Misi mencari radiosonde di Batu Laut

 


Misi yang nampak mustahil ini adalah percubaan kedua mencari radiosonde belon KLIA pagi tadi. Objek aprs D20052381 altitud ketinggian terakhir 576m berhampiran Batu Laut. Oleh kerana keadaan angin dan laut agak kuat hala ke tenggara. Misi ini untuk mengesan isyarat, jikalau jatuh ke kawasan pantai. Isyarat terakhir menunjukkan bateri masih mempunyai tenaga sebanyak 4.57 volt.


Menurut rakan ham yang bekerja di Jabatan, peranti radiosonde akan terapung selama empat jam. Tidak pasti ia masih berfungsi atau tidak ketika terapung dipermukaan air. Jika berfungsi pasti akan terus menghantar isyarat di frekuensi 401.111MHz.


Misi pagi ini cuba mengesan isyarat jikalau dapat ditemui. Destinasi yang tuju adalah Batu Laut. Memandu dari base station Bangi melalui Dengkil dan terus ke Banting. WX pagi ini sangat baik. Tiba di Banting menghala ke Morib. Tiba di Morib di kawasan restoran makanan laut cuba monitor. Tiada isyarat di terima di kawasan itu.

Kemudian pemanduan terus ke arah selatan di Batu Laut. Monitor sepanjang perjalanan masih tidak dapat menerima isyarat. Berhenti dan meletakkan kereta dikawasan Batu Laut berdekatan Pusat Perahu Layar.



Duduk dan cuba memantau di bangku batu yang menghadap laut. Kelihatan jauh ke tengah laut beberapa perahu layar sedang berlatih. Terdapat juga aktiviti khidmat sosial membersihkan kawasan pantai berdekatan dengan dewan terbuka.


Selepas itu, berjalan ke arah laut menggunakan laluan kapal layar. Kawasan paya bakau di sekitar Batu Laut ini. Pohon bakau yang masih kecil dapat dilihat tumbuh di pantai. Kelihatan binaan putih dari arah Morib. Mungkin itu adalah Tanjung Gebang Lighthouse seperti rujukan google map.


Semasa di atas laluan batu ini, masih lagi monitor. Tiada sebarang isyarat diterima juga. Melihat sekeliling, manalah tahu payung terjun bersama peranti hanyut sampai ke sini. Merujuk kepada laman sesawang Windy, turut menunjukkan ketika belon KLIA jatuh angin bertiup ke arah tenggara.


Arah tenggara bermakna kemungkinan jatuh ke daratan atau menghampiri pantai. Jauh nun di Selat Melaka yang sibuk laluan kapal dagang utama dunia. Beberapa kapal dagang sibuk meneruskan pelayaran. Atlet perahu layar, sibuk ke sana ke sini  meneruskan pelayaran dengan bantuan angin yang sangat baik.


Walaupun cuaca agak panas, masih tidak terasa sangat kehangatannya. Ini disebabkan deruan angin pantai menyapa ke tubuh sangat menyamankan. Garisan-garisan ombok yang jelas di hadapan mata menunjukkan betapa kuatnya angin ketika ini.


Bersebelahan Pusat Persatuan Sukan Layar Selangor adalah medan selera. Oleh kerana perut sudahpun lapar, cari gerai yang sesuai untuk makan tengah hari. Pesan nasi goreng cina udang goreng bersama teh ais sambil melayan dendangan live band di situ. Monitor lagi tetapi masih juga negative copy.


Sambil makan melihat di aprs tempat yang boleh dikunjungi berhampiran pantai. Destinasi seterusnya adalah Tanjung Sepat. Mungkin hanyut hingga ke sini oleh arus ombak dan angin yang kuat. Membayar RM13 untuk hidangan bersama teh ais. Gerainya bertemakan jalan raya. Ada lampu isyarat, lampu jalan, beberapa papan tanda serta tayar dijadikan kerusi dan meja. Sungguh menarik dan kreatif.


Dataran Tanjong menghadap Selat Melaka di Tanjung Sepat. Terdapat jeti dibina hingga ke tengah laut. Berjalan di tengah panas namun deruan bayu laut menyamankan suasana persekitaran. Hempasan ombak memecah kesunyian ketika mentari tegak atas kepala.


Bukan aku sahaja di atas jeti itu. Terdapat pengunjung lain turut menikmati keindahan laut dari sini. Mereka bergambar kenangan dengan pelbagai aksi sebagai kenangan berkunjung di sini.


Batu pemecah ombak memisahkan laut dengan daratan. Bot nelayan juga memasuki kuala disebelah kanan jeti sebagai pusat dermaga pengumpulan hasil laut. Semasa ke jeti terdapat kedai yang menjual hasil laut tempatan seperti ikan kering.


Saujana mata memandang untuk sampai ke hujung jeti di tengah laut. Masih monitor jikalau dapat mencapai isyarat belon KLIA. Masih lingkungan empat jam sejak isyarat terakhir diterima. 


Inilah kuala tempat bot nelayan masuk ke sungai di perkampungan nelayan. Riak-riak ombak menandakan angin agak kuat. Batu pemecah ombak memisahkan laut dengan daratan. Ia juga penting mengelakkan hakisan.


Ramp ditepi dataran untuk menaik dan menurunkan kenderaan laut.
Kelompok-kelompok awan sebelah daratan bergerak ke laut. Tanda-tanda akan berlaku hujan. Maklumlah musim tengkujuh sedang berlaku. Petang tadi cuaca sememangnya cerah sahaja.


Sebelah kuala juga kelihatan kelompok-kelompok awan di sebelah daratan manakala di sebelah laut kurang. Awan bergerak dari daratan ke laut. Langit membiru cerah mendamaikan mata memandang.


Pemandangan sebelah selatan boleh dilihat hingga ke Port Dickson. 
Cuaca yang baik memboleh tahap penglihatan mencapai jarak yang lebih jauh. Terperasan kren kontena yang tinggi biasa kelihatan di pelabuhan sahaja.


Pemandangan di hujung jeti kapal-kapal dagang berlayar di laluan paling sibuk di dunia. Kaki langit awan yang nipis sahaj terpampang di depan mata. Ombak kelihatan  beralun-alun hingga ke tepi pantai.


Sebenarnya terdapat dua orang pemancing di hujung jeti itu. Memancing di tengah laut atas jeti memberi kepuasan tersendiri kepada pemancing. Semasa aku lepak sebentar di situ, seekor ikan besar telapak tangan berjaya memakan umpan umpun-umpun.


Salah seorang dari mereka telah melihat aku memegang radio. "Abang amatur ke?" tanya beliau kepadaku. "Ya, saya pemegang lesen radio amatur" balasku kepadanya. "Saya ada ramai kawan yang main radio," balasnya lagi. "Lesen mahal sangat!" sambungnya lagi. Akupun tersenyum dengan kata jujurnya.


"Saya tengah memantau belon kajicuaca," terangku tujuan sebenar radio ditangan. "Pagi tadi jatuh dekat Batu Laut," sambungku lagi. Akupun menikmati pemandangan yang indah bersama tiupan angin yang menyamankan tanpa mengganggu urusan mereka.


Walaupun awan kurang di sebelah laut, belon berpatah balik arah ke darat mungkin disebabkan tolakan angin. Harapan keesokan hari jatuh ke darat bolehlah meneruskan pencarian.


Pemandangan dari hujung jeti ke Dataran Tanjong , menggambarkan kelompok awan. Langit biru menggambarkan cuaca yang cerah dan baik untuk dinikmati kurniaan Illahi.


Kedudukan stesen 9W2DYA-10 melebihi jarak dari peta google. Menggunakan aprs dapat menentukan kedudukan dengan tepat. Selain itu, dapat berfungsi secara real time atau secara langsung.


Pemandangan semasa ingin pulang ke jelopi. Awan semakin banyak dan  gelap di sebelah selatan. Destinasi pencarian seterusnya ke pantai Cunang yang tidak jauh dari jeti.


Memandu jelopi dari jeti ke Pantai Cunang melalui kawasan perumahan dan kawasan ladang kelapa sawit. Semasa melalui ladang kelapa sawit memandu di satu lorong jalan hinggalah ke tempat letak kereta.


Pantai Cunang terletak di Kampung Koi, Tanjung Sepat. Perkampungan orang asli yang menguruskan kawasan peranginan ini. Sebelum masuk, perlu daftar serta imbas MySejahtera di kaunter. Bayaran kereta sebanyak RM2 serta bayaran masuk dewasa RM1.


Pintu gerbang Samat Tibak menyambut kedatangan pengunjung. Memasuki kawasan paya bakau selepas disambut mesra itu. Pengunjung disediakan pelantar laluan di sekitar hutan bakau itu.


Hutan paya bakau amat penting dalam melindungi kejadian hakisan pantai. Ia juga habitat yang penting kepada hidupan akuatik. Pendedahan kepada generasi muda agar dapat mengenali pokok paya bakau dan habitat sekitarnya.


Akarnya yang unik berada di luar permukaan bukannya tertanam di tanah. Beberapa ekor monyet turut menghuni di kawasan paya bakau ini. Masih monitor di pantai Cunang dari jeti masih tiada sebarang isyarat.


Selepas puas menikmati suasana paya bakau, terus ke kawasan pantai. Beberapa kemudahan penginapan, pondok, dan tandas turut disediakan. Kelihatan khemah turut didirikan di kawasan pantai bawah pokok ru.



Kawasan pantai terdapat tinggalan akar pokok bakau. Tunggul-tunggul akar ini mendominasi lanskap pantai. Berdasarkan jumlah kereta menggambarkan jumlah pengunjung yang beriadah di sini. Cuti hujung minggu digunakan sepenuhnya untuk merehatkan minda. Melihat keindahan alam semulajadi dapat melepaskan tekanan kerja seminggu.


Ketika air laut surut menyebabkan aktiviti mandi laut agak jauh ke tengah. Tanah agak berlumpur masih selamat untuk aktiviti mandi-manda. Pasir putih pantai yang cantik berada di kawasan pohon ru.


Namun terdapat beberapa pohon bakau berjaya hidup di tepi pantai. Deretan pohon ru turut mencantikkan lagi pemandangan pantai Cunang. Masih monitor lagi di frekuensi 401.111MHz. Tiada isyarat dapat diterima.


Kesan tapak kaki jelas kelihatan di atas pantai. Habitat kepada ketam-ketam yang berlari ke sana ke sini. Hilang masuk ke lubang setelah melihat kelibat manusia. Jelas keliahat fungsi pokok bakau sebagai benteng pertahanan semulajadi terhadap ombak yang menghakis pantau. Kesedaran pemuliharaan dan pemeliharaan hutan bakau kepada ekosisitem pantai.


Antara chalet yang di bina dikawasan pantai yang berpasir halus di kelilingi pohon ru. Belakangnya adalah hutan paya bakau. Ketika ini juga, terlihat beberapa orang krew penggambaran sibuk membuat video. Tidak pasti tayangan di televisyen ataupun pawagam. Babak seorang pelakon budak lelaki kesedihan merenung pantai. Sebelahnya ada sebakul kerepek yang hendak dijualnya.


Chalet menjadi penginapan krew beratap rumbia. Kamera kecil sahaja digunakan. Begitu juga peralatan penggambaran yang lain semakin canggih, kecil, ringan serta berteknologi tinggi. Kelihatan dipinggang beberapa krew terdapat radio untuk memudahkan komunikasi dijalankan. Bahasa biasa dipanggil walkie-talkie.


Suasana redup di kawasan pantai yang menyediakan pelbagai kemudahan. Beberapa buah khemah kelihatan di pasang oleh pengunjung yang bermalam atau sekadar berkelah sahaja. Aktiviti pekhemahan semakin popular selepas PKP duduk lama berkurung di rumah. Semua orang ingin lari dari kebosanan berkurung mencari suasana persekitaran yang baru.


Semua tempat tarikan ramai telah dilabelkan dalam peta google. Terpulang kepada kita untuk meneroka ke sesuatu tempat itu. Sebagai seorang rakan radio pastilah aprs menjadi pilihan utama. Stesen 9W2DYA-10 berada di tempat letak kereta pantai Cunang boleh diketahui oleh rakan ham melalui aprs ketika itu.


Perjalanan pulang ke Bangi diteruskan ke pekan Sungai Pelek untuk singgah solat di masjid. Selesai solat ingin cuba jalan pintas ke KLIA dari Sungai Pelek. Menghala ke Kampung Ulu Chuchoh untuk sampai ke KLIA. Oleh kerana jalan pintas ini milik tanah persendirian. Palang dibina untuk mengelakkan kenderaan berat seperti lori menggunakan laluan ini. Oleh kerana jelopi telah dipasang antena MC-101. Terpaksalah berhenti di tepi jalan untuk menanggalkan antena itu bagi memudahkan melepasi palang yang dibina.


Selepas melepasi palang memasuki jalan pintas terpaksa memandu berhati-hati. Jalan batu kelikir yang agak tidak rata menyebabkan pemanduan terpaksa perlahan. Berselisih dengan pacuan empat roda memandu laju seperti di atas jalan raya biasa. Masuk sahaja Jalan Pekeliling nombor 27 terus ke arah Anjung Spotter.


Petang itu, ramai ibubapa membawa anak-anak melihat kapal terbang mendarat di landasan. Semestilah kanak-kanak yang paling teruja apabila melihat kelibat kapal terbang meluncur di landasan.


Kini, lapangan terbang mula sibuk menerima penumpang sejak pandemik Covid-19 melanda dunia. Kerancakan ekonomi semula membolehkan rakyat turut menjalani kehidupan seperti biasa.


Ramai juga pengunjung hanya meletakkan kereta di tepi jalan sahaja untuk merakam detik kapal terbang mendarat. Peminat fotografi bersama kamera  berlensa jarak jauh membidik gambar saat kapal terbang mendarat. Ada juga merakam video melalui telefon pintar masing-masing.


Belon KLIA yang menjadi buruanku ini dilepaskan di lapangan terbang ini. Setiap hari sebanyak dua kali akan dilepaskan. Biasanya isyarat dari Bangi akan terima jam 7:35 pagi dan malam. Kena tunggu di sini barulah tahu waktu sebenar ia dilepaskan. Tapi waktu kini matahari terbenam lebih awal sememangnya tidak dapat melihat ia dilepaskan.


Pesawat British Airways melakukan pendaratan di landasan. Detik tayar mencecah tanah dengan asap akibat geseran serta bunyi enjin sangat mengujakan. Jauh di belakangnya jika nampak cahaya lampu merupakan kapal terbang seterusnya menunggu giliran untuk mendarat.


Tayar bahagian belakang mencecah landasan terlebih dahulu bersama asap yang keluar akibat pergeseran. Kemudian, tayar bahagian hadapan pula menyentuh landasan adalah saat yang mendebarkan bagi para penumpang. Selamat tiba setelah tayar berjaya mencecah landasan yang dikendalikan jurterbang yang sangat mahir dan cekap.


Elok bawa anak-anak agar menjadi inspirasi untuk menjadi cita-cita dan impian memilih kerjaya bidang aeroangkasa. Sudah pasti cita-cita menjadi juruterbang sering berada dalam minda mereka.

73, Jojet de 9w2dya


No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...