Sempena Hari Kebangsaan ke-68 tahun semalam, sempat ke taman tema air Monkeys Splash Zone. Taman air ini sebahagian daripada Monkey Canopy Resort yang terletak di Bukit Sg Long, Cheras. Pernah ke sini bersama Damia pergi ke Dino Desert dan Safari Escape Playland di resort ini.
Pada kali ini, pergi ke taman tema air pula yang baru di buka sejak Januari lagi. Bergerak dari Bangi singgah bersarapan di Setia Alamsari. Sambil menonton perarakan Hari Kebangsaan Putrajaya di skrin tv besar . Sambil itu monitor pergerakan helikopter dan jet pejuang membuat lintasan hormat. Sejak raptai lagi monitor di frekuensi 120.700MHz. Pergerakan di aplikasi Flightradar24 dan adsbexchange.com
Usai sarapan, terus bergerak melalui Serene Height hala ke Semenyih. Kemudian masuk Tol Semenyih hala ke Tol Kajang Selatan Lebuhraya Lekas. Terus masuk ke Lebuhraya Silk bertemu Tol Sg Long pula. Lebuhraya Lembah Klang Timur EKVE telah dibuka boleh keluar hingga ke Hulu Langat dan Ampang kini. Tol percuma waktu ini.
Melepasi Tol Sungai Long terus masuk ke Jalan Sungai Long. Bertemu SMK Bandar Baru Sg Long terus belok kiri dan terus ikut papan tanda resort ini. Jalan mendaki bercerun agak tinggi untuk sampai ke resort ini. Tiba pintu gerbang guna TnG untuk bayaran masuk dan tempat letak kereta.
Tiba di taman air tema ini beratur untuk beli tiket. Agak ramai juga pada hari ini. Maklumlah hari minggu bersama cuti kelepasan am yang panjang hujung minggu ini. Harga tiket promosi dewasa RM65 dan kanak-kanak RM45. Terdapat harga pakej bagi keluarga yang hadir ramai juga.
Setelah mendapat resit dan gelang akses, terus ke pintu masuk dan imbas terlebih dahulu. Terus ke bilik persalinan yang terdapat locker berharga RM15 bayaran dengan kad debit atau kredit. Tak perlu kunci kerana hanya masukkan nombor telefon setiap kali ingin membukanya. Semua urusan pembayaran tanpa tunai. Pelampung disewa berharga RM10.
Taman tema air ini berbumbung, maka pancaran mentari tiada. Jadi semua air kolamnya lebih terasa sejuknya. Lebih-lebih lagi kipas gergasi yang telah dipasang. Taman tema seperti yang lain ada pelbagai kolam permainan air yang menyeronokkan.
Kolam mandi buih sudah pasti menjadi perhatian utama Damia. Setiap jam waktu ke 15 minit buih akan disemburkan ke dalam kawasan kolam ini. Sangat menggembirakan semua pengunjung dapat bermain buih dengan banyaknya. Lagipun kawasan buih inilah agak panas sedikit. Ini kerana lokasinya di tepi bangunan taman tema ini. Cahaya matahari terasa tepat hinggap di muka dan terasa bahangnya. Maka, pemandangan luar yang menghijau bukit-bukau menenangkan jiwa.
Lagi satu tempat yang menjadi tumpuan adalah bermain ombak. Setiap jam tepat dalam masa 15 minit ombak akan diaktifkan. Ombak di taman tema ini sangat kuat dan agak tinggi juga. Ini memberi cabaran dan keseronokan berganda.
LYL Electric Mini Karting Circuit juga terdapat dalam taman air ini. Bolehlah anak-anak yang meminati aktiviti lasak mencubanya. Litar go-kart yang sebenar turut di bina selepas pintu gerbang sebelah kiri. Sebelah taman tema air ini juga ada dibuka driving range bagi peminat sukan golf.
Memang berbaloi dengan harga dan kemudahan yang ditawarkan. Main dan mandi sepuasnya kerana inilah satu-satunya taman tema air yang berbumbung di Malaysia setakat ini.
Puas mandi kesejukan dan bermain buih kamipun pulang. Buka jam 10 pagi hingga 8 malam. Bolehlah datang kerana taman tema ini pasti mendatangkan kegembiraan dan memori yang tidak dapat dilupakan.
Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment