Misi Mencari Radiosonde di Kanchong Tengah, Banting


 Pagi tadi menjalankan misi mencari radiosonde dekat Kanchong Tengah, Banting. Belon KLIA jatuh di sini sebelah malam semalam. Objek aprs D20039910 altitud ketinggian terakhir 387m. Altitud ketinggian maksimum adalah 19213m. Hujan lebat malam tadi antara punca belon KLIA terbang rendah hingga 19000m sahaja.


Jatuh pada koordinat 2.74766 darjah Utara dan 101.52429 darjah Timur. Isyarat diterima oleh stesen radiosonde 9M2TPT di Sungai Buloh. Bekalan bateri ada baki 4.75 volt.


Kawasan jatuh di kelilingi kelapa sawit merujuk kepada peta google. Seawal tujuh pagi telah bertolak dari Bangi. Tiba di Banting sejam kemudian. Tiba simpang Tali Air masuk ke kiri jalan nombor B121. Menghala ke Kampung Kanchong Tengah terus hingga ke tapak jatuhan belon.


Melepasi simpang Kampung Kanchong Tengah berhenti di tepi jalan bagi mengesan kedudukan terkini. Mengaktifkan SondeHub serta merujuk aprs. Stesen 9W2DYA-10 diaktifkan bagi memboleh kedudukan terkini dapat dikesan. Selepas dapat mengenalpasti kedudukan perjalanan ke hadapan lagi diteruskan. Tapak jatuhan belon KLIA masih jauh dihadapan.


Perjalanan diteruskan ke hadapan lagi. Kesukaran untuk meletakkan kereta di tepi jalan disebabkan bahu jalan yang kurang sesuai. Kawasan paya gambut tanah menjadi mendap dan menyebabkan bahu jalan menjadi lebih dalam.


Arah angin semasa belon KLIA jatuh dekat Kanchong Tengah. Angin menghala ke tenggara altitud ketinggian berbaki 387m. Memandu hingga hujung jalan dan berpatah balik. Mencari simpang yang sesuai untuk meletakkan kenderaan dengan selamat. Jalan yang dilalui itu adalah Jalan Sempadan dan Jalan Kantan.


Masalahnya di kawasan ladang kelapa sawit ini adalah liputan talian. Akibatnya internet tidak dapat berfungsi dengan baik untuk memantau di sondehub dan aprs. Berulang alik jalan yang sama bagi mencari kedudukan yang tepat. Jam 9:20 pagi meletakkan jelopi di suatu simpang. Kedudukan telah dikenalpasti dengan bantuan stesen 9W2DYA-10.


Kedudukan berhampiran tapak mendarat belon KLIA. Berjalan ditepi jalan sambil mata meliar mencari sesuatu yang hilang. Tidak berani masuk ke dalam ladang sawit kerana terlalu semak. Ladang milik persendirian menyebabkan ladang seperti kurang dijaga.


Parit di keliling ladang kelapa sawit memastikan sistem pengairan berada pada tahap terbaik. Berjalan ke arah hadapan di tepi Jalan Sempadan sambil mata meliar melihat sekeliling. Kemudian berpatah balik ke arah kereta berjalan ke belakang pula.


Titi  parit diseberang untuk mengintai dicelah daun sawit. Sangat semak namun ada trek untuk kerja mengutip hasil. Macam hutan sudah rupanya. Masukpun tak berani! Mencabar sungguh.



Tertinjau-tinjau bahagian atas pokok jua. Mana tahu payung terjun tersangkut. Bolehlah jolok. Namun tidak jumpa juga. Lebih baik mencuba daripada duduk diam. Kawasan ladang sawit milik persendirian rata-rata agak tidak berjaga berbanding milik syarikat perladangan.


Berjalan dari satu titi ke titi yang lain. Cuaca pagi itu cerah dan berangin. Kelihatan banyak ayam hutan dan pelbagai spesies burung menghuni kawasan ladang ini.


Jalan Sempadan ini boleh menghala ke Batu Laut. Kereta lalu-lalang sekali-sekala ke destinasi masing-masing. Jalannya agak sempit disamping bahu jalan yang agak tinggi. Parit di kiri dan kanan adalah lanskap biasa di kawasan tanah gambut.

Setelah puas meninjau di setiap titi, berpatah balik ke jelopi. Cuba mengikut jalan batu ke dalam pula. Mata melilau kiri dan kanan jalan. Banyak burung berterbangan setelah melihat kelibatku melalui jalan itu. Sampai penghujung berpatah balik ke jelopi semula.

Misi keempat pencarian radiosonde masih lagi gagal. Namum memberi pengalaman yang baik untuk pencarian seterusnya. Mencuba lebih baik daripada tidak bertindak apa-apa.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...