Pameran Radio Amatur @ Karnival Rekacipta


 Pada hari ini merupakan hari kedua bagi program Karnival Rekacipta di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, Banting. Karnival bermula semalam hari Jumaat 27 September 2024 dan berakhir hari ini hingga jam 12.00 tengah hari. Sempatlah jadi krew pameran radio amatur oleh MARTS.


Memandu dari base dari Bangi singgah sarapan terlebih dahulu. Sambil itu memantau pergerakan belon KLIA pagi. Tiba di simpang empat Bukit Changgang terus masuk kanan dan letak kereta di tepi pagar sekolah bersebelahan padang. Kemudian baru alih setelah boleh parkir di dalam kawasan sekolah. Banyak jelopi rakan yang antena pacak-pacak menandakan meriahnya aktiviti rakan ham.


Ada tiga meja pameran radio ditunjukan seperti mode VHF, HF serta radiosonde. Penulis berkongsi cerita dan pengalaman di meja radiosonde. Belon kaji cuaca dikongsikan kepada para pengunjung di samping radio HF serta radio VHF. Umum lebih mengenali walkie-talkie sahaja. Pameran seperti ini, dapat memberikan maklumat yang lebih jelas tentang radio amatur kepada masyarakat setempat.


Pelbagai maklumat berkaitan dipamerkan agar pengunjung dapat memahami tentang radio amatur tersebut. Penerangan lebih lanjut dapat dikongsikan oleh rakan ham yang berada di meja tersebut. Semua krew menyampaikan pelbagai maklumat agar pengunjung lebih memahami kepentingannya dalam masyarakat.


Go-box peralatan lengkap radio yang boleh di bawa ke mana-mana sahaja dengan mudah. Hanya di dalam satu bekas banyak peralatan dapat di simpan dengan sempurna serta boleh terus digunakan dengan mudah. Selain tujuan pameran, go-box ini juga boleh digunakan dalam bantuan komunikasi kecemasan atau ke mana-mana aktiviti radio dijalankan.


Menurut Event Manager Sufian 9W2SGJ, pada pagi tadi  jumlah kehadiran pengunjung lebih ramai berbanding semalam. Maklumlah cuti hujung minggu membolehkan waris turut membawa anak-anak ke karnival ini. Ramai murid datang ke ruang pameran untuk mengetahui bahan yang ada. Sikap ingin tahu sangat baik bagi perkembangan minda dan minat terhadap sesuatu teknologi komunikasi selain telefon.


Go-box milik Faizal 9W3RLG dapat mendedahkan pengunjung tentang radas yang digunakan oleh pengendali radio amatur. Susun atur segala radas yang kemas seperti ini memudahkan penggunaannya. Ini juga menunjukan daya kreativiti berdasarkan ilmu radio yang ada.


Pengunjung turut ditunjukkan pergerakan belon KLIA pagi tadi secara langsung melalui laman sesawang SondeHub. Ini dapat memberikan satu pengalaman baru dan lebih jelas tentang radiosonde tersebut. Turut memberi kefahaman yang jelas serta dapat berkongsi cerita dengan orang lain.


Stesen Husaini 9M2HUS dari Rawang berkongsi dengan murid-murid tentang kod morse. Selain itu, terdapat satu set radio HF turut dipamerkan. Ada juga murid ini mencuba menekan keyer berdasarkan maklumat yang ada. Kemungkinan ahli Pengakap yang telah didedahkan dalam aktiviti Jamboree On The Air (JOTA).


Sikap berani mencuba sesuatu yang baru haruslah digalakkan kepada setiap murid. Ini dapat mempelajari sesuatu yang baru serta dapat merangsangkan pemikiran serta mencambahkan lagi pengalaman pembelajaran luar bilik darjah. Sebenarnya komunikasi melalui kod morse jika dipelajari dapat digunakan sewaktu kecemasan. Kelebihan kepada yang menguasai kod morse ini, berbanding orang yang tidak tahu. Pasti dia akan lebih memahami setelah dapat mentaksir maklumat yang disampaikan itu.



Tempat duduk paragliding turut dipamerkan bersebelahan dengan pameran radio amatur. Persatuan ini turut memasang alat anemometer iaitu mengukur kecepatan angin. Tujuan dipasang alat ini untuk menghitung jumlah putaran angin. Sebelum melakukan penerbangan pastilah kelajuan angin dikaji terlebih dahulu bagi mengelakkan kemalangan dan dapat melakukan penerbangan dengan baik.

Kenderaan yang sering dipamerkan dalam mana-mana acara radio amatur milik syarikat CODAN Radio Communications. Puma One ini kenderaan yang lengkap dengan peralatan komunikasi. Ia sering digunakan bagi bantuan komunikasi untuk agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan. Stesen Weerut 9W2RUT yang mengendalikan pameran bagi syarikat ini.


Puma One merupakan Mobile Multi Band Interconnect System. Semua sistem komunikasi dapat disatukan dalam sebuah kenderaan. Ini menjadikan ia sangat berguna bagi semua jenis kaedah komunikasi perhubungan. Kenderaan ini turut dilengkapi dengan internet secara satelit. Pasti di mana-mana lokasi walaupun dalam hutan internet masih dapat dihubungkan.


Keadaan dalam Puma One yang padat dengan radas komunikasi. Ramai yang duduk di dalam Puma One ini untuk melihat kecanggihan radas yang ada. Ada waris tidak melepaskan peluang mengambil gambar anak mereka dalam kenderaan canggih ini.


Secara tidak langsung mendedahkan kepada murid-murid bahawa pelbagai kaedah komunikasi dapat digunakan. Ini mendedahkan mereka juga kepada teknologi komunikasi yang semakin berkembang sangat pantas.


Arul 9W2OCX sedang menerangkan lokasi belon terkini kepada Tuan Zanirul 9M2PRO. Turut diperhatikan oleh krew yang lain juga. Berkongsi idea dan maklumat dapat mengeratkan hubungan sesama pengendali radio amatur. Ini turut dapat memperkembangkan lagi aktiviti radio amatur kepada umum.


Ini pula Go-box perisian auto_rx untuk mengesan radiosonde. Lebih dikenali sebagai Budak Giler yang diletakkan di basenya di Puchong. Sewaktu misi pencarian, Go-box ini boleh dibawa tanpa masalah. Ia ringan dan tahan lasak. Satu ciri-ciri yang perlu ada bagi memastikan kelancaran setiap kali misi dijalankan. Maklumlah misi pencarian selalu di kawasan jauh dari penempatan seperti di ladang kelapa  sawit.

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...