE telah cuba mencarinya minggu lepas. Sukar memasuki titik terakhir kerana semak. Tiba di kuil kecil berdekatan kontena, berjumpa dengan seorang lelaki India. Bertanyakan jalan ke trek keretapi. Sambil tangan menujuk ke arah kebun di belakang. Kemudian masuk ke kiri hingga jumpa sungai melalui dicelah-celah kawasan kebun. Akupun mengikut arahannya sambil memeriksa koordinat titik terakhir pada jam garmin.


Titik terakhir berjaya dikesan melalui jam garmin. Sebelum itu, melalui kawasan kebun bersebelahan trek keretapi. Melihat kawasan sekitar namun tidak menemui sebarang tanda. Bearing terakhir 300 darjah. Jadi, belon pasti jatuh ke arah barat laut. Masuk semula ke kawasan belukar untuk melihat pada kanopi pokok. Tiada sebarang tanda juga.


Mencari-cari dan meninjau di lantai dan sekitarnya. Namun tiada juga jumpa barang yang di cari. Turun semula ke bawah dari kawasan tebing tinggi sebelah trek keretapi itu.Berjalan kelur semula ke kawasan kebun beberapa meter.


Memeriksa setiap sudut kawasan kebun ini. Jalan menghala ke pondok semula. Tiba-tiba terlihat benang yang merentangi pokok yang agak panjang. Kali ini, benang merentangi beberapa pokok. Menjadi kebiasaan ikut benang ke mana arah tujuannya. Pasti di situlah peranti yang terakhir akan dijumpai. Ternyata peranti berada dibawah rumput lalang bersemak. Selak dan ambil gambar kemudian merekod data. Koordinat sangat perlu diambil bagi membuat perbandingan berapa jauh dari titik akhir hingga kawasan yang dijumpai.


Menarik-narik benang untuk melihat ke mana ia berakhir. Benang berada di hadapan peranti, namun berjaya melihat ia terbelit di atas pokok yang mati. Malangnya tiada belon dijumpai dihujung benang yang terbelit di atas pokok itu. Pasti ada orang yang sudah mengambilnya, kemungkinan tergantung atau jatuh di bawah pokok itu.

Nasib baiklah peranti ini tidak dicarinya. Jikalau tidak pasti ia tidak akan ditemui. Peranti ini lebih penting berbanding belon. Ia terlekat kod bar yang memaparkan nombor siri setiap peranti. Lagipun ia tersorok dalam semak dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar berbanding belon yang agak besar.


Koordinat kawasan peranti ditemui. Setelah diukur hampir 75m jaraknya dari titik terakhir belon bagi altitud ketinggian 108m. Rasanya angin waktu banjir itu agak kencang hingga bergerak lebih jauh lagi. Arahnya tepat di sekitar barat laut.
 

Belon juga berada dihadapan peranti berdasarkan kedudukan peranti ditemui dihujung benang. Benang yang terselit di pokok mati pula, sememangnya berada dihadapan. Jadi, arah tiupan angin adalah betul mengarah ke barat laut. Sememangnya sudah banyak kali ditemui belon sentiasa berada dihadapan peranti.


Sebulan ia jatuh ditenggelami rumput yang semakin meninggi. Kalau bukan kerana benang, pasti ia tidak ditemui. Benangpun ada yang dililit oleh pokok-pokok kecil yang menjalar. Sama seperti kes di Pulau Carey yang lebih 2 bulan apatah lagi. Syukur dapat juga ia ditemui kerana berjaya menyorokkan diri. Jikalau tidak pasti dikebas orang seperti yang terjadi pada belon.


Pada pokok limau inilah benang dapat dikesan. Inilah petunjuk yang paling sangat diharapkan setiap kali misi dilancarkan. Ternampak sahaja benang hati berbunga-bunga kerana barang yang dicari pasti jumpa. Risau juga kalau tersangkut di atas pokok. Lega rupanya tersembunyi di balik rumput. Tengok semula atas pokok tiada pula kelibat belon. Sah belon telah diculik. Masa pencarian pada kali ini adalah 1 jam 7 minit 5 saat dengan jarak 2.19km.


Ini merupakan pertemuan belon kali ke-8 sejak misi pencarian belon radiosonde bermula. Berjaya mengumpul tiga koleksi peribadi radiosonde. Dua lagi akan diserahkan kepada rakan bagi tujuan pembangunan radiosonde di Malaysia. Hobi yang saintifik ini sungguh menyeronokkan kerana dapat banyak membuat eksprimen. Kemudian disebar dan dikongsikan kepada rakan yang mempunyai minat yang sama. Seterusnya berkembang lebih meluas dan merancakkan lagi aktiviti ini.


73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...