Pagi tadi berkesempatan untuk mencari belon KLIA yang jatuh pada 22 Oktober 2024 malam. Jatuh di ladang kelapa sawit sebelah selatan KLIA. Berdekatan dengan jalan pintas ke Kampung Hulu Chuchoh. Gambar di atas jejak sepanjang pencarian yang direkodkan oleh jam Garmin mode Tactical. Mencari setiap baris dari titik akhir hinggalah jangkaan mendarat oleh laman sesawang SondeHub.
Radiosonde 2405015191 telah jatuh pada 22 Okteber 2024 jam 21:29 malam. Koordinat 2.6997 darjah Utara dan 101.70864 darjah Timur. Altittud ketinggian akhir 301m dan ketinggian maksimum 28,760m.
Akses ke titik akhir agak mudah menggunakan laluan sawit batu kelikir bertanah merah kawasan ini. Debu-debu berterbangan ketika berselisih dengan lori sawit. Berhenti di persimpangan jalan dan parkir kereta di situ sahaja. Turun mencari titik akhir melalui laluan sebelah kanan. Ada kerja mengorek parit sedang dilakukan. Hanya melambai tangan sahaja. Mengikut anak panah GPS Waypoint Finder. Terhenti apabila ada parit agak dalam. Patah balik ke jentolak tadi dan bersembang dengan pemandu jentolak tersebut. Maklumakan tujuan kehadiran mencari belon. Beritahu kepada penulis sebelah sana ada jalan boleh dilalui.
Kemudian melintas parit terus ke titik akhir. Jarak 0.9m bukti telah tiba. Melihat sekeliling jikalau ada benang tergantung. Kemudian mencari mengikut baris hingga ke titik jangkaan. Namun, tiada juga tanda untuk dijumpai. Setiap baris agak lapang dan bersih. Antara pokok dengan pokok bersemak lalang dan pelepah kering dikumpul.
Kawasan titik akhir bersemak antara pokok dengan pokok. Pokok agak muda tapi tidak pula kelihatan benang terjuntai. Setiap semak diperhatikan dengan teliti.
Pada pemerhatian arah yang dijangka jatuh berat ke sebelah kiri. Sayangnya menghala ke kiri masuk ke kawasan tanah bencah dan bersemak tinggi. Pada firasat penulis belon terlajak hingga ke kawasan tersebut. Kawasan baris sawit sangat bersih dan kemas. Tiada pula di atas setiap laluan.
Inilah kawasan lembah tanah bencah dengan semak agak tinggi. Kawasan ini dipercayai belon telah terlajak dan mendarat. Memang payahlah untuk lihat benang atau belon dilihat dari jauh.
Sarang burung punai tergantung-gantung pada pokok. Bergerak-gerak apabila ditiup angin. Cuaca pagi tadi cerah dan panas serta berangin.
Hampir sejam mencari ambil keputusan untuk berhentikan sahaja. Bukan rezeki pada kali ini. Berpatah balik keluar ke jalan besar. Sempat mengambil gambar parit air yang mengalir.
Empat hari telah tidak hujan. Kawasan persekitaran agak kering. Mudah untuk melangkah parit dan kawasan bencah yang telah kering.
Laluan tanah merah yang berdebu memudahkan akses ke titik akhir. Pastikan waktu hari bekerja sahaja dapat dimasuki kawasan ini. Pintu masuk berpalang. Hari ahad kebiasaannya palang telah ditutup.
Melepasi laluan tanah merah dengan berhati-hati. Ada sesetengah bahagian agak berlubang dan tidak rata laluannya. Melepasi palang berhampiran jalan pintas ke Kampung Hulu Chuchoh. Belok kanan menghala ke simpang tiga Pintu masuk KLIA dan MetMalaysia. Belok sahaja ke kanan menghala ke Anjung Spotter terdengar dicorong radio isyarat peranti radiosonde. Setelah semak SondeHub tiada pula ikon belon keluar pada skrin.
Melepasi Salak isyarat semakin kuat dan berterusan. Sahlah belon ozon telah dilepaskan. Ketika itu altitud ketinggian lebih 700m. Kebiasaan belon ozon dua minggu sekali pada hari jumaat. Belon ozon tersebut jatuh laut seperti belon pagi tadi juga.
Jumpa dan jumpa lagi
Selamat memburu!
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment