Misi mencari radiosonde di Pulau Carey


 Pagi ini berkesempatan untuk mencari radiosonde yang jatuh di Pulau Carey malam tadi. WX baik pagi ini. Sedikit mendung tidak menghalang misi mencari buat julung kalinya.


Memandu dari Bangi melalui Dengkil hala ke Banting. Melewati Sungai Manggis belok ke kanan menghala ke Telok Panglima Garang. Jalan nombor 5 kini sudah empat lorong hinggalah masuk ke kiri simpang ke Pulau Carey. Kemudian bertemu simpang empat dan belok ke kanan menghala ke Pulau Carey. Jalan terus berjumpa jambatan menyeberang selat menandakan telah memasuki Pulau Carey.

Memandu terus hingga ke penghujung jalan berjumpa laut. Terdapat gerai menjual minuman dan keropok di situ. Beli air minuman dalam tin bagi menghilang dahaga. Pemandangan Selat Melaka dengan suasana mendung berawan di sana-sini. Kelihatan kapal berlabuh begitu banyak sekali.


Angin bertiup agak kuat. Ombak memukul batu memecah kesunyian. Pagi ini air surut, walaupun ramalan air pasang besar akan berlaku. Bukan di sini air pasang besar. Deretan batu yang memisahkan ombak dan daratan tersusun rapi menambah keindahan. Kelihatan ikan belacak menjemurkan diri di atas batu bermain-main dengan yang lain.


Belon KLIA objek aprs D20052422 baru meninggalkan pantai. Sambil monitor di frekuensi 401.111MHz. Jam 9 pagi ketika itu, sang suria mula menunjukkan diri walaupun sekitarnya kelihatan mendung. Suasana agak panas, namun tiupan agin yang kuat menyejukkan persekitaran.



Radio yang digunakan memantau belon KLIA  diletakkan di atas batu menghadap Selat Melaka. Sambil memantau ditemani oleh anak tuan punya gerai. Rajin menyembang dan bertanya kehadiranku di sini. Terangkan kepadanya mendengar bunyi peranti belon kajicuaca.


Hujung daratan kelihatan awan gelap menyelubungi laut. Musim tengkujuh telahpun berlaku. Kelihatan pasir pantai menandakan air laut surut. Risau juga hendak ke sini memandangkan fenomena air pasang besar boleh menyebabkan air laut melimpah dan menyebabkan banjir.


Garisan ombak melanggari pantai menunjukkan angin amat kencang. Laut kelihatan keruh akibat lumpur kawasan paya laut keliling pulau ini.

Terdapat dua  kapal cruise yang berwarna putih di sana, di samping kapal dagang yang lain. Menurut budak itu lagi, pernah kapal atau kapal layar berlabuh agak dekat. Datang ke gerai ayahnya membeli jajan di situ.


Cahaya mentari semakin memancar membolehkan gambar yang diambil semakin jelas. Awan tebal masih kelihatan di Selat Melaka. Nasib baik hujan masih belum turun.


Jam 9:26 pagi isyarat telah terputus. Altitud ketinggian kedudukan terakhir 499m. Isyarat diterima oleh stesen radiossonde 9M2TPT di Sungai Buloh. Maka bergerak meneruskan misi mencari radiosonde yang jatuh malam tadi di sini.


Kebiasaannya aku melihat-lihat suasana persekitaran terlebih dahulu. Perasan tadi ada papan tanda muzium semasa malalui ke pantai tadi. Boleh cuba bertanya untuk ke sana. Memandangkan kawasan Pulau Carey di liputi ladang kelapa sawit yang dimiliki oleh Sime Darby. Pastilah menjadi larangan kepada orang luar.


Berjumpa papan tanda Muzium Perladangan masuk ke kiri ada pondok pengawal Polis Bantuan. Bertanyakan kepada pegawai bertugas. Menurut beliau muzium tersebut boleh dikunjungi orang luar. Alhamdulillah ada peluang masuk ke kawasan pendaratan di sekitar ladang yang luas ini.


Menurut pegawai tersebut lagi, jarak ke sana 8 km. Boleh tahan juga jauhnya menunjukkan betapa luasnya Pulau Carey ini. Setelah nama direkodkan serta imbas aplikasi MySejahtera. Bergerak terus ke destinasi sambil melihat sekeliling.


Perjalanan merentasi SKVE di kawasan ladang hingga ke penghujung jalan bertemu Pusat Latihan. Berpatah balik singgah Kelab Sukan Pulau Carey. Rumah kelab yang cantik tempat pemain golf berkumpul sambil melepaskan lelah. Ambil kesempatan menggunakan tandas serta melihat kawasan persekitaran.


Ketika ini, aku menyemak semula kedudukan di aprs. Memandang liputan isyarat talian tidak bagus, maka internet tidak dapat berfungsi dengan baik.



Sebenarnya, muzium hanyalah terletak di sebelah Kelab Sukan sahaja. Kelihatan beberapa kenderaan bahan pameran di luar bangunan muzium.


Kenderaan rel yang mengangkut bahan komuditi yang berwarna merah turut menarik perhatian. Kepala keretapi enjin  kuasa wap ini zaman sebelum merdeka turut mengujakan.


Kenderaan pacuan empat roda yang pernah berkhidmat ini turut dipamerkan. Kenderaan seperti ini, yang memerlukan bergerak ke pelbagai permukaan bumi amat sesuai digunakan terutama kawasan ladang.

Alat mekanikal yang beroda dua ini tidak pasti bagaimana ia berfungsi membantu kerja-kerja di ladang. Kemudian menapak tangga di belakangnya untuk melihat apa yang ada di sana.


Pemandangan padang golf selepas mendaki anak tangga. Kawasan beting menghalang air melimpah masuk. 


Pemandangan Selat dari beting dekat muzium. Berhadapan dengan Pulau Indah dulu dikenali sebagai Pulau Lumut. Awan tebal menghiasi langit di pagi ini.


Pemandangan Telok Gong berhadapan Pulau Carey dipisahkan oleh Selat Melaka. Puas menikmati keindahan alam sambil angin sepoi-sepoi bahasa menyinggah dipipi. Bergerak ke bangunan muzium. Mungkin masih bercuti Deepavali ia tutup.


Senibina bangunan muzium ini juga menarik. Bangunan dua tingkat bersebelahan padang  golf. Bersebelahan dengan jalan dan deretan pokok yang memberi suasana yang mendamaikan.


Senibina melayu juga kelihatan dengan adanya tangga di hadapan pintu utama. Rumah yang bertiang kecil di bawahnya mengelakkan banjir menjadi kebiasaan senibina rumah melayu. Selepas puas meneroka muzium, misi diteruskan dengan mengaktifkan SondeHub Tracker. Kawasan pendaratan telah dikenalpasti sejak malam tadi lagi. Pemanduan diteruskan mengikut aplikasi Sondehub Tracker. Terpaksa berpatah balik apabila laluan jalan masuk tadi bukanlah menghala kawasan pendaratan.


Pemandangan Bukit Jugra dari kawasan pendaratan di sekitar ladang. Banyak tali air menjadi tarikan burung bangau kerana pasti di situ banyak ikan.



Ladang di hadapan merupakan kawasan pendaratan belon KLIA malam tadi. Berbanding dengan kawasan ladang menghadap Bukit Jugra lebih bersih dan kemas. Kawasan pendaratan agak semak bagi kelapa sawit muda yang baru ingin membesar.


9W2DYA_chase telah diaktifkan memberikan koordinat yang tepat. Sangat berguna untuk menjejak peranti radiosonde yang jatuh dari langit. Kemudian melalui laluan tanah merah untuk ke hadapan lagi menghampiri kawasan pendaratan. Nasib baik jalan tanah merah tidak lecah dan kering sahaja. Bolehlah jelopi jalan dengan berhati-hati kerana gegaran batu-batu menyebabkan pemanduan perlahan sahaja.


Lokasi terakhir berhampiran kawasan pendaratan. Kawasan agak semak untuk meneroka di dalamnya. Parangpun tak bawa untuk aktiviti menebas laluan. Jikalau jatuh di kawasan ini lagi, pastikan parang dibawa bersama untuk membuka laluan ke tempat pencarian. Kawasan pendaratan mudah dikenal pasti kerana berhampiran laluan utama.


Burung Bangau yang terbang ketika jelopi menghampirinya. Jalan tanah merah yang kering memudahkan pergerakan walaupun memandu dalam keadaan perlahan sahaja.


Memandu pulang melalui jalan Kg Sawah terus ke Banting. Berhenti rehat di Banting menikmati makan tengah hari sebelum terus ke base station di Bangi.




73, Jojet de 9w2dya











No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...