Alpine Camp Glamping @ Sungai Lui


 Selepas mengembara di Zoo Negara semalamnya Damia mengajak bermain air sungai pula. Hari isnin 12 Mei 2025 cuti Hari Wesak, mengambil kesempatan untuk bermandi-manda di Sungai Lui.


Selepas bersarapan memandu dari Bangi melalui Semenyih. Kemudian masuk ke Jalan Sungai Lalang yang sentiasa sibuk menghala ke Hulu Langat. Melewati Sungai Tekala kelihatan tempat letak kereta telah penuh hingga ke bahu jalan. Ini menggambarkan bahawa orang ramai telah memenuhi setiap sudut untuk beriadah di lokasi tersebut. Bertambah pula cuaca yang agak panas kebelakangan ini setelah tibanya monsun barat daya. Sudah pastilah sungai dan air terjun menjadi pilihan.


Seterusnya perjalanan melewati kawasan Empangan Semenyih hingga ke Simpang Genting Peres. Sungai Lui beberapa minit dari simpang tersebut sahaja. Melepasi jambatan Sungai Lui terus belok ke kanan. Dahulu bas terakhir berhenti di sini. Masuk ke dalam, jalan tar baru sahaja berturap baru dengan garisan dua hala. Padahal saiz jalan untuk satu kenderaan sahaja. Satu kemajuan yang baik untuk jalan yang diselenggarakan oleh JKR Hulu Langat. Jalan bertar baru ini hingga melepasi jambatan ke Kg Orang Asli Paya Lebar.


Melepasi jambatan terus belok ke kiri. Keseluruhan jalan di kampung ini telah berturap. Ini memudahkan perhubungan dengan berkenderaan kecil sahaja. Bas lori sudah pasti tidak muat untuk masuk terus ke dalam ini. Terus beberapa meter kelihatan Alpine Camp Glamping di sebelah kiri sebelah sungai. Nampaknya kem ini sudah ada persaingan sihat. Sebelah kanan jalan kelihatan ada satu lagi kem sedang rancak dalam pembinaan.


Masuk sahaja kawasan Alpine Camp Glamping terus meletak kereta di sebelah sebuah kereta. Rasanya cuti umum ini macam tiada pengunjung lain. Berjumpa dengan Cikgu Azrul yang bertugas menjaga kem ini. Menurut beliau tiada pengunjung pada pagi itu. Maka, bolehlah Damia bermain air sungai sepuas-puasnya.


Kem ini berkonsepkan Glamping yang sedang ramai pengusaha kem menjadi trend di merata-rata tempat yang menarik. Tak perlu bawa khemah. Hanya bayar mengikut pakej yang disediakan sahaja. Bagi membuat tempahan dan pakej yang ditawarkan bolehlah merujuk Facebook Alpine Camp Glamping. Ketika ini ada promosi sedang dijalankan. Lebih baik cepat sebelum promosi ini tamat bagi mendapatkan nilai yang berbaloi.


Kelihatan ada dua jenis saiz khemah. Besar dan kecil mengikut kapasiti yang sesuai. Tapak perkhemahan, bagi pengunjung yang membawa khemah sendiri turut disediakan di samping untuk aktiviti berkelah. Puas bergambar di kawasan khemah, maka kamipun bersedia untuk turun bermain air.


Kami turun tebing dengan berhati-hati. Tebing runtuh kesan hakisan sungai yang deras. Mencecah kaki ke dalam sungai terus merasa kedinginan air sungai Lui ini. Dasarnya banyak batu-batu kecil. Perlu berjalan berhati-hati. Pada mulanya, Damia memakai selipar semasa berada di kawasan sungai ini. Lama kelamaan setelah dapat menyesuaikan diri barulah berkaki ayam sahaja.


Kolam mandi turut disediakan di dalam kem ini. Ketika ini air telah dikeringkan. Apabila ada penginap, pasti kolam ini dipenuhi air sambil melayan keseronokkan berendam dengan lebih selamat. Tentu airnya dingin umpama air Sungai Lui jua.


Laluan ke khemah adalah batu kelikir memudahkan akses antara khemah. Pasti khemah yang besar ini sangat selesa semasa bermalam. Deretan tumbuhan hijau menyerahkan lagi keindahan persekitaran khemah.


Khemah kecil ini berlatar belakang Gunung Hitam. Bahagian belakang merupakan sungai tempat berendam dan bermandi-manda.



Pokok sebelah khemah menjadi kawasan sekitar lebih redup dan suhu lebih rendah. Pengekalan pokok hijau bagi sumber gas oksigen menurunkan suhu sekitar.


Terdapat galeri gambar-gambar berkaitan pendakian alpine perkongsian Deeno dan Pak Am. Mereka berdua adalah Pendaki Gunung Everest.Kelihatan dalam bingkai gambar dua orang pendaki Everest yang pertama dunia.


Sijil-sijil turut dipampangkan bahagian galeri ini. Misi FELDA - Everest 2013 membawa kejayaan kepada kedua mereka sebagai jurulatih mengiringi Pendaki kalangan anak FELDA ke bumbung dunia.


Beberapa lagi ekspedisi gunung alpine turut dikongsi untuk tatapan pengunjung di Alpine Camp Glamping. Pasti menjadi sumber inspirasi anak muda untuk menyahut cabaran hidup. Datanglah ke sini bagi menghayati setiap gambar. Jikalau bertuah pasti boleh berjumpa tuan punya badan untuk berkongsi cerita dan pengalaman mereka berdua.


Aliran Sungai Lui berpunca dari Banjaran Titiwangsa puncak seperti Gunung Hitam 1220m, Bukit Resam Ambat 1149m dan Bukit Batu Bulan 1008m. Penulis pernah mendaki ke puncak Bukit Resam Ambat dan Bukit Batu Bulan bersama Deeno dan rakan lain suatu ketika dahulu. Pendakian itu bermula dari Genting Peres menyusuri banjaran tersebut.


Pemandangan Gunung Hitam dan sekitarnya dari kem. Kelihatan air sungai yang sangat jernih seolah-olah memanggil untuk terjun ke dalam. Kerjenihan air pasti memikat hati untuk menikmati kedinginan. Deruan dan percikan air di celah-celah batu mententeramkan jiwa yang lara. Bersantai dan berehat sambil menikmati keindahan dan kehijauan hutan yang jauh nun di sana.



Jeram sungai yang deras ini menghasil aliran memutih buih-buih mewarnai kejernihan. Tempat berlindung bagi ikan-ikan yang bebas berenang tanpa ganguan. Alunan gemersik bunyi air menghempas batu amat mengasyikkan. Cas-cas negatif terbang bebas menyamankan suasana persekitaran. Cuaca agak cerah sekali-sekala awan melindungi matahari pagi itu.



Nasib baiklah tebing sungai masih terdapat pokok-pokok spesies rumput tinggi tempat kami berteduh. Mentari kadang-kala memancar terik. Berlindung di balik rumput meneduhkan kawasan pinggir sungai tersebut. Keseluruhan sungai tidaklah dalam. Damia boleh berjalan mengharungi air dengan selamat. Perlu berhati-hati kawasan berbatu kecil yang agak licin juga jikalau tersalah pijak.


Sungai arah ke hilir terbahagi dua. Sebelah kiri jeram berbatu yang sangat deras. Sebelah kanan pula sungai kecil mengalir dengan agak deras bertembung semula ke bawah bersatu kembali menjadi satu sungai yang besar. Bahagian tengah longgokan batu-batu kecil sebagai pemisah antara keduanya umpama sebuah pulau ditengah sungai. Sekali bah, sekali pantai berubah, begitulah perumpamaanya. Sekali lagi datang pasti lanskap sungai berubah akibat arus sungai tersebut.


Aktiviti di sungai lebih banyak menyusun batu-batu sungai membina jeram dan empangan kecil. Batu-batu menyekat air lalu membentuk kolam-kolam kecil. Terbentuk mengikut ketinggian lalu menghasil aliran air jeram yang indah dan cantik pemandangan. Bahagian depan yang diempang akan terhakis menyebabkan pasir sungai menjadi lebih dalam akibat arus yang semakin kuat.


Pemandangan kawasan Glamping dari sudut dalam sungai. Tebing yang kami lalu untuk menjejak air sungai Lui ini. Terlihat jelas kejernihan air menampakkan batu-batu di dasar. Penat menyusun batu-batu sungai kami berendam di tempat yang agak dalam bagi menyejukkan badan dan kepala. Main simbah-simbah air pasti menyeronokkan.

Belanja video lebih nampak suasana yang sebenar keadaan Sungai Lui ini. Pasti teruja hendak ke sini lebih lagi dapat bermalam.



Batu-batu kecil disusun memanjang berdasarkan kesan-kesan susunan yang lepas-lepas. Bersambung-sambung dengan batu kekal yang sedia ada. Batu besar yang tertanam dasar sungai yang sukar untuk dikeluarkan. Maka, terjadilah rangkaian susunan batu menjadi tadahan air serta jeram-jeram mini yang mengindahkan lagi alam semulajadi ini.


Damia bersama pelampung flamingo dan bola melihat batu-batu kecil yang telah disusun. Bosan menyusun kami ke tempat lebih dalam untuk berendam pula.



Susunan batu-batu yang agak besar menghasilkan jeram yang lebih laju dan besar. Pasti menampakan keputihan air menghempas batu serta melalui dicelah-celahnya. Hadapannya terdapat satu lagi susunan batu-batu besar. Kawasannya bahagian hulu lebih berpasir sahaja. Banyak ikan-ikan sungai berenang dalam sungai. Kawasan in Damai boleh bermain dengan pelampung dan bola dengan lebih selamat. Duduk sambil meletak kepala bahagian air jatuh umpama badan diurut, Pasti badan lebih segar ditambah dengan kesejukan air sungai tersebut.


Bergerak ke hadapan sedikit kawasan berpasir. Damia ingin berjalan dalam sungai berpasir melihat persekitaran di hadapan. Pastikan jarak anak tidaklah terlalu jauh. Sentiasa memantau pergerakan di mana ia berada. Jangan terlepas pandang walau sesaatpun. Bermain dengan air risikonya amat tinggi. Peka pada perubahan sungai bagi mengelakkan kejadian kepala air.



Membawa anak bermain air sungai baik untuk diri agar tidak takutkan pada air. Keyakinan diri dalam air melatih diri anak berani menghadapi sebarang kemungkinan. Kelebihan pandai berenang dan mengapung diri adalah penting untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sebarang situasi cemas pasti dapat dihadapi dengan tenang dan tahu cara untuk menyelamatkan diri daripada sebarang risiko.



Video arus deras salah satu lokasi sungai Lui yang pasti menjanjikan keseronokkan dan adventure. Pastikan keselamatan diri diutamakan. Jangan lupa diri apabila terlampau seronok.


Puas bermain air dan mandi Damia ajak naik atas. Barulah terasa lapar di perut. Perlu membilas dan menyalin baju kering terlebih dahulu.


Sempat bersantai di hammock terlebih dahulu sebelum ke bilik persalinan.  Tempat berkelah yang sesuai bagi yang tidak bermalam. Bilik persalinan yang luas disediakan tandas dan air pancur untuk membilas badan.


Usai mandi dan bersalin pakaian bergerak ke kereta menyimpan segala barang. Cikgu Azrul yang baru habis memesin rumput. Meminta izin untuk pulang dan ucapkan terima kasih atas kebenarannya.



Rasailah kedinginan air Sungai Lui di Alpine Camp Glamping. Pasti seronok dan menjadi kenangan tempat untuk bersantai dan merehatkan minda. Terima kasih kepada Cikgu Azrul atas layanannya serta dua sahabat Deeno dan Pak Am yang tidak sempat berjumpa.

Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya


1 comment:

  1. Magnificent Setting: The site, which is tucked away in the Himalayas, provides nature enthusiasts with expansive views, clean air, and peaceful surroundings.
    Visit here: glamping everest

    ReplyDelete

Lain Cari Lain Dapat

Dua hari sabtu berturut telah melancarkan misi SAR. Hari ini selepas latihan olahraga terus ke Kampung Giching, Salak. Terdapat satu belon K...