Kali terakhir melancarkan misi pencarian belon KLIA adalah seminggu sebelum Ramadhan. Hari ini berjaya melancarkan dua misi di sekitar Sepang. Usai melatih budak olahraga di saltmine teringat belon KLIA di simpang Litar Sepang Jalan Pekeliling.
Belon KLIA radiosonde 2405015406 telah jatuh pada 7 Mei 2025 jam 20:05 malam. Koordinat 2.76388 darjah Utara dan 101.72029 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 168m dan ketinggian maksimum 6790m sahaja.
Perjalanan dari Cheras melalui Sg Merab terus ke Desa Putra. Kemudian terus melalui Jenderam hala ke Salak. Melepasi Salak belok ke kanan hala ke Litar Sepang. Tiba simpang tiga Jalan Pekeliling KLIA belok kiri untuk membuat pusingan U. Selepas berpatah balik berhenti di bahu jalan terus masuk ke laluan bertar dalam kawasan kelapa sawit. Letak kereta berhampiran laluan masuk. Walaupun tar berturap lebih selesa berjalan kaki sahaja tinggal berbaki tambah tolak 400m ke titik akhir.
Berbekalkan botol air dan beg sandang kecil menuju titik akhir mengikut jalan tar dalam ladang kelapa sawit ini. Berpandukan GPS Waypoint terus ke titik akhir menyusur jalan berturap tersebut. Berbaki kurang 100m belok ke kiri memasuki deretan kelapa sawit. Terus menghala titik akhir dan berhenti berbaki kurang 20m lagi. Angka bertukar hijau bermaksud telah mengahmpiri tepat titik akhir. Namun, terhalang dengan kawasan yang sangat bersemak tidak boleh dimasuki.
Kemudian melaraskan kedudukan arah berdasarkan arah belon jatuh. Bergerak arah timur mencari tanada-tanda belon boleh dijumpai. Menyusur baris kelapa sawit agak kemas dan tidak bersemak. Melilau mata mencari setiap sudut. Bersempadanan kawasan kelapa sawit terdapat parit. Melepasi sawit merupakan kawasan bersemak.
bergerak hingga jarak 100m pencarian masih tidak jumpa. Kebarangkalian belon jatuh di sekitar titik akhir yang bersemak itu. Ini berdasarkan titik akhir agak rendah iaitu altitud ketinggian 168m.
Puas mencari terus berpatah balik semula ke jelopi melalui jalan berturap tadi. Seterusnya destinasi kedua adalah Masjid Pekan Sepang. Bergerak keluar menghala ke KLIA dan berpatah balik melalui susur keluar Labu Lanjut. Terus hingga simpang Litar Sepang belok ke kiri. Terus hingga simpang empat Bandar Enstek - Salak. Belok ke kanan menghala ke Sepang. Tiba Pekan Sepang berpatah balik terus masuk ke dalam masjid.
Kali ini tidak sempat untuk mengeset koordinat bagi radiosonde 2405015352. Titik akhir berada di dalam masjid. Melihat-lihat kawasan sekeliling. Agak mustahil jumpa jika jatuh dalam masjid. Ini kerana belon KLIA ini telah jatuh pada 3 Mei 2025. Bergerak keluar juga meninjau di bahagian luar terutama longkang. Tidak ada kesan juga.
Masuk masjid semula untuk menunaikan Solat Zohor terlebih dahulu agar dipermudahkan urusan menemui radiosonde tersebut. Usai solat menyemak semula kedudukan belon. Sebelum sedekah dalam tabung terlebih dahulu sebelum keluar masjid. Jangan lupa berniat dan berdoa yang baik-baik.
![]() |
Credit 9M2MDZ |
Radiosonde 2405015352 jatuh 3 Mei 2025 jam 21:11 malam. Koordinat 2.69419 darjah Utara dan 101.75248 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 212m dan ketinggian maksimum 22,732m.
Bangunan Masjid Pekan Sepang dari luar pintu masuk utama. Cuaca petang itu amat cerah dan panas. Usaha pencarian perlu diteruskan jua. Rancang untuk menyeberang jalan empat lorong tersebut. Terpaksa bergerak ke hadapan menghala ke Pekan kerana penghalang konkrit dibina sebagai pembahagi jalan.
Pembahagi jalan agak tinggi. Tidak perlulah nak melompat. Menyusur sahaja ke hadapan sedikit untuk melintas jalan tersebut. KM 0 Sepang ada di hadapan sedikit. Kedua arah ada batu Penanda jarak KM 0 Sepang. Pernah ambil gambar tersebut dan kongsi dalam group Pemburu 0 KM dalam facebook.
Kawasan rizab jalan rumput dijaga dengan baik. Bersempadan dengan parit dan kawasan paya. Hadapan kawasan tersebut adalah Sungai Sepang. Matapun melilau-lilau jika ternampak subjek yang dicari. Melihat juga di pembahagi jalan tersebut. Menghampiri bertentangan arah masjid ternyata subjek yang dicari telah ada di situ.
Alhamdulillah rezeki masih berpihak kepada penulis. Ternampak benang terlebih dahulu berdekatan pokok renek di tepi parit yang bersemak rumput tebingnya. Risau juga tenggelam dengan air. Namun, belon jatuh di bahagian tebing yang ditumbuhi sebatang pokok liar. Redah sahaja rumput yang tinggi itu untuk mendapatkan subjek.
Setelah mendapat benang, terus tarik benang sebelah kanan merupakan bahagian depan iaitu belon ditemui terlebih dahulu. Ada kesan lumpur bermaksud belon telah ditenggelami air parit ini. Kemudian menyusuri dengan anak mata melihat kedudukan peranti pula. Oh! rupanya peranti perlu diselak celah-celah rumput dekat pokok tersebut. Oleh kerana sehelai sepinggang sahaja, segala peralatan dalam beg sandang yang ditinggalkan di dalam kereta. Maka sentap benang sahaja hingga putus. Peninggalan benang yang lain tetap berada pada pokok renek tersebut.
Prosedur biasa selepas menemui peranti terus melaporkan penemuan di laman sesawang sondehub. Tidak sempat mengesan koordinat dan jarak dari titik akhir di masjid kerana tidak set koordinat pada Gps Waypoint Finder. Jarak bagi jalan raya empat lorong dengan tambahan 5 meter di rizab jalan sahaja. Itulah jarak peranti dikesan.
Syukur sempat dua misi dilancarkan. Satu berjaya dan satu gagal. Jangan cepat berputus asa. Cuba dan cuba lagi. Jika ditakdir bukan rezeki memang tidak akan dapatlah yang dihajati. Namun, sebaliknya pasti akan diberi jua walapun apapun rintangannya.
Rancangan untuk mencari dua lagi radiosonde dekat Salak. Bateri telefon pintar kurang 20% amat sukar bagi menggunakan GPS yang kuat makan bateri. Maka, misi ditngguhkan pada misi yang lain pula. Kita hanya merancang Allah jua yang menentukan. Redha dan berlapang dada sahaja. Tidak lari gunung dikejar.
Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya
Jumpa dan jumpa
No comments:
Post a Comment