Yatt 9W2MFE dapat dua radiosonde

Credit 9W2OCX

Pagi hari minggu yang berkelapangan membolehkan aktiviti memburu belon giat dijalankan. Sudah pastilah belon pagi ahad menjadi matlamat utama. Tim SAR Sentral pada pagi ini berjaya melancarkan misi memburu belon.

Credit 9W2OCX

Selepas belon KLIA sudah jatuh pada pagi ini. Berkumpul di Kota Warisan untuk bersarapan terlebih dahulu. Aku dari Bangi, manakala Arul 9W2OCX dari Puchong. Kami menunggu Yatt 9W2MFE dari Klang setelah berjaya mendapatkan radiosonde D20069508 jatuh di Jenjarom pada hari jumaat lepas.

Credit 9W2OCX

Radiosonde D20069508 telah jatuh pada hari jumaat brtarikh 4 November 2022. Jatuh jam 21:11 malam. Koordinat 2.88346 darjah Utara dan 101.49744 darjah Timur. Rugi tidak diambil belon ini kerana altitud ketinggian terakhir adalah sangat rendah. Hanya 61m sahaja berjaya dicerap oleh stesen radiosonde 9W2OCX Budak Giler di Puchong. Altitud ketinggian maksimum adalah 21,842m.

Credit 9W2OCX

Ada laluan masuk ke titik akhir radiosonde 20069508 dari jalan besar. Menurut Yatt 9W2MFE, pagi ini ia berpalang. Tinggal lebih kurang 200m dari jalan besar ke titik akhir. Beliau bersama XYL bermotosikal mengambil perjalanan 20 minit dari base station di Klang.


Video rakaman Yatt 9W2MFE mengambil belon menggunakan kemudahan yang ada. Kebetulan galah sawit ada berdekatan belon maka mudahlah kerja untuk disiapkan.

Credit 9W2MFE

Kelihatan juga kereta tolak disekitar kawasan belon jatuh. Nasib baiklah kerja-kerja sawit tidak dijalankan. Pasti ia akan dibersihkan serta dibuang dilonggokan pelepah.

Credit 9W2MFE

Kelihatan belon tergantung di bawah pelepah. Nasib baik galah ada di kawasan sekitarnya. Bolehlah dipinjam bagi menurunkan belon yang tergantung itu. Jikalau tidak galah pasti sukar bagi menurunkan belon. Jikalau ditarik-tarik benang itu, pasti ia terputus dan akhirnya belon tergantung begitu sahaja.

Credit 9W2MFE

Peranti radiosonde D20069508 berada dalam genggaman. Sebalik kejayaan suami adalah mendapat sokongan penuh seorang isteri. XYL beliau turut bersama mencari pada pagi tadi. Sokongan seperti ini memudahkan memahami hobi suaminya. Menurut Yatt 9W2MFE lagi, ketika tiba di titik akhir tidak kelihatan sebarang tanda. Namun, pengalaman yang ada memudahkan beliau mencari dan mendapatkan peranti. Sudah pasti benang menjadi klu utama bagi memastikan kejayaan membawa belon pada kali ini.


Selepas menghantar XYLnya pulang, Yatt 9W2MFE terus bergabung dengan kami bagi melancarkan misi seterusnya. Belon KLIA pagi ini jatuh di Salak berdekatan jalan ke Sepang. Radiosonde D22028498 jatuh altitud ketinggian terakhir 1507m. Ketinggian maksimum 30,559m.


Ada tiga laluan pilihan ke titik akhir belon dari Kota Warisan. Menaiki jelopi Yatt 9W2MFE terus ke jalan masuk yang berpalang. Hujung minggu di mana-mana ladang kelapa sawit sememangnya berpalang. Cuma hari bekerja sahaja ia di buka.



Semasa di Kota Warisan, memeriksa laman sesawang radiosondy.info. Memeriksa data terakhir bagi radiosonde D22028498. Ternyata data yang dikeluarkan telah memberi peluang cerah bagi mendapatkan koordinat yang lebih tepat lagi. Altitud ketinggiannya lebih rendah kepada 1298m berbanding SondeHub 1507m. Tanpa menunggu arahan terus mengambil koordinat dari halaman web radiosondy.info iaitu 2.76053 darjah Utara dan 101.755 darrjah Timur.


Semakin menghampiri lokasi kejadian isyarat semakin jelas kedengaran. Yatt 9W2MFE meletakkan jelopinya di tempat yang sesuai tanpa menghalang laluan walaupun tahu pasti tiada kenderaan akan melaluinnya. Tanpa berlengah terus keluarkan peranti rdzTTGOsonde. Koordinat baru dicerap adalah 2.76022 darjah Utara dan 101.7551 darjah Timur. Kemudian Arul 9W2OCX dan Yatt 9W2MFE mengedit koordinat baru pada aplikasi gps waypoint finder. Aku gunakan koordinat radiosondy.info sahaja pada gps waypoint finder.


Tanpa dipaksa-paksa kami bertiga bergerak berpandukan anak panah digital masing-masing. Berjalan melalui laluan sawit tanah merah sebelum melencong masuk ke baris-baris kelapa sawit.



Video rakaman Arul 9W2OCX sewaktu mula mendaki melalui laluan tanah merah. Kawasan ladang sawit beralun-alun tetapi kemas dan bersih. Ini memudahkan kami melalui dibaris-baris sawit.


Aktiviti mendaki sambil mencari belon baik untuk kesihatan dan kecergasan jua. Aktiviti seperti ini secara tidak langsung sangat baik untuk kesihatan tubuh badan. Secara tidak langsung turut meningkatkan stamina setiap individu. Kadang mudah kadang susah bergantung tempat belon itu mendarat. Malam tadi di Bukit Changgang dapat ditepi jalan sahaja. Mudah sangat walaupun peranti dilenyek tayar lori.


Video rakaman seterusnya menayangkan detik-detik belon ditemui. Saat-saat yang ditunggu setiap kali misi pencarian dijalankan. Tali benang yang menegak dari atas pelepah menjadi panduan utama. Peranti berada di tas tanah di hujung benang. Sebenarnya belon berada di atas pelepah di hadapan peranti ditemui. Mengikut prinsip pergerakannya belon berada dihadapan diikuti peranti dibelakang. 

Credit 9W2OCX

Belon melurut turun selepas peranti dipotong benangnya. Nasib baik turun perlahan-lahan tanpa tersangkut pelepah.


Belon pecah sepenuhnya bagi ketinggian maksimum 30,588m. Benang turut keluar sepenuhnya tanpa berbaki yang melilit kayu pine.


Koordinat hasil cerapan jam Garmin bagi belon. Saat akhir angin telah mengubah arah berpatah ke belakang. Ini berdasarkan kedudukan belon mengarah ke selatan. Berdasarkan tangkap layar titik akhir mengarah ke timur laut.


Arul 9W2OCX dan Yatt 9W2MFE sedang berusaha menurunkan belon dari lokasi peranti ditemui. Boleh dilihat bahagian peranti lebih tinggi berbanding belon yang lebih rendah kedudukannya.


Kedudukan peranti ditemui adalah ketinggian 154m dari aras laut hasil cerapan jam Garmin. Tidak hairanlah isyarat dapat dikesan dari lokasi yang agak jauh lagi.


Jarak peranti ditemui ke titik akhir adalah 36.3m sahaja. Ia bagi altitud ketinggian terakhir 1298m dengan kelajuan 15km/h. Oleh kerana jatuh dengan agak laju sukar untuk menghantar isyarat ke stesen radiosonde yang terdekat. Mungkin itu bacaan altitud terakhir sangat tinggi. Sepatutnya mungkin isyarat terakhir boleh dibaca 1298m tolak 154m bersamaan 1144m.


Arul 9W2OCX sedang berusaha menurunkan belon. Manakala Yatt 9W2MFE sedang berusaha memutuskan benang pada peranti. Lupa nak bawa pisau tertinggal dalam kereta.


Koordinat hasil cerapan jam Garmin 2 darjah 45.6054' Utara dan 101 darjah 45.3073' Timur. Kali ini bateri jam Garmin telah dicaj penuh bagi persediaan misi seterusnya.


Ladang sawit yang bersih dan kemas ini sangat membantu memudahkan misi pencarian. Selepas dapat mengesan peranti, belon pula sasaran seterusnya. Bagaimana hendak mengesannya? Lihat ke mana benang itu berada. Sudah pasti belon berada dihujungnya. Kadang tidak bernasib baik belon tersangkut pada pelepah sawit atau pada dahan pokok.

Jarak belon ke titik akhir adalah 45.1m. Berapa jarak antara belon dan peranti?  Jawapannya adalah 45.1m tolak 36.3m bersamaan 8.8m.


Peranti radiosonde D22028498 dalam genggaman. Cuba perhatikan keadaan dibahagian bawah. Kemungkinan peranti tersebut terlanggar sesuatu yang keras semasa mendarat seperti pelepah atau batang kelapa sawit. Mustahil kemek semasa mendarat di atas tanah. Kesan ini menggambarkan ia jatuh dengan impak yang agak kuat.

Credit 9W2OCX
Selepas kerja-kerja perekodan dan pengemasan , berjalan pulang ke kereta semula di tepi palang. Kepuasan dan gembira membawa hasil pencarian.

Jarak 230m merupakan jarak kereta diletakkan ke arah titik akhir. Sangat mencabar sedikit pendakian diperlukan untuk mendapatkan peranti dan belon. Kemudian Yatt meneruskan pemanduan ke Kota Warisan semula. Kami lepak di kedai tadi untuk menikmati hidangan serta melepaskan kehausan. Kerjasam yang jitu dalam pasukan menghasilan kejayaan yang membanggakan.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...