Pusing Sawah Bendang


 Cuti hari Malaysia pada tahun ini jatuh pada cuti penggal sekolah juga. Cuti panjang ini sekali lagi Damia mengajak ke Bukit Malawati, Kuala Selangor untuk memberi monyet makan.

Hari Pertama Ahad 14/9/2025 

Perjalanan dari Bangi melalui Kerinchi link terus ke LDP dan masuk ke Sungai Buloh. Ikut laluan 54 Jalan Kepong - Kuala Lumpur. Banyak lanskap telah berubah dengan pembukaan pembinaan kawasan perumahan dan pembangunan. Sebelum wujudnya LATAR, laluan ini menjadi pilihan utama untuk ke Kuala Selangor.


Melepasi laluan 5 ke Kuala Selangor jalan mula sesak. Hari kedua cuti kenderaan masih sesak menghala ke Kuala Selangor. Tiba di Pekan mencari tempat penginapan terlebih dahulu. Sebuah resort di sini telah penuh. Berpatah balik ke Pekan, terus mencuba nasib di Dizhu Guesthouse. Alhamdulillah ada bilik kosong yang mempunyai bilik air dan mempunyai tingkap. Harga satu malam RM120 sahaja. Bayaran deposit RM50 akan dipulangkan setelah daftar keluar keesokan hari.


Apa yang penting bilik mempunyai pendingin hawa serta alat pemanas air. Televisyen tiada tidak mengapa kerana Damia lebih leka bermain telefon sahaja. Manakala, abahnya monitor di radio. Nasib baiklah hand-held mempunyai fungsi Radio FM. Bolehlah mendengar Zayan FM juga.



Usai solat dan berkemas seketika, turun ke bawah untuk makan terlebih dahulu. Selepas makan terus ke kaunter trem. Harga tiket bagi dewasa adalah RM5 dan kanak-kanak RM3 sahaja. Hari minggu itu, ramai pengunjung. Perlu beratur sementara trem tiba. Trem tiba dengan dua gerabak. Duduk barisan akhir sekali pada gerabak pertama. Traktor menarik dua gerabak meluncur laju mendaki Bukit Malawati ini.


Tiba di hentian berdekatan Rumah Api dan Muzium. Damia tidak mahu masuk ke muzium. Hanya ingin memberi makan monyet sahaja. Terdapat dua jenis primat di Bukit Malawati iaitu Lutong Kelabu (Trachypithecus Cristatus) dan Kera (Macaca Fascicularis)            

Damia lebih berminat dengan Lutong Kelabu berbanding dengan Kera yang biasa dijumpai. Simpang tiga Dengkel, Bangi dan Kajang setiap hari boleh dilihat kera melintasi kabel elektrik.


Lutong Kelabu lebih baik berbanding kera yang agak agresif. Kera lebih suka merampas makanan. Namun, ada kera juga bersopan-santun meminta makanan tanpa merampas.


Ketika trem lalu jalan ini, terpaksalah berhati-hati ke bahu jalan. Hon sering dibunyikan ketika berhadapan monyet yang banyak di atas jalan menghalang trafik. Ada dua jenis trem pada hari tersebut. Satu mempunyai satu gerabak sahaja. lagi satu pula mempunyai dua gerabak ketika naik tadi.


Puas memberi makan berehat sebentar menghayati keindahan alam terutama pemandangan Selat Melaka. Lokasi strategik pertahanan bagi mengelakkan serangan musuh. Ini merupakan kunjungan kedua Damia ke sini. Pertama kali datang dahulu menaiki kereta sampai atas. Semasa itu, perkhidmatan trem tiada. Lebih baik memandu ke atas daripada berjalan kaki mendaki bukit yang agak tinggi juga.


Selain muzium dan rumah api terdapat juga tempat melihat anak bulan. Salah satu tempat melihat anak bulan bagi pengisytiharan bulan Ramadan dan Syawal setiap tahun.


Lutong Kelabu ini lebih menggemari ubi keledek berbanding kacang panjang. Daun kangkong apatah lagi. Namun, tetap ambil semula untuk dimakan.


Menjelang petang pengunjung semakin ramai. Tidak putus-putus orang ramai turun dari trem. Ramai yang membawa anak-anak lebih suka melihat haiwan tersebut.


Damia cuba memberi kacang tanah kepada seekor kera. Akhirnya kera tersebut mengambil dari tapak tangan Damia. Hanya kera yang berani sahaja datang dekat pada orang.



Puas memberi haiwan makan Damia ajak balik ke bilik. Singgah ke kedai serbaneka terlebih dahulu bagi menambah bekalan air dan makanan ringan. Sebelum itu, selepas turun daripada trem membeli seguni kecil untuk Lutong Kelabu di bawah pula. Malangnya Lutong Kelabu di sini sangat agresif pula. Sering bergaduh dan merampas makanan pula. Perlulah berhati-hati ketika memberi makan Lutong Kelabu ini.



Sebelah malam pula ke Santuari Kelip-kelip di Kampung Kuantan. Lokasi wajib apabila berada di Kuala Selangor ini. Tiket RM60 untuk sebuah sampan. Selepas membayar tiket telah di sapa satu keluarga. Hajat untuk menumpang sampan sekali. Ini memandangkan mereka datang berlima. Sampan hanya muat empat orang sahaja. Maka, si suami atau ayah keluarga tersebut akan bersama kami menaiki dua orang sahaja. Maka, dapatlah RM20 dari ketua keluarga tersebut yang bercuti mai dari Penang.



Kemudian bergerak ke jeti. Beratur panjang juga, ramai pengunjung yang ingin melihat kelip-kelip. Ketika beratur di jeti tersebut, kami telah dapat melihat kelip-kelip hinggap pada daun-daun pokok. Haiwan ini suka pada pokok Beremban. Kemusnahan pokok ini sudah pastilah menghancurkan habitat semula jadi. Kami dibekalkan jaket keselamatan. Wajib memakai jaket keselamatan ini untuk tujuan keselamatan di atas sampan.



Ada tempat yang tidak perlukan cahaya lampu. Teringat iklan TNB suatu masa dulu. Rakam video tanpa lampu bagi mendapatkan gambar kelip-kelip ini. Damia seronok dapat melihat kelip-kelip yang berada pada pokok beremban ini. Umpama lampu kelip-kelip ketika Hari Raya sahaja. Selain itu, Damia dapat melihat taburan bintang-bintang di angkasa juga. Sudah pasti pengalaman ini tidak dapat dilupakannya menjadi kenangan sepanjang hidup.



Menurut Pengayuh sampan tersebut, kelip-kelip sangat sensitif pada perubahan cuaca mahupun pencemaran. Ketika jerebu kelip-kelip amat berkurangan. Oleh itu, pencemaran udara mahupun air akan mengganggu hidupan kelip-kelip ini. Setelah tiba di jeti semula, memulangkan jaket keselamatan. Kemudian bergerak ke pokok-pokok sebelah jeti untuk melihat kelip-kelip di daratan pula.

Tracker 9W2DYA-6 berjaya mendapat packet dari Gunung Ulu Kali dan Igate berdekatan. Tracker 9W2DYA-6 telah diaktifkan dari tingkat 2 bilik penginapan. Igate tersebut adalah 9M4RDG dan 9M2IBR-2. Monitor juga frekuensi 147.900MHz memandangkan Marts linking yang sangat aktif pasti kedengaran audio pada bila-bila masa.

Hari Kedua Isnin 15/9/2025

Pagi hari kedua telah hujan. Pagi-pagi dalam jam lapan sekumpulan monyet telah keluar dari kawasan hutan berdekatan dengan dataran yang mempunyai monumen 0 km. Monyet ini memanjat sekitar bangunan di pekan ini.



Patutlah tingkap tidak boleh dibuka. Rupanya memang ada gangguan monyet di pagi hari. Monyet ini pergi ke kedai makan berhadapan hotel ini. Nampak bawa lari sesuatu dan makan di atas bumbung kedai berhampiran.


Pada mulanya hanya terdapat seekor sahaja yang duduk pada tiang lampu di hadapan bilik kami. Duduk di atas lampu memandang rakan-rakan membuat strategi mendapatkan secebis makanan. Merenung jauh memerhati kawasan persekitaran.



Haiwan yang tidak gayat dan takutkan pada ketinggian. Selamba duduk pada bahagian lampu jalan tersebut. Kami berdua hanya memerhatikan gelagat monyet ini dari tingkap bilik sahaja tingkat dua.



Ada ketika sedang memanjat kami mengejutkan monyet tersebut. Monyet memandang dengan penuh kehairanan. Berebut-rebut naik dan turun pada tiang lampu tersebut.


Turun dengan pantas seperti ahli bomba untuk memberi bantuan kecemasan. Sesekali memandang arah kami kerana tahu pergerakan sentiasa dipantau. Habis monyet menghilang kamipun turun ke bawah untuk bersarapan. Bergerak ke kedai berhadapan hotel sahaja. Semua gambar monyet itu dirakam oleh Damia.


Sebelum daftar keluar dan mengambil deposit semula sempat bergambar pada mural dalam Guesthouse tersebut. Ada Lutong Hitam dan kelip-kelip. Lampu berkarekter monyet turut ada di ruang legar guesthouse ini.


Perjalanan seterusnya menghala ke Sekinchan. Mencari hotel terlebih dahulu. Berjaya menempah bilik secara walk-in sahaja. Nasib baik ada bilik kosong. Hanya boleh dapat kunci bermula jam tiga petang sahaja.


Seterusnya bergerak ke Msekin Wonderland. Taman tema air terlatak tidak jauh dari The One Boutique Hotel. Msekin ini terletak di Jalan Pantai Redang. Memandangkan hari cuti kelepasan am sebelum Hari Malaysia. Jalan ke Pantai Redang ini sangat sesak.



Bayaran tempat letak kereta adalah RM10. Masih banyak ruang kosong lagi. Sudah pasti yang tinggal jauh dari jalan masuk ke taman tema air ini. Bersiap dengan beg diipenuhi baju tukar terus bergerak ke kaunter tiket.


Bayaran masuk bagi dewasa adalah RM35 dan kanak-kanak pula adalah RM30 sahaja. Damia membawa pelampung flamingo dan bola sekali. Usai mendapat resit terus ke akses dan dipakaikan gelang akses yang kalis air itu.


Mencari tandas untuk menyalin pakaian mandi. Kemudian meletak beg pada kerusi berdekatan dengan pentas utama. Tanpa berlengah terus masuk ke dalam kolam. Mandi kolam berhadapan pentas serta berbumbung. Kolam sebelah semakin cetek dan cetek. Kolam berbentuk segi empat. Terdapat kolam dewasa sahaja berbumbung serta air turun dari atas. Bertambah sejuklah berendam di situ.


Terdapat juga gelongsor di taman tema air ini. Cuma pelu berjalan ke hadapan lagi. Kedudukan terasing kehadapan sedikit berbanding kolam lain. Ada pelbagai peringkat ketinggian gelongsor boleh dicuba. Jikalau lapar ada gerai makan. Boleh makan seketika sebelum menyambung semula berendam.


Jam 2.30 petang kami berhenti berendam. Bertukar baju di ruang persalinan. Damia lapar lagi dan singgah gerai sekali lagi. Beli bebola ayam sebagai alas perut. Ada taman permainan turut disediakan kepada pengunjung.




No comments:

Post a Comment

Pusing Sawah Bendang

  Cuti hari Malaysia pada tahun ini jatuh pada cuti penggal sekolah juga. Cuti panjang ini sekali lagi Damia mengajak ke Bukit Malawati, Kua...