Belon KLIA pagi tadi berjaya ditemui di Kota Seriemas, Nilai. Radiosonde D20073347 jatuh sebelah padang golf. Nasib baik tak masuk ke dalam padang golf itu. Pasti sukar untuk mengambilnya.
Ia jatuh pada koordinat 2.77391 darjah Utara dan 101.77504 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir adalah 702m serta ketinggian maksimum adalah 28,799m. Kelajuan 7km/h dengan bearing 61 darjah.
Team SAR central bertemu di Kota Warisan. Arul 9W2OCX bermotosikal dari Puchong manakala Hanif 9W2VHF bermotosikal dari Gombak. Selepas bersarapan kami berkereta menghala ke Kota Warisan.
Lokasi belon KLIA ini jatuh bersebelahan padang golf dikawasan lapang. Kereta diletakkan berhampiran bulatan arah tapak jalan raya serta tanah pembangunan masa depan.
Credit 9W2OCX |
Kelihatan seperti kami melalui jalan tar berdekatan bulatan. Apabila meneruskan pencarian hanyalah sekadar laluan tanah. Tapak jalan raya ini akan dibangun untuk perancangan pembangunan masa hadapan.
Sebenarnya ketika memasuki Kota Seriemas ini, corong radio kami mula menerima isyarat radiosonde agak tersekat-sekat. Semakin menghampiri lokasi isyarat semakin jelas. Berhenti di tepi jalan untuk mendapat koordinat terkini melalui rdzTTGOsonde Hanif 9W2VHF. Selepas itu, mereka memasukkan koordinat baru pada aplikasi gps waypoint finder. Aku menggunakan koordinat asal dari sondehub. Video di atas adalah suasana kegembiraan setelah peranti dan belon dicari telah ditemui.
Credit 9W2OCX |
Setelah diperiksa antara kedua koordinat tiada perbezaan ketara antara jarak satu sama lain. Jawapannya diperolehi setelah disemak jarak ke titik akhir adalah sangat kecil iaitu 40.9m sahaja.
Sangat mengagumkan altitud ketinggian terakhir adalah 702m manakala jarak ke titik akhir hanyalah 40.9m sahaja. Sangat pendek bagi altitud yang tinggi.
Jatuh di kawasan lapang bersebelahan padang golf. Tanah merah yang ditarah dan diratakan menggambarkan bahawa kawasan berasal tanah yang beralun. Tidak hairanlah bagaimana isyarat dapat didengari dari jarak yang jauh. Ini kerana kawasan ini sangat tinggi. Hasil cerapan jam Garmin ketinggian tapak pendaratan belon ini adalah 62m dari aras laut.
Semasa menghampiri peranti, kami menggunakan teknik ARDF untuk mengesan peranti. Bergerak berdasarkan kedudukan arah bunyi peranti. Antena radio dicabut bagi mengesan kedudukan peranti dengan tepat. Jikalau guna antena jarak lebih 500m masih tetap boleh didengari. Namun, jika dicabut antena ia dapat dikesan mulai menghampiri radius 100m.
Pertemuan keadaan belon kali menunjukkan gulungan benang masih elok tidak dilepaskan secara menyeluruh. Masih terdapat baki gulungan dikayu pine. Kebiasaannya benang akan terlurut keseluruhannya semasa ia berlepas hinggalah jatuh ke bumi. Tidak bagi belon ini. Walaupun benang tidak terlurut keseluruhannya, ia terbang hingga ketinggian maksimum 28,799m.
Akibatnya juga, belon ditemui dari arah belakang peranti. Kebiasaannya belon akan berada dihadapan peranti mengikut arah angin. Tapi, tidak bagi belon kali ini. Ia berada kedudukan terbalik. Peranti dihadapan dan belon dibelakang berdasarkan arah ia jatuh. Andaianku ia berputar-putar semasa jatuh mendarat. Manakan tidak! tali benang terlampau pendek.
Macam-macam teori dan andaian dikeluarkan setiap kali penemuan baru dijumpai. Inilah pengalaman dan ilmu baru apabila berada dilapangan. Inilah satu keseronokkan yang diperolehi setiap kali turun mencarinya. Ada sahaja pengalaman baru yang diperolehi dapat menambahkan ilmu didada. Ia sekadar pengalaman yang dialami sahaja. Mungkin secara teknikal dan ilmu secara teori dibuku adalah berbeza. Setiap ahli SAR akan memberi pandangan dan pendapat masing-masing tentang perkara yang berlaku. Percambahan idea ini membantu lebih memahami antara sesuatu situasi. Ini menjadikan kami semakin mahir dan cekap dalam menangani pelbagai situasi.
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment