Safari Escape Playland @ Monkeys Canopy Resort Sg Long


 Hari terakhir cuti pertengahan 3 Jun 2024 sempat pergi ke Safari Escape Playland, Sungai Long Cheras.Satu lagi tarikan Monkeys Canopy Resort untuk permainan dalam bangunan. Aktiviti dalaman yang lebih mencabar lagi di Conquer Indoor Extreme Park.


Oleh kerana Damia masih berusia 9 tahun hanya dibenarkan memilih aktiviti di Safari Escape Playland sahaja. Melepasi 12 tahun akan datang boleh mencuba aktiviti di Conquer Indoor Extreme Park. Tiket RM 66 dengan tambahan RM10 untuk seorang penjaga bagi hujung minggu dan cuti sekolah.


Tempat permainan pertama menjadi sasaran Damia adalah tempat bebola yang banyak di atas lantai ini. Boleh berenang-renang di kawasan ini serta berbaring sambil menanamkan diri seperti di pantai.


Damia sedang menunggu bola jatuh dari atas. Bebola akan jatuh setelah ditekan butang apabila memenuhi ruang. Jatuh bola itu, suasana seperti mandi di taman tema air jua. Ada disediakan permaianan interaktif pada skrin layar yang besar di hadapan.


Rakaman video gambaran lebih jelas menunjukkan bebola jatuh dari atas setelah bekas itu dibuka dari atas. Bola yang terakhir agak menyakitkan juga. Itu tiadak menjadi sebarang masalah. Apa yang penting seronok dapat meneroka permainan yang disediakan.


Seterusnya, bermain zip line atau flying fox yang memerlukan memeluk kabel dan berdiri. Berdiri dari pelantar yang agak tinggi kemudian bergerak ke hadapan dengan tolakan daya yang kuat.


Sebelahnya pula adalah aktiviti mendaki dinding (wall climbing). Sebelum itu, pengunjung yang ingin mencuba perlulah memakai peralatan keselamatan seperti abah-abah (body harness) dan topi keledar (helmet).


Setelah bersedia Damiapun memulakan pendakian. Memijak dan memegang pada bahagian-bahagian yang disediakan (holds). Cubaan pertama ini Damia memilih laluan (route) kepala singa. Nampak agak mudah yang pastinya sukar bagi mereka yang tidak mempunyai kekuatan tangan dan kaki. Perlu bijak membuat keputusan untuk mencapai ke puncak. Pemilihan holds yang tepat membantu membawa diri terus bergerak ke atas. Kadang kala tersekat bagi membuat keputusan yang tepat bagi pendakian seterusnya.


Kejayaan dapat dicapai setelah berjaya mendaki hingga ke atas puncak kejayaan. Ini dapat meningkatkan keyakinan diri agar terus berusaha melawan ketakutan serta kegagalan. Wajah kepuasan Damia setelah berjaya melakukan aktiviti memanjat dinding. Pengalaman yang sangat berharga bagi menguji daya ketahanan fizikal dan mental.


Kemudian Damia mencuba mendaki tiang yang berbaris mengikut ketinggian. Semakin lama tiang semakin tinggi. Naik dan langkah satu demi satu tiang yang semakin menaik dan meninggi semasa berjalan. Pastikan tali keselamatan telah diikat pada body harness terlebih dahulu. Para penyelia bertanggungjawab memastikan  keselamatan berada pada tahap yang tinggi. Sepatutnya body harness perlulah dipakai ketat setiap bahagian badan untuk mengelakkan sebarang kemalangan jika terjatuh. Tiada belayer kerana tali dikawal secara automatik oleh mesin. Tali akan bergerak mengikut pergerakan.


Setelah berjaya mendaki tiang yang paling tinggi. Damia perlu melompat untuk turun ke bawah. Percaya pada tali mambawa turun dengan selamat. Ketika ini, menguji keberanian  untuk melompat ke bawah. Mengajar untuk membuat keputusan serta menghilangkan perasaan takut dan gayat. Aktiviti sangat bagus meningkat keyakinan diri yang tinggi serta percaya kepada kemampuan diri sendiri.


Setelah itu, Damia memanjat gunung berapi menggunakan tali yang disediakan. Holds untuk memijak dan memagang turut disediakan. Asas aktiviti menuruni lurah dan gaung iaitu abseiling. Paling senang terus gelongsor sahaja turun ke bawah.


Kali ini Damia duduk pula untuk aktiviti flying fox. Setiap permukaan lantai adalah selamat dan lembut. Tiada masalah jika terjatuh. Dinding turut dilapisi tilam agar tidak terkena dinding simen yang keras itu.


Sekali lagi melepasi pelantar dengan posisi berdiri pula. Menyelesaikan masalah sendiri bagi melepasi pelantar hingga bergerak ke hujung. Pembelajaran melalui pengalaman melahirkan individu berfikir dengan pantas dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau halangan. Pengalaman yang telah dilalui mengajar diri membuat keputusan paling tepat agar matlamat dapat dicapai.


Berehat semula di kawasan bebola. Kemahiran motor halus melatih menggunakan anggota badan dengan sebaik mungkin. Penerokaan sesuatu perkara baru merangsangkan mental dan fizikal seorang kanak-kanak. Main merupakan aktiviti yang sangat baik untuk proses tumbesaran seiring dengan perkembangan otak dan jasmani.


Kemahiran motor seperti membaling bola ini bagus untuk koordinasi serta masa tindak balas seseorang. Ini menjadikan lebih peka pada persekitaran serta sedar perubahan yang berlaku. Daya tumpuan dan fokus lebih tinggi bagi mambantu dalam proses pembelajaran di sekolah. Janganlah memanjakan anak-anak dengan gajet sahaja. Berilah mereka peluang untuk meneroka sesuatu yang baru dengan bermain secara fizikal.


Laluan bercermin ini, turut menguji keberanian dalam mengharungi pelbagai cabaran. Semua kemudahan yang disediakan adalah analogi setiap kanak-kanak dalam menghadapi cabaran dewasa kelak. Jalan terus untuk terus menikmati kemudahan yang disediakan. Berpatah balik menilai apa yang telah dilalui dengan penuh bersemangat.



Persiapan menghadapi percubaan kedua dalam mendaki tembok. Kali ini, Damia ingin melakukan route yang lain pula. Semangat untuk mencuba benda yang baru haruslah digalakkan oleh waris kepada anak. Sokongan moral dengan kata-kata semangat dapat meningkatkan keyakinan diri anak tersebut.


Percubaan kedua mendaki tiang sangat mengujakan kerana sudah berpengalaman melakukan sebelum ini. Perasaan ini memberi seribu satu pengalaman yang tidak akan dilupakan dalam memori. Memberi galakkan dan penghargaan setiap kali kejayaan yang dicapai. Ini dapat merangsangkan anak untuk terus mengejar kejayaan walaupuan terdapat halangan pada mulanya.


Inilah cara bola dinaikkan hingga ke atas dan berkumpul pada bekasnya sebelum jatuh ke bawah. Ini turut mendorong minat anak kepada sains. Prinsip tekanan udara menolak bola melalui dalam saluran yang disediakan. Tanpa udara yang mampat pasti bola tidak dapat ditolak ke atas.


Umpama letusan gunung berapi ini, bola terapung-apung di udara. Permainan ini turut mencambah pemikiran dan minat terhadap sains. Main sambil belajar dapat memberi faedah kepada anak-anak untuk meneroka sesuatu ilmu dangan bermain.


Selepas bola dimasukkan ke dalam saluran dan di bawa ke atas hingga tempat pengumpulan. Tibalah masa menikmati jatuhan bebola di atas kepala. Perlulah menekan butang terlebih dahulu. Kemudian perlahan-lahan bekas tersebut akan terbuka dan bola jatuh ke bumi. Tarikan graviti ke bawah sambil merasa bola jatuh menimpa badan.


Berehat digantungan yang berbentuk kuda belang. Keseimbangan badan menikmati rehat secukupnya selepas penat panjat-memanjat dan bermain.


Menggelongsor menggunakan tiub tayar sangat menyeronokkan juga. Geseran pada permukaan tersebut penentu kepada kelajuan. Permukaan agak kasar itu menyebabkan ketika menurun berada dalam agak selamat lagi. Perlulah berusaha menarik tiub ke atas bagi menikmati aktiviti ini. Walaupun tiub agak berat tidak menjadi masalah untuk menikmati keseronokkan yang hanya datang sekali.


Akhir kata galaklah anak meneroka dan bermain bagi membantu perkembangan mental dan fizikal. Selain itu, melatih anak terus berusaha tanpa mengenal penat dan jemu. Kemahiran insaniah ini penting untuk membangun diri menjadi seorang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Selamat Meneroka!

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...