Santai Petang di Kota Bharu


 Selepas check-in di Hotel Ridel, pada petang itu berjalan-jalan keluar di Kota Bharu. Pada petang ahad 26 Mei 2024 itu, Memorial Perang (Bank Kerapu) sememangnya telah tutup. Hanya sempat mengambil gambar dari luar pagar sahaja.


Sebelum itu, di bangunan bersebelahan Bank Kerapu adalah pejabat kastam. Terlihat di luar pagar simen bertiang berpaku tertera TBM. Koordinat 6.131940 darjah Utara dan 102.234825 darjah Timur.


Sudah pastilah antena dish ini menjadi buruan lensa kamera. Maklumat tidak dapat diberikan. Hanya merakam dari luar pagar sahaja. Pastilah dua antena ini digunakan dalam komunikasi angkatan bersenjata kita. Mungkin untuk sistem radar pertahanan angkasaraya Malaysia.


Sebuah helikopter milik TUDM dan kereta perisai turut dipamerkan. Arca patung orang besi   turut memenuhi ruang di sekitar Bank Kerapu ini. Asal bangunan ini sememangnya sebuah bank pada zaman dahulu.

Meriam bergerak turut dipamerkan di luar bangunan Bank Kerapu ini.


Helikopter milik TUDM selepas gambar dizoomkan. Rasanya dua tempat duduk sahaja. Helikopter Alouette III milik TUDM.


Pesawat A-4 Skyhawk milik TUDM megah bersebelahan bangunan Muzium Kerapu.


Kemudian bergerak ke Padang Merdeka sebelah Bank Kerapu sahaja. Tempat orang beriadah mengeluarkan peluh. Terdapat Tugu Peringatan Perang Dunia Pertama . Padang Merdeka diambil sempena kemerdekaan negara. Banyak peristiwa bersejarah berlaku di sini.


Selaras meriam berdiri megah di hadapan monumen peringatan yang mengadap matahari. Cuaca petang itu sangat cerah dan baik sekali.
Berbalik kepada nama Padang Merdeka ini. Ia sempena Tanah Melayu menyambut kemerdekaan pada tahun 1957. Padang Merdeka Kota Bharu telah dipilih sebagai lokasi membaca Proklamasi Kemerdekaan Tanah Melayu. Proklamasi tersebut telah dibacakan kepada umum oleh Wakil Perdana Menteri di Padang Merdeka. Lantaran itu mencoret satu lagi catatan bersejarah yang berlaku di Padang Merdeka ini.


Tiang bendera Negeri Kelantan dengan bendera berkibar megah pada petang itu. Kelihatan di belakang tiang bendera tersebut adalah Dataran Menara yang mempunyai Menara Jam serta tinjau.


Bangunan Bank Kerapu yang diambil dari Padang Merdeka. Dinding bangunan yang tidak licin serta menggerutu punca mendapat nama.


Peti surat zaman kolonial masih berfungsi baik hingga kini tetap digunakan. Pesawat A-4 Skyhawk menjadi kebanggaan negara suatu masa ketika. Memorial Perang akan dikunjung semula jikalau berkesempatan datang semula ke sini nanti.


Senjata yang terdapat di Padang Merdeka mengadap bangunan Kastam. Senjata yang banyak berjasa ini diletakkan di sini sebagai peringatan tentang wira negara yang banyak berjasa. Wira negara sanggup berkorban menjaga kedaulatan negara daripada diceroboh musuh.


Satu lagi  senjata  terletak sebelah kiri pula. Padang Merdeka ini dikelilingi pagar. Masuk melalui pintu hadapan berpagar besar. Walaupun berkunci, pengunjung tetap boleh masuk sebelah ruang kiri dan kanan pagar tersebut.


Satu lagi sudut pandangan yang berbeza. Kawasan sekitar lebih redup kerana terdapat pokok hujan-hujan yang merimbun.


Pemandangan mengadap pintu masuk. Bangunan tradisional yang panjang bagi tempat melaksanakan upacara di padang ini.


Rekaan senibina melayu sangat menyerlah seperti bumbung, serta pintu dan tingkap. Nun jauh di sana selain tugu peringatan adalah Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra atau Menara Rehal.


Menara Rehal berada di tengah antara pintu gerbang. Tugu peringatan yang berwarna putih merupakan salah satu tugu peringatan perang dunia pertama selain di Pulau Pinang.


Selaras meriam kelihatan berdekatan pintu pagar masuk. Keris bersilang lambang senjata orang Melayu yang gagah berani.


Kemudian keluar Padang Merdeka ke pintu gerbang. Berhadapannya merupakan Istana Jahar. Bangunan senibina tradisi Melayu ini merupakan Muzium Adat Istiadat.

Di sini dipamerkan berbagai jenis Adat Istiadat Diraja Kelantan sejak zaman berzaman. Selain daripada itu, turut dipamerkan juga jenis-jenis tekstil, alat perhiasan diri, pakaian dan barang-barang tembaga untuk tontonan umum generasi kini dan akan datang. Bangunan ini sendiri telah melambangkan senireka bangunan dan hiasan istana kesultanan Kelantan yang terkenal.

Pada bahagian belakang bangunan istana ini terletak Balai Senjata yang mempamerkan alat-alat senjata lama Negeri Kelantan seperti keris, lembing, badik, kelewang dan lain-lain.


Berhadapan Istana Jahar ini, terlihat perkataan CP 7 berbentuk huruf L. Satu berbentuk bendera berselang warna hitam dan putih. Tengah bendera hitam putih itu terdapat paku Jupem.


Pastilah ini berkait rapat dengan kerja-kerja mengukur oleh Jupem. Sayangnya penulis tiada idea tentang perkara ini. Masih belum membuat kajian lagi.


Keliling paku tersebut tertera Jupem serta nombor siri T10/2022 VCP. Pasti dibuat pada tahun 2022 telahan Penulis.


Gambaran sebenar CP7 di kawasan tempat letak kereta di hadapan Istana Jahar dan Pintu Gerbang.


Kemudian berjalan hadapan sikit melihat bangunan kecil berbata merah berpintu kayu. Ini merupakan bank pitis. Bangunan ini dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammaad III (1889-1890). 

 

Tujuan utama bangunan ini adalah untuk menyimpan wang pitis-pitis perbelanjaan negeri Kelantan pada masa itu. Terdapat selaras meriam bersebelahan bangunan batu yang tertua ini.


Pintu kayu yang berpalang memastikan keselamatan pitis-pitis terjamin. Penggunaan bata merah sangat kuat mampu bertahan hingga ke hari ini. Tidak hairanlah penggunaan bata merah ini lebih mahal kerana daya ketahanan sangat tinggi.


Selaras meriam lagi sebelah kiri bangunan Bank  Pitis. Pagar tembok dibelakang merupakan Istana Balai Besar.


Seterusnya berjalan bersebelahan Bazaar Siti Aisyah, Jalan Buluh Kubu. Kelihatan simen berpetak tertera Jupem serta bernombor siri. Bahagian tengah terdapat paku berwarna agak biru. Kemungkinan ini merupakan coordinated reference mark (CRM)


Nombor siri D 03077-2 dengan koordinat 6.129911 darjah Utara dan 102.237664 darjah Timur.


Puas mengelilingi Pasar Siti Khadijah bahagian luar sahaja. Petang-petang pasti perniagaan sudah tutup. Terus pulang ke bilik tingkat 5 Hotel Ridel. Sempat membuat rakaman video suasana matahari tenggelam di ufuk barat.


Pada kali ini, kelihatan Sungai Kelantan semakin cetek. Buktinya beting pasir bertentang dengan hotel ini dapat dilihat dengan jelas. Sepanjang perjalanan ke pantai timur, kali ini  cuaca panas dan kering sahaja. Tidak seperti di lembah klang lebih kerap menerima hujan sebelum ini.


Pada sebelah malam, ada juga cuba memanggil mana-mana stesen di simplek V40 145.500MHz. Kemungkinan isyarat tidak diterima oleh stesen lain ketika itu. Percubaan menggunakan hand-held sahaja berada di tingkat 5 mengadap Sungai Kelantan.


Keesokan hari sempat juga monitor frekuensi belon Kota Bharu. Sayangnya belon Kota Bharu melepasi sempadan negara ke HS Land. Audio-audio rakan sebelah juga tidak kedengaran di frekuensi.


Pada malam itu hanya makan di gerai-gerai berdekatan Menara Jam sahaja. Malas handak mencari makan ke tempat lain memandangkan tempat letak kereta di sini sangat terhad.

Selamat Memburu!

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...