Percutian di pulau lagenda





Pada 3 hingga 6 Disember yang lalu aku bersama XYL sempat bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah. Perjalanan yang menggunakan pesawat Airasia melalui KLIA 2 dapat menjimatkan masa dan tenaga.

Tempahan dibuat melalui agensi pelancongan Erwin di Kajang bagi mendapatkan harga yang berpatutan. Bagi menempah tiket penerbangan pastikan anda mengetahui caj yang dikenakan. Ini kerana jika anda silap membuat keputusan pasti caj-caj yang diluar jangka pasti akan dikenakan.

Contohnya berat beg, tempat duduk dan insurans, perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya. Sekarang ini kita boleh check-in terus dan dikehendaki mencetaknya. Jika tidak memilih tempat duduk pihak penerbangan akan meletakkan tempat duduk secara rawak dan pasti kita tidak duduk bersama pasangan kita walaupun sebenarnya banyak lagi tempat duduk yang kosong sebenarnya. Akhirnya tambah RM6 setiap seorang bagi setiap penerbangan bagi tempat duduk bersama pasangan kita.

Ini adalah julung kalinya kami penggunakan penerbangan melalui KLIA 2. Pada pendapat aku KLIA 2 mempunyai kemudahan yang sangat baik dan selesa dan mudah untuk menggunakannya. Penerbangan Langkawi menggunakan pintu J16, yang boleh dikatakan agak jauh juga. Tetapi sebenarnya ada pintu yang lebih jauh lagi jika terlewat pasti akan ketinggalan penerbangan.

Penerbangan mengambil masa dalam sejam sahaja. Tiba di LIA hujan yang agak lebat menyambut ketibaan kami pada hari pertama di sana. Nasib baik payung disediakan untuk berjalan ke bangunan terminal dari perut pesawat. Aku telahpun menempah kereta sewa terlebih dahulu dengan bantuan rakan maktab yang berasal dari Langkawi ini. Harga yang ditawarkan agak berbaloi lebih lagi masa puncak ini. Malangnya kereta viva yang disewakan itu bolehlah dikatakan agak baik juga asalkan tidak sangkut ditengah jalan. 

Kemudian kami terus check-in hotel di Kuah berdekatan dengan Pekan Rabu Langkawi. Walaupun lewat menyediakan bilik, pihak staf sedia melayan dengan baik sekali. Tiga malam aku menempahnya untuk keselesaan kami bercuti waktu musim sekolah ini. De Baron Resort menjadi pilihan kami lebih lagi berdekatan dengan jeti pelancongan untuk ke pulau-pulau peranginan.


Selepas mendapat bilik dan meletak barangan kami terus ke jeti point untuk mengisi perut yang lapar ini. Medan selera berdekatan menjadi pilihan utama. XYL memilih laksa yang sememangnya menjadi kegemarannya manakala aku memilih nasi goreng kampung sahaja bersama dengan coconut shake yang sememangnya menghilangkan dahaga badan.

Selepas perut diisi, kami berjalan ke Dataran Lang yang tidak jauh dari situ. Mataku terpaku pada antena vertical yang berada di sebuah restoran di sebelah sana, lalu mengambil gambar kenangan. Replika burung helang kawi ini kelihatan ramai pengunjung turut bergambar kenangan.


Selepas itu berjalan-jalan di pekan Kuah untuk melihat harga coklat yang akan dibawa pulang nanti. Kami kembali semula ke medan selera berdekatan jeti point untuk menikmati ikan bakar pula. Selepas kekenyangan pulang ke bilik untuk menamatkan hari pertama.


Hari kedua 4 Disember 2014 selepas bersarapan kami terus ke jeti pelancongan untuk aktiviti melawat pulau-pulau. Bot pelancong yang dinaiki itu, memuatkan seramai 8 orang termasuk pemandu. Destinasi pertama adalah Pulau Beras Basah yang mengambil masa 30 minit. Ombak agak kuat  dari tiupan angin dari laut Andaman. Sekali- sekala bot membelah ombak yang agak besar menyebabkan ia terangkat agak tinggi lebih lagi kami duduk dibahagian hadapan memang menyeronokkan. Sampai di jeti Pulau Beras Basah kelihatan ramai pengunjung telah berada menikmati keindahan pulau dengan pantai yang memutih.

Selepas sejam kami meneruskan perjalanan ke Pulau Singa Besar untuk melihat burung helang mencari makanan. Berhenti seketika ditengah laut untuk melihat bagaimana beberapa ekor burung helang yang terbang kemudian turun ke permukaan laut untuk mengambil makanan yang dicampakkan oleh pemandu bot. Pengalaman yang sememangnya menarik  dapat melihat spesies burung helang banyak terdapat di sini seperti replika di Dataran Lang itu.

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Pulau Dayang Bunting. Pemandu bot memberhentikan bot dipertengahan perjalanan untuk menunjukkan kami bentuk pulau yang seakan orang mengandung. Bentuk dari kepala hinggalah bahagian kaki seolah dibentuk dari formasi pulau itu. Tibanya di jeti bahagia hujung pulau ini kami disambut dengan Dayang Bunting Marble Geoforest Park. Mataku terpaku dengan antena yang terpacak di situ. Rupanya ada juga rakan radio amatur menyediakan antena  yang tinggi ini untuk komunikasi. Petugas di jeti ini pada pemerhatianku turut menggunakan radio dua hala bagi melancarkan pengurusan bot dan pengunjung yang tiba, lebih lagi musim sekolah sememangnya ramai.


Pemandu bot memberi masa sejam untuk kami meneroka tasik Dayang Bunting. Kamipun berjalan ke arah tasik melalui denai yang disediakan. Perjalanan agak mendaki kerana tasik semulajadi yang dikelilingi laut itu berada di atas sedikit.
Laluan berjambatan ini dibina juga tidak mengganggu batu-batu semulajadi yang wujud berjuta-juta tahun dahulu. Sampai di tasik aku meyewa jaket keselamatan untuk berendam di tasik yang indah ini. Sememangnya keindahannya memang terserlah dikelilingi dengan bukit batu kapur yang indah.
Selepas sejam seperti dijanji perjalanan pulang semula ke Kuah memberi seribu pengalaman yang sukar dilupakan.

Aktiviti berendam kami diteruskan di kolam hotel memandangkan
pakain kami sudah tersedia untuk berenang. Sememang menyeronokkan dapat meneruskan aktiviti berenang selepas tidak puas berendam di tasik kerana kesuntukan masa.

Sebelah petang pula kami bersiar ke Porto Malai pula untuk menikmati keindahan pulau pada waktu petang.

S

Pemandangan pulau-pulau pada waktu pagi  tadi dapat dilihat dari sini. Sememangnya keidahan pulau lagenda ini tiada tolok bandingnya yang mempunyai 99 buah pulau. Kelihatan jauh di sana adalah pekan Kuah. Pelayar tidaklah sebanyak seperti di Kuah yang kelihatan hanya beberapa buah kapal layar sahaja.

Kelihatan juga jeti untuk aktiviti melawat pulau dari arah sini selain di Kuah. Pelancong yang menginap dari Pantai Cenang biasanya akan menaiki bot dari sini.


Kemudian kami bersiar hingga ke lobi hotel ini kelihatan replika Rumah Api. Rumah Api yang tiada api ini boleh dilihat dari jauh bangunannya walaupun tidak mengeluarkan cahaya apinya. Selepas puas bersiar perjalanan diteruskan ke Pantai Cenang. Memandangkan waktu senja kami bersiar dalam bangunan pusat membeli-belah di sini.



Selepas puas window shopping sasaran seterusnya adalah mengisi perut yang kosong dengan memakan ikan bakar. Harganya masih berpatutan walaupun kedai semakin dihimpit oleh bangunan baru yang mula banyak dibina di sini. Pantai cenang semakin membangun dengan banyak dibina kedai-kedai serta pusat membeli-belah di samping resort.



Hari ketiga 5 Disember 2014 destinasi seterusnya disambung sebelah petang. Destinasi pertama adalah Kilim Karst Geoforest Park seluas 2451 hektar. Sampai di sana aku menanya bayaran bot yang disediakan. Malangnya untuk dua orang seorang dikenakan RM250 dalam sejam. Mahal betul! lepas aku beredar dia datang kepada kami semula dan menurunkan harga ke RM150 tetap mahal bagiku. Sedangkan ke Pulau Beras Basah dan Pulau Dayang Bunting yang begitu jauh aku membayar RM35 sahaja. Memamg tidak berbaloi memandangkan waktupun semakin lewat.




Kemudian masuk ke Galeri Perdana tetapi XYL tidak berminat untuk masuk ke dalam dan terus keluar ke Ayer Hangat Spa Village. Menarik tempat dengan landskap yang cantik mengelilingi kolam air panas di sini. Pondok yang menarik untuk merendam kaki turut di sediakan. Bilik jakuzi yang tertutup untuk kemudahan privasi pengunjung. 

Satu pelantar pemandangan disediakan kepada pengunjung untuk menikmati keindahan desa yang permai. Kelihatan di sana sekumpulan kerbau dan bangau berkubang dan mencari makan. Pemandangan dilatari bukit-bukau yang menghijau. Padang ragut tempat kerbau berkubang menghiasi suasana desa yang jarang diperolehi serta udaranya terasa nyaman sekali. Sekali-sekala hidung menusuk berbau lumpur kubang kerbau itu. Kawasan paya di bawah pelantar ini pasti banyak lintah dan pacat menghuninya.




Selepas puas menikmati pemandangan dan menghirup udara nyawan kami ke kawasan spa. Landskapnya amat menarik dengan binaan air pancuran melambangkan spa yang berkait rapat dengan air. Kemudahan laluan refleksologi turut disediakan di sini. Tanaman herba juga turut ditanam dan dilabelkan dapat menambah pengetahuan terutama tumbuhan yang jarang ditemui kini.


Selepas puas bergambar kenangan, perjalanan diteruskan ke Airport. Kali ini XYL ingin menikmati Laksa Power ditepi pantai berhampiran runway. Ramai orang menikmati hidangan yang ditawarkan. Dua mangkuk laksa dirasai dan kemudian memilih pasembor untuk mencubanya. Ternyata laksa itu memang power sehinggakan XYL menambah semangkok lagi. Laksa utara yang sedap sebegini sememangnya sukar dicari jika kita tidak berada di utara sendiri.

Malamnya pula aktiviti membeli cokelat adalah menjadi agenda utama. Memandang keesokan merupakan hari terakhir di Langkawi, Haji Ismail Group menjadi pilihan utama. Pusat membeli-belah yang tersergam indah ini menjadi pilihan utama.



Hari keempat 6 Disember 2014 adalah terakhir kami di sini. Sebelah paginya memang cerah dan indah sekali. Malamnya pula dibasahi hujan memandangkan musim tengkujuh kini. Pemandangan dari tingkap bilik hotel dirakam bagi kali terakhir selama 3 malam di sini. Syabas dan tahniah kepada semua staf de Baron Resort yang memberi perkhidmatan terbaik sepanjang kami berada di sini. Makanan breakfastnya juga sedap dan menarik terutama pastanya.

Sebenarnya Zaki 9M2ZAK turut bercuti di langkawi ketika ini dan tiada rezeki untuk bereyeball kerana kekangan masa.



Sepanjang di langkawi aku mengaktifkan APRS 9W2DYA dan 9W2DYA-8. Hinggalah dari langkawi ke Bangi turut aku aktifkan sebagai bukti ke sana hihi.

73, Jojet, 9W2DYA

No comments:

Post a Comment

Kena Campak Dalam Parit

  Semalam hari ahad sempat melancarkan misi SAR belon secara solo. Lima misi pencarian telah dijalankan. Dua berjaya menjumpai radiosonde da...