Jalan Lasak


 Hari ini berjaya melancarkan empat misi SAR di sekitar Sendayan bersama Arul 9W2OCX. Bertemu di Shell Kota Warisan seperti kebiasaannya. Melihat-lihat belon pagi ini di Ladang Labu ketika melepasi Kompleks Pendidikan Nilai. Hampa kerana jalan berdekatan yang sedang dalam pembinaan tutup. Jadi, terus ke belon malam tadi di Kampung Jimah.


Terus ke lokasi belon Klia yang jatuh pada malam tadi di Kampung Jimah. Koordinat 2.66595 darjah Utara dan 101.85652 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhit 194m dan ketinggian maksimum 27,337m.

Titik akhir bersebelahan dengan tapak semaian. Arul 9W2OCX berpandukan Gps waypoint finder telah masuk ke dalam bagi memeriksa jarak. Pemilik pusat tersebut turut dimaklumkan tujuan kehadiran kami. Selepas itu, memeriksa di sebelah tanah pusat itu yang agak semak. Sebelahnya pula terdapat kawasan kebun yang di tanam durian berpagar. 


Kamipun mencari disekitar kawasan bersemak itu. Namun, tiada tanda-tanda kewujudan belon di situ. Pokok-pokoknya agak tinggi. Tiada kelibat benang terjurai atau belon tersangkut dalam lingkungan jarak 30m. Berusaha hendak cuba melihat dalam kebun berpagar itu pula. Masih tidak nampak sebarang tanda juga.


Manakala, sebelah kebun ini terdapat bengkel lori kontena. Tuan punya lori melihat kami sedang mencari-cari sesuatu. Maklumkan kepada beliau tentang tujuan kelibat di situ. Iapun akan berjanji jikalau terjumpa di dalam kawasannya pula. Aku siap memberi nombor telefon jikalau beliau terjumpa benda yang kami cari. Sebelum itu, aku sudah meninjau ke kawasan ladang getah di belakang kawasan berpagar tersebut. Tetapi, tetap tidak menemui sebarang tanda.


Seterusnya bergerak ke lokasi kedua di kawasan perindustrian. Radiosonde D22028683 jatuh pada 5 April 2023 jam 21:41 malam. Koordinat 2.68019 darjah Utara dan 101.83726 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 95m serta ketinggian maksimum 26,646m. Berdasarkan tangkap layar di atas menunjukkan jatuh kawasan lapang. Namun, hakikat sebenar kawasan tersebut telah didirikan bangunan kilang. Maka, jatuh di atas bumbung sememangnya tidak boleh di bawa pulang.


Lokasi ketiga pula, jatuh di kawasan perumahan Suriaman. Radiosonde D22028005 telah jatuh pada 3 April 2023 jam 9:26 pagi. Altitud ketinggian terakhir 352m serta ketinggian maksimum 30,084m. Hampir dua minggu telah mendarat di kawasan ini. Namun, ia tidak berusik elok jatuh di kawasan lapang.


Rezeki kami pada kali ini kerana tiada siapa yang mengganggu kacau peranti ini. Berhadapan dengan deretan rumah. Ini menunjukkan kerja pembersihan seperti memotong rumput tidak berlaku dalam tempoh dua minggu. Sebenarnya ia tersangkut pada pokok renek di situ. Sayangnya pokok itu terdapat kerengga. Mungkin tiada orang ingin mendekati pokok itu. Maka terselamatlah peranti daripada diganggu orang.


Kerja-kerja perekodan seperti biasa dilakukan setiap kali bahan bukti dijumpai. Arul 9W2OCX sibuk menghantar laporan ke laman sesawang Sondehub di bawah pokok itu. Manakala, aku pula sibuk menarik-narik benang yang tersangkut pada pokok itu. Ketika menarik-nariknya, habis sarang kerengga jatuh ke bawah dan menimpa Arul 9W2OCX. Apa lagi! lintang pukang keluar elak daripada digigit kerengga dari bawah pokok itu.


Dahan pokok yang patah dan layu dedaunnya. Tempat kerengga bermain. Bawahnya pula kayu pine belon hijau elok berehat di situ. Benang terputus umpama ada orang telah memutuskannya. Peliknya peranti dan belon tidak berusik. Jarak dari titik akhir dalam lingkungan 50m bagi altitud 352m. Kawasan jangkaan mendarat adalah tepat di kawasan lapang berumput.


Peranti radiosonde D22028005 dalam genggaman. Sebab itulah, kita harus meninjau kawasan belon jatuh. Jikalau ada rezeki pasti boleh menjumpainya walaupun telah jatuh lebih dua minggu. Misi kali ini berdekatan kawasan Sendayan. Mana-mana belon jatuh kawasan ini, pastilah ia akan di cari sekali harung.


Sebelum bergerak ke lokasi terakhir, kami mengucapkan terima kasih kepada Pengawal yang menjaga pintu masuk atas kerjasama yang diberikan. Bahan bukti turut ditunjukkan kepada mereka  untuk kegunaan laporan mereka.


Lokasi terakhir di Ladang Labu. Belon pagi tadi jatuh dalam kawasan ini. Kami masuk mengikut Jalan Felda Sendayan kerana paling dekat dengan kawasan pendaratan. Radiosonde D22028556 jatuh di koordinat 2.72624 darjah Utara dan 101.81449 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 116m serta ketinggian maksimum 29,965m


Ketika tiba di jalan masuk yang berpalang, isyarat masih dapat diterima. Arul 9W2OCX menggunakan radionya telah berjaya mengesan isyarat dari corong radionya. Tanpa banyak bersoal kami terus mengeluarkan segala peralatan untuk tujuan mencari dan menyelamat. Isyarat yang masih jelas kedengaran seolah-olah memanggil kami untuk mengambilnya. Setelah menyemak di waypoint ternyata jarak yang perlu dihadapi adalah lebih 1.5km.


Ketika ingin memulakan langkah kelihatn kelibat orang menunggang motorsikal bersama anjing. Kamipun bertanya tentang laluan serta kehadiran kami di situ. Pekerja tersebut memberi kerjasama dengan kami. Menurut beliau jalan itu boleh dilalui hingga ke hujung.


Seterusnya perjalanan diteruskan dengan berpandukan gps waypoint. Arul 9W2OCX ditangannya bersedia dengan peranti RDZttgosonde. Kamipun berjalan hingga simpang dua jalan berlawanan arah. Kami meneruskan mengikut barisan kelapa sawit. Perjalanan terhenti setelah berdepan dengan anak sungai. Berjalan lagi ke arah kiri terjumpa Sungai Jijan yang lebih luas lagi.


Ketika di tebing Sungai Jijan ini, kelihatan uncle sedang sibuk mengutip pucuk paku. Kamipun menanyakan jambatan jikalau boleh menyeberangi sungai itu. Menurutnya jambatan hanya ada di jalan utama ladang sawit sahaja. Maka, terpaksalah kami mengharung air sungai itu yang tidak berapa dalam dan deras. Mencari laluan yang mudah turun dan naik mengikut jejak lembu sangat memudahkan.


Melepasi sungai Jijan terus berpandu kompas digital menemui laluan sawit. Melintas anak sungai kecil dengan berhati-hati kerana titi besi senget di bawa arus. Masuk laluan barisan telah menemui satu lagi laluan sawit tanah merah. Isyarat semakin kuat berbaki 400 meter sahaja lagi. Jalan ke hadapan sedikit barulah koordinat terkini dapat dikuncikan. Kamipun menyusur setiap barisan sawit yang agak kemas dengan sedikit mendaki.


Setelah tiba kelihatan belon jatuh di atas tanah dengan benang tersangkut dari pelepah. Peranti tersangkut pada pelepah tersebut. Pokok sawit tua ini pastilah mencapai ketinggian 40 meter. Usaha perlu dilakukan bagi menurunkan peranti yang tersangkut itu. Arul 9W2OCX cuba merenyap-rentap benang itu agar jatuh, Namun, ia tetap berdegil tersangkut di situ juga. Ketika cubaan demi cubaan dilakukan. Akhirnya benang terputus dan peranti bersemadi di atas dahan dengan tenang.


Koordinat belon yang telah dicerap oleh jam Garmin. Koordinat 2 darjah 43.5651' Utara dan 101 darjah 48.8723' Timur. Sepanjang perjalanan dari luar tadi jam ini telah diaktifkan mode tactical. Jejak sepanjang perjalanan telah dapat dirakam. Ini penting sebagai panduan jalan pulang pula.



Senjata Arul 9W2OCX bersama belon sahaja berjaya dibawa pulang. Isyarat masih aktif hinggalah tiba di kereta dekat jalan besar. Patutlah isyarat dapat didengar dari jarak 1.5km. Ia tergantung elok di atas pokok yang berbukit agak tinggi. Ini faktor memudah isyarat diterima dengan baik sekali bagi jarak yang jauh. Faktor ketinggian sangat mempengaruhi penerimaan isyarat dengan mudah. Lagi tinggi kedudukannya lagi jauhlah penerimaan sesuatu isyarat itu.


Sayangnya hari ahad tiada pekerja sawit bekerja. Kalau ada pasti ambil galah tolong jolokkan. Kami budak baru belajar. Bolehlah beri sedikit saguhati atas bantuan dan pertolongan yang diberikan.


Setelah perekodan dibuat. Kamipun bergerak keluar mengikut laluan sawit di situ. Jalan agak menurun memudahkan kami berjalan yang sudah kekeringan tekak. Maklumlah berjalan pada bulan Ramadan semata-mata mencari belon. Benar-benar menguji tahap fizikal dan mental kami. Apapun perjalanan harus juga diteruskan dengan penuh kesabaran.


Kemudian kami masuk ke kanan dengan berjumpa semula simpang dari arah sungai. Sahaja letakkan botol di simpang itu bagi kami memudahkan pengecamanan laluan yang betul. Kebiasaannya setelah banyak berjalan menyebabkan fikiran dan tubuh badan sangat letih. Kadang kala fikiran tidak dapat membuat keputusan dengan tepat. Tidak mampu berfikir secara normal semula. Ini membolehkan kita akan tersalah jalan dan boleh sesat cari jalan pulang.



Kemudian dari situ menyusur anak sungai  yang ada hingga ke baris sawit semula. Laluan tersebut membawa kepada lalaun sawittanah merah semula. Simpang tiga ini juga, telah dibuat tanda menggunakan botol serta pelepah sawit yang dipatahkan. Tiba-tiba di hadapan kami  ada sekawan lembu. Terpaksalah kami melencong terus ke Sungai Jijan semula.


Tanpa berlengah terus masuk ke dalam sungai mengikut laluan yang mudah. Kesejukan air sungai telah mengurangkan kepanasan dan keletihan seketika. Airnya agak suam-suam kuku. Airnya jernih mengalir lesu turun ke hilir bersambung dengan Sungai Labu.


Tiba-tiba ketika meraduk air ini terasa kesejukan dikaki lagi menyegarkan. Rupa-rupanya air dari punca anak sungai yang titi senget tadi. Memang ketara perbezaan suhu air itu. Arul 9W2OCX mengambil kesempatan membasahkan kepala menggunakan air yang sejuk itu.


Sekarang aktiviti meredah sungai mengambil tempat. Sandal yang aku pakai telah dipenuhi pasir. Pasir-pasir ini telah menyukarkan pergerakanku. Arul 9W2OCX berkaki ayam sahaja menikmati kehalusan pasir-pasir sungai. Sesakali masuk kawasan berlumpur juga. Habis kaki tenggelam hingga paras buku lali. Terpaksalah mencuci kaki semula daripada selut-selut itu.


Sungai yang agak lebar dan cetek ini amat sesuai untuk akviti river trekking. Patutlahlah sekawan lembu dengan mudah melintasinya. Kemudian, kami naik ke tebing semula dan berjumpa anak sungai yang pertama tadi. Terpaksa melintas sungai itu untuk kembali ke jalan sawit tanah merah semula.


Setelah menemui semula simpang pertama dari jalan besar. Bergerak terus ke kereta semula dengan penuh semangat. Terasa berjalan pulang lebih cepat berbanding pergi tadi. Mana taknya? masa pergi belum jumpa pokok-pokok tadi. Masa balik jumpa semula serta sudah kenal pastilah perjalanan terasa lebih pantas.

73, Jojet de 9w2dya



No comments:

Post a Comment

Masuk Parit

  Usai tugasan di Jalan Tiga Bandar Baru Bangi terus bergegas ke Banting. Belon KLIA pagi tadi telah jatuh di Sungai Raba. Radiosonde 240501...