Pengalaman ala Safari


 Ingin merasai pengalaman bercuti ala safari? Datanglah ke Bandar Gamuda Cove. Bersebelahan dengan Paya Indah telah menjadi tarikan terbaru untuk dibangunkan oleh Gamuda Land. Keindahan kawasan bencah ini, kini boleh diterokai menggunakan pacuan empat roda.


Kelihatan beberapa ekor budaya telah timbul pada permukaan kolam buaya di Paya Indah wetland. Semalam 23 September 2023, turut berjaya melihat badak air di dalam kolamnya seperti gambar yang pertama di atas. Pemandu pelancong yang membawa kami memaklumkan bahawa badak air tersebut telah melahirkan tiga ekor anak. Anak badak air kelahiran Malaysia ini berjaya menimbulkan mukanya ketika namanya dipanggil.


Sewaktu ambang Merdeka yang lalu, tiada seekorpun badak dan buaya kelihatan di dalam kolam. Pada kali ini, rezeki menyebelahi kami dapat melihat kelibat haiwan tersebut. Ketika itu juga tidak dapat menyertai Safari Tour kerana telah kelewatan masa. Alamdulillah rezeki semalam dapat berkesempatan mengikut pakej Safari Tour dengan RM50 seorang.



Pemandangan tapak perkhemahan di Tasik Sendayan. Selepas melihat badak air dan buaya, kami dibawa ke sini. Tasik air paya gambut ini pastilah warnanya sangat gelap. Kemudahan bilik air turut disediakan di sini.
Ada jeti disediakan untuk menikmati keindahan tasik terutamanya ketika matahari terbenam.


Bersebelahan pondok terdapat dua khemah dan kawasan unggun api. Kawasan perkhemahan yang sesuai untuk bermalam jauh dari hiruk-pikuk bandar dan kenderaan.


Jejak stesen 9W2DYA-5 dari kolam buaya ke Tasik Sendayan. Mengaktifkan aprs memudahkan mengesan lokasi secara real-time. Kelihatan pada peta google kawasan di kelilingi tasik di Paya Indah Wetlands ini.

Perjalanan dari Tasik Sendayan ke jeti bot. Kiri dan kanan merupakan tasik. Laluan yang sesuai untuk aktiviti trekking, berbasikal dan berkuda. Pemandu pelancong kami sedang memberi penerangan setiap lokasi-lokasi yang menarik di sini. Beliau anak jati kawasan ini, sangat mahir tentang sejarah dan pengetahuan tentang alam semulajadi kawasan ini.


Seterusnya kami melalui sebuah rumah tradisional Melayu. Menurut pemandu pelancong kami, rumah ini berasal dari Terengganu. Ia dipasang semula di sini tanpa menggunakan sebarang paku. Kejuruteraan nenek moyang orang Melayu membuat rumah hanya dengan pasak dan mencantumkan setiap bahagian tanpa paku. Pasti usianya menghampiri 100 tahun masih lagi kukuh dan teguh.



Jejak stesen 9W2DYA-5 sepanjang perjalana ke jeti untuk aktiviti menaiki bot persiaran. Sebenarnya tasik untuk aktiviti menaiki bot bersebelahan pintu masuk Gamuda Cove. Pintu pagar ini bertutup dan dikawal oleh seorang pengawal. Jadi, laluan dari Gamuda Cove ke Paya Indah Wetlands ditutup untuk orang awam. Tapi tidak menjadi masalah jikalu dari Paya Indah boleh melakukan sebarang aktiviti melalui laluan yang disediakan. Perlulah berhati-hati jikalau berselisih dengan kenderaan pacuan empat roda Safari ini.


Kenderaan Safari yang digunakan untuk membawa para pelancong. Bahagian belakang mempunyai tiga barisan tempat duduk. Kami mengmbil barisan belakang yang paling tinggi menyajikan pemandangan yang lebih jelas dan menyeronokkan. Harmonicku sangat seronok sekali sewaktu kenderaan bergerak. Angin kuat menyapa muka memberi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Terdapat beberapa bahagian jalan yang agak mencabar memberi kesan hentakan seperti menaiki roller coster. Pemnadu jelopi sebelum memulakan perjalanan telah memberi taklimat keselamatan terlebih dahulu.


Oleh kerana ketika kami sampai di jeti bot telahpun bergerak. Pemandu jelopi Safari membawa kami ke laluan tempat Belon Udara Panas. Dapat dilihat di kawasan ini terdapat banyak sarang burung Tempua bergantungan di dahan pokok tepi tasik.


Pemandangan jeti ketika bot telah menghampiri. Terdapat sebuah bot memancing berlabuh di tepi jeti ini. Rupanya terdapat ikan Toman yang agak besar-besar berjaya dipancing di dalam tasik ini. Kaki pancing bolehlah mencuba nasib mengikuti pakej memancing yang disediakan. Boleh pergi ke kaunter Discovery Park untuk mendapatkan sebarang maklumat.


Penulis bersama harmonic berdiri di hadapan bot bagi melihat pemandangan lebih dekat lagi. Banyak tumbuhan akuatik yang hidup bebas dipermukaan tasik seperti water lily dan bunga telipok. Burung dan itik juga berkeliaran di atas tumbuhan ini mencari makanan.



Pemandangan tasik ketika diambil semasa memudik bot. Waktu ketika ini agak redup dan mendung.Pasti gambar sedikit gelap.


Rakaman video lebih jelas suasana semasa menkmati pemandangan di atas bot. Perlu memakai jaket keselamatan oleh setiap penumpang.
Semasa memulakan perjalanan Pemandu Pelancong menunjukkan beberapa keping gambar ikan toman yang pernah dipancing dalam tasik ini.

Jejak stesen 9W2DYA-5 ketika menaiki bot di dalam tasik hingga pulang semula ke Discovery Park, Bandar Gamuda Cove Kuala Langat.


Pemandangan jeti ketika bot hendak melabuh. Kelihatan tempat simpanan kayak dan sampan atau bot kecil turut disediakan. Kabin kecil hijau itu merupakan pejabat kepada pemandu bot. Manakala bot berwarna kuning itu digunakan untuk aktiviti memancing.


Pemandangan jeti yang indah hasil kesan pantulan air tasik yang sebenarnya berwarna hitam. Air paya gambut yang kehitaman seperti air kopi memberi ilusi optik pada permukaannya. Terfikir bagaimana pemaju boleh memilih kawasan tanah gambut untuk membangunkan sebuah bandar yang moden. Usahasama pemaju bersama Perhilitan sangatlah dihargai. Ini dapat mengekalkan keindahan alam semulajadi disamping menjadi tarikan pelancongan yang lebih rancak.

Penghargaan kepada Pemandu Pelancong dan pemandu pacuan empat roda Safari yang sangat mesra dan sentiasa memastikan tetamunya sentiasa seronok sepanjang perjalanan.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...