Belon KLIA pagi tadi, radiosonde D20069459 berjaya ditemui bersama harmonic. Altitud ketinggian terakhir 1481.33m adalah agak sukar dicari. Namun, pagi ini berjaya menemuinya di Sungai Pelek. Jatuh jam 9:23 pagi dengan ketinggian maksimum adalah 28,798m. Koordinat 2.66221 darjah Utara dan 101.71096 darjah Timur. Bearing 169 darjah serta kelajuan 35.19km/h. Bertolak dari base station Bangi melalui Jenderam terus ke Sungai Pelek. Semasa di Pekan Sungai Pelek isyarat telah mula menerjah masuk. Kedengaran sehingga jelas setelah menghampiri taman perumahan Lestari Indah.
Setelah isyarat semakin kuat keluar dari corong radio. Mengeluarkan senjata yang amat berkesan bagi mengenal pasti koordinat terkini. Namun, koordinat tidak dapat juga dikuncikan. Terpaksalah memandu masuk ke dalam laluan sawit hingga melepasi kebun buah naga.
Akhirnya saat yang ditunggu telah tiba. Peranti rdzTTGOsonde telah berjaya mengunci koordinat terkini melalui isyarat yang sedang aktif. Koordinat yang berjaya dikunci adalah 2.65415 darjah Utara dan 101.71543 darjah Timur. Kemudian terus memasukkan koordinat tersebut ke dalam GPS waypoint finder. Kemudian berjaya mendapat arah peranti jatuh. Lebih kurang 300m kehadapan mengikut laluan sawit tersebut.
Tanpa berlengah terus memandu beberapa meter ke hadapan. Setelah jarum gps waypoint finder tepat 90 darjah kereta diberhentikan dibahu jalan. Jarak berbaki 178m sahaja lagi. Malangnya ada parit bersebelahan kereta diletakkan. Nasib baik ada laluan ke blok kelapa sawit ini.
Ladang kelapa sawitnya sangat kemas. Namun terpaksa berhati-hati kerana keadaan tanah yang lecah dan licin. Terus ke hadapan memburu belon melalui barisan pokok sawit. rdzTTGOsonde terus dipegang hingga peranti berjaya ditemui tergantung elok di bawah pokok manggis.
Patutlah isyarat dapat diterima dengan baik kerana tergantung di bawah pokok manggis. Deretan pokok manggis dilihat ditanam bersebelahan parit yang menjadi sempadan antara blok.
Apabila angin bertiup kencang, peranti kadangkala bergerak turun dan naik seperti lif. Damia harmonic buat pertama kali mengikut abahnya mencari belon sangat gembira. Sayangnya belon tersangkut pada pelepah sawit bersebelahan pokok manggis ini. Agaknya benang terlurut sedikit sahaja. Benang kelihatan terlalu pendek apabila ia ditarik. Ada juga mencari keliling pokok, namum tidak kelihatan belon jatuh di atas tanah.
Alhamdulillah rezeki Damia, isyarat masih lagi aktif. Koordinat baru dikunci menjadi panduan peranti mudah diperolehi. Aksespun mudah kerana berhampiran dengan laluan utama sawit. Kawasan peranti ditemui juga sangat bersih dan kemas. Ini faktor memudahkan misi pencarian.
Usaha menurunkan belon gagal. Ia tersangkut diatas pokok. Apabila ditarik-tarik benang akhirnya putus. Belon kekal tersangkut di atas pokok. Hanya peranti berjaya dibawa pulang.
Peranti tergantung elok di bawah pokok manggis yang agak muda. Kelihatan parit dibelakangnya boleh dilihat juga kesan air berwarna oren. Bersih dan kemas bawah pohon manggis ini. Memudahkan ia dilihat dari jauh juga.
Jarak peranti yang ditemui ke titik akhir adalah 1021m. Nasib baik isyarat masih lagi aktif. Pasti sukar melakukan pencarian jika bergantung semata-mata kepada koordinat terakhir belon. Ini memandangkan kawasan ladang kelapa sawit ini dikelilingi dengan pelbagai saiz parit.
Selepas perekodan data dilakukan berjalan pulang ke kereta dengan hati gembira. Berpatah keluar semula ke Pekan Sungai Pelek untuk singgah di masjid untuk solat Zohor. Usai solat terus memandu ke Batu Laut untuk makan tengah hari. Hentian rehat ini mempunyai pelbagai hidangan yang menarik dan sedap. Setiap kali misi pencarian dilakukan, pastinya gerai makanan di sini menjadi pilihan.
Sambil menghabiskan makan misi seterusnya dirangka. Radiosonde D20073331 telah jatuh pada 23 Oktober 2022 jam 8:51 malam. Merujuk kepada google map ada berbaki 3km untuk ke tempat yang dituju.
Radiosonde D20073331 koordinat 2.69479 darjah Utara dan 101.49625 darjah timur. Jatuh di Jalan Durian berdekatan Kuan Wellness Ecopark.
Tiba di Jalan Durian merujuk kepada arah jarum gps waypoint finder. Jarum menunjukkan ke arah kawasan kebun sawit. Kemudian masuk ke dalam sedikit. Namun , tiada tanda belon di situ. Kemudian keluar semula selepas terlihat seekor lembu betina masuk ke dalam kebun itu. Terdapat beberapa ekor anjing pula menyalak. Tanpa berlengah lagi terus keluar ke kereta semula.
Percubaan kali kedua terpaksa mencari seorang diri pula. Harmonic dan xyl menunggu di dalam kereta sahaja. Kami berhubung melalui radio sahaja. Damia sangat seronok dapat menggunakan radio berkomunikasi dengan abahnya. Penerimaan isyarat dari kereta ke handheld sangat baik. Masuk ke dalam hingga dusun durian turut tidak menemui apa-apa.
Berhadapan kebun durian merupan kebun pisang. Pekerja kebun pisang menyedari kehadiranku. Lalu menerangkan tujuan kehadiranku. Namun, tidak mendapat kerjasama bagi mencari ke dalam kebun pisangnya.
Jarak 128m merupakan jarak kereta di bahu jalan ke titik akhir. Namun kali ini rezeki tidak menyebelahi kami. "Abah jumpa belon tak?" tanya Damia kepadaku semasa menggunakan radio.
Kemudian kami pulang melalui Banting. Seterusnya memandu melalui Kg Batu Untung terus ke Banting. Melalui jalan Kg Seri Cheeding ke Rimbayu. Keluar SKVE melalui Saujana Putra balik ke Bangi.
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment