Belon KLIA pagi ini radiosonde D22028689 berjaya ditemui di kebun durian dekat Pajam. Seumpama bermain permainan pagar sesat akhir berjaya juga mencari jalan masuk. Jalan masuk merupakan jalan tikus yang memberi laluan mudah untuk menemui belon pagi ini.
Pintu pagar utama yang perlu dilepasi bagi memasuki kawasan titik akhir. Radiosonde D22028689 telah mendarat jam 9:27 pagi. Koordinat 2.82736 darjah Utara dan 101.86106 darjah Timur. Memandu dari Cheras melalui LEKAS keluar ke Pajam. Berpandu google maps terus bawa hingga ke pintu pagar merah ini. Ketika di Pajam lagi isyarat telah dapat diterima.
Jarak ke titik akhir dari pintu pagar ini adalah 265m. Sememangnya belon berada di dalam itu setelah kedengaran isyarat dari corong radio. Ketika usaha mencari jalan masuk, menahan seorang pemuda orang asal yang ingin keluar membeli susu anaknya. Menanyakan kepadanya cara hendak masuk ke dalam. Menurut beliau ada pekerja di dalam yang menjaga kebun itu.
Kemudian beliau mencadangkan masuk sahaja kerana ada pekerja yang boleh membantu kemudiannya. Ternyata telahannya benar! Selepas aku masuk mengikut pagar itu, datang pekerja sepasang suami isteri yang hendak keluar melalui pintu itu dengan bermotorsikal. Apa lagi!. Terus menahannya dan memaklumkan tujuan kehadiran ke dalam kawasan mereka. Merekapun memberi kerjasama dan maklumat dapat membantu mencarinya.
Seterusnya melewati kebun belimbing besi, kolam ikan, dan kebun kacang panjang. Terdapat rumah pekerja di situ, serta sepasang suami isteri sekali lagi bersiap untuk keluar juga. Sekali lagi memaklumkan perkara yang sama. Mendapat kerjasama yang baik sambil menujukkan arah jalan ke kebun durian yang lain. Turut menyatakan kunci pintu pagar merah ada terlekat di tepi mangga.
Setiap kali berjumpa pasangan pekerja tersebut menunjukkan gambar kedudukan belon serta memperdengarkan bunyi isyarat sebagai bukti. Mereka tanpa banyak bersoal jawab terus memberi kerjasama yang baik. Akupun meneruskan perjalanan mengikut laluan tanah merah bersebelahan Lebuhraya LEKAS. Menghampiri 100m, anak panah kompas digital menunjukkan ke arah dalam kebun durian yang berpagar. "Alamak! dalam kawasan ini". bicaraku dalam hati.
Teruskan perjalanan mengelilingi pagar tersebut hingga bertemu rumah pekerja. Ternampak seorang pekerja sedang membungkus buah belimbing besi daripada serangan serangga perosak. Tanpa berlengah memaklumkan kehadiranku di situ. Kemudian menanyakan laluan untuk ke kebun durian yang berpagar itu. Jarak berbaki 60m sahaja terlalu hampir. Kemudian, Yusri namanya menunjukkan lubang tikus yang boleh digunakan untuk masuk ke dalam. Tanpa berlengah akupun cuba masuk melalui ruang itu.
Aku berjanji pada Yusri setelah menemuinya pasti kutunjukkan kepadanya. Dusun itu sangat semak, namun tidak menjadi halangan untuk mendapatkan peranti berbaki kurang dari 50m. Menghampiri titik terakhir terlihat benang tergantung tiga baris. Peranti berdiri elok di bawah pohon durian yang sedang lebat berbunga. Menurut Yusri buah akan gugur dalam bulan Ogos nanti. Jarak peranti ditemui dari titik akhir hanyalah 4.8m bagi altitud terakhir 139m.
Keadaan belon ketika ditemui berada di hadapan peranti dalam semak. Ada cebisan belon dengan aroma gas dapat dihidu. Jikalau lambat mengambilnya pasti ia akan hilang ketika tuan kebun memesen rumput. Sekitar pokok durian ini lalangnya telah mencapai paras lutut.
Kedudukan peranti mencecah tanah di bawah dahan pokok durian. Bunga-bunga durian berguguran di atas lantai. Tiga benang membuat barisan memudahkan untuk dikesan. Terpaksa memutuskan benang bagi memudahkan kerja menggulungnya pada kayu pine belon hijau.
Suasana kebun durian yang menghijau persekitarannya amat menyejukkan mata memandang. Kerja-kerja perekodan dilakukan seperti kebiasaannya. Laporan ke laman sesawang Sondehub bagi memaklumkan kejayaan menjumpai radiosonde D22028689 segera dilakukan.
Peranti radiosonde D22028689 hampir terlepas. Namun, disebabkan tidak mahu pulang dengan tangan kosong, ikhtiar terus dicari. Pintu hendaklah dibuka pasti jalan seterusnya akan ditemui. Tambahan pula isyarat masih lagi aktif. Ini membuat hati rasa geram jikalau tidak mencarinya. Lampu Led masih menyala menunjukkan masih bertenaga memancarkan isyaratnya.
Bahan bukti ditenggelami rumput-rumput di sekeliling pokok durian. Benang telah digulung. Peranti tetap dibiarkan menyala.
Pemandangan pokok durian yang merupakan lokasi peranti dan belon ditemui. Nasib baiklah aku sudah terbiasa masuk dusun. Setakat rumput dan lalang berduri ini tidak menjadi masalah.
Hanya pokok durian sahaja ditanam dikebun ini. Menurut Yusri, tanah kebun-kebun ini dimiliki oleh seorang Datuk. Mereka bekerja dibawah jagaannya. Tanah-tanah disekitarnya turut disewakan atau dipajak kepada pekebun-pekebun. Ini amat menyukarkan untuk akses kerana setiap kebun telah berpagar.
Lubang tikus berhadapan penginapan Yusri merupakan laluan untuk mengambil peranti dan belon. Jadi, tidak perlulah untuk memanjat pagar. Jalan yang mudah sudah terbentang dihadapan mata. Janganlah pula untuk menyusahkan diri. Peluang yang hanya datang sekali tidak harus dilepaskan.
Yusri beraksi bersama belon dan peranti.Belakangnya itu, merupakan kebun belimbing besi yang sibuk dikerjakannya. Nasib baik jumpa beliau bagi mendapatkan maklumat tentang tempatnya. Kompas masyarakat sepertinya amat berguna bagi membantu mencari arah tujuan. "Malu bertanya kawan sesat cari jalan pulang". Merupakan lirik lagu kumpulan XPDC sentiasa semat dihati.
Laluan kebun mengarah ke pintu pagar merah. Jalan ini berhampiran masuk ke rumah Yusri. Sebelah kiri kebun berpagar tadi. Jalan ini mengeliling kebun itu. Biar jalan jauh sedikitpun, namun akhirnya kejayaan menanti kemudiannya. Apapun banyak bersabar, jangan terburu-buru.
Jejak stesen 9W2DYA-5 mengelilingi kebun yang bersebelahan Lebuhraya LEKAS. Ini turut dapat membantuku mengetahui lokasi sebenar berada ketika fikiran tengah buntu. Ia juga digunakan untuk menyemak kedudukan terkini.
Laluan ke pintu pagar merah bersebelahan Lebuhraya LEKAS. Jalan ini agak menurun hingga bertemu kolam ikan di hadapan lagi. Sebelah kanan merupakan deretan pokok durian menjadi pemisah kepada lebuhraya yang bising.
Terus dihadapannya lagi, kiri dan kanan bahu jalan ini dibarisi pokok durian. Jalan tanah merah agak lecah akibat hujan yang turun setiap hari. Namun, tidak menjadi halangan untuk berjalan dengan lebih pantas kerana perjalanan menurun bukit.
Semakin ke hadapan lebuhraya semakin lebih tinggi kedudukannya. Sebelah kiri jalan merupakan deretan pokok belimbing besi pula. Turut diselang dengan tanaman anak pokok durian turut ditanam.
Semakin menghampiri rumah pekerja, lanskap bertukar pokok belimbing besi kiri dan kanan jalan. Semasa datang tadi, tidaklah terasa mengah untuk mendaki laluan ini. Mungkin terlampau rasa memburu belon keletihan diabaikan. Tiba dipintu terus mengambil anak kunci yang terlekat. Buka dan keluar dan meletakkan semula pada besi berani bagi ia terlekat di situ. Tak perlu bersusah payah untuk memanjat pintu masuk itu selepas ini. Sudah tahu kunci itu diletakkan.
Misi kedua pada pagi tadi diteruskan ke Kompleks KLIA, Nilai. Radiosonde D22028933 telah jatuh pada jam 21:44 malam bertarikh 22 April 2023 yang lalu. Koordinat 2.76722 darjah Utara dan 101.77028 darjah Timur. Altitud terakhir ketinggian 474m serta ketinggian maksimum 30,257m.
Ia jatuh di kawasan SPAD. Walaupun tanah ini kosong namun kelihatan litar tv tertutup berada di tengah kawasan dan berdekatan pintu masuk. Tidak pastilah sama ada masih berfungsi atau tidak.
Jarak dari titik akhir ke peranti yang ditemui adalah 36.3m bagi altitud ketinggian terakhir 474m. Jangkaan mendarat berdasarkan tangkap layar berada di kawasan lapang. Ketika tiba memeriksa di tepi parit besar bersebelahan jalan. Tiada apa yang dapat dilihat. Meninjau-ninjau di dalam pagar, juga tiada kesan belon boleh dijumpai.
Setelah berpuas hati tiada disebelah pagar sepanjang jalan. Aku bergerak membawa kereta ke pintu utama. Menghampiri pagar terus terlihat kelibat peranti dan belon tergolek. Betullah arah angin berpatah balik saat ia mendarat. Cumanya yang lebih tepat jatuh dihadapan pintu pagar bukannya ditengah kawasan lapang. Sememangnya jangkaan belon mendarat oleh laman sesawang Sondehub boleh menjadi panduan. Kebanyakkannya memang berada pada kawasan yang dijangkakan. Ini berdasarkan pengalaman yang lepas terbukti nyata dan betul. Banyak peranti dapat ditemui berdasarkan jangkaan yang dibuat oleh SondeHub.
Tali benang tidak terlurut sepenuhnya. Ketika ditemui, saki-baki benang masih pada kayu pine belon hijau. Belon pecah sepenuhnya tanpa meninggalkan sedikit bakipun.
Kedudukan belon berada dihadapan peranti adalah betul. Berdasarkan arah angin, belon berpatah balik dan mendahului dihadapan. Jika mengikut arah pintu pagar belon berada disebelah kanan manakala peranti berada disebelah kiri.
Pemandangan peranti dari dalam menghadap ke pintu pagar. Terlalu dekat dan boleh dilihat dengan mata kasar. Bagi kami pemburu belon polisterina berwarna putih ini menjadi sasaran utama setiap kali misi SAR.
Batu kelikir tempat mendarat belon. Pada malam kejadian jangkaan isyarat akan mati. Berdasarkan pengalaman lalu banyak kali terjadi peranti mati setelah terhempas pada permukaan keras seperti tar dan batu kelikir. Pasti koordinat terkini tidak dapat diimbas menggunakan RDZttgosonde.
Radiosonde D22028933 jatuh malam raya berjaya dalam genggaman. Perlu memeriksa setiap sudut dengan teliti agar tidak pulang dengan kehampaan. Jangan cepat berputus asa atau cepat mengalah. Berhenti selepas berpuas hati mencarinya. Boleh angkat kaki dan terus beredar tanpa menoleh ke belakang lagi. Setiap hari belon kaji cuaca akan dilepaskan sebanyak dua kali. Jadi, apa hendak risau?
Hasil tangkapan di kawasan lapang. Walaupun terpaksa memanjat pagar buat kali kedua, hasilnya sangat berbaloi. Terus beredar untuk ke lokasi terakhir di Desa Cempaka, Nilai.
Radiosonde D22028173 telah jatuh jam 9:26 pagi bertarikh 23 April 2023. Koordinat 2.80374 darjah Utara dan 101.76608 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 246m serta ketinggian maksimum 29,936m.
Tiba di lokasi kejadian meletakkan kereta di kawasan hentian bas yang masih belum dibuat garisan lagi. Jalan baru berturap menjadi dua lorong. Sebelum ini, laluan dua hala menggunakan jalan sebelahnya. Kini jalan empat lorong memudahkan perjalanan di Desa Cempaka.
Jarak ke titik akhir hanyalah 128m. Percubaan untuk memeriksa lokasi titik akhir dibuat walaupun tahu kawasan itu bersemak-samun. Ada kerja-kerja melebarkan parit ditepi jalan itu. Nasib baik ada batang kayu yang boleh dijadikan titi. Terus berjalan ke kawasan semak mengikut bekas tambak tanah. Melaluinya dengan berhati-hati bagi mengelakkan terjatuh ke bawah gaung.
Kawasan berbukit di hadapan itu merupakan lokasi terakhir radiosonde D22028173. Kerja-kerja merata tanah ini mungkin untuk pembangunan masa hadapan. Hasilnya juga sebuah kolam takungan terbentuk menarik perhatian burung bangau.
Pemandangan air takungan ini diambil semasa melalui laluan masuk ke kawasan semak. Semakin lama air bertakung, pasti meluas kawasannya. Tiada laluan air keluar membolehkan ia surut.
Kemudian terus masuk mengikut jarum kompas digital. Kawasan semakin padat dengan pokok-pokok renek. Kelihatan pokok periuk kera antara celah-celah pokok itu.
Stesen 9W2DYA-5 berjaya hingga titik akhir sahaja. Tidak boleh meneruskan pencarian kerana kawasan terlalu bersemak dan berair. Kelihatan kesan-kesan tapak babi banyak dilihat sekitar kawasan hutan ini. Kawasan ini menjadi habitatnya yang semakin mengecil akibat ditelan kemajuan dan pembangunan setempat.
Jarum kompas digital bertukar warna biru. Radius kawasan titik akhir berjaya dijejaki. Malangnya usaha pencarian tidak dapat diteruskan. Ini memandangkan kawasan pencarian sangat tidak sesuai kerana terlalu bersemak dan sangat berbahaya.
Pokok bunga berwarna kuning ini turut menarik perhatianku. Banyak bunga-bunga cantik wujud dalam hutan belukar ini. Faktor keselamatan diambil kira untuk berpatah balik ke kereta dengan segera. Laluan berpatah balik menggunakan laluan yang sama.
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment