Pasport Pengembaraan Hidupan Liar Malaysia


 Cuti hari minggu hari ini 11 Mei 2025 bersama Damia pergi ke Zoo Negara Malaysia. Zoo telah ditubuhkan semenjak tahun 1963 lagi pastilah menjadi destinasi utama kepada anak-anak kecil.


Bayaran masuk bagi tempat letak kereta adalah RM15 sahaja sekali masuk. Pastikan bawa kad tersebut untuk membayar di kaunter atau mesin layan diri. Pastikan bawa wang tunai secukupnya jikalau tidak bayar melalui debit kad sahaja apabila berurusan di kaunter. Alasan duit kecil tiada, memaksa menggunakan kad debit sahaja lebih mudah.


Ini merupakan pengembaraan kedua Damia ke Zoo Negara yang tersohor ini. Kali pertama datang masuk melalui Pintu B di belakang. Tetapi hari ini berkesempatan masuk pintu utama kerana tempat letak kereta masih banyak yang kosong. Jikalau sampai lewat pasti penuh dan terpaksalah meletak kereta di luar kawasan.


Bayaran tiket masuk untuk dewasa RM48 dan kanak-kanak RM21 serta warga emas RM26. Harga ini untuk warganegara Malaysia sahaja. Pastikan membawa kad pengenalan diri sendiri dan anak-anak. Bagi bukan warganegara harga tiket dari RM 53 hingga ke RM 93 bagi dewasa. Kanak-kanak pula dari RM23 hingga RM48. Rujukan risalah Zoo Negara yang diberi selepas membayar tiket.


Selain risalah mengenai kemudahan yang terdapat di Zoo serta peta lokasi. Terdapat sekeping kertas merupakan Pasport Pengembaraan Hidupan Liar. Terdapat lapan jenis haiwan dipaparkan untuk dikunjungi dan mendapatkan cetakan stem pada setiap ruangan yang disediakan. Umpama aktiviti mencari harta karun bagi melengkapkan setiap misi atau stesen.


Destinasi pertama ke Dunia Kanak-kanak. Perlu melalui Siamang dan primat yang lain terlebih dahulu. Pada pagi itu, hujan baru sahaja berhenti. Sedangkan memandu dari Bangi melalui Cheras cuaca baik sahaja. Tiba di Hulu Klang tanah telahpun basah. Dunia Kanak-kanak yang biasa dilihat haiwan seperti mana-mana petting zoo. Ada Kura-kura, Hamster, Landak, Kuda padi dan lain-lain lagi.


Kemudian terus melalui jalan arah ke Badak Air Biru yang sedang berehat di kandang. Pekerja sibuk mengemas kawasan dan memberi makan di kandang. Hanya nampak bahagian belakang haiwan ini sahaja. Seterusnya melintas sungai. Bertentangan Badak adalah buaya. Sungai mengalir deras ini berpunca dari Kg Kemensah. Penulis pernah berjalan merentas hutan dari Sg Chongkak hingga keluar ke Kg Kemensah ini.


Seterus tiba di kawasan kurungan Capybara dan Oyen. Inilah tujuan utama Damia untuk ke Zoo Negara kali ini. Peminat kepada haiwan Capybara dan kucing Oyen yang tinggal bersama. Kami melihat salah seekor dari Capybara telah sakit atau cedera. Pegawai telah bersedia untuk memberi rawatan. Namun Capybara itu seolah tahu dan kenal Pegawai tersebut. Lalu menjauhkan diri dan lari ke tempat lain. Pengunjung hanya memerhatikan gelagat Capybara tersebut.


Puas melihat haiwan Capybara mula bergerak ke haiwan seterusnya. Seladang India. Tiba di kawasan Beruang Matahari.hai bear! lalu salah seekor mengangkat tangan. Stesen pertama untuk cop pasport bermula di Beruang Matahari. Perlu menekan dengan kuat agar cop itu timbul pada permukaan kertas tersebut.


Puas melihat Beruang Matahari meneruskan pengembaraan ke kawasan Kijang. Stesen kedua untuk cop pasport pengembaraan. Bertentangan terdapat Rusa Jawa dan Walabi juga. Walabi adik beradik Kanggaru tetapi saiz lebih kecil. Pelbagai saiz ada dari kecil yang masih kecil hingga yang sudah matang.


Sebenarnya kita boleh memberi makan Rusa ini. Namun tidak berkesempatan kerana belum mengikut jadual yang ditetapkan. Hanya cuti hujung minggu dan cuti umum sahaja aktiviti memberikan makan diadakan.


Sebelum ke kolam Flamingo ini sempat ke stesen tiga untuk cop pasport. Stesen ketiga yang dikunjungi adalah haiwan Landak Raya. Burung Flamingo ini bergerak bebas tanpa dikurung. Pemuliharaan dan pemeliharaan amat penting agar spesies ini tidak pupus ditelan zaman.


Sebelah Landak Raya merupakan Rumah Reptilia dan Alam Mamalia. Antara haiwan adalah Walabi, Kancil, dan beberapa lagi. Haiwan-haiwan menyorok disebalik pokok dan daun atau tempat berteduh di dalam kurungan. Perlu memerhati dengan teliti memandangkan saiz yang kecil seperti Kancil agak sukar dikesan. Penyamaran berlaku untuk mengelakkan menjadi mangsa buruan.


Red-Legged Pademelon spesies seakan kanggaru juga yang terdapat di Alam Mamalia. Spesies dari luar negara seperti ini sudah pastilah memberi pengetahuan baru tentang haiwan yang jarang ditemui serta berasal dari luar negara. Papan maklumat haiwan tersebut boleh menjadi rujukan dan memberi maklumat yang tepat tentang sesuatu spesies.


Sebelum menghala ke kawasan Savana kelihatan tiga ekor Badak Sumbu sedang berehat di bawah pohon. Cuaca berbahang selepas hujan. Angin mati tidak terasa dihembus ke pipi. Kelihatan ramai pengunjung berkipas. Damia tertanya. "Abah! Mengapa orang ramai asyik berkipas?" Ternyatalah pengunjung berkepanasan cuaca persekitaran disamping berjalan ke sana dan ke mari. Perkhidmatan tram turut disediakan bagi yang tidak larat berjalan jauh.


Tiba di kawasan savana singgah di gerai makan. Damia haus dan ingin berehat sebentar. Teringinkan ais krim dan memilih warna pelangi. Setelah rasa ia seperti antibiotik yang sering diambil ketika demam. Maka Abahnyalah yang terpaksa menghabiskan ais krim tersebut. Hilang penat singgah ke kedai cenderamata pula. Banyak anak patung Capybara dan Panda ada dijual.


Seterusnya bergerak ke pelantar di tengah padang rumput savana. Ada Zirafah tengah makan. Makanan digantung tinggi seperti tiang bendera bagi memudahkan makan. Terdapat kolam di tengah padang ini. Ada juga Rusa dan Burung Merak bebas bergerak tanpa gangguan.


Dua ekor Zirafah sedang makan di tiang yang digantungkan makanannya. Berlatar belakang jajaran bukit batu granit Bukit Batu Tabur. Persekitaran Hulu Kelang yang menghijau ini haruslah di kekalkan. Terdapat juga empangan Klang Gates untuk tadahan air.


Sungai Pandang merupakan salah satu sungai yang melalui ke dalam kawasan Zoo selain Sungai Kemensah. Ketika ini hendak menangkap gambar Burung Botak Upeh sedang mencari ranting-ranting kayu untuk membuat sarangnya di Tasik Tunku Abdul Rahman.


Jalan terus ke depan akan tiba di kawasan Orang Utan. Stesen keempat untuk cop pasport. Hanya nampak seekor Orang Utan di atas tebing bukit yang tinggi. Menurut pekerja kebersihan yang sedang menyapu di laluan, sewaktu hujan semua masuk ke tempat perlindungan.


Berpatah balik untuk menghala ke Pusat konservasi Giant Panda. Bertemu dengan dua ekor Unta satu bonggol terlebih dahulu. Salah seekor sedang berbaring dan bemain atas pasir. Terus jalan mendaki ke arah kurungan Orang Utan dan Cipanzi. Damia hendak melihat Orang utan yang bernama Rokiah. Sayangnya semua Orang Utan sedang baring di atas pelantar masing-masing. Rokiah yang lahir pada tahun 1979 mungkin sempena watak filem P.Ramlee Masam-masam Manis.


Selepas itu ke Pusat Panda. Sayangnya tidak boleh masuk. Hanya tengok dari dalam sahaja. Kejauhan boleh dilihat Panda yang tidak boleh diganggu. Nasib baik kunjungan pertama dulu berjaya masuk melihat Panda dengan lebih dekat. Singgah juga di kedai cenderamata  pusat ini. Keluar Pusat Panda terus menghala ke Gajah. Sebelum tiba, sebelah kiri ada Puma. Terlihat pengunjung bergambar sambil menunjukkan kasut berjenama Puma dengan bangganya. Stesen kelima cop pasport di kawasan Gajah.


Banteng spesies lembu dan kerbau banyak terdapat di sini. Bergerak bebas dalam kurungan.



Jikalau tiada papan maklumat ini, pasti kita menyangka ia hanyalah lembu atau kerbau sahaja. Rupanya haiwan ini dipanggil Banteng. Banyak berjalan luas pandangan. Banyak pengetahuan baru diperolehi setelah menjelajah ke seluruh bahagian Zoo.


Dua ekor kerbau bersantai di laluan air nampaknya. Kebiasaan hidup berkubang berendam dalam lumpur menyejukkan badan. Nasib baiklah tinggal di sekitar Pekan Bangi ini masih boleh melihat kerbau berkubang bersama teman baik si Bangau serta Lembu dan Kambing. Damia cukup seronok melihat haiwan-haiwan ini sebelah pagi dan petang.


Akhirnya dapat juga tangkap satu gambar Burung Botak Upeh ini. Sibuk mencari ranting-ranting kayu di sekitar kawasan Zoo. Gambar ini diambil dalam kawasan kurungan Kerbau. Kita boleh melihat sarang atas pokok di tasik. Terbang ke sana-sini seperti suasana di lapangan terbang nampakanya. Sekali-sekala mendarat di tebing tasik mencari sesuatu.


Harimau Bintang ini elok baring berdekatan dengan pagar. Peluang sebegini tidak harus dilepaskan. Boleh dikatakan semua haiwan big cat ketika kami datang semua berkeadaan begini. Tidur dan baring sahaja waktu selepas hujan.


Sekali-sekal terjaga juga dan sambung tidur kembali. Tidak hairan dengan kehadiran manusia dipersekitarannya. Alah bisa tegal biasa. Perlu hormati sesama makhluk. Jangan menggangu dan membuat kacau dan bising. Menghayati dan memerhatikan sahaja tingkah laku haiwan-haiwan tersebut sahaja. Terdapat seekor Harimau yang berjaga. Itupun duduk diam di satu penjuru jauh dari kehadiran manusia. Hanya memerhati gelagat manusia dari jauh sahaja.


Sepasang Singa tidur dengan lena juga. Satu atas konkrit manakala seekor lagi atas rumput sahaja. Sekali-sekala mengaum menggamit pengunjung untuk mengintai aksi yang berlaku. Sebelum ini, di stesen Harimau Belang telah mendapat cop pasport yang keenam selepas Gajah tadi. Kunjungan pertama dulu sempat melihat Pak Belang berenang di kawasan takungan air dalam kurungan.


Dua ekor Tapir turut tidur seperti big Cat yang lain. Tapir haiwan yang hampir pupus turut sering kedengaran menjadi mangsa dilanggar kenderaan. Jadi, perlulah memandu dengan berhati-hati di kawasan hidupan liar terutama sebelah pagi dan malam.


Aktiviti paling menyeronokkan Damia adalah memberi makan haiwan. Ketika kami tiba, makanan haiwan dijual RM4 sebekas. Memberi makan rusa yang berebut-rebut sudah menjadi kebiasaan bagi Damia. Terutama anak rusa yang masih kecil pasti lebih menggembirakan.


Jadual memberi haiwan makan di kurungan Rusa Bintik adalah jam 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari. Setiap hari Sabtu, Ahad dan Cuti Umum. Manakala Rusa Jawa dan Walabi jam 2.00 hingga 3.00 petang. Bagi Dunia kanak-kanak pula jam 12.30 tengah hari hingga 1.00 petang. Ambil kesempatan ini bagi menarik minat anak-anak menyayangi haiwan-haiwan tersebut.


Usai memberi Rusa makan terus bergerak ke Sangkar Burung. Masuk ke dalam mengikut pintu yang disediakan. Stesen ketujuh bagi cop pasport adalah Merak Pongsu. Kelihatan Petugas-petugas sibuk membersihkan kawasan serta memberi haiwan makan.



Keluar kawasan Aviari yang dirasmikan pada tahun 1989, terus ke pondok rehat di tepi tasik. Beli minuman isotonik dalam mesin layan diri sahaja. Ketika inilah melihat Burung Botak Upeh membuat sarang di atas pokok tepi tasik ini. Berterbangan simpang-siur umpama di lapangan terbang yang sangat sibuk ke destinasi masing-masing.


Tasik inilah menjadi lokasi filem P.Ramlee Masam-masam Manis. Bangku tepi tasik yang digunakan kekal di lokasi tersebut. Terdapat papan kenyataan memaklumkan penggambaraan filem tersebut menjadi  ingatan.


Alhamdulillah, akhirnya lengkap ke semua lapan stesen cop pasport di kurungan Tapir yang ketiga ditemui. Aksi Damia menunjukkan kertas pasport yang telah dicop ke semua lapan stesen. Lapan stesen yang perlu dilengkapkan adalah Tapir, Merak Pongsu, Harimau Belang, Gajah, Orang Utan Borneo, Landak Raya, Kijang dan Beruang Matahari. Aktiviti sangat menyeronokkan serta memberi banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan. Aktiviti keluarga ini haruslah dicuba bagi merapatkan hubungan sesama ahli.


Damia mengukur ketinggian berbanding ketinggian Zirafah yang mencecah lebih tiga meter. Kurungan Zirafah ini berdekatan dengan pintu masuk utama.


Seekor Zirafah yang aktif berjalan-jalan di kawasan kurungan. Sekali-sekala makan di tiang yang disangkut makanannya. Akhir sekali masuk ke Rimba Biodiversiti yang terdapat pameran serangga dan reptilia yang hidup di sungai dan kawasan pantai. Boleh ke taman bunga melihat pelbagai spesies yang ditanam serta serangga yang hidup kawasan persekitaran tersebut.


Sebelum bergerak pulang, Damia ingin singgah ke kedai cenderamata terlebih dahulu. Ada keinginan hati yang telah disimpan sebelum ini. Memilih kipas kecil Capybara dibawa pulang sebagai kenangan. Penulis pula mencari pelekat cermin kereta tetapi tidak ada dijual bagi menambah koleksi pelekat bertemakan haiwan.

Akhir sekali, berkunjunglah ke Zoo Negara yang sangat memberi pengalaman dan pengetahuan baru mengenai pelbagai spesies haiwan-haiwan. Kelestarian flora dan fauna perlu dikekalkan untuk tatapan generasi masa hadapan.

Selamat Memburu!
Jumpa dan jumpa lagi
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Lain Cari Lain Dapat

Dua hari sabtu berturut telah melancarkan misi SAR. Hari ini selepas latihan olahraga terus ke Kampung Giching, Salak. Terdapat satu belon K...